Kepada Apa Kita Menyeru Manusia?
Ke mana kita mendakwahi manusia? Adalah satu pertanyaan yang selalu terdetik di benak seorang da'i (pendakwah) Muslim. Pertanyaan ini tidak memerlukan jawaban, kerana hakikatnya sudah terlalu jelas, bahkan lebih jelas daripada matahari ketika panas terik. Apakah ada seorang Muslim yang tidak mengetahui ke arah manakah sebenarnya dia berdakwah kepada manusia?
Jawabannya, pada asalnya, nampak mudah dan jelas, selagi mana istilah-istilahnya jelas serta tujuan dan sarana-sarananya juga jelas. Tetapi kenyataannya tidak sedemikian, kerana dengan banyaknya persepsi mengenai Islam - yang disebabkan oleh jauhnya manusia daripada pengetahuan Islam yang benar - menyebabkan banyaknya jawaban dan telah menjadi punca perselisihan yang nyata.
Memang benar, bahawa mungkin secara umum, jawabannya adalah satu, kerana kita semuanya mengajak kepada Islam yang hanif (lurus). Akan tetapi, lambat laun, jika permasalahan tersebut mulai dibahas secara mendalam dan diuraikan secara lebih terperinci, titik perbezaan itu akan mula nampak dan perselisihan akan makin membesar, seperti perbezaan antara malam dan siang. Dari sinilah bermulanya langkah mencari jawaban bagi seorang da'i. Sebelum melangkah untuk berjalan menuju ke satu tempat, pertanyaan tersebut perlu dikemukakan kepada dirinya dahulu. Tasawwur (konsep), tujuannya dan selok belok perjalanannya perlu ditentukan dan diketahui dengan jelas. Sarana-sarana yang diperlukan perlu dipersiapkan. Kerana orang yang tidak memiliki sesuatu tidak mungkin dapat memberikan sesuatu.
Pertamanya, kita mendakwahi manusia untuk melaksanakan agama Allah Subha Nahu Wa Ta’ala, iaitu Islam. Allah Subha Nahu Wa Ta’ala berfirman;
"Barangsiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi." [Al-Imran: 85]
Ayat di atas menyeru agar kita menjadikan Islam sebagai pedoman hidup secara menyeluruh, menyerahkan segala persoalan yang kecil maupun besar kepada Allah Subha Nahu Wa Ta’ala. Hendaknya kita fahami Islam itu secara utuh dan menyeluruh, sebagai agama dan kedaulatan, akidah dan syariah, sistem moral dan kepimpinan, jihad dan ibadah, dunia dan akhirat, dengan segala yang terkandung di dalam Kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Iaitu melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan, sedar dalam menghadapi ketentuan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala, sedia mengikuti jejak dan langkahnya, sedia berjalan di atas manhajnya, berittiba' (mengikut) bukan membuat bid'ah, selalu mengembalikan segala urusan kepada Allah Subha Nahu Wa Ta’ala, dan berciri khas dengan risalahnya, untuk merealisasikan firman Allah Subha Nahu Wa Ta’ala;
"Maka kerana itu serulah (mereka kepada agama itu) dan tetaplah (beristiqamahlah) sebagaimana diperintahkan kepadaKu dan janganlah mengikuti hawa nafsu mereka dan katakanlah: "Aku beriman kepada semua Kitab yang diturunkan Allah dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu. Bagi kami amal-amal kami dan bagi kamu amal-amal kamu. Tidak ada perselisihan antara kami dan kamu. Allah mengumpulkan antara kita dan kepadaNyalah kembali (kita)." [Asy-Syura: 15]
Mengikut Bukan Membuat Yang Baru
Kita di dalam berdakwah, selalu berusaha untuk meneladani Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang membawa rahmat dan hidayah. Kita ingin mengeluarkan manusia daripada kegelapan-kegelapan (syirik) menuju cahaya iman atas izin RabbNya, daripada kekufuran menuju keimanan, daripada kesesatan menuju petunjuk, daripada kebatilan yang gelap-gelita menuju kebenaran yang terang-benderang, daripada maksiat menuju taat, dan daripada jalan hidup yang berbeza-beza menuju Allah Subha Nahu Wa Ta’ala yang satu dan lurus. Kita selalu melaungkan apa yang dikatakan oleh Rabi' bin Amir ra. kepada Rustam (panglima Parsi).
