Video

Marilah Kita Bersaudara Kerana Allah

Wednesday, May 6, 2009

Marilah kita bersama memuji Allah, atas nikmat Islam yang menjadi sebaik-baik nikmat Allah kepada kita. Bersyukurlah dengan memuji Allah Taala yang telah memberi taufik kepada jalan dakwah, memudahkan siapa yang telah menolong memimpin dan membangunkan saudara dan mengingatkan saudara dari kelupaan dan kelalaian yang menyelubungi sebahagian kaum muslimin zaman ini. Lantaran saudara mengenali hakikat wujudnya kita dan hakikat risalah dan tugas kita di dalam hidup ini. Dialah yang telah memberi taufik dan hidayah kepada saudara dengan akidah, ibadah dan akhlak Islam. Dengan demikian saudara dapat merasa betapa mulia, agung dan beratnya tanggungjawab saudara terhadap agama yang benar ini. Saudara pula menyedari bahawa saudara tidak akan merasa cukup dengan hanya pada diri saudara tetapi saudara mesti dan pasti memainkan peranan yang positif untuk membangunkan daulah Islam, negara Islam yang adil dan makmur dan menegakkan masyarakat Islam yang dikuasai dan dihakimi oleh akidah Islam, syariat dan undang-undangnya.


Telah jelas kepada saudara bahawa kewajipan yang begitu besar tidak mungkin sempurna dengan usaha individu, tetapi mestilah dengan menggabungkan segala usaha kita semua, dan merealisasikan tujuan yang agung ini. Apa sahaja kewajiban yang tidak akan sempurna kecuali dengannya, maka itu menjadi wajib juga.


Saudara telah mengkaji, meneropong, belajar, bertanya lalu memilih dengan berhati-hati hingga Allah memberi taufik kepada saudara dan menunjukkan saudara kepada jalan dakwah lalu saudara mengenalinya, mengenali petunjuk-petunjuk di sepanjang jalan dakwah dan mengenali siapa yang melaluinya. Saudara redha berjalan dengan mereka di jalan yang mulia dan benar ini kerana saudara telah mempercayai semua itu. Lantaran itu saudara beriltizam dengannya dan menggabungkan diri dengan mereka dan saudara mempersaksikan kepada Allah di atas yang demikian. Oleh kerana itu bersyukurlah dengan memuji Allah di atas hidayah dan taufiknya kepada saudara.


Marilah Kita Bersaudara Kerana Allah


Alangkah perlunya kita bersaudara kerana Allah semasa kita berjalan bersama di atas jalan dakwah untuk memperteguh ikatan di antara kita sebagaimana yang telah dibuat oleh Rasulullah s.a.w. tatkala baginda mempersaudarakan di antara Muhajirin dengan Ansar. Mereka telah membuat contoh yang indah dan agung tentang cinta dan ikrar yang mengutamakan saudaranya lebih dari dirinya sendiri.


Peganglah wahai saudaraku tangan saudaramu di atas jalan dakwah dengan pegangan yang penuh cinta, ikrar dan kasih sayang dengan sepenuh kekuatan tanpa melepaskannya di waktu kegawatan atau di waktu susah atau di waktu berkecamuknya fitnah dan ujian atau di waktu terjadinya berbagai peristiwa. Junjungan kita yang tercinta Nabi Muhammad s.a.w telah menggalakkan dan mendorong kita supaya berbuat demikian.


"Orang mukmin dengan mukmin yang lain adalah laksana bangunan yang sebahagiannya

menyokong sebahagian yang lain ".


Sabda baginda lagi:


"Perumpamaan orang-orang mukmin di dalam rasa cinta mereka, kasih sayang mereka dan kemesraan mereka seperti badan yang satu apabila sebahagian dari anggotanya mengadu sakit, maka bersama-samalah seluruh anggotanya dengan berjaga dan sakit".


