Video

Kenali Dr. Sayyid Nuh

Tuesday, January 27, 2009

Kenali Dr. Sayyid Nuh. Beliau adalah pengarang silsilah buku Afat ala Toriq (halangan di jalan dakwah) dan banyak lagi karangan-karangan lain yang berharga di dalam bidang dakwah. Beliau adalah seorang ulama’ hadis dan aktivis dakwah jemaah Ikhwan Muslimin kelahiran Mesir. Lahir di Mahallah Kubra dari keluarga petani dan menuntut di al-Azhar sehingga ke peringkat PhD.

Ulama’ lulusan Kuliah Usuluddin, Universiti al-Azhar ini mendapat ijazah pertamanya pada tahun 1971. Pada tahun 1973 beliau berjaya meraih kejayaan cemerlang mendapat ijazah Sarjana dengan tesis bertajuk ‘Perkahwinan Rasulullah s.a.w. dengan Zainab binti Jahsy; menolak tohmahan sekitar perkahwinan itu berdasarkan manhaj golongan muhadissin’. Seterusnya berjaya mendapat ijazah Doktor Falsafah dengan tesis bertajuk ‘Al-Hafiz Abu al-Hajjaj Yusof al-Mazzi dan kesungguhannya di dalam penulisan Tahzib al-Kamal’.

Menjadi pensyarah ilmu hadis di Universiti al-Azhar sebelum bertugas sebagai pensyarah pelawat di Universiti Qatar pada 1981-1982. Selepas itu beliau bertugas di Emirate di Universiti Emirate mulai tahun 1982 sehingga 1991. Subjek yang diajarnya pada kali ini adalah tafsir dan hadis. Pada tahun 1991-1993 bertugas di Kuliah Perubatan Dubai. Pada 1993 pula beliau berpindah ke Kuwait, menjadi pensyarah di Kuliah Syariah dan mengajar subjek hadis sebelum menjadi Ketua Jabatan Tafsir dan Hadis di Universiti Kuwait. Menyelia banyak tesis Master dan PhD.

Aktif dengan tugasannya di universiti selain aktif menjadi khatib di masjid-masjid. Aktif juga menyampaikan pengajian bersiri di radio Kuwait bertajuk ‘Usaha ulama’ Islam di dalam bidang hadis’. Selain dari itu beliau adalah salah seorang penulis yang aktif untuk majalah Mujtama’ dan Wa’yu Islami (kedua-dua majalah ini adalah antara majalah yang paling luas pasarannya di negara-negara Arab). Banyak kali dijemput untuk memberikan ucapan dan membentangkan kertas kerja di dalam mu’tamar dan nadwah. Mengajar secara tetap di beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan di Kuwait.

Dr. Sayyid Nuh sememangnya seorang penulis yang hebat yang menghasilkan lebih dari 20 buah buku. Di antara buku tulisannya yang menjadi rujukan penting anggota Ikhwan Muslimin adalah silsilah ‘Halangan-halangan di jalan dakwah’, silsilah ‘Petunjuk Nabi di jalan dakwah’, ‘Peribadi muslim di antara sifat fardiah dan sifat jama’ieah’ dan ‘Dakwah fardiah berdasarkan manhaj Islam’.

Pada 30 Julai 2007 yang lepas, Dr. Sayyid Nuh telah meninggalkan kita semua setelah menderita sakit selama beberapa tahun. Pemergian Dr. Sayyid Nuh sama seperti yang digambarkan oleh hadis Rasulullah s.a.w.: “Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan cara menghilangkannya dari manusia. Sebaliknya Allah mencabut ilmu dengan cara mematikan para ulama’.”

Di akhir hayatnya Allah menguji beliau dengan penderitaan bengkak hati dan kanser. Beliau menceritakan kepada kita kisahnya dengan kata-katanya:

“Pada satu malam daripada malam-malam kesakitan, saya berdoa kepada Allah agar Allah melepaskan saya dari penderitaan ini dan memberikan saya kerehatan tidur. Ketika saya berdoa, tiba-tiba mengantuk menguasai saya. Beberapa orang datang kepada saya. Saya mendengar suara mereka tetapi tidak dapat melihat mereka. Mereka berkata kepada saya: “Tidurlah.” Saya benar-benar tertidur selama setengah jam. Apabila saya bangun kembali, saya berasa seolah-olah saya sudah tidur selama beberapa hari. Ini adalah pemberian Allah dengan keberkatan doa di tengah malam.

