SAYA MESTI MEYAKINI BAHAWA BERKERJA UNTUK ISLAM ADALAH WAJIB
3. Wajib Dari Sudut Tuntutan (atau Darurat)
Beramal dan bekerja untuk Islam juga merupakan satu kewajipan jika dilihat dari sudut cabaran-cabaran dan serangan-serangan yang dihadapi oleh Islam dan umatnya.
Menjadi satu kewajipan bagi umat Islam menyekat penularan fahaman kebendaan dan atheis (fahaman tidak percayakan tuhan) yang berusaha menggugat kewujudan Islam.
Banyak negara (umat Islam) yang merintih dan menderita kerana dikuasai oleh orang-orang bukan Islam (kafir) sebagaimana yang dialami oleh rakyat Palestin, Kashmir, Eriteria, Qibrash, Bukhara, Samarkand dan lain-lain.
Terdapat juga umat Islam yang menjadi golongan minoriti yang ditindas oleh pemerintah kuku besi.
Umat Islam di negara-negara (umat Islam) sendiri banyak yang ditindas oleh golongan-golongan puak kiri (seperti puak sosialis dan puak komunis) atau puak kanan (seperti puak kapitalis).
Begitu juga keadaan hidup umat Islam di beberapa tempat yang berada di dalam suasana pertumpahan darah akibat perebutan kuasa di antara pelbagai golongan.
Umat Islam juga berhadapan dengan pelbagai bentuk kuncu-kuncu, tali barut dan penyokong-penyokong musuh yang cuba merosakkan Islam dari dalam. Keadaan yang tercabar dan darurat ini mewajibkan umat Islam bangkit untuk berkerja dan berjihad bagi mendaulatkan kembali din Islam. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
“Dan perangilah mereka, supaya jangan ada fitnah dan supaya agama itu semata-mata untuk Allah, jika mereka berhenti (dari kekafiran), maka sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan”.
(Surah Al-Anfaal, Ayat: 39)
4. Wajib Secara Individu Mahupun Jama’ah
Tanggungjawab beramal dan bekerja untuk Islam dari sudut syara’ adalah tanggungjawab ke atas individu (fardi) sama seperti kewajipan-kewajipan dan tanggungjawab-tanggungjawab syariat yang lain. Ganjaran pahala diberikan kepada individu yang melaksanakannya dan berdosa jika meninggalkannya.
Firman Allah Subhanahuwata’ala:
”Dan tiap-tiap mereka akan datang kepada Allah pada hari kiamat dengan sendiri-sendiri.”
(Surah Maryam, Ayat: 95).
Jika kamu berbuat baik (berarti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, Maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri,
(Surah Al-Israa', Ayat: 7).
Firman Allah lagi:
Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.
(Surah Al-'Ankabut, Ayat: 6)
Firman Allah lagi:
”Dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudharatannya kembali kepada dirinya sendiri, dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Rabmulah kamu kembali, dan akan diberitakan-Nya kepadamu apa yang kamu perselisihkan."
(Surah Al-An'am, Ayat: 164)
Islam telah menentukan bahawa setiap orang Islam bertanggungjawab memberikan khidmat dan pengorbanan untuk Islam mengikut batas kemampuan masing-masing, selagimana ia baligh, berakal dan berkemampuan. Setiap individu umpama nyawa atau sel yang hidup dalam badan. Setiap individu berperanan untuk membina kekuatan masyarakat Islam.
Oleh kerana beramal dan bekerja untuk Islam adalah wajib bagi individu, seperti yang dinyatakan di atas, maka ia juga wajib secara jama'i (organisasi) jika dilihat dari sudut tanggungjawab gerakan. Hakikat ini berasaskan beberapa sebab:
- Taklif atau tanggungjawab beramal dan bekerja untuk Islam adalah tanggungjawab yang sangat berat untuk dipikul oleh orang perseorangan kerana matlamatnya ialah meruntuhkan jahiliah hingga ke akar umbinya dan di atas runtuhan itu ditegakkan Islam.
Tugas yang besar ini memerlukan pengorbanan dan tenaga yang tidak mungkin mampu ditampung oleh seorang individu sekalipun ia memerahkan seluruh tenaga dan kemampuannya, atau sekalipun ia sanggup menghadapi segala penderitaan.
Tanggungjawab yang berat ini hanya mampu dipikul oleh gerakan yang tersusun dan memiliki kadar kemampuan yang setimpal (samada dari sudut kesedaran, penyusunan mahupun kekuatan) untuk menghadapi kekuatan jahiliah yang wujud.
- Sesungguhnya usaha-usaha Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam menghadapi serangan jahiliah dan menegakkan masyarakat Islam telah membuktikan bahawa bekerja secara berjama’ah untuk menegakkan Islam adalah wajib.
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam tidak bekerja secara individu, malah dari awal-awal lagi baginda membentuk jama’ah dengan memilih anasir-anasir yang baik dengan teliti. Baginda membersih dan membentuk mereka sehingga terbina satu jama’ah yang membantu baginda untuk melakukan perubahan dalam masyarakat.
- Amal dan gerak kerja untuk menegakkan Islam dipenuhi dengan ranjau dan duri, ujian dan cubaan.
Kuasa-kuasa asing yang sentiasa menunggu kesempatan untuk memukul umatnya sangat banyak.
Kesemua cabaran ini menuntut kewujudan sebuah tanzim haraki (penyusunan gerakan) yang melaksanakan amal secara menyeluruh untuk berdepan dengan segala kemungkinan yang mendatang.