Sabda baginda lagi:


"Seorang muslim adalah bersaudara dengan muslim yang lain, dia tidak menzalimi, tidak membiarkannya dan tidak menyerahkannya kepada bahaya. Barangsiapa menolong saudaranya, Allah akan menolongnya. Barangsiapa melepaskan saudaranya dari satu kesusahan, Allah melepaskannya dari satu kesulitan malah berbagai-bagai kesulitan pada hari kiamat, barangsiapa menutup rahsia, cacat cela (keaiban) seorang muslim, Allah menutup keaibannya pada hari kiamat".


Oleh kerana itu hai saudaraku, kenalilah saudara-saudaramu, bersatu-padulah, nasihat menasihatilah dan tegur menegurlah dengan cara terbuka. Tanggung menanggunglah dan berkasih sayanglah, dan jadilah kamu bersaudara.


Saling Ingat-Mengingati Di Antara Kita

Alangkah perlunya kita saling ingat-mengingati tatkala kita berjalan di atas jalan dakwah kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat kepada orang-orang yang beriman. Marilah kita saling ingat-mengingati bahawa kewajipan yang menghimpunkan kita di atas jalan dakwah, tidak ada pilihan lain lagi bagi kita melainkan itu sahaja. Sesungguhnya Islam mewajibkan ke atas kita untuk melaksanakan segala ajarannya. Sesungguhnya setiap Muslim berdosa selagi mereka tidak bekerja dan berdakwah untuk mendirikan daulah Islam, negara Islam dan pemerintahan Islam.


Marilah kita ingat-mengingati bahawa dakwah kita ini adalah salafiah dan manhaj kita adalah manhaj salafussoleh ridwanullahuanhum, menurut cara sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. dan pengikut mereka sebagaimana yang telah dijelaskan kepada kita oleh Imam as-Syahid Hassan al-Banna r.a. Beliau telah menunjukkan kita kepada jalan dakwah dan menerangkan kepada kita bahawa jalan dakwah adalah satu-satunya jalan yang telah dilalui oleh Rasulullah s.a.w., para sahabat-sahabat dahulu dan dilalui oleh para pendokong dakwah kemudiannya. Di atasnyalah kita berjalan dengan taufik dari Allah selepas mereka berpandukan iman dan amal, persaudaraan dan kasih sayang. Berpadulah kekuatan akidah dengan kekuatan perpaduan dan jadilah jamaah mereka sebagai jamaah contoh, jamaah ideal, pasti akan berkuasa dan menang dakwahnya sekalipun ditentang oleh seluruh penghuni bumi ini.


Ingatlah wahai saudaraku! Peranan yang kita mainkan sekarang ini sangat susah dan berat. Tetapi ianya sangat penting dan asasi iaitu memantapkan dan meneguhkan dasar mukmin yang kukuh yang di atasnya akan dibangunkan bangunan daulah Islam yang mencakar langit. InsyaAllah. Iaitu dengan mempersiapkan generasi mukmin yang kuat dari manusia akidah yang beriman dengannya dan mampu, sanggup dan rela melaksanakannya. Generasi yang mempertahankan dan memantapkan asas itu sebagaimana yang telah kita maklumi bahawa ia merupakan marhalah dan tahap yang paling susah dan penting. Ingatlah bahawa musuh-musuh kita, musuh-musuh Islam sentiasa mengintip kita dan mengatur berbagai-bagai tipu daya untuk memperdayakan kita. Ingatlah bahawa cita-cita yang diharapkan itu tidak akan sempurna kecuali melalui berbagai-bagai pertarungan yang hebat dan payah di antara pendokong hak dan pendokong kebatilan, di antara pendokong dakwah yang hak dan pendokong dakwah yang batil. Ketahuilah bahawa balasan yang baik itu hanyalah untuk orang-orang yang bertakwa.


