Video

Warkah Muhammad al-Ma'mun al-Hudhaibi

Sunday, March 14, 2010 0 comments

Koleksi Warkah daripada Muhammad al-Ma'mun al-Hudhaibi pada 26 Zulhijjah 1423 bersamaan 27 Februari 2003.

Bala tentera Amerika yang besar jumlahnya telah berhimpun di rantau ini. Dalam masa yang sama, amaran, ancaman dan ugutan dilakukan oleh Presiden Amerika, Setiausaha Pertahanannya dan para pegawai pelaksananya. Mereka semua mengugut bangsa Arab dengan segala kecelakaan dan kemalangan yang bakal menimpa.

Segala senjata pemusnah besar-besaran Amerika digunakan untuk memaksa bangsa Arab dan ummat Islam agar menyerah dan memberikan kesetiaan
agar bersedia untuk mengubah sistem dan keluar daripada ketetapan dan pegangan agar meloloskan diri daripada identiti yang sebenar, berlepas diri daripada akidah Islam, menyerahkan seluruh bumi Palestin kepada
regim Zionis dan membuka pintu seluas-luasnya bagi Zionis merampas bumi di sekitar Palestin.

Keadaannya samalah dengan apa yang telah berlaku di Afghanistan.Bangsa Arab dan ummat Islam sepatutnya mengambil pengajaran daripada apa yang telah berlaku. Mereka juga telah melihat sendiri dan
mengikuti apa yang telah berlaku. Kemusnahan, penumpahan darah, pemusnahan kampung dan bandar, serta pemusnahan ladang dan kaum keluarga.

Persediaan untuk menyerang Iraq samalah dengan serangan yang telah dilancarkan terhadap Afghanistan, bersama-sama dengan kenyataan untuk membuat pembahagian dan penyusunan semula rantau ini agar dapat
menjaga kepentingan Amerika, termasuklah kepentingan regim Zionis di Israel. Serangan ini juga bertujuan agar semua orang menundukkan kepala menunjukkan kepatuhan dan kesanggupan untuk menerima segala
kehinaan.

Segala perkara ini dan apa yang ingin dilakukan oleh Presiden Amerika, George Bush, mengingatkan kita kepada apa yang telah berlaku kepada datuk nenek kita dahulu. Terutamanya ketika kedengaran suara-suara
hari ini di sana sini yang ada di antaranya yang mengatakan bahawa serangan dan permusuhan Amerika tidak mungkin boleh dihadapi atau ditolak lagi... atau yang mengatakan kita tidak boleh menyelamatkan diri daripada taufan Amerika yang pasti akan melanda dan kita tidak mempunyai usaha untuk menangguhkannya atau hanya sekadar untuk mengurangkan kesan akibat buruknya... terutamanya dalam suasana dan persekitaran yang dikuasai oleh perpecahan, percanggahan pendapat dan pendirian serta terburainya ikatan persaudaraan, lemahnya ikatan dan faktor kepercayaan. Sebagaimana terdapat di kalangan kita orang yang
berpendapat dan melihat bahaya ancaman adalah datang daripada jirannya yang sebangsa dengannya sendiri. Dia tidak merasa selamat ketika berada di kalangan kaumnya sendiri, kerana mereka tidak mampu untuk
memberikan keamanan dan kestabilan. Segala pengalaman pahit masih lagi terbayang dalam pemikiran.

Apa yang ingin dilakukan oleh Presiden Amerika itu terhadap rantau kita, situasi dan keadaan kita, realiti tragedi yang kita alami, perpecahan yang menimpa barisan kita, kelemahan dan kedhaifan yang menguasai beberapa orang daripada kita, kebimbangan dan tipudaya yang dialami oleh sekumpulan bangsa Arab dan ummat Islam yang berpendapat sumber kegelisahannya adalah kejahatan dan permusuhan yang diatur oleh
kumpulan bangsa Arab dan ummat Islam lain terhadapnya, tanda-tanda kekecewaan dan putus asa yang kelihatan menutupi beberapa wajah dalam banyak peristwa semuanya itu mengingatkan kita kepada suasana dan situasi yang pernah dialami oleh ummat kita dahulu. Iaitu ketika Holako bersama dengan bala tenteranya yang besar melanggar dan menyerang bumi ummat Islam, membunuh dan menghalau ribuan daripada
mereka. Holako juga menyebabkan ketakutan dan kebingungan di seluruh bumi ummat Islam ketika itu.

