Video

Kesentiasaan Bermuqarabah Kepada Allah

Sunday, April 12, 2009

Kesentiasaan Bermuqarabah Kepada Allah


Muqadimah


Firman Allah dalam Surah Al-Anfal:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.”

(Al-Anfal:29)

Firman Allah dalam Surah Al-Hadid:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada Rasul-Nya (Muhammad) supaya Allah memberikan kepada kamu dua bahagian dan rahmat-Nya dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya serta diampunkan dosa kamu dan ingatlah Allah amat

Pengampun lagi amat Pengasihani.” (Al-Hadid: 28)


Dan firman Allah dalam surah At-Talaq:

“Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan dan meninggalkan segala larangan) nescaya Allah mengadakan baginya jalan keluar (dari perkara yang menyusahkan) serta memberikannya rezeki dari jalan yang tidak disangkakannya.” (At-Talaq :2-3)


Renungi dan perhatikanlah dalam keseluruhan rangkaian ayat-ayat tadi, apakah yang kita dapati?


Kita mendapati bahawa ketakwaan kepada Allah Azzawajala adalah merupakan asas gelombang kekuatan, serta asas bagi nur (cahaya) yang menyuluh dan asas bagi pemberian serta sumbangan (pengorbanan).


Dalam pada itu juga dengan ketakwaan kepada Allah Azzawajala sahajalah yang membolehkan seseorang mukmin membezakan antara yang hak dengan yang batil.

Begitulah dengan ketakwaan kepada-Nya, Allah menjadikan bagi mereka yang bertakwa satu nur (cahaya). Lantaran dengan cahaya tersebut mereka berjalan di kalangan manusia lalu manusia seluruhnya berpandukan dengan nur hidayah (yang mereka bawa) dan bersinarkan dengan nur tersebut.


Dengan ketakwaan kepada-Nya, mereka (yang bertakwa) mendapat jalan keluar (daripada kesusahan) kepada jalan yang penuh dengan keamanan. Sekalipun mereka di ketika itu berhadapan dengan maut serta berhadapan dengan seksaan-seksaan.


Sayyid Qutb dalam mentafsirkan firman Allah dalam Surah Al-Anfal:29, menyatakan:

“Inilah dia bekalan iaitu bekalan persediaan dan kelengkapan di perjalanan. Bekalan ketakwaan yang menghidup, membangkit dan menyedarkan hati, membuahkan di dalamnya setinggi-tinggi kesedaran, kewaspadaan dan berhati-hati. Menyediakan baginya sinar cahaya petunjuk yang menyingkap segala rintangan ujian di liku-liku perjalanan yang sejauh mata memandang. Cahaya petunjuk ini merupakan cahaya yang tidak dikelami dengan sebarang syubhat (kesamaran) serta mendindingi pemikiran yang sempurna dan benar. Kemudiannya, ia adalah merupakan bekalan mengampun dan memaafkan sebarang kesalahan, bekalan kedamaian yang mencurahkan ketenangan dan kegembiraan, bekalan cita-cita serta impian untuk memenuhi dan mencapai kurniaan Allah yang maha besar di ketika hari yang tiada di sana sebarang bekalan di ketika hari yang mana keseluruhan amalan adalah sia-sia, tidak mempunyai sebarang nilaian. Kesemuanya ini adalah merupakan kenyataan:


Bahawa hanya ketakwaan kepada Allah sahajalah yang benar wujud dan menjelma di hati, satu petunjuk yang membezakan antara yang benar dan yang batil yang seterusnya menyingkapkan rintangan dan halangan di perjalanan. Begitu juga dengan hakikat-hakikat kepercayaan (akidah) ini tidak akan dirasai, difahami dan diketahui melainkan kepada mereka yang melaksanakan secara amali.”


Murabaqatullah


Cukuplah bagi seorang muslim, khususnya para pendakwah ketika mana terniat di hatinya untuk melakukan sesuatu kerja, mengiktikadkan di dalam lubuk perasaannya bahawa Allah adalah bersamanya mendengar dan melihatnya, mengetahui rahsia-rahsianya, juga mengetahui kejahatan penglihatan dan apa yang di sembunyikan di dalam dada sebagaimana sabda junjungan Rasulullah saw. ketika mana ditanya mengenai “ihsan” iaitu:


“Engkau menyembah Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau.”

