Video

Manhaj At-Tarbiyah Al-Islamiyah `Inda Al-lkhwan Al-Muslimin

Sunday, May 10, 2009

Dr. Abdul Halim Mahmud, mantan Syeikh Universiti Al-Azhar, telah menulis buku bertajuk
Manhaj At-Tarbiyah Al-Islamiyah `Inda Al-lkhwan Al-Muslimin yang menerangkan konsep
perjuangan Al-Ikhwan dan pelaksanaan tarbiyahnya. Segala yang dinyatakan di bawah
adalah sedutan dan suntingan terhadap penulisannya dalam buku yang dinyatakan.

Tahap-tahap Tarbiyah
Salah satu ciri tarbiyah Ikhwan Muslimun ialah ia dilaksanakan dalam bentuk tahap-tahap atau bertahap dan berperingkat. Ini untuk memastikan pembinaan individu secara
berstruktur dan seimbang. Selain itu, tahap-tahap ini juga menggambarkan
peringkat-peringkat keahlian dalam Ikhwan Muslimun yang dilakukan atas sebab-sebab pengurusan dan keselamatan.

Setiap satu dari tahap ini mempunyai objektif, kandungan dan program-program yang
tersendiri yang dilaksanakan melalui wasilah-wasilah tarbiyah yang sesuai.

Tahap-tahap itu ialah;

1. Tahap Persediaan Matlamat utama tahap ini ialah untuk menyediakan individu bagi melaksanakan tugas dakwah dengan menjauhkan mereka dari maksiat dan mendekatkan mereka dengan ketaatan, membina akal yang Islamik, menanam kecintaan kepada kebaikan dan membiasakan mereka dengan kerja-kerja kemasyarakatan yang bermanfaat.
Untuk itu objektif berikut akan cuba dicapai;

a. Mengurangkan jumlah ahli maksiat dalam masyarakat.
b. Menambah ahli ibadat dalam masyarakat.
c. Menanam rasa cinta terhadap masjid di kalangan belia-belia dan orang Islam.
d. Menerangi pemikiran dengan Al-Quran dan As-Sunnah, sirah Nabi dan beberapa hukum-hukum fiqh.
e. Membiasakan manusia untuk melaksanakan kebaikan dan bekerjasama dalam menganjurkannya.
f. Memberi kesedaran bahawa masjid dan kampung yang diduduki oleh seseorang individu mempunyai hak yang wajib ia tunaikan.
g. Menguatkan ikatan sesama muslimin melalui amalan ziarah dan kasih mengasihi kerana Allah.
h. Membina hubungan antara golongan muda dengan para tokoh veteran dan tokoh tempatan.
i. Membiasakan mereka dengan hidup berperaturan dan amalan syura.
j. Menanam kesedaran terhadap konsep tugas dakwah. Bahawa ia adalah usaha yang mempunyai tahap-tahapnya yang memerlukan ilmu, fiqh dan kerjasama yang tidak akan dapat dicapai kecuali individu itu berterusan dalam mempelajari agamanya dan mendorong dirinya untuk berusaha, menyumbang, infaq dan bekerjasama demi agama ini.

Ciri-ciri tahap ini ialah
a. Penumpuan kepada usaha mewujudkan motivasi untuk beramal soleh dan meninggalkan maksiat.
b. Membaiki pemikiran dan menanam fikrah Islam yang benar.
c. Meletakkan asas bagi amal Islam.
d. Menghalusi peribadi individu,

2. Tahap Pengenalan
Tahap ini bertujuan untuk memberi pengenalan yang baik kepada setiap individu akan Islam tidak kurang dan lebih dari apa yang diperlukan.
Untuk itu, objektif-objektif tarbiyah yang hendak dicapai ialah;

a. Membentuk golongan yang mendalami dasar-dasar agama.
b. Melatih untuk memberi pentafsiran terhadap nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah dengan tafsir yang mudah dan berobjektif.
c. Menghilangkan salah faham dan kekeliruan terhadap Islam.
d. Berusaha untuk menghilangkan halangan-halangan dari tugas dakwah.
e. Membentuk kelompok-kelompok teras yang terdiri dari mereka yang faham dan beramal dengan Islam.
f. Membentuk kelompok-kelompok teras dari kalangan mereka yang beriltizam dalam amal jama'i (dakwah secara kolektif).
g. Membentuk bilangan tertentu yang akan mengkhusus dalam Tafaqquh Fid Din (mendalami dalam agama).
h. Membentuk kumpulan-kumpulan kerja yang akan melakukan kerja-kerja dalam pelbagai bidang.
i. Membentuk organisasi yang mengkhusus untuk berkhidmat kepada Islam dalam bidang ilmiah.
j. Membentuk aktivis dakwah.

Ciri-ciri tahap ini ialah;
a. Penumpuan kepada pembentukan individu sebagai seorang pendakwah dan penggerak dakwah.
b. Penglibatan yang aktif dalam kerja dakwah dan meletakkan asas bagi amal jama'i. c. Pentarbiyahan yang mengkhusus bermula.