Saya berada di ICU selama seminggu. Apa yang menggusarkan saya adalah ‘apa yang akan saya katakan kepada Allah esok. Saya cuai menjaga tubuh badan dan kesihatan sehingga membawa kepada keadaan yang menakutkan ini. Bahkan saya amat takut jika Allah menghukum saya sehingga saya tidak mampu mengucapkan dua kalimah syahadah ketika di ambang maut, lalu saya akan kerugian dunia dan akhirat.

Beberapa kali saya merayu Allah agar mengampunkan saya dan mengakhiri hayat saya dengan iman. Saya memberikan satu janji kepada Allah bahawa jika saya disembuhkan pada kali ini, saya akan menjadikan penjagaan tubuh badan dan kesihatan saya di tempat-tempat utama di samping perkara-perkara lain di dalam hidup saya. Dengan itu saya akan melaksanakan keseimbangan dan penyempurnaan yang diseru oleh syariat.

Saya teringat kembali bahawa saya pernah menyeru manusia betapa perlunya mereka mencurahkan sehabis tenaga untuk memenuhi tuntutan sunnah alam dan jiwa. Allah akan memberikan alam kepada sesiapa yang menuntutnya dengan sungguh-sungguh. Orang bukan Islam telah menuntutnya. Manakala hanya sebahagian kecil sahaja dari orang Islam yang menuntutnya. Allah memberikan dunia kepada orang bukan Islam. Majoriti umat Islam hanya berdiam diri maka Allah tidak memberikan dunia kepada mereka. Mereka bergantung kepada orang bukan Islam di dalam urusan dunia. Allah memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya. KepadaNyalah kembali semua urusan.

Saya mendapatkan rawatan di Pusat Rawatan Hati di Mesir. Ia dipilih kerana pusat itu mempunyai kerjasama dengan doktor-doktor pakar dari Jepun dan Eropah. Sebuah pusat rawatan membina nama dan kedudukannya melebihi pusat rawatan yang lain dengan kerjasama doktor-doktor asing!!! Alangkah ruginya dan alangkah menyayat hati ketika melihat umat pemimpin kemanusiaan sampai di tahap ini, sedangkan doktor-doktor asing itu sebenarnya mempelajari ilmu perubatan dari Andalus.

Adakah Mesir mandul? Adakah negara Arab juga mandul? Adakah seluruh negara Islam mandul dan tidak mampu melahirkan pakar-pakar perubatan gergasi di dalam bidang pembedahan hati? Adakah ini semua berpunca dari kedunguan anak-anak umat ini? Adakah ini berpunca dari kekurangan peralatan dan material untuk melakukan pembedahan? Bayangkan! Ia tidak berpunca dari itu atau ini.

Ianya berpunca dari perpecahan yang menimpa umat pada peringkat antarabangsa dan tempatan, pada peringkat kerajaan dan rakyat. Ditambah dengan kelemahan iman dan penguasaan cinta dunia pada sebahagian besar umat ini. Setiap orang berkata: “Diriku. Diriku.” Ia juga berpunca daripada kelemahan pimpinan dan kesibukan mereka dengan dunia mereka. Dunia melalaikan mereka dari menjaga maslahat umat dan memberikan penghormatan kepada ulama’ serta memberikan galakan kepada mereka.”

Beliau amat mengambil berat isu-isu umat Islam. Di akhir hayatnya di Kuwait, beliau telah memberikan wasiat kepada anak-anaknya dan rakan-rakan dakwah yang menziarahinya di saat-saatu akhir kehidupannya. Topik yang menjadi pilihan beliau untuk diisi di dalam wasiat ini adalah al-Quds menunjukkan betapa isu umat menjadi kerunsingannya sehingga ke saat akhir hayatnya.

“Saya berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Saya naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, Penolong orang-orang soleh. Saya naik saksi bahawa Muhammad adalah penghulu para Nabi dan ketua golongan muttaqin. Ya Allah, selawat dan salam dan berkatilah Muhammad, Nabi yang buta huruf, seluruh keluarganya, seluruh sahabatnya, orang-orang yang melalui jalannya dan para pendakwah sehingga ke hari kiamat.