"Demikianlah Allah membuat perumpamaan bagi yang benar dan yang batil. Adapun buih itu, akan hilang sebagai sesuatu yang tidak ada harganya; adapun yang memberi menafaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan ".Ar-Ra'ad: 17


"Mereka tidak henti-henti memerangi kamu sampai mereka dapat mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup". Al-Baqarah:217


Hendaklah kita ingat bahawa mehnah dan bencana itu adalah sunnah Allah dalam dakwah Islam untuk menapis dan membezakan di antara yang benar dan palsu, di antara munafik dan mukmin, di antara muslim dan kafir dan untuk menentukan jenis yang mampu memikul amanah kemenangan. Oleh kerana itu mehnah dan bencana itu adalah sebahagian perkara yang lazim dari jalan dakwah, ia juga mukaddimah (pendahuluan) dan mubasyirah, (berita gembira) untuk kemenangan. Dan benarlah Allah yang Maha Agung:


"Dan sesungguhnya telah didustakan pula rasul-rasul sebelum kamu, akan tetapi mereka sabar

terhadap pendustaan dan penganiayaan (yang dilakukan) terhadap mereka, sampai datang pertolongan Kami kepada mereka. Tak ada seorangpun yang dapat merubah kalimat-kalimat (janji-janji) Allah. Dan sesungguhnya telah datang kepadamu sebahagian dari berita rasul-rasul itu". Al-An'aam: 34


Hendaklah kita ingat bahawa limpah kurnia Allah dicurahkan ke atas angkatan kita ini (assirah- al-Muhammadiah) itu kerana baginda telah melalui jalan dakwah dengan penuh keazaman, kemantapan, ketahanan tanpa pertukaran, tanpa perubahan atau penyelewengan. Tanpa kelemahan, kehinaan dan kelesuan walaupun ereka telah menghadapi berbagai-bagai ujian, bencana dan berbagai-bagai usaha dan tindakan ganas untuk membunuhnya atau untuk memesongkannya dari jalan yang benar. Benarlah Allah Yang Maha Agung yang telah berfirman:


"Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, maka di antara mereka ada yang gugur. Dan ada di antara mereka ada pula yang menunggununggu dan mereka sedikitpun tidak merubah janjinya ". Al-Ahzab: 23


Hendaklah kita yakin dan percaya bahawa Allah pasti memberi pertolongan dan kemenangan kepada dakwah Islam ini. Pasti dia akan merealisasikan janjiNya kepada kita. Dia pasti akan mengurniakan al-khilafa al-Islam pemerintahan Islam kepada hamba-hambaNya yang beriman sebagaimana firmanNya:


"Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku".(An-Nur: 55)


Hendaklah kita ingat ketika kita berada di atas jalan dakwah, bahawa kita menyeru manusia kepada perkara yang paling baik dari segala yang diserukan orang kerana kita menyeru manusia kepada Allah:


"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri". Fussilat: 33


Sesungguhnya kita dengan Islam ini telah menjadi guru dunia yang mempunyai kemuliaan pimpinan:


"Dan demikian pula Kami telah menjadikan kamu umat Islam, umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agarRasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu" Al-Baqarah: 143


"Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi RasulNya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tiada mengetahui". Al-Munafikun: 8


Hendaklah kita ingat wahai saudaraku, di samping itu semua, bahawa sebenarnya Allah itu Maha Kaya dari kita dan jihad kita. Dan kitalah yang berhajat kepadaNya dan berhajat kepada limpah kurniaNya dan pahalaNya.


"Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam ".

Al-Ankabut: 6


Hendaklah kita ingat bahawa apabila kita berjuang di medan dakwah, maka kita tidak akan memperoleh yang lainnya iaitu apabila kita tidak memperjuangkan dakwah, maka dakwah itu tetap berjalan dan berlaku. Maknanya jika kita tidak memperjuangkan Islam, Islam itu akan tegak juga, Islam tidak memerlukan kita tetapi kitalah yang memerlukan lslam. Jika kita tidak berjuang, Insya Allah, akan ada orang lain yang lebih baik dari kita.

Rujukan: Jalan Dakwah ( Sheikh Mustafa Masyhur)

0 comments:

 
Tarbiyah Pewaris © 2011 | Designed by RumahDijual, in collaboration with Online Casino, Uncharted 3 and MW3 Forum