3. Tahap Pembentukan
Tahap ini dilalui oleh mereka yang terpilih dari Tahap Pengenalan berdasarkan kriteria tertentu. Tujuan tahap ini ialah untuk mempersiapkan individu, membentuk dan mendidik mereka untuk menjadi tentera Islam, bekerja di jalannya, mempunyai iltizam yang baik. Ia adalah tahap yang mempunyai masa tertentu, isi kandungan yang khas dengan penyusunan program yang teliti.

Untuk itu, objektif-objektif berikut akan dicapai;
a. Melaksanakan pembentukan yang sempurna bagi individu.
b. Melaksanakan program pembentukan yang bersifat praktikal.
c. Membentuk individu yang berpegang kepada kebenaran dan sabar atasnya.
d. Membentuk individu yang baik dari sudut akhlaq, ilmu dan amal.
e. Membentuk individu-individu yang mengkhusus dalam bidang ilmu, dakwah, harakah, keorganisasian dll.
f. Melaksanakan segala wasilah tarbiyah dalam program tarbiyah.
g. Membentuk kelompok yang mampu untuk membuat pencalonan bagi tahap yang lebih tinggi.
h. Membentuk pemimpin-pemimpin bagi dua tahap yang lalu.
i. Mendorong sebilangan tertentu untuk mendalami dalam bidang kajian dan pengajian tinggi untuk memenuhi keperluan dakwah dalam pelbagai bidang.
j. Membentuk pendakwah yang pakar dalam bidang tadi.

Ciri-ciri tahap ini ialah;
a. Pelaksanaan program tarbiyah yang bersepadu yang meliputi segala aspek keperibadian manusia.
b. Penekanan kepada unsur pelaksanaan Islam dalam bentuk yang praktikal bukan hanya dalam bentuk konsep.
c. Pembentukan individu yang beramal, sabar atas kesusahannya bahkan saling berpesan atas kesabaran ini.
d. Penerapan program tarbiyah melalui segala wasilahnya.
e. Wujud usaha-usaha yang akan melahirkan individu yang mengkhusus dalam bidang tertentu.
f. Penglibatan dalam proses kepimpinan dengan memimpin individu yang berada di tahap yang rendah.
g. Mewujudkan individu pakar dan berotoriti dalam bidang akademik.

4. Tahap Kepimpinan. Tahap ini bertujuan untuk mencapai matlamat pembentukan individu yang bersedia untuk berjihad dalam pengertian yang seluas-luasnya.

Untuk itu, objektif-objektif berikut akan dicapai;
a. Melahirkan kelompok mujahidin.
b. Melahirkan kelompok yang memenuhi keseluruhan rukun bai'ah Ikhwan Muslimun.
c. Melahirkan kelompok yang mencapai kemampuan untuk memberi hukum.
d. Melahirkan kepimpinan tahap-tahap yang lain.
e. Melahirkan individu yang mampu untuk mengagihkan tenaga kerja mengikut kesesuaian.
f. Melahirkan kelompok yang beramal dengan berterusan untuk Islam.
g. Melahirkan individu yang sanggup menyahut keperluan dakwah dalam setiap bidang.
h. Melahirkan individu yang mampu untuk mencalonkan orang lain untuk kerja-kerja penting.
i. Melahirkan golongan yang strategis.
j. Melahirkan individu yang mampu untuk menaiki Tahap Pengukuhan.

Ciri-ciri tahap ini ialah;
a. Program-program yang membentuk ketaatan yang tidak berbelah bagi dalam menerima arahan.
b. Program yang membina kemampuan untuk menghuraikan masalah dan mengeluarkan hukum dari dalil.
c. Program-program pembinaan kepimpinan.
d. Program-program pembinaan kemampuan yang melahirkan strategis dan mahir dalam pengurusan.

5. Tahap Pengukuhan Tahap ini bertujuan untuk melahirkan individu yang akan melaksanakan agama Allah dalam kehidupan.

Objektif yang akan dicapai bagi tahap ini ialah;
a. Pengacuan (Mould) kehidupan harian dengan acuan Islam.
b. Pengacuan badan-badan pemerintah dengan acuan Islam.
c. Pengacuan kehidupan sosial, politik dan ekonomi dengan acuan Islam.
d. Penguasaan sistem Islam ke atas segala perhubungan antara negara-negara Islam dan
lain-lain.
e. Menyebarkan Islam kepada alam seluruhnya.
f. Membentuk kepimpinan bagi tugas dakwah di segala peringkat.
g. Melahirkan para pendakwah yang mahir dengan bahasa-bahasa dunia.
h. Melahirkan kelompok strategis untuk memenuhi segala keperluan aktiviti dunia Islam.

Ciri-ciri dalam tahap ini ialah;
a. Pelaksanaan Islam sebagai satu kuasa pemerintahan.
b. Penguasaan tampuk-tampuk kuasa untuk tujuan mencorakkan sistem dan institusi dengan corak Islam.
c. Penglibatan dakwah di peringkat antarabangsa.
d. Melibatkan individu-individu yang memegang kepimpinan tertinggi jamaah.

0 comments:

 
Tarbiyah Pewaris © 2011 | Designed by RumahDijual, in collaboration with Online Casino, Uncharted 3 and MW3 Forum