Video

TUJUH MARHALAH DA’WAH FARDIYAH (Bahagian 3)

Thursday, December 18, 2008

MARHALAH KELIMA: MENGHAYATI HIDUP DAN MEMAHAMI PENGERTIAN UMMAH



Di tahap ini diperjelaskan kepada mad’u bahawa din Islam adalah din jama’i. Islam adalah sistem kehidupan, hukum, perundangan, kenegaraan, jihad dan kesatuan ummat. Pemahaman terhadap perkara ini akan mendorong beliau bersedia memikul segala kewajipan dan tanggungjawab semata-mata kerana Allah Subhanahuwata’ala agar masyarakat berdiri di atas prinsip-prinsip Islam dalam segala aspek kehidupan. Maka:

1) Beliau dijelaskan bahawa tidak mencukupi dengan hanya menjadi muslim untuk diri sendiri sahaja.

2) Beliau perlu sedar bahawa Islam adalah merangkumi urusan-urusan jama’ah dan masyarakat. Islam merupakan sistem hidup yang lengkap dan sempurna serta penuh dengan ni’mat dan keredhaan Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:


Bermaksud: Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu dinmu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku ridha Islam itu menjadi din bagimu.

(Surah Al-Maidah : 3)

3) Beliau mestilah dapat merasai kesempurnaan dan segala ni’mat Allah Subhanahuwata’ala ini. Rasa hatinya ditingkatkan dengan kefahaman, kesedaran dan keyakinan.

4) Di atas dasar rasa hati sebegini, maka dia mula faham bahawa dia hendaklah terlibat dengan berusaha, berjuang dan menyampaikan berita gembira dan peringatan-peringatan Allah Subhanahuwata’ala kepada manusia lain.

5) Dia merasai bahawa dia tidak boleh hidup sebagai seorang muslim dengan keIslaman yang sahih dan sempurna jika dia mengasingkan dirinya dari saudara-saudara muslimnya yang lain dan tidak memperdulikan segala apa yang terjadi terhadap mereka - segala gangguan, fitnah dan serangan musuh terhadap mereka. Musuh-musuh Allah Subhanahuwata’ala datang dari berbagai sudut dan ceruk rantau bumi ini untuk menyerang umat Islam. Firman Allah Subhanahuwata’ala:


Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah, jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim.

(Surah al-Baqarah : 193)



Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

من لم يهتم للمسلمين فليس منهم


Barangsiapa yang tidak memperdulikan urusan muslimin, maka dia bukanlah dari golongan mereka


6) Dia mula merasai bahawa kita adalah sahabat dia. Tugas dan tanggungjawab kita adalah tugas dan tanggungjawab dia.

7) Dia mula merasai tanggungjawab ‘am terhadap Islam dan kaum muslimin.

8) Dia mula beransur-ansur keluar daripada pengasingan sekularnya, memecahkan tempurungnya dan menghapuskan kongkongannya.

9) Seterusnya dia dapat hidup di dalam Islam secara jama’i.

10) Di tahap ini dia perlu diperjelaskan tentang tuntutan da’wah Islamiyyah pada masakini, iaitu:

a) Wajib berusaha bersungguh-sungguh untuk membangunkan daulah Islamiyyah.

b) Wajib mengetahui tipu helah musuh Islam yang sentiasa ingin menghancurkan umat Islam.

c) Wajib mengetahui tentang bencana yang menimpa umat Islam hari ini.

d) Wajib mengetahui tentang perpecahan di kalangan umat Islam.

e) Wajib sedar bahawa anak-anak orang Islam telah lama dibentuk mengikut cara yang bukan Islam yang bertujuan untuk mengukuhkan sistem hidup bukan Islam.

f) Wajib sedar bahawa musuh-musuh Islam telah lama merosakkan kehormatan orang Islam dan wanitanya.

g) Wajib sedar bahawa hanya Daulah Islamiyyah sahaja yang mampu menyerang balas sepenuhnya anasir-anasir jahat dan musuh-musuh Islam. Hanya daulah yang mampu menyatupadukan umat dan melaksanakan ajaran Islam yang lengkap. (Konsep Daulah Islamiyah ialah bercontohkan Daulah Islamiyah yang dibina oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam).

h) Tanggungjawab ini tidak boleh diserahkan kepada umara’ (pemerintah) dan ulama’ sahaja, bahkan ia menjadi tanggungjawab bagi setiap lelaki dan wanita Islam di zaman kebangkitan da’wah ini.

i) Seluruh muslimin, di mana jua, akan menanggung dosa besar, sekiranya mereka tidak berusaha dan bekerja untuk membangunkan Daulah Islamiyah.

j) Semoga dia mula berfikir dengan bersungguh-sungguh dan mencari jalan untuk menunaikan amanah dan masuliyyah ini serta melaksanakan segala tuntutannya.



