Video

Memelihara Kebenaran Dengan Kekuatan

Tuesday, October 20, 2009 0 comments


Alangkah tepat sekali kata hikmah yang menyebut: “Kekuatan adalah cara paling selamat untuk menegakkan kebenaran. Alangkah baiknya jika kekuatan dan kebenaran berjalan seiringan.”

Jihad bagi mengembangkan dakwah Islam terutama bagi memelihara kesucian Islam adalah suatu kewajipan yang diletakkan oleh Allah ke bahu umat Islam sama sepertimana Allah mewajibkan mereka puasa, sembahyang, haji, zakat, membuat kebaikan dan menjauhi kejahatan. Allah mewajibkan dan juga menggalakkan mereka melakukannya. Allah tidak mengecualikan sesiapa sahaja yang memiliki kekuatan dan kemampuan. Ayat yang menyebut perintah ini datang dengan amaran yang cukup keras dan suatu nasihat yang perlu diberikan perhatian.

"Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam)." (Al-Taubah: 41)

Allah telah mendedahkan rahsia di sebalik segala perintah dan kewajipan ini kepada umat Islam. Allah jelaskan bahawa Dia memilih mereka supaya menjadi peneraju manusia, pemelihara syariat-Nya, menjadi wakil-Nya di bumi ini dan sebagai pewaris Rasulullah s.a.w. memikul dakwah baginda. Allah telah bentangkan kepada mereka agama ini. Allah telah memantapkan syariat-Nya, memudahkan segala hukum-hakam-Nya dan menjadikan hukum-hakam ini sesuai untuk semua zaman dan tempat supaya ia boleh diterima oleh seluruh manusia. Melalui syariat ini manusia akan meletakkan segala harapan dan impian yang mereka nantikan.

"Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agama-Nya); dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Dia menamakan kamu: “Orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah)." (Al-Haj: 78)

Inilah tanggungjawab sosial yang telah diserahkan oleh Allah kepada seluruh umat Islam. Mereka hendaklah berada dalam satu barisan, satu ketumbukan dan satu kekuatan. Mereka hendaklah menjadi tentera penyelamat yang akan menyelamatkan seluruh manusia dan membimbing mereka ke arah jalan yang betul.

Rahib Di Malam Hari Pejuang Di Siang Hari

Selepas itu Allah Taala menjelaskan hubungan antara perintah sembahyang dan puasa dengan perintah sosial tadi di mana perintah pertama adalah sebagai langkah awal untuk perintah kedua. Akidah yang sahih pula adalah asas untuk kedua-dua perintah. Tujuannya, supaya manusia tidak menjadikan perintah tadi sebagai alasan untuk tidak melakukan kewajipan individu mereka dengan alasan mereka telah beramal untuk semua manusia. Dalam masa yang sama ia tidak menjadi alasan kepada manusia yang lain untuk tidak berbakti kepada semua manusia dengan alasan mereka sibuk dengan ibadah mereka dan menghabiskan sepenuh masa mengadap tuhan. Bukankah ayat ini tepat dan bijaksana.

Dan siapakah pula yang lebih benar perkataannya daripada Allah? (Al-Nisa’: 87)
Wahai umat Islam, mengabdikan diri kepada tuhan kamu dan berjihad demi memartabatkan agama dan syariat kamu adalah tanggungjawab kamu dalam hidup ini. Jika kamu telah menunaikan tanggungjawab ini dengan bersungguh-sungguh, kamu adalah golongan yang beroleh kejayaan. Jika kamu hanya laksanakan separuh atau kamu abaikannya sama sekali saya kemukakan kepada kamu firman Allah Taala:

"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam." (Al-Mukminun: 115-116)

Atas dasar inilah para sahabat Rasulullah s.a.w. yang merupakan manusia yang dipilih oleh Allah dan hamba-hamba-Nya yang soleh disifatkan sebagai “rahib di malam hari, pejuang di siang hari”. Pada waktu malam mereka dilihat berdiri di mihrab, mengusap janggut, mulut terkumat-kamit dan menangis sayu. Mereka berkata: “Wahai dunia, perdayalah orang lain selain aku.” Apabila fajar menyingsing dan gendang perang dipalu memanggil para mujahidin, anda lihat mereka memacu kuda, riuh rendah memenuhi medan pertempuran.