"Sesungguhnya Allah telah mengutus kami untuk mengeluarkan siapa sahaja yang Dia kehendaki, dari penghambaan sesama manusia menuju penghambaan kepada Allah semata-mata, dari penyelewengan agama-agama yang ada menuju keadilan Islam, dan dari sempitnya dunia menuju keluasan dunia dan akhirat."
Tidak diragukan bahawa agama kita adalah agama tauhid yang murni, maka kita mengajak manusia untuk meyakini kalimat "Laa ilaaha illallah Muhammadan Rasulullah" yang memuatkan nilai-nilai yang sangat berharga, yang diperjuangkan oleh para sahabat Radiallahu 'anhum untuk disampaikan kepada manusia bahawa kalimat syahadah itulah yang melepaskan mereka dari berbagai bentuk paganisme jahiliyah, baik di bidang agama maupun sosial. Sehingga tidak ada tempat lagi di bawah naungan Islam bagi sistem kekuasaan Firaunisme, atau sistem monopoli kekayaan Qarunisme, tidak pula bagi sistem yang memberikan kedaulatan kepada warga negara secara bebas tanpa batasan.
Melalui ajaran Al-Quran dan Sunnah, manusia dapat memahami tanpa kesulitan bahawa sesungguhnya kemerdekaan itu benar-benar dijunjung tinggi dan bahawa hak-hak kemanusiaan itu terjaga. Akal manusia semestinya berfikir tanpa kongkongan dan tuntutan fitrah selalu dipenuhi tanpa perasaan berat.
Ini sebagai penjelasan kepada manusia tentang apa yang akan kita dakwahkan, kerana masih banyak orang yang tidak mengenal Islam melainkan terbatas kepada amalan ritual dan 'ceremonial' (upacara) semata-mata. Jika ianya telah dilaksanakan, maka mereka akan merasa puas dan rela dan mengira bahawa telah sempurna perlaksanaan ajaran Islam. Inilah pemahaman yang berlaku di kalangan segolongan umat Islam. Ada juga orang yang tidak melihat Islam kecuali daripada sudut akhlak dan kerohanian, atau daripada aspek falsafah pemikiran dan ruh, dengan menjauhi diri daripada 'kekotoran-kekotoran' material yang 'mencelakakan'. Sebahagian lagi ada yang tertarik dan kagum kepada Islam daripada segi nilai-nilai fakta dan ilmiah yang terkandung di dalamnya, tetapi tidak mahu melihat pada segi yang lainnya. Sebahagian lagi ada yang memandang Islam hanya daripada sisi akidah dan amal perbuatan yang sudah menjadi tradisi yang terputus daripada perkembangan zaman. Mereka merasa puas dengan kefahaman seperti itu dan kebanyakan golongan ini terdidik dengan didikan asing. Mereka tidak memiliki kesempatan untuk mempelajari dengan baik hakikat ajaran Islam, sehingga mereka tidak mengenal Islam yang sebenarnya. Atau mengetahui tetapi daripada gambaran yang tidak asli, yang dipengaruhi oleh orang-orang yang tidak prihatin dalam menampilksn Islam.
Pemahaman Kita Terhadap Dakwah
Adapun kefahaman kita terhadap dakwah yang kita sampaikan di hadapan manusia adalah bahawa sesungguhnya Islam mengatur seluruh kehidupan ini dan Islam selalu memberi jawaban terhadap semua persoalan. Islam juga meletakkan untuk kehidupan ini satu sistem yang kuat dan terperinci. Islam tidak berpangku tangan (membiarkan) permasalahan kehidupan ini tanpa memberikan jalan keluar dan aturan-aturan yang sangat diperlukan oleh umat manusia, Islam bukanlah terbatas pada bentuk-bentuk peribadatan atau beberapa aspek keruhanian, sebagaimana difahami oleh sebahagian orang. Akan tetapi kita memahami bahawa Islam mengatur urusan dunia dan akhirat. Maka tugas kita adalah memimpin dunia dan memberi pengarahan kepada manusia seluruhnya untuk melaksanakan sistem Islam yang baik dan ajarannya, yang dengan selain ajaran Islam, manusia tidak mungkin memperolehi kebahagiaan.
Sekiranya anda inginkan keterangan tambahan dan bukti tentang apa yang telah diutarakan, silakan melihat keadaan bangsa Arab sebelum Islam dan selepasnya.
Rujukan: Fiqh Dakwah, Jumaah Amin Abdul Aziz
0 comments:
Post a Comment