Pada hari itu, beberapa orang pemerintah dan pemimpin telah membuka pintu dan sempadan bagi dimasuki oleh tentera Tartar yang zalim itu.Para pemimpin dan pemerintah itu merasakan bahawa mereka tidak mampu
untuk menghalang serangan tentera Tartar yang menggila bagaikan taufan. Mereka berpendapat, Holako dan tentera Tartar adalah bahaya dan ancaman yang tidak boleh ditolak serta kemusnahan yang tidak boleh
diselamatkan lagi. Mereka juga berpendapat mereka tidak mempunyai pilihan yang lain kecuali berdamai dengannya, atau bersikap hipokrit atau menyerah diri sahaja dan tunduk kepadanya dengan harapan agar
Holako masih memberikan peluang kepada mereka untuk meneruskan kehidupan, atau paling kurangpun ia menjadi sebab untuk mendapat kasihan belasnya, atau untuk memperoleh keampunannya. Seolah-olah
mereka tidak percaya bahawa Holako dan bala tenteranya tidak sekali-kali akan kasihan terhadap bangsa Arab dan ummat Islam, yang hanya akan merampas hak mereka untuk hidup, yang hanya akan menguasai
negara mereka dan mengecapi sumber kekayaan mereka dan seterusnya bergembira di atas mayat-mayat dan runtuhan rumah-rumah mereka.

Ketika itu, tiada seorangpun yang percaya dengan penuh yakin terhadap kudrat Ilahi untuk menghalang taufan bala tentera Tartar kecuali orang-orang yang benar-benar beriman dan percaya serta yakin terhadap
pertolongan Allah yang telah memberikan janji yang benar. Firman Allah SWT (Ali Imran: 173) yang bermaksud:

"Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya. "Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)."

Mereka juga sedia untuk mengorbankan harta dan jiwa raga. Mereka percaya kepada kemampuan, kekuatan dan kuasa ummat mereka jika barisannya dapat disatukan dan para pemimpin dapat berada di dalam
satu barisan dengan rakyat mereka, mempunyai keazaman yang satu bagi menuju matlamat yang satu iaitu menolak kehinaan dan berusaha memperoleh keredhaan tuhan serta bersungguh-sungguh untuk mendapat
kemenangan dan balasan yang besar.

Realiti tragedi yang berlaku hari ini mengingatkan kita kepada realiti tragedi yang telah menimpa ummat ini dahulu.

Holako dan bala tenteranya yang ganas telah menyerang bahagian timur dunia Islam. Mereka menyerang Baghdad dan mengharungi sungai darah bangsa Arab dan ummat Islam. Mereka mengkhianati khalifah dan para menterinya. Mereka membunuh banyak jiwa dan menyeberangi Sungai Tigris di atas timbunan kitab-kitab yang pernah digunakan untuk mengimarahkan perpustakaan-perpustakaan di Baghdad. Kemudian mereka melanda pula bumi Syam. Tiada kawasan yang dilalui, melainkan mereka akan memusnah
dan meruntuhkannya. Tiada kaum yang mereka temui, melainkan mereka akan membunuhnya. Kemudian dalam perjalanan ke Mesir, mereka menuju ke Palestin, sebuah tempat yang mempunyai peranan tersendiri dalam sejarah.

