Video

Manusia Meninggalkan Dakwah

Sunday, August 30, 2009


Beberapa Halangan Di Atas Jalan Yang Kita Lalui (1)

Manusia Meninggalkan Dakwah


Rintangan pertama di jalan dakwah yang dihadapi oleh para duat ialah manusia berpaling dari mereka dan tidak mempedulikan mereka kecuali yang telah diberi hidayat oleh Allah. Sekiranya dugaan-dugaan sedemikian rupa membuat mereka merasa susah, melemahkan keazaman mereka dan mereka tidak berpuas hati dengan sambutan yang telah diperolehi, maka dia telah gagal di permulaan jalan dakwah. Janganlah diharapkan lagi mereka ini untuk meneruskan jalannya bersama angkatan para pendokong dakwah kepada Allah.


Wajiblah setiap orang yang melalui jalan dakwah ini mempersiapkan dan memantapkan dirinya di atas jalan dakwah, walau bagaimana susah pun. Dia mestilah dapat memahami bahawa untuk mendapat sambutan dan mencapai hasil yang memuaskan bukanlah satu perkara yang mudah kerana pendokong dakwah itu menyeru manusia kepada perkara yang berlainan dengan kehendak nafsu mereka, mengajak mereka meninggalkan beberapa kepercayaan yang sesat dan berbagai-bagai adat lapuk jahiliah.


Lantaran itu, para da'i mestilah bersabar dan terus bersabar dalam menyampaikan dakwah walaupun berpaling daripadanya atau tidak memberi perhatian terhadap dakwahnya. Kita mengambil teladan dan qudwah hasanah pada diri Rasulullah s.a.w. di dalam urusan dakwah ini kerana baginda adalah manusia yang paling tinggi, ideal dan paling mulia bagi para pendokong yang menyeru manusia pada jalan Allah. Dari sirah Rasul, kita dapati baginda terus menawarkan diri dan dakwahnya kepada kabilah-kabilah dan suku-suku bangsa Arab di pasar-pasar walaupun mereka berpaling dari baginda malah mereka mempersenda-senda dan menganggu baginda. Baginda juga merantau ke beberapa tempat yang jauh dan mengalami berbagai-bagai kesulitan semasa menyampaikan dakwah Islam.


Kita juga dapat mengambil teladan yang baik di dalam pengertian ini dari kisah-kisah yang dihidangkan oleh Al-Quran tentang bagaimana unggulnya kesabaran nabi Nuh a.s. dalam menyeru kaumnya kepada agama Allah. Dia sanggup bertahan dalam menyeru mereka kepada Allah selama 950 tahun walaupun mereka berpaling daripada baginda mengganggu baginda. Firman Allah:


“Nuh berkata: 'Ya Tuhan ku sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang maka seruanku itu hanyalah menambah meraka lari (dari kebenaran). Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada iman) agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jari mereka ke dalam telinganya dan menutupkan bajunya (ke mukanya) dan mereka tetap (mengingkari) dan menyombongkan diri dengan sombongnya. Kemudian sesungguhnya aku telah menyeru mereka kepada iman dengan terang-terangan kemudian sesungguhnya aku (menyeru) mereka (lagi) dengan terang-terangan dan dengan cara rahsia". (Nuh: 5-9)


Demikianlah kesungguhan dan kesabaran nabi Nuh tatkala menyeru kaumnya kepada Allah siang dan malam, secara rahsia dan terang-terangan tanpa jemu dan putus asa. Kita juga mendapat ibarat dan pengajaran dari kisah nabi Yunus; dengan kaumnya. Dia meninggalkan kaumnya dengan perasaan kerana mereka berpaling daripadanya dan tidak menyambut seruannya lalu Allah memberikan pengajaran kepadanya (ditelan ikan Nun). Ini juga iktibar dan pengajaran kepada para pendokong dakwah kepada Allah.


"Kewajipan Rasul tidak lain hanyalah menyampaikan". (Al-Ma'idah: 99)


Para duat ilal Allah diwajibkan menyampaikan dakwah Islam kepada manusia. Mereka tidak dipertanggungjawabkan akan keberhasilannya dan hanya Allah s.w.t. sahaja yang berkuasa memberi hidayah.


"Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi hidayah kepada seorang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi hidayah kepada orang yang dikehendakiNya". (Al-Qasas: 56)


Wahai saudara tatkala kamu menyeru manusia kepada Allah dan orang itu menerimanya dengan segera, itu adalah semata-mata kerana kurniaan Allah. Sebaliknya jika dia menolak dakwah dan berpaling darimu mungkin pada satu hari kelak dia teringat apa yang telah kamu serukan kepadanya lalu dia sedar dan kembali kepada jalan Allah dan saudara hanyalah menjadi faktor penyebab kepada hidayahNya. Sekiranya dia terus mabuk di dalam kesesatannya dan kebodohannya walaupun kamu telah memberikan berbagai hujah di atasnya maka kamu telah

menunaikan kewajipan kamu terhadapnya.


Kita mestilah menyedari hakikat bahawa orang yang kita seru kepada Allah dan kebaikan itu sebenarnya sedang berada di dalam keadaan lupa dan lalai. Oleh itu mereka tidak sedar dan tidak insaf. Orang seperti itulah yang utama diseru dan diberi peringatan sehingga mereka sedar dan ingat kembali. Janganlah kita menyangka bahawa sambutan mereka yang pertama kepada dakwah telah mencukupi dan memadai untuk meneruskan dan mengekalkan kesedaran mereka terhadap tugas mereka kepada Allah dan kepada Islam supaya mereka terus berjalan di atas sirat almustaqim.


Sekiranya kamu membiarkan mereka beberapa ketika tanpa peringatan, pendidikan dan tanpa bimbingan seterusnya berkemungkinan mereka akan kembali semula kepada suasana lupa dan lalai. Lantas kita menyangka bahawa mereka telah berpaling dari kita dan dari dakwah Islam padahal pada hakikatnya, kitalah yang melupakan mereka dan mencuaikan mereka. Jadi kitalah sebenarnya yang bersalah.


0 comments:

 
Tarbiyah Pewaris © 2011 | Designed by RumahDijual, in collaboration with Online Casino, Uncharted 3 and MW3 Forum