Video

Tanggungjawab Muslim: Berkorban Bukan Mengaut Keuntungan

Sunday, October 11, 2009



Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugama-Nya); dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: “orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifat-Nya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan. (Al-Haj: 77-78)

Ini bermakna al-Quran telah meletakkan umat Islam sebagai pembimbing umat manusia seluruhnya. Al-Quran telah menyerahkan hak menguasai dunia ini kepada mereka untuk menunaikan tanggungjawab yang suci ini. Oleh itu ini adalah hak kita bukan hak Barat. Ini adalah hak tamadun Islam dan bukan hak tamadun materialisme.
Seterusnya Allah Taala menjelaskan lagi bahawa dalam usaha mencapai matlamat ini orang yang beriman telah menjual jiwa dan hartanya kepada Allah. Ini bermakna tiada apa-apa lagi yang dikira sebagai haknya. Segalanya telah diserahkan demi kejayaan dakwah ini dan supaya dakwah ini sampai ke hati manusia. Ini dinyatakan oleh firman Allah:
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga. (Al-Taubah: 111)
Dari sini kita dapat lihat seorang muslim menjadikan dunianya sebagai wakafan untuk dakwahnya, semata-mata untuk memperolehi kesenangan di akhirat nanti sebagai ganjaran kepada segala pengorbanannya. Atas dasar inilah seorang penakluk muslim bertindak sebagai seorang guru yang memiliki segala sifat yang sepatutnya dimiliki oleh seorang guru iaitu cahaya, hidayah, rahmat dan ihsan. Jadi ini bermakna penaklukan Islam adalah suatu proses membawa suatu tamadun dan peradaban, suatu proses untuk membimbing dan mendidik. Adakah ini telah dilakukan oleh kolonialisme Barat hari ini?
Sejauhmana Umat Islam Dengan Matlamat Ini?
Demi Allah! wahai saudaraku yang dihormati, adakah umat Islam hari ini memahami pengertian ini daripada kitab Tuhan mereka? Dengan itu jiwa dan roh mereka bebas merdeka daripada kehambaan dunia. Bersih daripada segala kongkongan syahwat dan hawa nafsu. Tidak terlibat dengan soal yang remeh temeh dan matlamat yang terlalu remeh. Mereka kerahkan seluruh jiwa mereka untuk Allah yang telah mencipta langit dan bumi dengan penuh ikhlas serta mahu memartabatkan kalimah Allah dan berjuang di jalan-Nya. Mereka berusaha mengembangkan agama-Nya dan mempertahankan syariat-Nya. Ataupun pada hakikatnya mereka adalah tawanan dan hamba kepada syahwat dan hawa nafsu mereka sendiri. Apa yang menjadi tumpuan mereka hanyalah sesuap nasi, kenderaan, hiasan, tidur yang nyenyak, wanita yang cantik, imej yang palsu dan gelaran yang kosong.
Penyair menyebut:
“Mereka leka dengan impian lantas mempertaruhkan nasib mereka. Mereka dakwa telah harungi lautan gelora namun sebenarnya mereka belum diuji”

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w.:
“Celakalah hamba dinar, hamba dirham, hamba qatifah.”

Matlamat Adalah Pokok, Usaha Hanya Cabang
Matlamat merangsang manusia untuk mengatur langkah. Namun apabila matlamat ummah masih kabur dan bercelaru kita perlu bertindak menjelaskan dan menetapkan matlamat ini. Saya merasakan kita telah memahami banyak perkara dengan jelas. Kita juga telah bersetuju bahawa peranan kita ialah memimpin dan membimbing dunia serta manusia agar semuanya tunduk di bawah sistem dan ajaran Islam yang menjadi satu-satunya jalan yang boleh membawa manusia ke arah kebahagiaan.
Landasan Matlamat Kami
Inilah mesej yang ingin disampaikan oleh Ikhwan al-Muslimin kepada seluruh manusia supaya umat Islam benar-benar memahaminya. Malah supaya mereka bersedia melaksanakannya dengan penuh keazaman dan ketabahan. Mesej ini bukanlah ciptaan Ikhwan al-Muslimin dan bukan rekaan mereka. Sebaliknya mesej ini jelas dinyatakan oleh ayat-ayat al-Quran al-Karim. Mesej ini dengan jelas dinyatakan oleh hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang mulia. Malah turut ditampilkan dengan jelas melalui amalan generasi pertama yang merupakan contoh teladan terbaik dalam memahami dan melaksanakan ajaran Islam. Jika umat Islam mahu menerima mesej ini, ia menjadi tanda keimanan dan keislaman mereka yang sebenar. Jika mereka keberatan untuk menerima atau masih sangsi, di hadapan kita ada Kitab Allah. Hukumnya adil dan keputusannya muktamad. Ia akan menjadi hakim antara kita dan saudara-saudara kita ini. Kitab Allah yang menentukan sama ada kita di pihak yang benar atau salah.
Wahai Tuhan kami, hukumkanlah antara kami dan kaum kami dengan kebenaran (keadilan), kerana Engkau jualah sebaik-baik Hakim. (Al-A’raf: 89)
Penjelasan
Ramai di kalangan saudara kita yang masih tertanya-tanya walaupun mereka adalah orang yang amat kita kasihi sepenuh jiwa raga kita. Malah kita serahkan segala tenaga, harta dan jiwa kita untuk kebaikan mereka. Kita bekerja demi kepentingan dunia dan akhirat mereka. Kita juga korbankan segala harta dan jiwa kita untuk matlamat ini. Matlamat untuk membawa kebahagiaan kepada ummah dan saudara-saudara kita. Kita ketepikan anak isteri kita demi mereka. Alangkah besarnya harapan saya jika saudara-saudara yang masih tertanya-tanya ini melihat sendiri para pemuda Ikhwan al-Muslimin yang sentiasa berjaga malam ketika semua manusia sedang nyenyak tidur. Mereka bekerja berhempas pulas sedangkan mereka yang hanyut terus membuang masa. Ada di antara mereka berada di pejabat daripada Asar hingga ke tengah malam bekerja dan berfikir bersungguh-sungguh. Begitulah selama sebulan dan apabila tiba akhir bulan dia menyerahkan pendapatannya untuk jamaah. Segala perbelanjaannya hanya untuk dakwah, hartanya adalah untuk mencapai matlamatnya. Segala geraklakunya seolah berkata kepada masyarakat yang tidak sedar pengorbanan yang dilakukannya itu: “Saya tidak pernah meminta ganjaran daripada kamu kerana pengorbanan ini. Segala ganjaran saya hanyalah daripada Allah.” Kita tidak sekali-kali meminta-minta daripada masyarakat kerana kita daripada mereka dan untuk mereka. Cuma kita harapkan, dengan segala pengorbanan ini mereka akan memahami dakwah kita dan menyahut seruan kita.






As Syahid Syeikh Imam Hassan Al Banna

0 comments:

 
Tarbiyah Pewaris © 2011 | Designed by RumahDijual, in collaboration with Online Casino, Uncharted 3 and MW3 Forum