Demi Allah, inilah keseimbangan yang menakjubkan antara amalan dan tugas di dunia dengan amalan dan kerohanian akhirat. Inilah Islam yang telah berjaya menggabungkan segala yang terbaik.

Imam As Syahid Hasan Al Banna

Tanggungjawab Muslim: Berkorban Bukan Mengaut Keuntungan

Sunday, October 11, 2009 0 comments



Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugama-Nya); dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: “orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifat-Nya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan. (Al-Haj: 77-78)

Ini bermakna al-Quran telah meletakkan umat Islam sebagai pembimbing umat manusia seluruhnya. Al-Quran telah menyerahkan hak menguasai dunia ini kepada mereka untuk menunaikan tanggungjawab yang suci ini. Oleh itu ini adalah hak kita bukan hak Barat. Ini adalah hak tamadun Islam dan bukan hak tamadun materialisme.
Seterusnya Allah Taala menjelaskan lagi bahawa dalam usaha mencapai matlamat ini orang yang beriman telah menjual jiwa dan hartanya kepada Allah. Ini bermakna tiada apa-apa lagi yang dikira sebagai haknya. Segalanya telah diserahkan demi kejayaan dakwah ini dan supaya dakwah ini sampai ke hati manusia. Ini dinyatakan oleh firman Allah:
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga. (Al-Taubah: 111)
Dari sini kita dapat lihat seorang muslim menjadikan dunianya sebagai wakafan untuk dakwahnya, semata-mata untuk memperolehi kesenangan di akhirat nanti sebagai ganjaran kepada segala pengorbanannya. Atas dasar inilah seorang penakluk muslim bertindak sebagai seorang guru yang memiliki segala sifat yang sepatutnya dimiliki oleh seorang guru iaitu cahaya, hidayah, rahmat dan ihsan. Jadi ini bermakna penaklukan Islam adalah suatu proses membawa suatu tamadun dan peradaban, suatu proses untuk membimbing dan mendidik. Adakah ini telah dilakukan oleh kolonialisme Barat hari ini?
Sejauhmana Umat Islam Dengan Matlamat Ini?
Demi Allah! wahai saudaraku yang dihormati, adakah umat Islam hari ini memahami pengertian ini daripada kitab Tuhan mereka? Dengan itu jiwa dan roh mereka bebas merdeka daripada kehambaan dunia. Bersih daripada segala kongkongan syahwat dan hawa nafsu. Tidak terlibat dengan soal yang remeh temeh dan matlamat yang terlalu remeh. Mereka kerahkan seluruh jiwa mereka untuk Allah yang telah mencipta langit dan bumi dengan penuh ikhlas serta mahu memartabatkan kalimah Allah dan berjuang di jalan-Nya. Mereka berusaha mengembangkan agama-Nya dan mempertahankan syariat-Nya. Ataupun pada hakikatnya mereka adalah tawanan dan hamba kepada syahwat dan hawa nafsu mereka sendiri. Apa yang menjadi tumpuan mereka hanyalah sesuap nasi, kenderaan, hiasan, tidur yang nyenyak, wanita yang cantik, imej yang palsu dan gelaran yang kosong.
Penyair menyebut:
“Mereka leka dengan impian lantas mempertaruhkan nasib mereka. Mereka dakwa telah harungi lautan gelora namun sebenarnya mereka belum diuji”

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w.:
“Celakalah hamba dinar, hamba dirham, hamba qatifah.”

