Video

ITTISAL FARDHI - HUBUNGANNYA DENGAN TARBIYYAH

Wednesday, August 19, 2009


Dalam memperkatakan Ittisal Fardhi, marilah kita sama-sama merenungi Firman Allah s.w.t :

Terjemahannya :-


Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling (kepada pembesar Quraisy), kerana telah datang seorang buta (Abdullah Bin Ummu Maktum) kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa) atau ia (ingin) mendapatkan pengajaran, Lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya?. Adapun orang yang merasakan dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya. Padahal tiada (celaan) ke atasmu kalau ia tidak membersihkan diri (beriman). Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran), sedang ia takut (kepada Allah), maka kamu mengabaikannya. Sesekali jangan (demikian), Sesungguhnya ajaran Tuhan itu satu peringatan, maka barangsiapa yang mengkehendaki, tentulah ia memperhatikannya, di dalam kitab-kitab yang dimuliakan, yang ditinggikan lagi disucikan, di tangan para penulis (utusan) yang mulia lagi berbakti.

( Surah ‘Abasa : 1-16 )


Ayat ini diturunkan oleh Allah s.w.t sebagai teguran kepada sikap Rasulullah s.a.w terhadap Ibn Maktum, seorang sahabat yang buta, yang mengharapkan agar baginda membacakan kepadanya wahyu yang telah diterima dari Allah s.w.t. Ketika itu Rasulullah s.a.w sedang berbicara dengan pemuka-pemuka Quraisy dan baginda berharap agar mereka menerima Islam.

Dari ayat tersebut menunjukkan kepada kita cara Allah s.w.t telah mentarbiyyah Rasul Nya untuk melaksanakan Ittisal Fardhi, walaupun Ibn Maktum seorang yang buta, tetapi beliau telah ikhlas datang kepada Rasulullah s.w.t untuk menerima Islam.


Ittisal Fardhi atau perhubungan individu adalah merupakan muqaddimah kepada Tarbiyyah dan Dakwah Islamiyyah. Dalam usaha kita memperjelaskan Islam dalam bentuk praktik kepada masyarakat, kita perlu mengadakan hubungan individu secara rasmi. Dalam melaksanakan ini individu-individu mestilah jelas bahawa ia mewakili Jamaah Islam. Segala yang bersifat peribadi tidak menonjol padanya.


Hubungan ini mesti berterusan dan memakan masa yang lama agar kita dapat melihat setiap perkembangan yang berlaku ke atas orang yang kita hubungi. Setiap hubungan adalah dirancangkan tanpa pengetahuan orang yang dihubungi.


Ittisal Fardhi adalah gerak kerja Islam yang perlu untuk mencapai matlamat Tarbiyyah Islam. Hanya dengan ini sahajalah kita dapat mengetahui hati-hati yang ikhlas, yang boleh dibawa masuk ke dalam Proses Tarbiyyah Islamiyyah Harakiyyah.


Ittisal Fardhi dilaksanakan berdasarkan suasana orang yang kita hubungi. Misalnya di dalam suasana kampus, kita boleh berziarah, belajar bersama, membeli belah bersama, makan bersama dan sebagainya. Manakala bagi mereka yang berjauhan kita boleh menulis surat atau berhubung melalui telefon.


Marilah kita kembali kepada sirah sahabat Rasulullah s.a.w , generasi awal. Suatu hari, pada awal Islam, seorang sahabat muda bernama Abu Zar al Ghifari telah memasuki Makkah dengan tujuan untuk mengenali Muhammad dan risalah yang dibawa oleh baginda. Beliau terus menuju ke Kaabah dan duduk di situ sambil memerhatikan orang ramai. Ada yang di antara mereka beliau tanyakan tentang Muhammad, tetapi tiada seorangpun yang mengetahui di mana baginda berada. Ketika itu Sayyidina ‘Ali sedang memerhatikan beliau. ‘Ali terus menuju kepada beliau dan bertanyakan khabar, tanpa menyentuh sesuatu tentang Islam. Abu Zar dijamunya dengan makanan. Perkara itu berlaku selama tiga hari. Pada setiap kali ‘Ali hendak pulang maka Abu Zar akan bertanyakan tentang Muhammad, ‘Ali tetap tidak menjawab. Pada hari ketiga maka ‘Ali mengajak Abu Zar ke markaz Arqam bin Abi Arqam. Abu Zar disuruh berjalan kemudian agar tidak membahayakan dirinya, kerana dirisaukan akan menerima bahawa dari hubungannya dengan Muhammad s.a.w dan Abu Zar dapat bertemu Muhammad s.a.w dan beriman dengan baginda.


Di sini dapat kita perhatikan bahawa cara Sayyidina ‘Ali mengambil masa untuk mengenali hati Abu Zar serta memperkenalkan kepada Syaksiyyah Islamiyyah yang merupakan keperluan asas dalam Ittizal Fardhi.


Sebagai contoh keberkesanan Ittisal Fardhi, maka kita ambil contoh apa yang berlaku kepada saudara kita di dalam Ikhwan Muslimin.


Seorang pemain kugiran mengenali seorang Murabbi Ikhwan. Beliau mengingatkan rakan-rakan beliau yang lain agar jangan mengadakan hubungan dengan Murabbi tersebut. Tetapi salah seorang ahli kugiran tersebut merasakan sesuatu dengan peringatan tersebut. Maka pada suatu hari, digagahkan juga untuk bertemu dengan Murabbi tersebut dan beliau tertarik dengannya. Murabbi tersebut tidak langsung menyentuh tentang Islam. Malahan beliau diajak minum dan berbual tentang dirinya. Akhirnya ahli kugiran tersebut diberikan oleh Allah s.w.t petunjuk dan hiddayah Nya sehingga beliau terus putus dengan kumpulan kugirannya . Beliau akhirnya menjadi seorang Muazzin di sebuah masjid di Mesir.


Wallah hu a’alam.

0 comments:

 
Tarbiyah Pewaris © 2011 | Designed by RumahDijual, in collaboration with Online Casino, Uncharted 3 and MW3 Forum