Presiden Bush hari ini samalah dengan Holako semalam. Dia mengutuskan para utusan untuk memberikan ancaman dan ugutan kepada para pemerintah ummat Islam dan negara mereka agar menyerah dan menerima segala undang-undang dan peraturan untuk digunakan kepada diri dan rakyat mereka. Ada di antara para pemimpin itu yang menerima dan tunduk kepada ugutan tersebut, maka akibatnya amat pahit dan jelek. Tetapi
sebaliknya ada di antara mereka yang menolak dan bersiap sedia dengan segala kelengkapan dengan menyusun semula rumah tangganya sendiri dengan memerangi rasuah dan kezaliman, mengukuhkan persamaan, mendahului rakyatnya dalam mengorbankan harta, kekayaan dan batu-batu permatanya. Itu dilakukannya demi mengharapkan kemenangan. Dia juga menyatukan barisan dan mengukuhkan hubungan dengan rakyat. Oleh itu, dia selamat dan sejahtera dan merealisasikan kemenangan bagaikan mukjizat dengan bantuan Allah.

Antara kandungan surat Holako yang diutuskan kepada pemerintah Mesir, Sultan Qutz pada ketika itu ialah menuntutnya agar menyerah kerana dia tidak mempunyai pilihan lain lagi. Holako menyifatkan pedang tentera
Tartar di dalam surat itu bagaikan petir dan lembing mereka bagaikan pemusnah. Holako juga menyifatkan tentera Tartar sebagai golongan yang tidak ada kasihan belas terhadap sesiapa yang mengadu dan hati mereka tidak akan menjadi lembut kepada sesiapa yang menangis.

Lalu Sultan Qutz yang beriman dan percaya kepada pertolongan tuhannya dan yakin kepada kekuatan iman rakyatnya, mengumpulkan para pemimpin, ulama dan cendikiawan. Ada di antara para pemimpin itu yang berpendapat bahawa mereka mesti berlembut dengan para utusan Holako, menunjukkan ketundukan dan mengambarkan persetujuan untuk membayar ufti. Lalu Sultan Qutz berkata kepada mereka yang lemah itu:

"Sesungguhnya pedang yang dimiliki oleh seorang yang pengecut daripada mengharungi peperangan adalah lebih layak untuk dipatahkan."

Kemudian beliau mengisytiharkan bahawa beliau menolak kehinaan, bahkan berazam mahu menghapuskan kejahatan dan meneguhkan kemuliaan serta kebanggaan dan membangkitkan semangat rakyat untuk melaksanakan amanah mempertahankan tanah air. Di samping itu beliau juga bertujuan membalas dendam terhadap ratusan ribu nyawa ummat Islam tidak berdosa yang telah dirampas hak kehidupan mereka oleh Holako di bumi dan negara mereka sendiri.

Sultan Qutz tidak mencuaikan kewajipannya. Beliau tidak gentar untuk menghadapi seorang yang gemar menjilat darah mangsa-mangsanya. Beliau juga tidak mundur berhadapan dengan ugutan. Beliau juga tidak
digerunkan oleh barisan dan kumpulan musuh yang besar. Dalam masa yang sama, beliau tidak mengenepikan rakyatnya yang menjadi sumber kekuasaannya, penentu keputusan dan sumber pengorbanan. Anak-anaknya
pula adalah terdiri daripada para tentera yang penuh percaya dan beriman serta mampu menghalang musuh.

Sultan Qutz bergantung kepada para ulama yang bagaikan bintang itu untuk menggerak dan menanam hakikat iman serta menggerakkan sifat memberi, berkorban dan berusaha. Para ulama itu diketuai oleh al-'Izz bin Abdul Salam yang telah memberikan fatwa kepada sultan dan rakyat bahawa jihad adalah wajib dan menolak kehinaan juga adalah wajib. Sultan Qutz juga telah menubuhkan satu jabatan yang besar bagi melakukan seruan ke arah jihad pada jalan Allah dan menghalang serangan tentera yang zalim itu. Beliau mengumpulkan para ulama dan khatib masjid untuk bergerak di seluruh negara Mesir. Mereka semua digerakkan oleh caj keimanan dan jihad untuk menyemarakkan semangat jihad di dalam hati rakyat jelata, hingga menjadikan seluruh bumi Mesir sebagai sel berdenyut yang sentiasa bergerak dan bersedia untuk mengharungi peperangan.