Matlamat Adalah Pokok, Usaha Hanya Cabang
Matlamat merangsang manusia untuk mengatur langkah. Namun apabila matlamat ummah masih kabur dan bercelaru kita perlu bertindak menjelaskan dan menetapkan matlamat ini. Saya merasakan kita telah memahami banyak perkara dengan jelas. Kita juga telah bersetuju bahawa peranan kita ialah memimpin dan membimbing dunia serta manusia agar semuanya tunduk di bawah sistem dan ajaran Islam yang menjadi satu-satunya jalan yang boleh membawa manusia ke arah kebahagiaan.
Landasan Matlamat Kami
Inilah mesej yang ingin disampaikan oleh Ikhwan al-Muslimin kepada seluruh manusia supaya umat Islam benar-benar memahaminya. Malah supaya mereka bersedia melaksanakannya dengan penuh keazaman dan ketabahan. Mesej ini bukanlah ciptaan Ikhwan al-Muslimin dan bukan rekaan mereka. Sebaliknya mesej ini jelas dinyatakan oleh ayat-ayat al-Quran al-Karim. Mesej ini dengan jelas dinyatakan oleh hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang mulia. Malah turut ditampilkan dengan jelas melalui amalan generasi pertama yang merupakan contoh teladan terbaik dalam memahami dan melaksanakan ajaran Islam. Jika umat Islam mahu menerima mesej ini, ia menjadi tanda keimanan dan keislaman mereka yang sebenar. Jika mereka keberatan untuk menerima atau masih sangsi, di hadapan kita ada Kitab Allah. Hukumnya adil dan keputusannya muktamad. Ia akan menjadi hakim antara kita dan saudara-saudara kita ini. Kitab Allah yang menentukan sama ada kita di pihak yang benar atau salah.
Wahai Tuhan kami, hukumkanlah antara kami dan kaum kami dengan kebenaran (keadilan), kerana Engkau jualah sebaik-baik Hakim. (Al-A’raf: 89)
Penjelasan
Ramai di kalangan saudara kita yang masih tertanya-tanya walaupun mereka adalah orang yang amat kita kasihi sepenuh jiwa raga kita. Malah kita serahkan segala tenaga, harta dan jiwa kita untuk kebaikan mereka. Kita bekerja demi kepentingan dunia dan akhirat mereka. Kita juga korbankan segala harta dan jiwa kita untuk matlamat ini. Matlamat untuk membawa kebahagiaan kepada ummah dan saudara-saudara kita. Kita ketepikan anak isteri kita demi mereka. Alangkah besarnya harapan saya jika saudara-saudara yang masih tertanya-tanya ini melihat sendiri para pemuda Ikhwan al-Muslimin yang sentiasa berjaga malam ketika semua manusia sedang nyenyak tidur. Mereka bekerja berhempas pulas sedangkan mereka yang hanyut terus membuang masa. Ada di antara mereka berada di pejabat daripada Asar hingga ke tengah malam bekerja dan berfikir bersungguh-sungguh. Begitulah selama sebulan dan apabila tiba akhir bulan dia menyerahkan pendapatannya untuk jamaah. Segala perbelanjaannya hanya untuk dakwah, hartanya adalah untuk mencapai matlamatnya. Segala geraklakunya seolah berkata kepada masyarakat yang tidak sedar pengorbanan yang dilakukannya itu: “Saya tidak pernah meminta ganjaran daripada kamu kerana pengorbanan ini. Segala ganjaran saya hanyalah daripada Allah.” Kita tidak sekali-kali meminta-minta daripada masyarakat kerana kita daripada mereka dan untuk mereka. Cuma kita harapkan, dengan segala pengorbanan ini mereka akan memahami dakwah kita dan menyahut seruan kita.






As Syahid Syeikh Imam Hassan Al Banna

Tadhiyah (Pengorbanan)

Tuesday, October 6, 2009 1 comments



Allah telah memikulkan ke atas umat Islam sebesar-besar dan seberat-beratnya amanah. Firman Allah Subha Nahu Wa Ta’ala;

“Demikianlah Kami jadikan kamu umat pertengahan untuk menjadi saksi ke atas manusia, dan Rasul pula menjadi saksi ke atas kamu.” (Al-Baqarah: 143)

Agar mereka menunaikan amanah ini dengan sebaik-baiknya dan melaksanakan tanggungjawab, Allah Subha Nahu Wa Ta’ala telah memfardhukan jihad pada jalan-Nya, jihad dengan maknanya yang luas lagi menyeluruh sehingga dakwah terus hidup.

Mereka dituntut memberikan pengorbanan pada jalan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala dengan tujuan menolong agamaNya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah mentarbiyah para sahabatnya untuk berjihad pada jalan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala dan mengorbankan setiap apa yang berharga dan bernilai bagi memenangkan agama ini. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah imam kepada mereka dalam jihad dan pengorbanan. Sesungguhnya umat ini tidak akan baik melainkan dengan perkara yang menyebabkan umat dahulu menjadi baik, dan sekali-kali mereka tidak akan menjadi mulia melainkan dengan perkara yang menyebabkan umat dahulu menjadi mulia.

