Video

Sistem Akhlak dalam Islam

Saturday, January 5, 2008


Tajuk: Islam dan Dakwah

Bab: Sistem Akhlak dalam Islam

Menurut Dr Abdul Karim Zaidan, akhlak dalam Islam ditakrifkan sebagai nilai-nilai atau sifat-sifat yang telah sebati dalam diri seseorang dan menjadi kayu ukur bagi insan untuk menilai baik-buruknya sesuatu perbuatan.

Akhlak berfungsi sebagai pengatur tingkah laku manusia. Ini berikutan tulisan Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin iaitu, “Setiap sifat yang tersemat dalam hati akan tercerna kesannya pada anggota badan dan akan bergerak menurut sifat ini.” Kata-kata Imam al-Ghazali boleh diumpamakan sebagai akar yang subur yang menghasilkan pokok yang rendang dan tegap. Manakala akar yang sakit akan dapat dikesan pada pokok yang kelihatan lesu dengan dedaun yang kekuningan.

Pertimbangan seseorang bergantung kepada sejauhmana manusia merasai kepentingan nilai tersebut. Jika manusia mengambil berat terhadap nilai-nilai yang tersemat dalam hatinya, pertimbangannya juga turut ke arah kebaikan.

Hakikatnya Islam sentiasa ingatkan penganutnya agar menyematkan akhlak-akhlak yang terpuji dalam hati sehingga merasakannya sebati dan dapat mempengaruhi segala tingkah laku manusia.


Islam meletakkan akhlak di tempat yang tinggi. Bukti kepada pengiktirafan kedudukan akhlak dalam agama Islam dapat dilihat atas beberapa sebab:

1. Matlamat pengutusan Rasulullah S.A.W. adalah untuk memperbaiki akhlak manuisa sebagaimana dalam hadith baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

2. Dalam hadith lain Nabi S.A.W. telah menyebut bahawa perkara yang paling berat timbangannya di akhirat kelak ialah akhlak yang baik.

3. Islam meletakkan orang yang berakhlak baik sebagai mempunyai darjat keimanan yang tinggi.

4. Orang yang berakhlak lebih dikasihi oleh Rasulullah S.A.W. di hari akhirat kelak.

5. Nabi S.A.W. sendiri, walaupun telah diketahui umum sebagai insan yang paling tinggi akhlaknya, masih memohon kepada Allah agar diperelokkan akhlaknya.


Kesyumulan Akhlak Islam

Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan lagi, satu ciri yang khusus dalam sistem akhlak Islam ialah kesyumulannya atau ruang lingkup yang dirangkuminya secara menyeluruh. Berbeza dengan pegangan sistem yang ada pada hari ini, akhlak dikesampingkan. Contohnya, dalam hal hubungan antarabangsa. Oleh kerana hubungan yang dijalin tidak berlandaskan prinsip akhlak, amalan pengkhianatan sering berlaku, malah telah dianggap sebagai satu seni dalam berpolitik.

Islam dari awal lagi meletakkan nilai akhlak sebagai suatu dasar negara. Ini dinyatakan dengan jelas dalam firman Allah s.w.t. dalam ayat ke-58 surah Al-Anfaal yang bermaksud jika timbul pengkhianatan dalam perjanjian, maka hendaklah dinyatakan kepada mereka dengan jelas, walaupun ia dilakukan oleh orang bukan Islam mahupun orang Islam sendiri. Pernah berlaku dalam Perjanjian Hudaibiyyah antara Nabi s.a.w. dan pihak musyrikin, seorang Quraisy yang bernama Abu Jandal memeluk Islam lalu meminta supaya Nabi s.a.w. melindunginya.

Oleh kerana perjanjian yang termeterai tidak membenarkan orang Quraisy yang memeluk Islam dilindungi dan hendaklah dikembalikan ke Mekkah, maka Nabi dengan tegas mematuhi perjanjian tersebut. Baginda bersabda, “Kita telah memeterai perjanjian dengan mereka (musyrikin Mekkah). Kita mematuhi perjanjian ini dan mereka juga mematuhinya. Kita tidak akan mengkhianati mereka.”

Sistem akhlak Islam juga berpegang kepada nilai akhlak pada matlamat dan cara. Tiada ruang dalam sistem akhlak Islam untuk “matlamat menghalalkan cara.” Walaupun umat Islam diwajibkan membantu saudara seagama yang dizalimi, namun jika pertolongan tersebut melanggar perjanjian yang termeterai dengan orang yang menzalimi, ia tidak dibolehkan. Hal ini ditegaskan dalam ayat ke-72 surah Al-Anfaal yang bermaksud, “Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) agama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian di antara kamu dengan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan.”

Hubungan Akhlak dengan Iman

Akhlak yang buruk dan iman tidak boleh hidup bersama. Ini kerana iman akan mengalakkan akhlak yang baik. Orang yang benar-benar beriman tidak akan melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan tatasusila kerana sistem akhlak dalam Islam tertegakkan melalui balasan sama ada hukuman atau ganjaran. Hukuman atau ganjaran boleh dikenakan di dunia atau di akhirat. Keyakinan terhadap sistem balasan ini banyak bergantung kepada iman seseorang.

Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan, pada asasnya akhlak seseorang boleh dibentuk dan diubah. Allah s.w.t. telah memerintahkan manusia agar menjauhi akhlak yang buruk dan berusaha memiliki akhlak yang baik. Perintah Allah ini membuktikan bahawa manusia mampu memilih sama ada untuk berakhlak baik atau buruk. Hal ini bertepatan pula dengan kaedah fiqh iaitu taklif hanya menurut kemampuan dan tidak ditaklifkan suatu yang mustahil.

Allah s.w.t. berfirman di dalam surah As-Shams yang bermaksud, “Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa (jalan) kejahatan dan ketaqwaan. Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang membersihkan jiwa. Dan sesungguhnya rugilah orang-orang yang mengotorkannya.” Walaubagaimanapun, kemampuan manusia untuk mengubah akhlak mereka adalah berbeza-beza. Sesetengah manusia telah dikurniakan oleh-Nya dengan sifat-sifat yang terpuji secara semulajadi. Sifat-sifat ini membantunya memilih jalan yang lurus.

Akhlak boleh dibentuk melalui beberapa kaedah. Pertama, tidak menurut perasaan marah. Secara tidak langsung, ia mengelakan kesan-kesan negatif akibat sifat marah. Namun, kita tidak berupaya membuang sifat tersebut kerana sifat ammarah adalah sifat semulajadi manusia. Kita hanya boleh mengawal dan menyalurkan sifat itu ke arah yang sewajarnya. Nabi s.a.w. bersabda, “Orang yang kuat bukan diukur dengan beradu tenaga tetapi orang yang kuat ialah orang yang mengawal dirinya ketika marah.”

Kaedah kedua ialah mendidik jiwa dengan membuang sifat-sifat yang keji dan menggantikannya dengan sifat terpuji. Cara mendidik jiwa agar membuat amalan-amalan kebaikan dapat dilakukan apabila manusia memahami agama Islam sebagaimana saaabda Nabi s.a.w. , “Manusia ini umpama logam, yang terbaik di kalangan mereka di zaman jahiliyyah adalah juga yang terbaik di zaman Islam apabila mereka memahami (agama ini).”



0 comments:

 
Tarbiyah Pewaris © 2011 | Designed by RumahDijual, in collaboration with Online Casino, Uncharted 3 and MW3 Forum