Video

Bersatu Bukan Berpecah

Friday, October 2, 2009


Kini saya ingin berbicara tentang dakwah kita dalam berhadapan dengan perselisihan dalam masalah agama dan perbezaan mazhab.

Bersatu Bukan Berpecah
Sedarlah (moga anda diberikan fahaman oleh Allah)! Pertama, dakwah Ikhwan al-Muslimin adalah dakwah untuk semua, bukan hanya untuk golongan tertentu sahaja. Dakwah ini juga tidak berpihak kepada mana-mana pendapat yang diketahui mempunyai corak tertentu atau ciri dan gaya tertentu. Dakwah ini tertumpu kepada soal asas agama. Kita mahu seluruh perhatian dan tumpuan dihala ke satu arah supaya segala usaha akan lebih bermakna dan lebih membuahkan hasil. Dakwah Ikhwan adalah dakwah yang putih bersih tanpa sebarang warna. Dakwah ini akan sentiasa bersama kebenaran walau di mana sahaja dan akan sentiasa inginkan perpaduan dan tidak mahukan perpecahan.

Malapetaka paling besar bagi umat Islam ialah perpecahan dan perselisihan. Faktor yang membantu kemenangan umat Islam pula ialah kasih sayang dan perpaduan. Generasi akhir ini hanya mampu dibaiki dengan menggunakan apa yang digunakan untuk memperbaiki generasi pertama. Ini adalah kaedah asas dan juga matlamat yang diketahui oleh setiap saudara seislam. Ia suatu yang kita yakini, kita perjuangkan dan kita seru.

Perbezaan pendapat pasti wujud
Dalam pada itu, kita meyakini perbezaan pendapat dalam sudut cabang agama adalah suatu yang pasti berlaku. Kita tidak mungkin boleh bersatu pendapat dalam sudut cabang, pendapat dan fahaman kerana beberapa faktor:

Salah satu faktornya ialah perbezaan keupayaan akal mencedok sesuatu hukum atau memahami sesuatu dalil dan menyelami secara mendalam sesuatu maksud. Setiap perkara saling berhubung kait. Agama ini berlandaskan ayat-ayat al-Quran, hadis dan nas sedangkan semua ini difahami oleh akal berdasarkan kaedah bahasa dan tatabahasa. Dalam perkara ini semua manusia amat-amat berbeza dan perbezaan pendapat sudah pasti tidak dapat dielak.

Faktor lain ialah keupayaan ilmu. Ada orang yang mencapai tahap ilmu yang jauh lebih tinggi daripada orang lain dan begitulah dengan yang lain. Imam Malik pernah berkata kepada Abu Jaafar: “Para sahabat Rasulullah s.a.w. telah bertaburan di seluruh muka bumi dan masing-masing mempunyai ilmu tersendiri. Jika engkau arahkan mereka supaya berpegang kepada satu pendapat, sudah tentu akan berlaku bencana.”

Satu lagi faktor ialah perbezaan tempat, di mana pelaksanaan sesuatu hukum akan berbeza mengikut perbezaan tempat. Anda sendiri lihat bagaimana Imam al-Shafie r.a. pernah memberi fatwa dengan mazhab lama (qadim) di Iraq tetapi memberi fatwa dengan mazhab baru (jadid) di Mesir. Dalam kedua-dua keadaan beliau berpandukan kepada fahaman dan apa yang beliau perolehi. Namun dalam kedua-dua keadaan beliau tetap berusaha mencari hukum yang sebenar dengan penuh teliti.

Faktor berikutnya ialah perbezaan dalam meyakini dan menerima sesuatu riwayat. Kita dapati seorang periwayat dianggap seorang yang dipercayai oleh seorang imam. Dalam masa yang sama dia dianggap tidak boleh dipercayai oleh imam yang lain berpandukan kepada pengetahuan imam itu tentang periwayat tersebut.

Faktor lain ialah perbezaan dalam menentukan kedudukan sesuatu dalil. Contohnya, ada di antara mereka yang mengutamakan amalan penduduk Madinah daripada hadis ahad dan ada pula yang tidak berpendapat sedemikian.

Sependapat dalam masalah cabang adalah mustahil

Semua faktor ini meyakinkan kita bahawa sependapat dalam sesuatu masalah cabang agama adalah mustahil. Malah bercanggah sama sekali dengan landasan agama ini. Allah mahukan agama ini sentiasa wujud dan kekal, selari dengan peredaran zaman. Untuk itu agama ini perlu bersifat mudah dan anjal, tidak jumud dan terlalu membebankan.