Sultan Qutz juga telah mengutuskan surat-surat kepada para pemerintah di Syam agar menyatukan barisan dan mengumpulkan seluruh kekuatan bagimenghadapi musuh bersama. Beliau juga menegaskan bahawa sekarang bukan masanya untuk berusaha menjatuhkan mana-mana pemimpin atau menentang
pemerintahannya atau mengugutnya agar melucutkan dirinya daripada singgahsana pemerintahan.

Sultan Qutz juga melakukan reformasi dalaman dengan melebar luaskan keadilan dan mencabutkan segala akar umbi kerosakan serta kezaliman.Beliau berkata kepada sesiapa yang cenderung untuk berdamai dengan
musuh atau haloba kepada harta:

"Pendirian paling keji adalah pendirian kamu. Demi Allah, pendirian ini kamu ambil hanya kerana kamu takut dan kecut kepada pedang-pedang tentera Tartar yang akan memotong kepala dan tengkuk kamu yang digemukkan oleh harta yang kamu ambil daripada rakyat. Tidakkah kamu tahu wahai pemimpin yang jahat bahawa apabila sesuatu kaum itu diperangi di dalam negara mereka sendiri maka mereka akan mendapat kehinaan?"

Sebelum melangkah ke medan perang, beliau berkata kepada para pemimpin:


"Wahai pemimpin ummat Islam! Kenapakah kamu sanggup memakan harta daripada baitul mal, sedangkan kamu bencikan jihad? Alangkah serupanya kamu dengan golongan munafiqin pada zaman Rasulullah (SAW)! Demi Allah, aku dan orang-orang yang bersamaku akan memerangi musuh Allah. Sesiapa yang memilih untuk berjihad dari kalangan kamu, maka ikutilah aku. Sesiapa yang tidak mahu, pulanglah ke rumah. Pemergiannya tidak akan ditangisi dan dikesali, dan Allah maha tahu apa yang ada di dalam dirinya."

Seruan beliau disambut dengan tangisan. Tentera Mesir bertakbir dalam pertempuran, lalu bumi menggegarkan tapak-tapak kaki pihak musuh yang zalim dan melampau batas, lalu mereka berjaya mengalahkan musuh dan mendapat kemuliaan. Sultan Qutz rebah melakukan sujud yang panjang
kepada Allah. Kemudian beliau mengangkat kepala dengan air mata bercucuran keluar. Beliau berucap kepada tenteranya:

"Wahai tenteraku! Awaslah kamu daripada perasaan takbur terhadap kejayaan yang kamu peroleh. Tetapi bersyukurlah kepada Allah dan tunduklah kepada kekuatan dan kebesaranNya. Siapa tahu, mungkin doa yang diucapkan oleh saudara-saudara kamu di atas mimbar pada hari yang mulia ini, iaitu hari Jumaat dan di bulan Ramadhan yang mulia ini, ketika kamu menyerang musuh-musuh kamu, lebih tajam daripada pedang dan panah yang kamu gunakan untuk menikam dan memanah musuh kamu. Ketahuilah bahawa jihad kamu masih belum berakhir, tetapi kamu baru saja memulakannya, sehinggalah kamu dapat menunaikan hak Islam dengan menghalau musuh-musuhnya daripada seluruh tanah air kamu. "

"Dan pada ketika itu, orang-orang yang beriman bergembira, dengan kemenangan yang diberikan Allah. Dia memberikan kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani." (al-Rum: 4-5)

Alangkah Serupanya Hari Ini Dengan Semalam

Apa yang berlaku hari ini telah berlaku semalam. Tentera Amerika datang berbondong-bondong dan melakukan kerosakan serta pembunuhan. Mereka juga melakukan kepungan untuk meneruskan pemusnahan dan pembunuhan. Contoh yang telah berlaku di Afghanistan lebih daripada amat mendukacitakan. Sebagaimana ia hampir akan berlaku hari ini di Iraq, iaitu satu realiti yang amat memedih dan mencukacitakan. Niat Amerika mahu melakukan perkara yang sama terhadap negara selain Iraq sudah amat jelas kelihatan. Perpecahan dan langkah mundur yang disertai dengan laungan perdamaian telah kita dengar dengan memberikan amaran tentang kekuatan musuh dan kemustahilan untuk menghalang kezaliman mereka, meskipun musuh telah mengisytiharkan bahawa tidak ada sesiapa yang akan terselamat daripada penangannya nanti.