(Riwayat Muslim)


Dengan inilah sesungguhnya para muslim yang berjiwa pendakwah telah menghampiri dan bermuraqabah kepada Allah setiap masa lalu lantaran itulah juga yang mengelokkan akhlaknya, memperbaikkan amalannya, meneguhkan rohaninya dan adalah beliau meningkat ke tingkat kesempurnaan.


Dan kepadamu saudaraku yang berjiwa pendakwah, beberapa contoh hasil dan sentiasa bermuraqabah kepada Allah dalam jalan kehidupan, muamalah dan akhlak, marilah kita sama-sama hayati untuk meransang hati:

i. Al-Imam Al-Ghazali meriwayatkan di dalam Ihya’ bahawa Yunus bin Ubaid mempunyai beberapa pakaian yang berbeza harganya. Antaranya yang bernilai setiap satu 400 dirham dan yang bernilai 200 dirham. Beliau pergi menunaikan sembahyang dan meninggalkan anak saudaranya menjaga kedainya. Lalu datang seorang Badwi dan meminta pakaian yang bernilai 400 dirham. Lantas diberikannya pakaian yang bernilai 200 dirham. Badwi tersebut mendapatinya elok dan ia menyukainya lalu dibelinya dengan harga tersebut (400 dirham). Badwi tersebut beredar dan membimbit pakaian tersebut di tangannya. Kemudian beliau terserempak dengan Yunus dan Yunus mengetahui yang pakaian tersebut adalah dari kedainya. Beliau bertanyakan Badwi tersebut, “Dengan harga berapakah engkau membeli pakaian ini?” Lalu dijawab oleh Badwi tersebut dengan harga 400 dirham. Yunus berkata: “Harga baju ini tidak lebih dari 200 dirham maka pulangkan supaya dikembalikan duitnya. Badwi tersebut berkata, “Di negeri kami pakaian ini bernilai 500 dirham dan dalam pada itu aku meredai harga ini.” Lantas Yunus berkata kepada Badwi tersebut, “Ayuh bersamaku, sesungguhnya nasihat di dalam agama lebih baik daripada dunia dan segala isinya.” Kemudian diajaknya Badwi tersebut kembali ke kedainya dan dipulangkan kepadanya 200 dirham. Anak saudaranya membantahinya dan mengutuknya. Yunus berkata, “Tidakkah engkau malu? Tidakkah engkau bertakwa kepada Allah mengambil untung dengan harga yang sedemikian dan meninggal nasihat untuk orang-orang Islam.” Anak saudaranya berkata: “Demi Allah aku tidak mengambilnya melainkan ia meredhainya.” Yunus menempelak anak saudaranya, “Tidakkah engkau meredhai untuknya dengan apa yang redhai untuk dirimu sendiri?”


ii. Kata Abdullah Bin Dinar: Saya berangkat dengan Umar bin al Khattab menuju Makkah, lalu kami berhenti di suatu tempat di pertengahan jalan dan kami bertemu dengan seorang pengembala yang turun dari bukit. Umar berkata kepadanya, “Hai pengembala, juallah seekor kambing.” Pengembala itu menjawab, “Saya ini hamba.” Umar berkata untuk mengujinya, “Katakanlah kepada tuanmu, bahawa kambing itu dimakan serigala.” Pengembala itu menjawab, “Tetapi dengan Allah bagai mana?” Umar menangis mendengarkan perkataan pengembala tadi. Kemudian Umar pergi bersama pengembala itu, lalu hamba itu dibelinya dari tuannya dan dimerdekakannya. Umar berkata kepadanya, “Kalimat inilah yang telah menyebabkan engkau merdeka di dunia dan aku mengharapkan kalimat itu juga yang memerdekakan engkau di hari akhirat kelak.”


iii. Kebanyakan daripada kita mungkin telah mengetahui kisah seorang ibu dengan anaknya:

