Video

Salah Faham Terhadap Islam - 2

Saturday, January 5, 2008

Salah Faham Terhadap Islam

Bab: Islam dan Perhambaan 2

Antara isu yang sering dimainkan oleh orientalis Barat ialah bagaimana Islam boleh mendabik sebagai agama yang sesuai sepanjang zaman sedangkan ia masih menghalalkan penghambaan. Adakah Allah selamanya ingin membahagikan manusia kepada golongan tuan dan hamba? Seandainya tidak, mengapakah Islam tidak mengharamkan secara tegas di dalam al-Qur’an sebagaimana ia mengharamkan arak, judi dan riba?

Sememangnya seluruh ajaran Islam adalah bertujuan membebaskan manusia keseluruhannya dari perhambaan sesama manusia. Untuk memahami hakikat ini, kita perlu mengimbau sejarah penghambaan yang berlaku di Barat itu sendiri. Apabila dibandingkan antara Islam dan Barat, kekejaman penghambaan yang berlaku di Rom purba tidak pernah berlaku dalam sejarah Islam. Sebagai buktinya, dalam tradisi Rom purba, hamba abdi tidak sedikitpun mempunyai hak selaku manusia. Penghambaan hasil dari penaklukan dan perluasan empayar adalah semata-mata untuk membolehkan orang Rom hidup dalam kemewahan dan kerakusan nafsu.

Pada zaman tersebut, hamba abdi terpaksa bekerja di ladang-ladang dengan kaki dibelenggu rantai yang berat. Mereka diberi makanan sekadar untuk melapik perut. Bahkan kaum hamba abdi disebat dengan ganas dan terpaksa tidur di dalam penjara-penjara gelap yang busuk dan kotor. Kadang-kala satu bilik penjara dimuatkan sehingga 50 orang hamba. Namun, mungkin yang paling kejam adalah apabila hamba-hamba tadi dipaksa menyertai pertandingan di mana hamba-abdi disuruh membunuh sesama sendiri. Acara pertandingan yang menjadi gilaan pembesar dan rakyat ketika itu dipenuhi dengan tepuk sorak dan ketawa hilai apabila hamba-hamba yang bertanding sesama sendiri membunuh lawannya.

Tuan kepada hamba mempunyai hak mutlak ke atas hambanya sama ada untuk menyiksa, menghina atau membunuh mereka sesuka hati. Sedihny, hamba-hamba ini tidak ada hak untuk mengadu di sisi undang-undang. Senario yang hampir sama juga berlaku di Parsi, India dan neger-negeri lain.

Bab : Islam dan Perhambaan 2

Apabila Islam datang ke dalam masyarakat jahiliyyah, ia telah memberi amaran tegas kepada tuan punya hamba, “Sesiapa yang membunuh hambanya akan dibunuh balas; sesiapa yang mencederakan hambanya akan dicedera balas.” Jelas di sini Islam menyamaratakan status manusia, sama ada dari kalangan atasan, hamba sahaya, bangsa atau kaum, semuanya sama di sisi Islam.

Islam menyatakan bahawa hubungan antara tuan dan hambanya bukan bertujuan untuk menindas, menghina atau mengeksploitasi, sebaliknya ia bersifat persaudaraan dan kasih sayang. Sabda Nabi S.A.W., “Hamba abdi kamu adalah saudara kamu, sesiapa yang memiliki saudaranya maka hendaklah ia memberinya makanan yang sama dengan makanan yang dimakan olehnya dan memberi pakaian yang sama dengan pakaian yang dipakai olehnya dan janganlah kamu bebankan mereka dengan kerja yang diluar kesanggupan mereka dan jika kamu menyuruh mereka melakukan kerja-kerja yang berat maka hendaklah kamu membantu mereka” (Riwayah al-Bukhari).

Kehebatan cara Islam menangani permasalahan hamba sahaya turut mendapat sanjungan pejuang-pejuang salib Eropah. Pejuang-pejuang ini menyatakan bahawa layanan terhadap hamba abdi di zaman permulaan Islam tidak pernah berlaku di tempat-tempat lain sebelum ini di mana hamba yang telah mendapat kemerdekaan enggan berpisah dengan tuan mereka kerana telah menganggap diri mereka sebagai sebahagian daripada anggota keluarga tuan mereka. Rasulullah S.A.W. sendiri melarang tuan punya hamba mengungkit-ungkit status hamba mereka, malah menyuruh tuan punya hamba berkata-kata dengan rasa kasih-sayang.

Pembebasan hamba di zaman permulaan Islam berlaku dalam dua tahap. Tahap pertama adalah pembebasan dari aspek rohaniah sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini. Tahap kedua pula adalah tahap pembebasan secara fizikal. Dalam tahap ini pembebasan dilakukan melalui dua cara. Pertama, tuan punya hamba membebaskan secara sukarela. Kedua, hamba abdi diberi hak untuk menebus diri. Pihak Baitulmal juga memainkan peranan membeli hamba-hamba abdi dan membebaskan mereka kembali.

Selain itu, pembebasan hamba abdi dijadikan syarat untuk menebus dosa-dosa. Firman Allah S.W.T., “Siapa yang membunuh seorang Islam yang lain tanpa sengaja, maka hendaklah ia membebaskan seorang hamba dan membayar sejumlah wang sagu hati kepada keluarganya.”

Hamba abdi boleh menebus diri mereka dengan membayar sejumlah wang tebusan dan tuan punya hamba wajib memberi kebebasan kepada hamba mereka yang telah selesai membayar wang tebusan diri. Walaupun peraturan sebegini juga turut diamalkan di Eropah tujuh abab kemudian, namun tiada undang-undang yang mewajibkan tuan punya hamba membebaskan hamba mereka setelah dibayar wang tebusan tersebut. Maka tiada jaminan hamba abdi di Eropah dapat membebaskan diri secara mutlak.

0 comments:

 
Tarbiyah Pewaris © 2011 | Designed by RumahDijual, in collaboration with Online Casino, Uncharted 3 and MW3 Forum