Musuh juga menegaskan bahawa sasaran seterusnya ialah tanah air, negara, sumber kekayaan, para pemimpin dan rakyat negara lain di samping mereka mensasarkan akidah dan identiti ummat Islam. Musuh juga mengatakan mereka akan menyusun semula rumah tangga kita sendiri dalam bentuk yang akan menjamin ketundukan dan kehinaan seluruh bangsa Arab dan ummat Islam. Musuh juga mengisytiharkan bahawa mereka berusaha untuk meluas dan melebarkan kuasa regim Zionis di atas mayat dan runtuhan bangsa Arab dan ummat Islam. Ini dilakukan meskipun ummat Islam memiliki kekuatan, kekuasaan dan keimanan yang mendalam bahawa mereka mampu untuk menolak kezaliman, serta boleh menegaskan kebebasan, kedaulatan, kemegahan dan kemuliaan mereka. Dengan syarat para pemerintah mereka berlaku adil dalam pentadbiran, merubah hala tuju dan kecenderungan, membaiki sendiri rumahtangga mereka, menyusun
semula berdasarkan istiqamah kepada syariat Allah dan sunnah RasulNya, mengukuh dan mengaktifkan keterlibatan peranan rakyat yang akan membawa kepada kemajuan ketika segala hak rakyat dikembalikan kepada mereka.

Rakyat hari ini merasakan bahawa mereka lemah dan tidak mampu untuk menghadapi serangan luar dan lemah untuk membantah ugutan dan amaran Amerika. Mereka juga merasa bahawa jalan sudah tertutup dan menghalang mereka daripada bangkit melaksanakan peranan mereka yang betul. Tiada sebab yang melahirkan perasaan lemah dan kecewa ini melainkan ketika mereka berada jauh daripada manhaj Allah serta hanya mencari penyelesaian daripada mereka yang merampas bumi ummat Islam dan sentiasa melebarkan kekuasaannya. Musuh itu pula hanya mahu merealisasikan jaminan kepentingannya dan kepentingan Zionis meskipun akan mengorbankan kewujudan dan tanah air kita.

Sesungguhnya beriltizam dengan manhaj Allah adalah jalan yang benar dan satu-satunya cara untuk menyusun semula rumahtangga kita kerana hanya dengan cara tersebut keadilan dapat ditegakkan, kezaliman dapat
dihapuskan, kebebasan dapat disebarluaskan, rasuah dapat diperangi, ketelusan dapat diperkukuhkan, harta dan kekayaan negara dapat dipelihara, peranan institusi-institusi dapat dipertingkatkan dan pendapat orang lain dapat dihormati. Ia bermakna rakyat berpindah daripada daerah yang terpencil dan terkepung kepada daerah aktiviti dan kebersamaan daripada kekangan, penyeksaan dan pemusnahan kemanusiaannya kepada kemuliaan, kedaulatan undang-undang dan pengukuhan persaudaraan.

Kemenangan ummat ini dalam pertarungannya menentang serangan Amerika adalah dijamin dengan izin Allah selagimana ummat ini berpegang teguh dengan Islamnya. Ia adalah satu-satunya jalan iaitu dengan para
pemerintahnya mengukuhkan hubungan dengan rakyat untuk mendapat kepercayaan mereka. Di samping itu, para pemimpin juga hendaklah berusaha mencari jalan yang boleh menghilangkan segala perselisihan
yang berlaku di kalangan mereka sehingga hanya wujud perasaan tenang, saling mempercayai dan hubungan yang erat.

Niat hendaklah ikhlas dan hati hendaklah murni.Hendaklah kepentingan ummat sahaja menjadi agenda utama, hendaklah kredibiliti dan keseriusan menjadi asas bagi segala tindakan dan polisi yang diambil. Hendaklah prihatin bahawa kita memulakan langkah di atas landasan yang betul.