Kisah si ibu yang mahu mencampurkan susu dengan air kerana mengharapkan keuntungan sedangkan anak perempuannya memperingatkan kepadanya larangan Amirul Mukminin. Ibu berkata: “Bukankah Amirul Mukminin itu jauh dari kita? Sudah tentu dia tidak melihat kita.” Anak perempuannya itu menjawab dengan tegas, “Kalau sekiranya Amirul Muk minin tidak melihat kita, maka Tuhan Amirul Mukminin tetap melihat kita.”


iv. Ini pula kisah seorang wanita di zaman Saidina Umar al-Khattab r.a, ketika mana ia telah pun ditinggalkan oleh suaminya dalam jangka masa yang lama Dia telah diselubungi oleh rasa pilu dan rindu serta rasa kesunyian berseorangan. Sementara darah kewanitaannya pula telah mengalir ke segenap urat sarafnya dan suara batinnya menjerit dengan ungkapan yang penuh kerinduan. Tiada sesuatupun yang menghalangnya daripada memenuhi tuntutan nafsunya itu kecuali benteng keimanan dan muraqabah yang berkekalan ke hadrat Allah

s.w.t.


Pada suatu malam yang sunyi sepi Saidina Umar telah mendengar ia mengalunkan lagu rindu seperti berikut: Malam ini begitu panjang dan tepi langit begitu hitam, Sudah lama aku tiada kawan yang dapatku bersenda gurau, Demi Allah!


Kalau tidak kerana semata-mata takutkan Allah, tentulah kaki-kaki katil ini sudah bergoyang-goyang.


Pada hari yang berikutnya Saidina Umar telah masuk menemui anaknya Habshah dan bertanya kepadanya: “Berapa lamakah seorang isteri itu boleh bersabar ke atas suaminya?” Habshah berkata: “Empat bulan.”


Maka Saidina Umar telah mengutuskan perutusan kepada para panglima tenteranya di barisan pejuang dan pahlawan Islam dengan suatu arahan kepada mereka: Janganlah mereka menahan tentera Islam itu daripada ahlinya lebih daripada empat bulan! Kisah ini menggambarkan pertentangan yang hebat di antara perasaan perempuan ini dengan rasa takut terhadap Allah. Di antara dorongan dorongan yang kuat kepada dosa dan kejahatan. Walau bagaimanapun semua dorongan itu telah berjaya dipadamkan dengan kekuatan iman dan menanglah keimanan itu.


Mengingati kematian dan rentetan peristiwa selepasnya

Tidak diragui lagi seorang mukmin itu ketika mana beliau mengingati kematian, pasti akan menemuinya, menyedari bahawa beliau akan dipersoalkan setiap amalannya sedang beliau keseorangan. Sesungguhnya tempat persemadiannya itu sama ada taman dan taman-taman syurga ataupun jurang dan jurang-jurang neraka. Seseorang mukmin ketika mana menyedari serta mengingati kesemua ini, menginsafi serta menghayati di pemikirannya, pastilah hatinya akan merasai ketakutan kepada Allah. Lalu sentiasa memuraqabahkan dirinya kepada Allah diketika terang dan tersembunyi. Bahkan dalam pada itu juga ia akan menjuruskan seluruh tindakannya ke arah amal salih sebagai persediaan serta bekalan untuk hari yang dijanjikan ini. Semoga ia akan berada di kalangan mereka yang Allah limpahkan nikmat ke atas mereka iaitu golongan para-para nabi, siddiqin, syuhadak dan sebaik mereka yang dibuat teman. Tidak ada yang lebih baik dan apa yang di katakan oleh sesetengah mereka.


Berbekallah untuk peristiwa yang pasti berlaku. Maka sesungguhnya maut itu ketentuan bagi seorang hamba. Relakah engkau untuk menjadi teman pengiring bagi suatu golongan yang bagi mereka penuh bekalan, sedangkan engkau tanpa bekalan.