Sesiapa yang mahukan kebaikan dan islah (perubahan), keagungan dan kemuliaan tanpa jihad dan pengorbanan, maka beliau bermimpi di siang hari.

Sepotong syair Arab ada meyebut;

“Sesiapa yang mengejar ketinggian tanpa berpenat lelah maka dia telah mensia-siakan kerjanya dalam menuntut sesuatu yang mustahil.”


Pengorbanan yang dituntut

Setiap orang yang meredhai Allah Subha Nahu Wa Ta’ala sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai Nabi dan Rasul, maka dituntut darinya melakukan pengorbanan. Setiap yang bernazar dan berjanji kepada Tuhannya untuk bekerja dan berjihad untuk Islam dituntut darinya melahirkan kesungguhan dan pengorbanan yang berharga. Hakikat ini mesti jelas dengan sejelas-jelasnya pada seorang Muslim. Menjadi kewajipan ke atasnya menyiapkan diri dan menyediakan dirinya bagi pengorbanan tersebut. Jadi apakah dia pengorbanan yang dituntut itu?

“Mengorbankan jiwa, harta, masa, kehidupan dan semua perkara untuk mencapai matlamat.”

Ya, inilah pengorbanan yang dituntut daripada seorang Muslim. Inilah pengorbanan yang diseru oleh Allah Subha Nahu Wa Ta’ala dan dididik para sahabat oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Allah berfirman;

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Mukmin, jiwa-jiwa mereka dan harta-harta mereka dan membayarnya dengan syurga. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu membunuh atau dibunuh. Itulah janji yang benar yang disebut di dalam kitab Taurat, Injil dan Quran. Sesiapa yang menunaikan janjinya dengan Allah, maka bergembiralah dengan janji yang kamu meterikan itu. Yang demikian adalah kemenangan yang besar.” (At-Taubah: 111)


FirmanNya lagi;

“Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipatgandakan pembayaran kepadanya dengan gandaan yang banyak.” (Al-Baqarah:245)

Apabila Abu Darda’ mendengar ayat ini, dia merasakan tidak ada pilihan lain melainkan bersedekah dengan hartanya yang paling dikasihi lagi berharga.

Begitulah kita lihat tarbiyah Nabawiyah yang dinikmati oleh para sahabat secara praktikal.

Abu Bakar Radhiallahu ‘Anhu telah mengorbankan dan membelanjakan seluruh hartanya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya kepadanya: “Apakah yang telah kamu tinggalkan kepada keluarga kamu?” Lalu beliau menjawab: “Aku telah tinggalkan untuk mereka Allah dan RasulNya.”

Suhaib Ar-Rumi telah mengorbankan seluruh apa yang beliau miliki demi untuk menolong agama Allah. Lantas Allah menurunkan untuknya dan orang yang sepertinya ayat Al-Quran yang dapat dibaca. Firman Allah Subha Nahu Wa Ta’ala;

“Dan di antara mereka ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah, dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya.”  (Al-Baqarah: 207)

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menyambutnya seraya bersabda;

“Beruntunglah perniagaan kamu, wahai Suhaib”

Mus’ab adalah pemuda yang kaya lagi dimanjakan keluarganya mengorbankan semua yang ada padanya dan menjadi satu tanda daripada bukti-bukti jihad kepada syabab (pemuda) Muslim pada setiap zaman.

Begitu juga para Sahabiyat r.a. yang melakukan pengorbanan untuk Islam. Khadijah, Ummu Salamah, Ummu Sulaim, Nusaibah, Asma’ dan lain-lain. Mereka semua mempunyai sikap yang telah termaklum, kehidupan yang dimakmurkan dengan melakukan pengorbanan yang bernilai. Sejarah para sahabat dipenuhi dengan kisah-kisah pengorbanan dengan harta dan jiwa demi memenangkan agama Allah.

Rujukan: Pandangan Semula kepada Risalah Ta’alim, Muhammad Abdullah al Khatib

Bersatu Bukan Berpecah

Friday, October 2, 2009 0 comments


Kini saya ingin berbicara tentang dakwah kita dalam berhadapan dengan perselisihan dalam masalah agama dan perbezaan mazhab.