Hal ehwal politik hendaklah diperbaiki yang memberikan peluang seluas-luasnya kepada penglibatan rakyat dan kebebasan mereka untuk memilih. Autokrasi dalam membuat keputusan hendaklah dihapuskan. Zaman
meminggir dan memencilkan rakyat hendaklah ditamatkan. Inilah langkah pertama yang seharusnya diambil di seluruh negara kita ketika kita menuju dengan penuh ikhlas menempuh pertempuran yang dipaksakan kepada
kita. Ini perlu dilakukan agar Iraq tidak terlepas daripada kita, agar Palestin tidak diabaikan dan akhirnya pada esok hari, seluruh negara ummat Islam terlepas daripada kita.

Seluruh pemimpin dituntut agar mengadakan pembaikan dalam hubungan mereka dengan tuhan mereka, iaitu dengan memulakannya dengan diri mereka sendiri. Mereka hendaklah melangkah dengan penuh keazaman,
kecekalan, kebenaran, keikhlasan dan ketelusan. Mereka hendaklah menjiwai perasaan rakyat. Mereka hendaklah mempersiapkan agar jalan terbuka untuk rakyat percaya kepada mereka dan seterusnya
berlangsunglah kemenangan dan keselamatan buat semua.

Semua bangsa Arab dan ummat Islam telah bangkit dan keluar ke jalan-jalan melakukan demontsrasi yang besar di setiap negara. Jutaan ummat telah berbondong-bondong keluar di semua ibu negara dengan
melahirkan kutukan dan bantahan mereka terhadap permusuhan Amerika dan keperluan untuk menghadapinya. Di Mesir sahaja, demonstrasi besar-besaran telah berlangsung di jalan-jalan bandar Kaherah bagi menegaskan bahawa Mesir yang pernah menolak daripada menyerah kepada tentera Tartar mampu untuk melaksanakan peranan bersejarahnya sekali lagi dalam menghadapi serangan Amerika dan bahawa bangsa Arab dan ummat Islam yang pernah memperoleh kemenangan semalam mampu untuk
mencapai kemenangan sekali lagi dengan pertolongan tuhannya ketika mereka mencernakan firman Allah SWT yang bermaksud (al-Baqarah: 216):

"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." (al-Baqarah: 216)

Firman Allah lagi yang bermaksud (al-Anfal: 60):

"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya."

Firman Allah lagi yang bermaksud (al-Taubah: 41):

"Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui."


Muhammad al-Ma'mun al-Hudhaibi

Jihad di jalan Allah

Friday, March 12, 2010 0 comments

Al-Ikhwan Al-mulimun dibina dengan jihad fi sabilillah, imam Al-Banna berkata:

“Yang saya maksud dengan jihad adalah kewajiban dari masa lalu hingga hari kiamat, dan pemahaman yang diucapkan oleh Rasulullah saw :

من مات ولم يغزُ ولم ينوِ الغزو مات ميتةً جاهليةً

“Barangsiapa yang mati dan belum pernah berperang dan tidak punya niat untuk berperang maka matinya adalam keadaan jahiliyah”.

Dalam hadith lain disebutkan :

من سمع بي وسره أن يراني فلينظر إلى أشعث شاحب مشمِّر، لم يضع لبنةً على لبنة، ولا قصبةً على قصبة، رفع له علم فشمَّر إليه، اليوم المضمار وغدًا السباق، والغاية الجنة أو النار

“Barangsiapa yang mendengar tentang diriku dan bergembira melihatku maka hendaklah ia melihat orang yang rambutnya kusam (kerana letih), berjuang dan bersungguh, yang tidak meletakkan batu diatas batu bata lainnya, kayu diatas kayu lainnya, yang diangkat dan ditinggikan bendera dan bersungguh-sungguh kepadanya, pada hari itu dia berusaha dan esoknya dia bertarung, dan tujuannya adalah syurga atau neraka”. (Ibnu Hibban dan Thabrani)

Dan kedudukan jihad menurut Al-Ikhwan adalah rukun yang sangat agung setelah dua kalimat syahadat, yang mencakup segala aspek kehidupan dari mulai pertama hingga akhir kehidupan manusia, yang memiliki banyak halaqah dan fasa, dan apapun cabaran yang ada di dalamnya maka boleh jadi tidak mengarah pada tujuan yang dituntut.