Ekoran daripada ini Rasulullah s.a.w memerintahkan umat ini untuk memperbanyakkan mengingati kematian dan pemutus kelazatan. Di riwayatkan oleh Tirmizi dari Abu Hurairah r.a, sabda Nabi s.a.w: “Perbanyakanlah mengingati perkara yang menghilangkan kelazatan — iaitu mati.”


Seterusnya Baginda s.a.w. memerintahkan untuk menziarahi kubur

dan menyatakan faedahnya. Muslim meriwayatkan dari Buraidah r.a berkata: Sabda Rasulullah s.a.w:


“Adalah aku (sebelum ini) menegah kamu dari rnenziarahi kubur, maka ziarahilah.”


Dalam suatu riwayat yang lain:

“Maka barangsiapa yang hendak menziarahi kubur maka ziarahilah! Maka sesungguhnya ia mengingatkan kepada akhirat.”


Lantaran ini jugalah baginda ar-Rasul mendidik para sahabatnya untuk bersedia menghadapi maut supaya mereka tidak dilalaikan oleh angan-angan. Bukhari meriwayatkan dari Ibn Umar r.a berkata: Rasulullah memegang dua bahuku lalu bersabda.


“Hendaklah engkau berada di dunia seperti mana engkau seorang

pedagang ataupun perentas jalan (pengembara).”


Ibn Umar berkata:

”Apabila engkau berada di waktu petang janganlah menunggu sehingga waktu subuh, dan apabila engkau di waktu subuh janganlah menanti hingga waktu petang, gunakanlah masa sihatmu sebelum engkau sakit dan masa hidup engkau sebelum engkau mati.”


Daripada ini jugalah baginda ar-Rasul s.a.w menyuruh seseorang muslim bersegera menulis surat wasiat sebagai persediaan untuk “hari Perjalanan”. As- Syaikahan meriwayatkan dan Ibn

Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:


“Tidak ada yang paling penting bagi seseorang muslim baginya sesuatu yang diwasiatkan dan ia tidak akan tidur dua malam berturut-turut melainkan di sisinya wasiat yang ia tuliskan.”


Berkata Ibn Umar:

“Tidak aku lalui suatu malam pun semenjak aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang demikian melainkan di sisiku wasiatku.”


Seterusnya baginda mengibaratkan mereka yang sentiasa mengingati maut sebagai mereka yang paling berakal di kalangan manusia dan paling mulia di kalangan mereka. Diriwayatkan dan Abi Dunya dan At-Tabarani, Ibn Majah dan Baihaqi dan Ibn Umar bahawa seorang lelaki bertanyakan Nabi s.a.w, mukmin yang manakah paling cerdik?”


Sabda Nabi:


“Yang paling banyak mengingati mati dan paling baik persediaan mereka selepas mati. Mereka itulah yang paling cerdik.”


Pada salafus salih adalah merupakan mereka yang paling banyak mengingati kematian dan mengambil pengajaran darinya. Adalah Ibn Umar r.a apabila mengingati kematian dan keadaan-keadaannya, ia menjadi tidak tenang seperti burung yang sedang berkibas dan tiap-tiap malam beliau mengumpulkan fukaha’ lalu mereka saling ingat kematian dan hari Kiamat. Setelah itu mereka menangis seolah-olah mereka menangisi satu kematian.


Hamid al-Qusairi berkata: “Setiap kita meyakini kematian, tetapi kita tidak membuat sebarang persediaan terhadapnya. Setiap kita juga meyakini dengan syurga tetapi tidak kelihatan kita melakukan sebarang amalan. Dan setiap kita meyakini dengan neraka akan tetapi kita tidak kelihatan takut kepadanya. Apakah yang menyebabkan kamu bergembira? Tidakkah ingatan dan harapan kamu kepada kematian itu merupakan perkara yang pertama-tama sekali mengingatkan kamu kepada suruhan Allah sama ada dengan melaksanakan kebaikan atau menghindari kejahatan.


Wahai saudaraku,

Berjalanlah kamu kepada tuhanmu dengan jalan yang sebaik-baiknya.”