Bersatu Bukan Berpecah
Sedarlah (moga anda diberikan fahaman oleh Allah)! Pertama, dakwah Ikhwan al-Muslimin adalah dakwah untuk semua, bukan hanya untuk golongan tertentu sahaja. Dakwah ini juga tidak berpihak kepada mana-mana pendapat yang diketahui mempunyai corak tertentu atau ciri dan gaya tertentu. Dakwah ini tertumpu kepada soal asas agama. Kita mahu seluruh perhatian dan tumpuan dihala ke satu arah supaya segala usaha akan lebih bermakna dan lebih membuahkan hasil. Dakwah Ikhwan adalah dakwah yang putih bersih tanpa sebarang warna. Dakwah ini akan sentiasa bersama kebenaran walau di mana sahaja dan akan sentiasa inginkan perpaduan dan tidak mahukan perpecahan.

Malapetaka paling besar bagi umat Islam ialah perpecahan dan perselisihan. Faktor yang membantu kemenangan umat Islam pula ialah kasih sayang dan perpaduan. Generasi akhir ini hanya mampu dibaiki dengan menggunakan apa yang digunakan untuk memperbaiki generasi pertama. Ini adalah kaedah asas dan juga matlamat yang diketahui oleh setiap saudara seislam. Ia suatu yang kita yakini, kita perjuangkan dan kita seru.

Perbezaan pendapat pasti wujud
Dalam pada itu, kita meyakini perbezaan pendapat dalam sudut cabang agama adalah suatu yang pasti berlaku. Kita tidak mungkin boleh bersatu pendapat dalam sudut cabang, pendapat dan fahaman kerana beberapa faktor:

Salah satu faktornya ialah perbezaan keupayaan akal mencedok sesuatu hukum atau memahami sesuatu dalil dan menyelami secara mendalam sesuatu maksud. Setiap perkara saling berhubung kait. Agama ini berlandaskan ayat-ayat al-Quran, hadis dan nas sedangkan semua ini difahami oleh akal berdasarkan kaedah bahasa dan tatabahasa. Dalam perkara ini semua manusia amat-amat berbeza dan perbezaan pendapat sudah pasti tidak dapat dielak.

Faktor lain ialah keupayaan ilmu. Ada orang yang mencapai tahap ilmu yang jauh lebih tinggi daripada orang lain dan begitulah dengan yang lain. Imam Malik pernah berkata kepada Abu Jaafar: “Para sahabat Rasulullah s.a.w. telah bertaburan di seluruh muka bumi dan masing-masing mempunyai ilmu tersendiri. Jika engkau arahkan mereka supaya berpegang kepada satu pendapat, sudah tentu akan berlaku bencana.”

Satu lagi faktor ialah perbezaan tempat, di mana pelaksanaan sesuatu hukum akan berbeza mengikut perbezaan tempat. Anda sendiri lihat bagaimana Imam al-Shafie r.a. pernah memberi fatwa dengan mazhab lama (qadim) di Iraq tetapi memberi fatwa dengan mazhab baru (jadid) di Mesir. Dalam kedua-dua keadaan beliau berpandukan kepada fahaman dan apa yang beliau perolehi. Namun dalam kedua-dua keadaan beliau tetap berusaha mencari hukum yang sebenar dengan penuh teliti.

Faktor berikutnya ialah perbezaan dalam meyakini dan menerima sesuatu riwayat. Kita dapati seorang periwayat dianggap seorang yang dipercayai oleh seorang imam. Dalam masa yang sama dia dianggap tidak boleh dipercayai oleh imam yang lain berpandukan kepada pengetahuan imam itu tentang periwayat tersebut.

Faktor lain ialah perbezaan dalam menentukan kedudukan sesuatu dalil. Contohnya, ada di antara mereka yang mengutamakan amalan penduduk Madinah daripada hadis ahad dan ada pula yang tidak berpendapat sedemikian.

Sependapat dalam masalah cabang adalah mustahil

Semua faktor ini meyakinkan kita bahawa sependapat dalam sesuatu masalah cabang agama adalah mustahil. Malah bercanggah sama sekali dengan landasan agama ini. Allah mahukan agama ini sentiasa wujud dan kekal, selari dengan peredaran zaman. Untuk itu agama ini perlu bersifat mudah dan anjal, tidak jumud dan terlalu membebankan.