Saya mengalu-alukan salam Islam kepada kamu semua wahai saudara-saudaraku. Ia adalah salam dari Allah. Ia adalah salam yang baik dan diberkati. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya menasihatkan diri saya dan diri kamu. Marilah kita memuji Allah atas kemuliaan yang Allah kurniakan kepada kita dan kedudukan yang Allah letakkan kita di atasnya.

Beruntunglah kita kerana Allah menjadikan kita saksi kepada keesaan dan kesempurnaanNya selepas persaksianNya dan persaksian malaikatNya.

“Allah menjadi saksi (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Aali Imran: 18).

Beruntunglah kita kerana hanya kita sahaja yang diikiraf oelh Allah sebagai golongan yang takutkanNya.

“…sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.” (Fathir: 2 8)

Beruntunglah kita “… Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.” (Al-Mujadilah: 11)

Ini semua kita perolehi kerana kita menunaikan amanah yang Allah campakkan ke atas kita.

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Baqarah: 159-160)

Al-Aqsa adalah amanah di atas leher umat ini bermula sejak peristiwa Rasulullah s.a.w. isra’ dan mikraj. Ia adalah amanah yang kita tanggung dan kita masih menanggungnya. Sebarang kecuaian di dalam amanah ini akan membuka pintu kejahatan yang tiada batasnya di dunia. Ada pun di akhirat kita akan ditanya oleh Tuhan, Empunya segala kemuliaan tentang ilmu yang kita ketahui dan kewajipan kita terhadap al-Aqsa.

“Demi Tuhanmu! Kami akan menyoal mereka semuanya (pada hari kiamat kelak) terhadap apa yang mereka ketahui.” (Al-Hijr: 92).

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Tidak akan berganjak kedua-dua kaki seorang hamba di hari kiamat sehingga ditanya tentang empat perkara; Tentang umurnya ke mana dihabiskan? Tentang masa mudanya ke mana dihabiskan? Tentang hartanya dari mana hasilnya dan ke mana dibelanjakan? Tentang ilmunya apa yang diamalkan dari ilmu itu.” (Riwayat Tobroni)

Saya berharap agar kamu meletakkan perhitungan terhadap apa yang akan saya katakan. Saya tahu kamu mengetahuinya tetapi saya hanya ingin mengingatkan sahaja.

Saya mengingatkan kamu semua tentang kewajipan menerangkan kepada manusia nilai al-Aqsa, kedudukannya di dalam jiwa umat dan kewajipan umat terhadapnya. Jangan jemu jika kamu terpaksa memberikan ceramah sekali atau dua kali atau tiga kali, khutbah sekali atau dua kali atau tiga kali dan kelas pengajian sekali atau dua kali atau tiga kali. Apa yang penting adalah kamu mesti bersungguh-sungguh menerangkan isu ini sehingga manusia mengetahui nilai al-Aqsa.

Kamu mesti menerangkan kepada manusia bahaya yang menunggu jika kita kehilangan al-Aqsa dan Palestin. Pintu kejahatan akan terbuka. Negara, harta, jiwa dan maruah umat Islam akan dicabuli di hadapan musuh perampas yang tidak akan merahmati sesiapa pun. Umat Islam mesti memahami bahaya tersebut. Selagi mana mereka tidak memahaminya, mereka tidak akan bergerak dan tidak akan bangun menunaikan tanggungjawab mereka.

Perlu disedarkan para pemerintah. Mereka adalah orang-orang yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap diri mereka dan diri anak-anak umat ini dan terhadap bumi yang suci. Tanggungjawab mereka berat di hari kiamat nanti. Mereka perlu bersegera menunaikan tanggungjawab ini. Kita perlu mengingatkan mereka bahawa walau pun mereka berlembut dan berdiplomasi dengan musuh dan mengorbankan agama ini, akhirnya mereka akan dipijak juga oleh kaki musuh. Itu yang akan berlaku selagi mana mereka tidak kembali kepada agama Allah dan tidak berusaha untuk memelihara bumi yang suci ini.