Sesungguhnya perjalanan sangatlah panjang, hambatan dan rintangan sangatlah banyak, dan ketergelinciran di dalamnya boleh memberi kesan yang bahaya, sehingga harus ada orang yang berjalan mempersiapkan dirinya dengan sabar dan menguatkan kesabaran, terbiasa menanggung beban dan berkorban, mengeluarkan segala kesusahan dirinya dan menolak segala bisikan syaitan.

Al-Ikhwan berkeyakinan bahawa jihad merupakan suatu yang sangat daruri bagi melestarikan kesejahteraan umat dan menjadikannya sebagai umat yang kuat dan disegani, jauh dari jamahan orang yang tamak; kerana itu Allah mencela orang yang bermalas-malasan dan duduk-duduk tidak mahu berjihad:

“Hai orang-orang yang beriman, Apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) diakhirat hanyalah sedikit”. (At-Taubah:38)

Virus-Virus Ukhwah (1)

Tuesday, March 9, 2010 0 comments


Mencintai sesama mukmin dan mengikat tali ukhuwah (persaudaraan) merupakan suatu perbuatan yang amat mulia dan sangat penting. Allah SWT menyatakan persaudaraan sebagai sifat kaum mukminin dalam kehidupan di dunia dan di akhirat, seperti dalam firman-Nya :


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat” (Al Hujuraat : 10)

Persaudaraan yang terjalin di antara kaum mukmin sesungguhnya merupakan anugerah nikmat yang sangat besar dari Allah SWT. Sebagaimana firman-Nya :


وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا

“Dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliah) bermusuh musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara” ( Ali Imran : 103)

هُوَ الَّذِي أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ . وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan- Nya dan dengan para mu’min, dan yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka” ( Al-Anfaal : 62-63)

Seiring perjalanan waktu, tali ukhuwah yang telah terjalin terkadang mampu mengendur, bahkan putus sama sekali dikeranakan virus-virus yang berjangkit di hati, antara lain :

1. Tamak akan kenikmatan dunia
Banyak berlaku apabila dua orang sahabat yang saling mencintai dengan tulus sehingga masing-masing merasa berat untuk berpisah dari kawannya, tiba-tiba sikap mereka berubah ketika terpesona dengan gemerlap dunia dan berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Apa yang akan kita lakukan seandainya ada peluang rezeki di mana kita dan saudara kita sama-sama memerlukan? Sering terjadi dua orang sahabat saling bersaing demi mendapatkan satu pekerjaan. Di sinilah sifat itsar (mendahulukan saudara) kita diuji.
Sebaik-sebaik sifat itsar adalah yang seperti dilakukan oleh kaum Anshar terhadap kaum Muhajirin sebagaimana diabadikan dalam Al Hasyr : 9 berikut ini.


وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Dan orang-orang yang telah menempati Kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka. Dan mereka tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (orang Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung” (Al-Hasyr:9)

2. Tidak santun dalam berbicara
Hal ini merupakan pintu yang paling berleluasa bagi syaitan untuk masuk menyebar bibit-bibit perselisihan dan permusuhan di antara sahabat. Ramai yang beranggapan, hubungan istimewa yang terjalin dengan sahabatnya membebaskannya dari tutur kata yang sopan.


Contoh gaya bicara kepada saudara kita yang harus dihindari adalah :


a. Berbicara dengan nada suara tinggi dan menggunakan kata-kata kasar

Di dalam Al Qur’an, Allah mengisahkan wasiat Luqman dalam mendidik anaknya :


وَاغْضُضْ مِنْ صَوْتِكَ إِنَّ أَنْكَرَ الْأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ

“Dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara kaldai” (Luqman : 19).

Ali bin Abu Thalib berkata : “barangsiapa lembut tutur katanya, niscaya manusia suka dengannya”.

b. Tida k mendengar saranan saudaranya, enggan menatap ketika berbicara atau memberi salam, tidak menghargai keberadaannya.