Terdapat banyak dalil yang menunjukkan beramal secara berjama’ah yang tersusun kemas untuk menegakkan Islam adalah penting. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:
”Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran, dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.”
(Surah Al-Maidah, Ayat: 2)
5. Ganjaran Jihad Adalah Untuk Mujahid Itu Sendiri
- Para pekerja Islam perlulah faham bahawa merekalah yang sebenarnya memerlukan Islam. Sewaktu mereka bekerja, berjihad dan berjuang bererti mereka bertindak membersihkan diri dan jiwa mereka sendiri di samping menunaikan sebahagian hak-hak Allah ke atas mereka. Mereka juga akan memperolehi balasan ganjaran daripada Allah Subhanahuwata’ala di hari kiamat kelak, yakni pada hari di mana pandangan manusia tunduk dan hati bergetar kerana dilanda ketakutan ditimpa azab.
Merekalah yang beruntung sekiranya mereka mara beramal dan mereka sendiri yang rugi sekiranya berundur atau berpaling tadah.
Allah Subhanahuwata’ala berfirman:
”Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.”
(Surah Al-Ankabut, Ayat: 6)
Allah Subhanahuwata’ala berfirman lagi:
”Dan Allah-lah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya), dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan seperti kamu ini.”
(Surah Muhammad, Ayat: 38)
- Para pekerja Islam mestilah memahami bahawa nilai dan harga diri mereka sebenarnya adalah kerana pegangan mereka terhadap Islam. Mereka tidak mempunyai apa-apa nilai sekiranya tidak bersama Islam.
Kemuliaan dan ketinggian mereka yang sebenarnya tidak akan tercapai melainkan dengan menggembleng tenaga dan melibatkan diri di dalam jama’ah Islam yang memperjuangkan Islam dan terus kekal bersama-samanya.
Sesiapa yang mengasingkan diri daripada Islam, maka dia akan keseorangan di dalam azab neraka. Sesiapa yang menyatukan dirinya secara benar dengan Islam dan dengan kumpulan yang memperjuangkan Islam bererti dia telah bergabung dengan nasab keturunan yang mulia dan mengikat diri dengan golongan yang mendapat petunjuk yang terdiri daripada para Nabi dan para syuhada yang mendapat nikmat di sisi Allah Subhanahuwata’ala.
- Para pekerja Islam juga mestilah menyedari bahawa terus kekal di dalam jama’ah adalah syarat untuk mendapat pendirian yang teguh, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:
"Sesungguhnya serigala itu hanya akan dapat memakan kambing yang tersisih (dari kumpulannya)."
Masyarakat yang dipenuhi dengan fitnah adalah seperti malam yang gelap-gelita. Manusia tidak mungkin dapat menjalani kehidupan dengan sempurna atau terselamat daripada kesan-kesan kotoran pelbagai fitnah sekiranya tidak menerima peringatan dan nasihat.
Firman Allah Subhanahuwata’ala:
“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.”
(Surah Az-Zariyaat, Ayat: 55)
Allah Subhanahuwata’ala berfirman lagi:
”Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.”
(Surah Al-Asr, Ayat: 1 - 3)
Oleh itu mereka mestilah hidup di bawah satu naungan keluarga yang beriman. Mereka mestilah bersama-sama dengan pasukan Rab yang Maha Pengasih buat selama-lamanya.
Firman Allah Subhanahuwata’ala lagi:
”Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadah kepada Rab mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”
(Surah Al-Kahfi, Ayat: 28)
- Para pekerja Islam juga mestilah benar-benar memahami bahawa mereka beramal dan berjihad semata-mata kerana Allah dan di jalan Allah. Mereka juga perlu memahami bahawa jalan ini adalah jalan yang jauh dan suka. Sesungguhnya syurga itu dikelilingi oleh perkara-perkara yang tidak diingini nafsu manakala neraka pula dikelilingi perkara-perkara yang diingini nafsu.
Jalan ini merupakan satu jalan yang tidak sanggup dilalui oleh mereka yang suka hidup dalam kemewahan dan bimbang akan kesempitan rezeki.
Jalan ini juga tidak akan sanggup dilalui oleh orang yang mementingkan kerehatan dan mengikut runtunan nafsu, serta tidak akan sanggup dilalui oleh orang yang sempit dada dan lemah.
Ia juga tidak akan sanggup dilalui oleh mereka yang tidak sabar menghadapi cemuhan dan cacian, serta tidak bersedia untuk mengorbankan wang ringgit dan harta benda.
Ia juga tidak akan sanggup dilalui oleh mereka yang berpegang keras dengan pendapat sendiri sahaja, serta tidak bersedia untuk tunduk kepada keputusan jama’ah atau iltizam dengan pandangan-pandangan jama’ah.
Sesungguhnya jalan ini adalah jalan pembersihan jiwa, penyucian hati dan pengawalan diri. Ia adalah jalan kerahmatan dan kemuliaan. Ia juga jalan kesabaran, ketetapan, kebebasan, kehormatan dan keikhlasan.
Seterusnya, jalan ini tidak akan sanggup dilalui, melainkan oleh orang-orang mukmin yang hati mereka terikat kukuh dengan Allah Yang Maha Esa, serta bergantung harap dengan pertolonganNya.
Allah Subhanahuwata’ala berfirman:
”Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah Telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”
(Surah At-Thalaq, Ayat: 3)
Allah Subhanahuwata’ala berfirman lagi:
“Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar.”
(Surah Al-Fath, Ayat: 10)
Rujukan:
0 comments:
Post a Comment