MARHALAH KEENAM: MEMAHAMI KEPERLUAN BERJAMA’AH


Di tahap ini, kita menjelaskan kepada mad’u bahawa semua kewajipan yang dinyatakan di atas tidak mungkin dapat dilaksanakan secara individu. Bahkan, sebuah jama’ah diperlukan untuk menggabungkan semua potensi dan kekuatan bagi memikul tanggungjawab tersebut. Oleh itu mad’u dibimbing agar:

1) Memahami hahawa kewajipan membangunkan Islam tidak dapat dilaksanakan secara fardhi (secara individu).

2) Memahami bahawa jama’ah adalah satu kemestian demi untuk menyatupadukan segala usaha fardhi. Mad’u perlu memahami usaha secara jama’i adalah (berorganisasi) berdasarkan kaedah Islam yang terkenal:

ما لا يتم الواجب الا به فهو واجب

Bermaksud: Bahawa sesuatu yang wajib tidak akan terlaksana melainkan terlebih dahulu melalui suatu jalan tertentu, maka suatu jalan yang tertentu itu juga menjadi wajib.

Membangunkan daulah Islam adalah wajib. Daulah Islam tidak dapat dibangunkan melainkan terlebih dahulu diwujudkan jama’ah Islam yang kuat, maka mewujudkan jama’ah Islam yang kuat itu adalah wajib.



Bagaimana mungkin kerja Islam yang besar dapat dilakukan secara individu?. Bagaimana mungkin syari’at Allah Subhanahuwata’ala akan terlaksana kalau tidak dibangunkan satu ummah yang bersedia untuk melaksanakannya?. Ini adalah persoalan-persoalan pokok.

Banyak di kalangan orang Islam sudah tidak menyedari keperluan untuk menggabungkan diri di dalam jama’ah Islam dalam rangka untuk menegakkan syari’at Allah Subhanahuwata’ala. Mereka telah ditipu oleh berbagai helah musuh dan digoda dengan berbagai tarikan musuh. Mereka takut untuk bergabung dengan jama’ah Islam kerana mereka berpendapat itu adalah satu bebanan hidup.

Bagi jiwa yang sedar, penggabungan ke dalam jama’ah Islam adalah untuk menyahut panggilan Allah Subhanahuwata’ala, sebagai wasilah untuk memikul amanah Allah Subhanahuwata’ala, sebagai tanda kesyukuran kepada Allah Subhanahuwata’ala dan sebagai usaha untuk mendapatkan ganjaran yang hakiki daripada Allah Subhanahuwata’ala.

3) Sedar bahawa kebanyakan orang-orang Islam kini lebih mengutamakan kesenangan, kerehatan dan keselesaan. Hati mereka tidak mahu bertembung dengan musuh Allah Subhanahuwata’ala atau musuh Islam. Kebanyakan mereka tidak sannggup berhadapan dengan gangguan-gangguan musuh.

4) Sedar bahawa kebanyakan orang Islam takut digugat oleh musuh Islam jika mereka berada di dalam jama’ah Islam.

5) Sedar betapa besarnya tugas dan tanggungjawab yang mesti dipikul oleh setiap muslim terhadap Islam.

6) Sedar bahawa tugas dan tanggungjawab Islam adalah terlalu besar dan tidak akan dapat dilaksanakan tanpa jama’ah.

7) Faham, sedar dan yakin betapa besar pula pahala dan faedah yang akan diperolehi daripada usaha-usaha melaksanakan tugas dan tanggungjawab Islam bersama-sama jama’ah.



MARHALAH KETUJUH: APAKAH JAMA’AH ISLAM YANG SAHIH



Tahap ini memang rumit. Ia memerlukan hikmah, kekuatan alasan dan penjelasan yang meyakinkan. Lebih-lebih lagi dalam keadaan terdapat banyak jama’ah yang mengajak agar bergabung dengan mereka untuk mencapai apa yang dikatakan ’matlamat Islam’. Di tahap ini:

1) Mad’u mula bertanya tentang jama’ah Islam. Marhalah ini penting dan cukup sensitif. Ia memerlukan hikmah (kebijaksanaan). Penerangan mestilah jitu dan memuaskan.

2) Mad’u akan nampak banyak jama’ah yang bergerak. Masing-masing menyeru para pemuda-pemudi menyertainya. Masing-masing ada cara tersendiri untuk menarik para pemuda-pemudi kepadanya.

3) Mad’u perlu faham bahawa urusan ‘amal Islami adalah urusan yang asasi. Dia mestilah pandai membuat pilihan dan keputusan untuk memastikan keselamatan bagi hidupnya.

4) Dia tidak perlu tergesa-gesa untuk masuk dan terus bekerjasama dengan mana-mana jama’ah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab Islam.

5) Dia mestilah sentiasa ingat bahawa dia hanya mempunyai satu umur dan satu jiwa sahaja.

6) Dia perlu mengkaji dan menimbang semasak-masaknya sehingga nyata jama’ah Islam yang hendak dimasukinya di sepanjang hidupnya itu adalah jama’ah Islam yang sebenar.