Seorang ulama salaf berkata : “Ada orang yang memberitahuku tentang suatu hadits, padahal saya telah mengetahuinya sebelum ia dilahirkan, namun kesopanannya mendorongku untuk tetap mendengarnya hingga selesai.”


Kemuliaan akhlak Rasulullah membawa beliau untuk tetap mndengar dan tidak memotong kata-kata seorang musyrik bernama ‘Utbah. Ketika berhenti, Rasulullah bertanya kepadanya : “Apakah engkau sudah selesai, hai Abul-Walid (panggilan ‘Utbah)?”



c. Bergurau secara berlebihan
Bergurau ringan dalam batas kesopanan dan tidak keluar dari ruang lingkup yang benar akan menambah kelenturan dan kehangatan hubungan ukhuwah. Sebaliknya, gurau yang berlebihan dan melampaui batas kesopanan akan mempercepat kehancuran ukhuwah.


d. Sering berdebat dan membantah
Sering berdebat dan membantah diikuti dengan kesan negatif lainnya seperti menganggap terbaik ideanya, sering mengkritik idea sahabat, tak ambil tahu idea sahabatnya, menggunakan kata-kata pedas yang bernada merendahkan pemahaman, cara berfikir, dan kekuatan penguasaannya terhadap suatu masalah. Sesungguhnya salah satu faktor paling signifikan yang dapat memicu rasa benci dan dengki antara sahabat adalah kebiasaan berselisih/berbantah-bantahan yang seringkali tanpa didasari oleh ketulusan dalam usaha mencari kebenaran. Perselisihan juga terkadang menjebak keduanya dalam pembicaraan mengenai masalah yang masih samar, tanpa hujah yang jelas. Perselisihan juga mendorong salah seorang di antara kedua sahabat tersebut terus berbicara, walaupun tiada hasil yang dicapai, selain memperburukkan lagi hubungan dan mengubah sikap. Sabda Rasulullah :
إِنَّ أَبْغَضَ الرِّجَالِ إِلَى اللَّهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ

Sesungguhnya orang yang paling dibenci oleh Allah adalah orang yang sangat keras kepala dan suka membantah” (HR. Bukhari, Muslim, An-Nasa’i, Tirmidzi, Ahmad)

مَا ضَلَّ قَوْمٌ بَعْدَ هُدًى كَانُوا عَلَيْهِ إِلَّا أُوتُوا الْجَدَلَ

“Tiada kaum yang menjadi sesat setelah mendapat petunjuk kecuali kerana mereka suka saling berbantah-bantahan” (HR. Ahmad, Tirmidzi, Ibnu Majah)

أَنَا زَعِيمٌ بِبَيْتٍ فِي رَبَضِ الْجَنَّةِ لِمَنْ تَرَكَ الْمِرَاءَ وَإِنْ كَانَ مُحِقًّا

“Aku adalah penghulu (kepala) rumah di taman surga – yang diperuntukkan – bagi orang-orang yang menghindari perdebatan (perselisihan) , sekalipun dalam posisi yang benar” (HR. Abu Dawud)

e. Kritikan keras yang melukai perasaan
Salah satu faktor yang dapat merosakkan suasana pembicaraan dan hubungan ukhuwah adalah menyerang dengan kritikan bernada keras atau kritikan yang tidak argumentatif. Seperti ungkapan : “Semua yang kamu katakan adalah salah, tidak memiliki dalil yang menguatkan.” Atau : “Kamu tidak bersependapat dengan saya.”

Jika antum seorang yang beretika baik, seharusnya yang antum katakan adalah : “Beberapa sisi dalam pendapatmu itu perlu dipertimbangkan lagi”, “Menurut hemat saya….”, “Saya mempunyai idea lain, harap antum menyemaknya dan memberi penilaian”, dan ungkapan-ungkapan serupa lainnya.


Bersambung...


Oleh: Abu ‘Ashim Hisyam bin Abdul Qadir ‘Uqdah


 
Tarbiyah Pewaris © 2011 | Designed by RumahDijual, in collaboration with Online Casino, Uncharted 3 and MW3 Forum