Alangkah tepat sekali kata hikmah yang menyebut: “Kekuatan adalah cara paling selamat untuk menegakkan kebenaran. Alangkah baiknya jika kekuatan dan kebenaran berjalan seiringan.”
Jihad bagi mengembangkan dakwah Islam terutama bagi memelihara kesucian Islam adalah suatu kewajipan yang diletakkan oleh Allah ke bahu umat Islam sama sepertimana Allah mewajibkan mereka puasa, sembahyang, haji, zakat, membuat kebaikan dan menjauhi kejahatan. Allah mewajibkan dan juga menggalakkan mereka melakukannya. Allah tidak mengecualikan sesiapa sahaja yang memiliki kekuatan dan kemampuan. Ayat yang menyebut perintah ini datang dengan amaran yang cukup keras dan suatu nasihat yang perlu diberikan perhatian.
"Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam)." (Al-Taubah: 41)
Allah telah mendedahkan rahsia di sebalik segala perintah dan kewajipan ini kepada umat Islam. Allah jelaskan bahawa Dia memilih mereka supaya menjadi peneraju manusia, pemelihara syariat-Nya, menjadi wakil-Nya di bumi ini dan sebagai pewaris Rasulullah s.a.w. memikul dakwah baginda. Allah telah bentangkan kepada mereka agama ini. Allah telah memantapkan syariat-Nya, memudahkan segala hukum-hakam-Nya dan menjadikan hukum-hakam ini sesuai untuk semua zaman dan tempat supaya ia boleh diterima oleh seluruh manusia. Melalui syariat ini manusia akan meletakkan segala harapan dan impian yang mereka nantikan.
"Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agama-Nya); dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Dia menamakan kamu: “Orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah)." (Al-Haj: 78)
Inilah tanggungjawab sosial yang telah diserahkan oleh Allah kepada seluruh umat Islam. Mereka hendaklah berada dalam satu barisan, satu ketumbukan dan satu kekuatan. Mereka hendaklah menjadi tentera penyelamat yang akan menyelamatkan seluruh manusia dan membimbing mereka ke arah jalan yang betul.
Rahib Di Malam Hari Pejuang Di Siang Hari
Selepas itu Allah Taala menjelaskan hubungan antara perintah sembahyang dan puasa dengan perintah sosial tadi di mana perintah pertama adalah sebagai langkah awal untuk perintah kedua. Akidah yang sahih pula adalah asas untuk kedua-dua perintah. Tujuannya, supaya manusia tidak menjadikan perintah tadi sebagai alasan untuk tidak melakukan kewajipan individu mereka dengan alasan mereka telah beramal untuk semua manusia. Dalam masa yang sama ia tidak menjadi alasan kepada manusia yang lain untuk tidak berbakti kepada semua manusia dengan alasan mereka sibuk dengan ibadah mereka dan menghabiskan sepenuh masa mengadap tuhan. Bukankah ayat ini tepat dan bijaksana.
Dan siapakah pula yang lebih benar perkataannya daripada Allah? (Al-Nisa’: 87)
Wahai umat Islam, mengabdikan diri kepada tuhan kamu dan berjihad demi memartabatkan agama dan syariat kamu adalah tanggungjawab kamu dalam hidup ini. Jika kamu telah menunaikan tanggungjawab ini dengan bersungguh-sungguh, kamu adalah golongan yang beroleh kejayaan. Jika kamu hanya laksanakan separuh atau kamu abaikannya sama sekali saya kemukakan kepada kamu firman Allah Taala:
"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam." (Al-Mukminun: 115-116)
Atas dasar inilah para sahabat Rasulullah s.a.w. yang merupakan manusia yang dipilih oleh Allah dan hamba-hamba-Nya yang soleh disifatkan sebagai “rahib di malam hari, pejuang di siang hari”. Pada waktu malam mereka dilihat berdiri di mihrab, mengusap janggut, mulut terkumat-kamit dan menangis sayu. Mereka berkata: “Wahai dunia, perdayalah orang lain selain aku.” Apabila fajar menyingsing dan gendang perang dipalu memanggil para mujahidin, anda lihat mereka memacu kuda, riuh rendah memenuhi medan pertempuran.
Demi Allah, inilah keseimbangan yang menakjubkan antara amalan dan tugas di dunia dengan amalan dan kerohanian akhirat. Inilah Islam yang telah berjaya menggabungkan segala yang terbaik.
Imam As Syahid Hasan Al Banna
0 comments:
Post a Comment