Video

Labibah Ahmad, Ketua Muslimat Ikhwan Muslimun Pertama

Monday, May 4, 2009

Penglibatan Labibah dalam Ikhwan Muslimun

Labibah satu nama besar dalam memimpin sayap wanita Ikhwan atau lebih dikenali sebagai Akhwat Muslimat. Beliau dilahirkan pada 1292H/1875M di Kaherah dari sebuah keluarga mulia yang menitik-beratkan pendidikan agama, belajar di peringkat rendah di tangan ahli keluarganya yang berpendidikan agama dengan memulakan belajar bahasa Arab dan beberapa ilmu asas agama seperti Sirah Nabi Muhammad s.a.w., ilmu sastera, syari'at Islam dan lain-lain.

Dalam peringkat menengah pula, keluarga Labibah menghantarnya ke sebuah sekolah yang mengajar mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah hingga mampu menguasai semua subjek agama dengan baik serta mencapai pengetahuan luar biasa kerana penguasaannya yang disifatkan sebagai pelajar terbaik ketika itu.

Selepas menamatkan pengajian peringkat menengah, Labibah menulis bahan-bahan rencana berbentuk Islam kepada beberapa akhbar tempatan untuk disiarkan dengan menggunakan pelbagai nama pena bagi mengaburi pihak berkuasa. Kebanyakan tulisannya berbaur seruan kepada wanita untuk bangkit menyatakan hak mereka yang diabaikan oleh pihak berkuasa.

Mula menggerakkan wanita di negaranya apabila menganjurkan satu revolusi kebangsaan pada 16 Mac 1919 bersama Huda Sya'rawi dan Nabawiyyah Musa (aktivis pembebasan wanita terkenal di seluruh Mesir dengan kelantangan suara mereka menyatakan hak kaum wanita) menghadapi penjajah Inggeris yang menyekat revolusi berkenaan. Revolusi kebangsaan itu mendapat liputan meluas akhbar-akhbar seluruh dunia apabila menyatakan bahawa wanita Mesir bangkit melawan Inggeris yang mengehadkan pergerakan dan hak wanita. Revolusi itu diperkuatkan dengan penyertaan tokoh-tokoh pejuang kebangsaan Mesir ketika itu seperti Qadim Amin, Sa'ad Zaghlul dan Mahmud Samy al-Barudi.

Pada 1923, Huda Sya'rawi mengasaskan Kesatuan Wanita yang masih dilihat oleh Labibah hanya terbatas pada perkara-perkara pokok sahaja. Justeru, beliau mengasaskan pula 'Pertubuhan Kebangkitan Wanita-wanita Mesir', ia meliputi aspek akhlak, kemasyarakatan, keagamaan yang bersandarkan kepada hukum Syariat Islam yang tidak dibuat atau diperkenalkan oleh Huda Sya'rawi.

Pertubuhan yang diasaskan oleh Labibah itu turut menyediakan program ilmu yang memacu wanita untuk menjadi golongan terpelajar dalam apa jua bidang yang diceburi mereka, terutama golongan pekerja kedua-dua sektor kerajaan dan swasta bagi memastikan produk Mesir dalam dihasilkan dengan jayanya.

Tidak cukup dengan itu, Labibah menerbitkan sebuah majalah melalui pertubuhan yang diasaskan, yang dikenali dengan 'Majalah Kebangkitan Wanita' yang beroperasi selama 20 tahun sehingga permitnya dihentikan oleh pihak berkuasa atas sebab-sebab tertentu pada 1942. Majalah itu mendapat sambutan menggalakkan kerana beberapa rencana yang termuat di dalamnya ditulis oleh tokoh-tokoh pemikir Islam termemuka seperti Syakib Arsalan, ar-Rafi'ie, Farid Wajdi serta Muhibuddin al-Khatib.

Hasan al-Banna dapat hidu ketangkasan Labibah

Ketangkasan kepimpinan Labibah dihidu oleh pengasas Ikhwan Muslimun, Imam Syahid Hasan al-Banna apabila Almarhum membuka sayap wanitanya yang dikenali sebagai Akhwat Muslimat. Imam Hasan mempelawa Labibah untuk mengisi jawatan ketua sayap berkenaan pada 1948, setahun sebelum kewafatan Imam Syahid yang ditembak mati, Labibah menerima pelawaan itu dan mejadi Ketua Akhwat pertama.

Labibah menerajui sayap Akhwat berkenaan selama 10 tahun, akhirnya beliau terpaksa melepaskan jawatan itu bagi memberi laluan kepada pelapis selepasnya. Beliau menghabiskan sisa-sisa hidup dengan membaca kitab-kitab agama khususnya yang berkaitan dengan Syari'at Islam. Labibah meninggal dunia pada usia 80 tahun iaitu pada 1955M/1385H di pangkuan keluarga tercinta. - lanh

Sumber: www.ikhwanonline.com, http://ar.wikipedia.org _

0 comments:

 
Tarbiyah Pewaris © 2011 | Designed by RumahDijual, in collaboration with Online Casino, Uncharted 3 and MW3 Forum