Berkata Hassan al-Basri: Maut membongkarkan kecelaan dan keaiban dunia. Maka mereka yang berakal tidak akan tinggal di dalamnya dalam keadaan penuh kegembiraan. Dan tidaklah bagi seseorang hamba yang melazimkan (menetapkan) dirinya untuk mengingati kematian melainkan dia akan merasakan dunia ini begitu kecil dan segala yang ada di dalamnya adalah hina.


Diriwayatkan daripada Muzni, ia berkata:

Aku menemui as-Syafie ketika ia sedang sakit yang membawa kematian kepadanya. Aku berkata kepadanya: “Bagaimanakah keadaan engkau?” Lalu ia menjawab: “Aku akan menjadi seorang pengembara yang akan keluar dari dalam dunia ini. Dan kepada saudaraku, aku akan menjadi seorang yang akan dipisahkan dan mereka. Sementara segala amalan keburukan aku adalah penanggunganku (akibatnya) dan aku merupakan seorang yang amat mengharapkan untuk meminum gelas kerahmatan (Allah). Kepada Allahlah aku akan kembali. Tidak aku ketahui apakah rohku ini bergerak ke syurga lalu aku akan mengucapkan tahniah kepadanya, atau ke neraka yang aku tanggung (seksanya).” Kemudian beliau bernasyid:


“Bila jiwaku tidak bermaya lagi dan jalan hidupkan sudah menjadi buntu. Maka aku menjadi harapan terhadap keam punanmi itu sebagai tangga. Dosa memang telah menguasai diriku tetapi bila aku membandingkannya dengan keampunan-Mu, maka ianya (keampunan-Mu) itu adalah lebih besar.

Kamu (ya Allah) akan sentiasa memberi keampunan kepada yang berdosa.

Kamu bersifat pemurah dari segi pemberian, dan pengampun dari segi

memberikan kemuliaan dan penghormatan.”


Adalah Abu Darda’ r.a. ketika ia sedang duduk di suatu kubur, maka ditanyakan kepadanya, apakah yang engkau buat di situ?

Jawabnya: “Aku sedang duduk di hadapan suatu kaum yang mengingatkan aku kepada tempat kembaliku. Bila mana aku menghilangkan diri daripada mereka (berpindah dan pergi ke tempat lain) mereka tidak akan mengumpat dan mencaci aku.”


Kata Maimun bin Mahran: Aku keluar her sama-sama dengan ‘Umar bin Abdul Aziz kepada suatu tanah perkuburan, maka apabila ia melihat kepada kubur itu lalu ia menangis. Kemudian ia datang kepadaku dan berkata: “Ini adalah kubur datuk nenek Bani Umaiyah, seolah-olah mereka itu tidak lagi bersama-sama menikmati kehidupan (kesenangan hidup dunia) dengan penduduk dunia.


Apakah kamu tidak mendapati mereka yang telah mati itu telah ditimpakan kepada mereka azab-azab Allah, bencana-bencana serta telah berterusan mengongkongi hidup mereka, dan ditimpa pula kepada mereka penyakit-penyakit yang menyerang tubuh badan mereka?”

Kemudian beliau menangis, seraya berkata: “Demi Allah, tiada yang aku ketahui seorang manusiapun yang mendapat kenikmatan yang banyak (lebih), kecuali daripada mereka yang sudah sampai ke kubur ini dan sudahpun terselamat daripada azab-azab Allah s.w.t.”


Lantaran itu, wahai pendakwah kepada Allah ingatlah kamu kepada mati dan perkara-perkara yang selepasnya, berbekallah kamu daripada pelabuhan dunia ni dengan amalan yang salih, dan sentiasa tingkatkanlah diri kamu di dalam tangga kerohanian, dan selamatlah kamu dengan sempurna, dan akhirnya kamu akan sampai kepadanya di bawah kelembutan keredaan Allah, dan bersedialah untuk hari yang akan kamu temui!


Oleh: Syeikh Dr. Abdullah Nasih `Ulwan

0 comments:

 
Tarbiyah Pewaris © 2011 | Designed by RumahDijual, in collaboration with Online Casino, Uncharted 3 and MW3 Forum