7) Dia hendaklah mengikuti jalan dan madrasah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Madrasah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ialah madrasah yang mengasaskan aqidah ke dalam jiwa dan kemudiannya mendidik manusia dengan al-Qur’an. Dari madrasah ini terbentuklah para penjuang aqidah (dari kalangan para sahabat lelaki dan wanita).

8) Dia wajib berkeyakinan bahawa aqidah Islam menguasai perasaan, pemikiran dan jiwa para sahabat. Inilah asas kehidupan mereka. Para sahabat sanggup mengorbankan waktu, usaha, kesihatan, fikiran, harta, malah nyawa mereka untuk terus mempertahankan aqidah Islam.

9) Dia wajib berkeyakinan bahawa para sahabat tetap berpegang teguh dengan aqidah Islam dan rela menanggung segala gangguan dan penyiksaan. Mereka tidak pernah undur walau apapun yang akan terjadi terhadap diri mereka.

10) Dia melihat bahawa para sahabat terus menyebarkan da’wah Islam, mempertahankannya dan berjihad di jalannya dengan harta dan jiwa mereka.

11) Dia berkeyakinan bahawa para sahabat telah menjadi tiang dan teras yang kuat bagi Daulah Islamiyah yang pertama.

12) Dia dapat merasai bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah berjaya mempersaudarakan para sahabat dan menyusun kehidupan mereka.

13) Dia melihat bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah mengikat janji setia dengan mereka untuk sama-sama membela din dan segala apa yang menjadi hak mereka.

14) Dia faham dengan jelas bahawa kekuatan aqidah adalah kekuatan yang pertama, diikuti dengan kekuatan kesatuan dan akhirnya kekuatan tangan/ senjata. Firman Allah Subhanahuwata’ala:


Bermaksud: Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya, dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu.

(Al-Hajj : 39)

15) Dia berkeyakinan bahawa telah berlaku proses pembentukan asas yang kuat di kalangan para sahabat walaupun sedikit bilangannya.

16) Dia semakin jelas dan yakin bahawa mana-mana jama’ah yang tidak mengutamakan tarbiyah dan penyatuan tetapi hanya mempergunakan kekuatan yang lain (seperti jumlah dan laungan-laungan), adalah jama’ah yang memperjudikan nasib dan usahanya. Keadaan jama’ah yang mengabaikan tarbiyah akan membahayakan amal Islami.

17) Dia berkeyakinan bahawa usaha-usaha da’wah tanpa tarbiyah yang betul akan menjadi satu kerugian terhadap amal Islami. Jama’ah-jama’ah yang bergerak melalui partai politik, yang mengabaikan tarbiyah, sebenarnya hanya merupakan satu pertaruhan, malah merupakan satu kerugian terhadap amal Islami, walaupun mungkin ia berkembang dan membesar. Usaha-usaha sebegini tidak mantap dan tidak berkesan untuk mengasaskan Islam.

18) Dia berkeyakinan bahawa pembinaan Islam mestilah didahului dari asas, bukan dari puncak. Bangunan yang besar dan tinggi memerlukan asas yang dalam dan luas. Iman yang mendalam sahajalah yang mampu menjadi asas bagi bangunan Islam yang besar dan tinggi.

19) Dia membuat keputusan bahawa jama’ah pilihannya adalah jama’ah yang berpegang dengan Islam yang syumul (sempurna dan menyeluruh). Islam yang meliputi aqidah, ibadah, akhlak, undang-undang, perlembagaan, siasah, jihad dan segala aspek kehidupan yang lain.

20) Dia membuat keputusan bahawa jama’ah pilihannya ialah jama’ah yang ‘alamiyah, mempunyai banyak pengalaman dan mengalami berbagai ujian. Itulah jama’ah yang dipercayainya. Jama’ah itu ialah jama’ah yang teratur rapi (munazzamah) di dalam satu ikatan yang teguh dan perpaduan yang utuh. Segala perancangannya penuh perincian. Bukan jama’ah seperti bidan terjun (irtijal) dan terdedah kepada bibit-bibit perpecahan.

21) Seterusnya, jama’ah pilihannya itu mengandungi:

a) Iman yang mendalam

b) Penyusunan yang rapi

c) Jihad yang berterusan

Dan juga memiliki:

a) Manhaj tarbiyah Islamiyah harakiyah

b) Qudwah hasanah

c) Bi’ah Salihah


Maka mad’u kita itu sudah bersedia untuk dimasukkan ke dalam halaqah. Dia dimasukkan berdasarkan kepada kefahaman, kesedaran, keyakinan dan pengelibatannya yang terus menerus. Dia sudah bersedia untuk ta’at dan patuh dengan ajaran Islam. Dia merupakan kekuatan yang telah diproses dan diuji. Dia akan menyelesaikan masalah dan bukan menimbulkan masalah.



Rujukan utama: Mustafa Masyhur, Da’wah Fardhiyah.

0 comments:

 
Tarbiyah Pewaris © 2011 | Designed by RumahDijual, in collaboration with Online Casino, Uncharted 3 and MW3 Forum