Video

Kenali Syed Qutb

Sunday, September 7, 2008


Nama sebenar beliau ialah Sayyid ibn Qutb Ibrahim; lahir pada tahun 1906 di Kampung Musyah, daerah Asyut, Mesir dalam sebuah keluarga yang mentaati ajaran agama serta punya kedudukan yang baik dalam masyarakat.

Kedua orang tuanya mempunyai peribadi yang baik. bapanya sangat disegani khalayak kerana banyak berbakti kepada fakir miskin, menghidupkan hari-hari kebesaran Islam melalui majlis-majlis jamuan dan tilawah al-Quran. Ibunya seorang yang solehah dan mencintai al-Quran. ini mempunyai kesan yang mendalam kepada Syed Qutb apabila dia pernah berniat dan bercita-cita untuk mempunyai suara yang lunak dan merdu seperti para qari yang memperdengarkan alunan al-Quran kepada ibunya, yang amat mencintai al-Quran. namun, taqdir Allah tidak menentukan jalan hidupnya untuk menjadi seorang qari, tetapi seorang mufassir yang agung di zamannya.

Kecerdasan minda dan akalnya menjadi tarikan dan tumpuan kepada para guru dan pendidiknya. dia, sebelum berumur 10 tahun sudah menghafal al-Quran, turut mempunyai minat membaca yang sangat tinggi, malah berani mengemukakan pertanyaan dan mengemukaka pendapat yang bernas.

Beliau seorang yang senantiasa mendampingi al-Quran sehingga berjaya memasuk kuliah Darul 'Ulum yang merupakan sebuah institusi pengajian tinggi Islam telah berjaya membentuk kefahaman Quraniyyah dan pemikiran Islam yang cemerlang. selesai pengajian, dia menceburkan diri dalam bidang keguruan dan kemudian akhirnya dipindah ke bahagian Pentadbiran Kementerian Pelajaran di Kaherah.

Apa yang tidak diketahui kebanyakan umum ialah, beliau membesar dengan sastera, termasuklah sastera Yunani dan lain-lainnya, ini juga mempengaruhi corak pemikiran beliau ketika mana membesar. malah bidangnya di Kementerian Pelajaran turut berkait rapat dengan sastera. dengannya dia menjadi terkenal sebagai seorang penulis yang prolifik bukan sahaja dalam akhbar, malah majalah-majalah sehingga beberapa pihak penerbitan terasa terancam dengannya.

Tulisan beliau pernah suatu ketika mencetuskan kontroversi di mana beliau yang terpengaruh dengan sastera Yunani mengajak orang ramai untuk mengikut budaya Yunani tidak berbaju dan berbogel. tulisan ini menyebabkan beberapa anggota ikhwan bertemu dengan Hassan al-Banna untuk diambil tindakan, namun ditegah. Hassan al-Banna mengatakan dia (Syed Qutb) mempunyai potensi.

1948, beliau dihantar oleh Kementeriannya, untuk melanjutkan pelajaran ke Amerika untuk melanjutkan pengajian dan pembelajaran di negeri yang kononnya termaju itu. Selama hampir dua tahun melakukan kajian yang mendalam dalam bidang yang berkaitan dengan pendidikan dia mendapati bahawa kehidupan di Amerika banyak mengecewakannya. dia menulis kepada sahabatnya Taufik al-Hakim, dalam suratnya; 'Amerika mempunyai segala sesuatu kecuali roh'.

1949, beliau dimasukkan ke dalam hospital kerana sakit. Suatu ketika semasa berada di dalam wad, dia mendapati orang ramai berpesta dan bersorak-sorai dengan gembira. Dia mendapati bahawa semua orang yang berpesta itu adalah orang Yahudi, lalu dia bertanya mengapa mereka berpesta. dia diberitahu bahawa, mereka (orang Yahudi) berpesta kerana seorang lelaki arab bernama Hassan al-Banna telah mati dibunuh. peristiwa itu meninggalkan impak yang mendalam ke dalam hati Syed Qutb dan membuatkannya berfikir dalam.

Apabila beliau pulang ke Mesir, beliau meletakkan jawatannya di Kementerian dan menyertai Ikhwanul Muslimin.

1951-1964 ialah suatu era kecemerlangan peralihan beliau kepada penulisan Islami yang serius di mana karya-karya agung yang menjadi warisan yang penting pada zamannya dan zaman yang mendatang. antaranya ialah Tafsir fi Zilalil al-Quran, Ma'ani fit Thariq dan sebagainya.

Penulisan tafsir fi zilalil Quran dibuat ketika mana beliau berada di dalam penjara. Beliau ditangkap oleh kerajaan kerana tuduhan yang tiada asas yang kukuh. Pagi dan petangnya beliau disiksa, dipukul dan disabotaj, malamnya beliau menyambung penulisan fi zilal. namun, meskipun penulisannya diterbitkan, ia perlu melalui pemeriksaan pihak penjara terlebih dahulu, ini menyebabkan bahasa yang digunakan oleh Syed Qutb dalam tulisannya memerlukan pemahaman dan penelitian yang rapi serta teliti. Tulisannya turut diubah oleh pihak penjara kerana dengkinya mereka.

1959, beliau dibebaskan dan mendapati bahawa tulisan beliau sudah banyak disunting dan diedit. Lalu dia membuat kajian semula terhadap penulisan tafsir fi zilalil Quran. semakan semula yang dibuat beliau hanya sempat dibuat sehingga surah Ibrahim, dan selebihnya tidak sempat disiapkan kerana kerajaan yang angkuh sekali lagi menangkap beliau.

Isnin, fajar 13 Jamadil Awal 1386 hijriyyah bersamaan 29 Ogos 1966 menjadi hari di mana beliau menemui ajalnya di tali gantung setelah disabitkan bersalah (dengan cara yang zalim) oleh mahkamah tentera yang ditubuhkan oleh kerajaan revolusi ketika itu. Hukuman tersebut dijalankan tanpa mengira bantahan dunia Islam dan menolak dengan tidak sopannya rayuan peribadi Raja Saudi, al-Marhum Faisal ibn Abdul Aziz meskipun baginda menawarkan apa sahaja yang dituntut oleh kerajaan Mesir.

nota kaki
* beliau dihukum gantung kerana kenyataan yang disalah tafsir (kerana kurangnya ilmu) dalam bukunya 'Ma'ani fit Thariq' oleh kerajaan dengan anggapan bahawa beliau (Syed Qutb) berniat untuk menggulingkan kerajaan.
* beliau disabitkan salah dan dihukum gantung dengan tuduhan di atas tanpa mendengar sebarang penjelasan daripada pihaknya, cuma dengan bertanya 'adakah ini buku anda?' dan 'adakah ini tulisan anda?' Syed Qutb rah. digantung.


Al-Fatihah buat beliau. Semoga Allah senantiasa merahmati dan memberkati ruh beliau yang sedang berehat di alam barzakh.

0 comments:

 
Tarbiyah Pewaris © 2011 | Designed by RumahDijual, in collaboration with Online Casino, Uncharted 3 and MW3 Forum