Maaf kepada yang tidak sependapat
Inilah yang kita yakini. Kita memohon maaf daripada sesiapa sahaja yang berbeza pendapat dengan kita dalam masalah cabang. Kita merasakan perbezaan pendapat ini tidak akan menjadi penghalang untuk kita menyatukan hati-hati manusia, saling berkasih sayang dan bekerjasama untuk kebaikan. Untuk kita berkongsi bersama ertikata Islam yang menyeluruh itu. Bukankah kita dan mereka adalah umat Islam? Bukankah kita mahu akur dengan hukum yang kita yakini dan begitu juga mereka? Bukankah kita dituntut supaya melakukan sesuatu yang disukai oleh saudara-saudara kita sama seperti kita suka melakukannya untuk diri kita sendiri? Jadi di manakah perselisihan sebenarnya? Kenapa pendapat kita tidak boleh mereka pertikaikan sepertimana pendapat mereka boleh kita pertikaikan? Kenapa kita tidak saling faham memahami dalam suasana yang harmoni jika ia suatu yang perlu?

Para sahabat Rasulullah s.a.w. sendiri saling berbeza pendapat ketika memberi fatwa. Apakah perkara ini menyebabkan hati mereka berpecah? Apakah perpaduan mereka atau ikatan sesama mereka berkecai? Demi Allah, tidak dan peristiwa sembahyang Asar di bani Quraizah menjadi contoh.

Jika mereka ini pun berbeza pendapat sedangkan mereka adalah orang yang paling hampir dengan zaman nubuwwah. Malah mereka adalah orang yang paling arif tentang perkara yang bersangkutan dengan sesuatu hukum. Kenapa pula kita berbalah tentang sesuatu perbezaan pendapat yang tidak penting? Jika para imam mujtahid; orang yang paling tahu tentang Kitab Allah dan sunnah rasul juga berbeza pendapat dan saling berdebat antara satu sama lain kenapa kita tidak boleh lakukan sebagaimana yang mereka lakukan? Jika perbezaan pendapat ini berlaku dalam masalah cabang yang paling masyhur seperti masalah azan yang dilaungkan sebanyak lima kali sehari walaupun terdapat banyak nas dan hadis yang berkisar tentangnya jadi kenapa pula timbul masalah dengan masalah kecil yang hanya dirujuk kepada pendapat dan cedokan manusia sahaja.

Ada satu lagi perkara yang perlu diperhatikan iaitu masyarakat dahulu apabila berlaku sebarang perbezaan pendapat, mereka akan merujuk kepada khalifah dengan syarat dia adalah imam mujtahid. Khalifah akan memutuskan perkara ini dan keputusannya akan menghentikan perbezaan pendapat ini. Namun sekarang di manakah khalifah? Dalam keadaan ini adalah lebih baik umat Islam merujuk masalah mereka kepada seorang hakim. Jika perbezaan pendapat mereka tidak dirujuk kepada mana-mana sumber, ia hanya akan menimbulkan perbezaan pendapat yang lain pula.

Ikhwan al-Muslimin amat memahami segala aspek ini. Oleh kerana itu mereka adalah orang yang paling bersikap terbuka dengan orang yang berbeza pendapat dengan mereka. Mereka melihat masing-masing ada ilmu dan masing-masing mungkin benar dan mungkin silap. Mereka akan mencari kebenaran dan akan berpegang dengan kebenaran. Mereka akan cuba dengan cara yang baik untuk meyakinkan orang yang berbeza pendapat dengan mereka untuk memahami pandangan mereka. Terserahlah kepada orang itu meyakininya. Jika tidak meyakininya mereka masih merasakannya sebagai saudara seagama. Kita memohon semoga kita semua mendapat hidayah.

Ini adalah pendekatan yang digunakan oleh Ikhwan al-Muslimin apabila berhadapan dengan orang yang berbeza pendapat dengan mereka dalam masalah cabang agama. Secara ringkasnya boleh saya katakan Ikhwan menerima perbezaan pendapat dan tidak menerima ketaksuban. Mereka akan berusaha mencari kebenaran dan akan mengajak manusia ke arah kebenaran dengan cara yang terbaik, lembut dan penuh kasih sayang.

As Syahid Hasan Al Banna.

0 comments:

 
Tarbiyah Pewaris © 2011 | Designed by RumahDijual, in collaboration with Online Casino, Uncharted 3 and MW3 Forum