Maaf kepada yang tidak sependapat
Inilah yang kita yakini. Kita memohon maaf daripada sesiapa sahaja yang berbeza pendapat dengan kita dalam masalah cabang. Kita merasakan perbezaan pendapat ini tidak akan menjadi penghalang untuk kita menyatukan hati-hati manusia, saling berkasih sayang dan bekerjasama untuk kebaikan. Untuk kita berkongsi bersama ertikata Islam yang menyeluruh itu. Bukankah kita dan mereka adalah umat Islam? Bukankah kita mahu akur dengan hukum yang kita yakini dan begitu juga mereka? Bukankah kita dituntut supaya melakukan sesuatu yang disukai oleh saudara-saudara kita sama seperti kita suka melakukannya untuk diri kita sendiri? Jadi di manakah perselisihan sebenarnya? Kenapa pendapat kita tidak boleh mereka pertikaikan sepertimana pendapat mereka boleh kita pertikaikan? Kenapa kita tidak saling faham memahami dalam suasana yang harmoni jika ia suatu yang perlu?

Para sahabat Rasulullah s.a.w. sendiri saling berbeza pendapat ketika memberi fatwa. Apakah perkara ini menyebabkan hati mereka berpecah? Apakah perpaduan mereka atau ikatan sesama mereka berkecai? Demi Allah, tidak dan peristiwa sembahyang Asar di bani Quraizah menjadi contoh.

Jika mereka ini pun berbeza pendapat sedangkan mereka adalah orang yang paling hampir dengan zaman nubuwwah. Malah mereka adalah orang yang paling arif tentang perkara yang bersangkutan dengan sesuatu hukum. Kenapa pula kita berbalah tentang sesuatu perbezaan pendapat yang tidak penting? Jika para imam mujtahid; orang yang paling tahu tentang Kitab Allah dan sunnah rasul juga berbeza pendapat dan saling berdebat antara satu sama lain kenapa kita tidak boleh lakukan sebagaimana yang mereka lakukan? Jika perbezaan pendapat ini berlaku dalam masalah cabang yang paling masyhur seperti masalah azan yang dilaungkan sebanyak lima kali sehari walaupun terdapat banyak nas dan hadis yang berkisar tentangnya jadi kenapa pula timbul masalah dengan masalah kecil yang hanya dirujuk kepada pendapat dan cedokan manusia sahaja.

Ada satu lagi perkara yang perlu diperhatikan iaitu masyarakat dahulu apabila berlaku sebarang perbezaan pendapat, mereka akan merujuk kepada khalifah dengan syarat dia adalah imam mujtahid. Khalifah akan memutuskan perkara ini dan keputusannya akan menghentikan perbezaan pendapat ini. Namun sekarang di manakah khalifah? Dalam keadaan ini adalah lebih baik umat Islam merujuk masalah mereka kepada seorang hakim. Jika perbezaan pendapat mereka tidak dirujuk kepada mana-mana sumber, ia hanya akan menimbulkan perbezaan pendapat yang lain pula.

Ikhwan al-Muslimin amat memahami segala aspek ini. Oleh kerana itu mereka adalah orang yang paling bersikap terbuka dengan orang yang berbeza pendapat dengan mereka. Mereka melihat masing-masing ada ilmu dan masing-masing mungkin benar dan mungkin silap. Mereka akan mencari kebenaran dan akan berpegang dengan kebenaran. Mereka akan cuba dengan cara yang baik untuk meyakinkan orang yang berbeza pendapat dengan mereka untuk memahami pandangan mereka. Terserahlah kepada orang itu meyakininya. Jika tidak meyakininya mereka masih merasakannya sebagai saudara seagama. Kita memohon semoga kita semua mendapat hidayah.

Ini adalah pendekatan yang digunakan oleh Ikhwan al-Muslimin apabila berhadapan dengan orang yang berbeza pendapat dengan mereka dalam masalah cabang agama. Secara ringkasnya boleh saya katakan Ikhwan menerima perbezaan pendapat dan tidak menerima ketaksuban. Mereka akan berusaha mencari kebenaran dan akan mengajak manusia ke arah kebenaran dengan cara yang terbaik, lembut dan penuh kasih sayang.

As Syahid Hasan Al Banna.

 
Tarbiyah Pewaris © 2011 | Designed by RumahDijual, in collaboration with Online Casino, Uncharted 3 and MW3 Forum