Saudara-saudara kita mesti berkata kepada umat Islam: “Tunjukkan kemarahan anda sekarang.” Jika kemarahan ini tidak ditunjukkan sekarang, bila ianya akan ditunjukkan? Demonstrasi adalah hak yang dibenarkan bagi semua bangsa di dunia. Umat Islam mesti menunjukkan kemarahan mereka. Bukan sekadar emosi yang akan mati selepas sehari dua, tetapi kemarahan yang didasari oleh hujah dan bukti. Kita akan terus teguh begini sehinggalah para pimpinan sedar dan akan bangkitlah orang-orang yang tidur, pemalas dan manusia yang lalai dari kalangan umat ini memainkan peranan mereka. Demi Allah jika kita berterusan menunjukkan pendirian kita dan berdiri teguh, tidak ada jalan lain bagi musuh selain dari mengubah pendirian mereka. Musuh ini tidak akan mampu dikalahkan kecuali dengan kekuatan. Inilah kekuatan yang terbesar. Kekuatan ini melebihi kekuatan peluru berpandu dan bom. Umat mesti berdiri teguh. Musuh akan tahu dengan siapa mereka berhadapan dan berinteraksi jika umat menunjukkan kemarahannya.

Kita juga perlu mengingatkan umat tentang kewajipan mereka memberikan sumbangan kewangan untuk membangunkan kawasan ini dan sebagai duit sara hidup pejuang-pejuang yang mempertahankannya. Di sana terdapat sekelompok manusia yang mana bangun dan tidur mereka tidak ada perkara lain yang mereka fikirkan kecuali untuk mempertahankan al-Aqsa dengan jasad dan ruh mereka. Kepentingan peribadi mereka terabai. Tiada apa yang mereka lakukan untuk anak-anak dan keluarga mereka. Semua ahli keluarga bersabar menanggungnya dan berkorban untuk itu. Mereka memerlukan wang. Kita perlu mengingatkan umat tentang kewajipan mereka untuk memberi sumbangan kewangan. Bahkan sebenarnya ia bukan sumbangan, sebaliknya ia adalah kewajipan kewangan. Sesungguhnya setiap orang Islam wajib mempertahankan agama Allah dengan dua perkara; nyawanya dan hartanya. Jika dia tidak mampu mempertahankan dengan nyawanya, lakukanlah denga hartanya dan gantikanlah bahagian nyawa tersebut dengan sumbangan tambahan harta yang lain. Dengan itu wajib ke atasnya dua bahagian; bahagian harta yang sepatutnya dan bahagian harta yang menggantikan bahagian nyawanya.

Mereka perlu mengingatkan semua orang Islam agar berdoa. Ambillah satu malam dari seminggu. Duduklah dan berdoa kepada Allah. Samada kanak-kanak atau orang tua. Samada orang-orang yang sihat atau orang-orang yang sakit, orang tua dan uzur. Berkumpullah selepas berbuka puasa. Selepas itu mereka solat dan berdoa moga Allah mengeluarkan umat dari bencana ini dan moga musuh Allah yang menyangka bahawa mereka raja dunia dan segala isinya serta lupa kekuatan Allah akan menerima balasannya

“Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang membinasakan kaum Aad yang pertama (kaum Nabi Hud).” (Al-Najm: 50).

Ayat ini menunjukkan adanya kaum Aad kedua, ketiga dan keempat. Allah maha berkuasa atas segala sesuatu.

“Adapun kaum Aad, maka mereka berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar, serta berkata: “Siapakah yang lebih kuat dari kami?” dan (mengapa mereka bersikap demikian?) tidakkah mereka memerhatikan bahawa Allah yang menciptakan mereka (dari tiada kepada ada) adalah lebih besar kekuatanNya dari mereka? dan sememangnya mereka sengaja mengingkari tanda-tanda kekuatan Kami (sedang mereka sedia mengetahuinya).” (Fushilat: 15)

Saya berdoa kepada Allah wahai saudara-saudara sekelian agar kalimat ini memberikan manfaatnya. Moga-moga Allah menerima amalan kita, memaafkan kesalahan dan mengampunkan segala dosa.

Saya sudahi kata-kata ini dan saya memohon ampun dari Allah bagi diri saya dan kamu semua. Selawat dan salam ke atas Muhammad, keluarga dan sahabatnya. Segala puji bagi Allah. Moga-moga Allah membalas kebaikan kepada kamu semua.”

0 comments:

 
Tarbiyah Pewaris © 2011 | Designed by RumahDijual, in collaboration with Online Casino, Uncharted 3 and MW3 Forum