Sumber: Salah Faham Terhadap Islam
Bab: Adakah Agama Sudah Lapuk?
Menurut Muhammad Qutb, dalam abad ke-18 dan ke-19, pemikir-pemikir dari Barat telah terpesona dengan kemajuan sains yang pesat, lalu menganggap fungsi agama sudah lagi relevan. Antara ilmuwan Barat yang dimaksudkan adalah Sigmund Freud, seorang ahli psikologi yang terkenal. Freud telah membahagikan perkembangan jiwa manusia kepada 3 peringkat iaitu peringkat mempercayai tahyul, peringkat mempercayai agama dan peringkat mempercayai sains.
Teori ini timbul disebabkan pergolakan antara pemikir-pemikir Barat dengan pihak gereja yang ketika itu mengamalkan ajaran karut dan kolot. Malangnya, umat Islam telah meniru pemikiran dan teori-teori Barat untuk dijadikan model kemajuan.
Pegangan pemikir-pemikir ini sebenarnya telah terperangkap dalam teori mereka sendiri kerana ilmu sains itu sendiri berubah-ubah, maka pendirian mereka terhadap sesuatu turut tidak tetap. Contohnya, perubahan-perubahan dalam sistem sosial, politik dan ekonomi telah menyebabkan pergolakan hidup mereka. Hasilnya jiwa mereka sentiasa tidak tenteram.
Manusia berlumba-lumba untuk mendapatkan nikmat dunia secara zalim akibat tiada kepercayaan kepada hari kebangkitan dan pembalasan. Panduan aqal ditinggalkan, panduan nafsu dituruti. Akibat mengikut nafsu, manusia telah menurunkan sendiri tarafnya. Natijah daripada semua ini, ilmu hanya menjadi alat untuk membuat kerosakan di muka bumi.
Persoalan timbul, apakah faktor yang membolehkan pejuang-pejuang aqidah menentang kuasa-kuasa zalim ini? Dengan mehnah dan tribulasi yang bakal dihadapi, apakah faedahnya mereka memperjuangkan aqidah? Jawapannya, ketabahan dan kesabaran yang datang dari agama itulah yang memacu perjuangan mereka. Perjuangan yang berlandaskan faedah dan kepentingan peribadi hanya berjaya menyelesaikan masalah buat sementara. Perjuangan berlandaskan dendam dan dengki hanya akan bertukar kepada satu bentuk kezaliman yang lain pula, menggantikan kezaliman yang sedia ada.
Menurut Muhammad Qutb lagi, penjajah Barat telah menyusun silibus yang hanya mengajar bahawa Islam diturunkan untuk melarang penyembahan berhala, mengharam judi dan arak serta perbuatan keji yang lain. Kemudian tugas umat Islam ialah mengembangkan dakwah. Kini, setelah Islam berkembang ke seluruh dunia, tugas Islam telah berakhir dan kewajipan kini adalah untuk mencari prinsip hidup yang moden. Prinsip yang dimaksudkan ialah komunisma, kapitalisma dan sebagainya.
Tujuan Islam sebenarnya belum berakhir kerana tujuan Islam boleh dijelaskan dengan 1 perkataan, iaitu ‘PEMBEBASAN’. Pembebasan dari segala kuasa zalim, yang meragut kehormatan dan maruah manusia. Pembebasan yang mengembalikan kuasa mutlak kepada Yang Maha Esa. Islam menegakkan hakikat bahawa hanya Allah yang memiliki seluruh kerajaan langit dan bumi. Dengan yang demikian, manusia akan bebas dari perasaan takut terhadap manusia lain.
Bab: Adakah Agama Sudah Lapuk? (Siri 2)
Islam juga membebaskan manusia daripada penghambaan terhadap hawa nafsu. Keinginan nafsu tidak akan kenyang. Semakin ia dilayan, ia akan semakin rakus ibarat mengejar fatamorgana di padang pasir. Akhirnya, manusia itu sendiri akan menurunkan darjatnya ke taraf haiwan kerana tidak menggunakan panduan aqal, tetapi mengikut nafsunya.
Namun, pembebasan daripada keinginan nafsu tidak bermaksud Islam menganjurkan umatnya supaya hidup seperti paderi-paderi yang tidak boleh berkahwin sama sekali kerana ia menyalahi fitrah manusia. Islam cuma tidak menggalakkan umatnya diperhambakan oleh nafsu, tetapi Islam menganjurkan hidup secara sederhana.
Menurut Dr Muhammad Qutb lagi, tujuan Islam diturunkan juga adalah untuk membebaskan manusia daripada kepercayaan-kepercayaan tahyul dalam bentuk kepercayaan kepada tuhan-tuhan palsu, dongeng-dongeng Yahudi dan khurafat puak gereja Kristian. Islam menyuruh penganutnya menggunakan aqal tanpa menimbulkan menimbulkan pertentangan antara aqal dan agama atau antara sains dan agama. Dengan kefahaman tentang tujuan-tujuan ini, jelaslah bahawa Islam diturunkan agar ia kekal relevan merentas zaman.
Berkenaan perkara khurafat, Dr Muhammad Qutb menegaskan bahawa antara khurafat yang paling menyesatkan ialah khurafat berkaitan sains yang menganggap sesuatu yang tidak dapat diukur atau dikaji oleh sains adalah bohong belaka. Sebagai bukti dakwaan beliau, sains masih lagi tidak dapat membuktikan banyak fenomena ganjil, namun diterima oleh manusia seperti wujudnya ‘telepathy’ atau ‘telekinesis’
Justeru, menurut beliau lagi sains sahaja bukanlah pengukur kepada ketamadunan kerana kita dapati hari ini sains telah membawa manusia ke arah kemajuan tetapi jiwa manusia terus tenggelam dalam kenikmatan syahwat. Sebagai contoh, Amerika Syarikat dianggap maju tetapi keadaan sosialnya merudum dengan teruk sekali. Islam meletakkan ukuran kepada ketamadunan ialah apabila manusia berjaya menakluki keinginan nafsunya.
Apakah kita tidak mengkaji sejarah empayar-empayar terdahulu? Faktor kehancuran empayar-empayar besar dahulu adalah kerana mereka tunduk kepada nafsu. Zaman kebelakangan ini juga kita dapati apabila manusia mengambil nafsu mendahului aqalnya, tanah air sendiri tidak mampu dipertahankan. Contohnya Perancis dalam perang dunia kedua telah menyerah kalah dengan relanya di awal peperangan kerana mereka telah tenggelam ke dalam lautan nafsu.
Hakikatnya Islam adalah agama yang praktikal. Ia merangkumi bidang kerohanian, sosio-politik, ekonomi, perundangan dan sains teknologi. Islam mengimbangkan antara keperluan fizikal, aqal, nafsu dan roh, antara keperluan masyarakat dan individu, antara ekonomi dan kemanuisaan. Ia mempunyai peraturan masyarakat dan sistem ekonomi tersendiri yang mengambil jalan tengah antara sistem komunisma (berpusat kepada kepentingan individu) dan sistem kapitalisma (berpusat kepada kepentingan umum) .
Islam juga telah membuktikan bahawa dunia yang penuh dengan perselisihan antara kaum dapat diamankan dengan keadilan Islam. Ini terbukti dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “…patuhilah kepada pemerintah kamu walaupun dia seorang hamba Habsyi yang berkepala seperti buah anggur (kerinting) selama ia memerintah menurut kitab Allah.” Islam menyelesaikan perbalahan kaum dengan memberi keutamaan kepada syariat Islam, bukan keutamaan kepada kaum kerabat atau bangsa.
0 comments:
Post a Comment