Video

KESUNGGUHAN (JIDDIYAH) DALAM BERAMAL

Wednesday, December 24, 2008 0 comments


Muqaddimah

Apa yang dikehendaki oleh Islam daripada penganutnya ialah membentuk umat yang soleh untuk menjadi Khalifah dan memakmurkan muka bumi, agar dengan itu ia menjadi umat yang terpelihara identitinya dan memuliakan diri ke merju jaya. Itu tidak akan dapat dicapai kecuali dengan memiliki sikap positif dan bersungguh-sungguh.

Ia hendaklah bermula dengan dirinya, kemudian berpindah posisi daripada kedudukan pengkritik kepada kedudukan penyumbang yang menggerakkan agenda dan mengepalai urusan dengan penuh keyakinan diri dan kepergantungan kepada Allah tanpa mengendahkan segala halangan atau terpengaruh dengan desakan orang awam.

Makna kesungguhan

Kesungguhan lawan kepada perkataan olok-olok, bermudah-mudah, lemah dan lembap. Ia bermaksud: "melaksanakan tanggungjawab syarak dan dakwah serta-merta, cekal, berterusan dengan menggunakan semaksimum mungkin kebolehan yang ada, tanpa mempedulikan halangan atau mencari alasan untuk tidak melakukannya".


Sejarah telah diwarnai dan dipenuhi oleh orang-orang yang bersungguh-sungguh. Bukan oleh orang-orang yang santai, berehat-rehat dan berangan-angan. Dunia diisi dan dimenangkan oleh orang-orang yang merealisasikan cita-cita, harapan dan angan-angan mereka dengan jiddiyah (kesungguhan) dan kekuatan tekad.


Namun kebatilan pun dibela dengan bersungguh-sungguh oleh para pendukungnya, oleh kerana itulah Ali bin Abi Thalib ra. menyatakan: "Al-haq yang tidak diurus dengan baik akan dikalahkan oleh Al-bathil yang diurus dengan baik".


Ketika Allah menyuruh Nabi Musa as mengikuti petunjuk-Nya, tersirat di dalamnya sebuah pesanan abadi, pelajaran yang mahal dan kesan yang mendalam:


"Dan telah Kami tuliskan untuk Musa pada luh-luh (Taurat) segala sesuatu sebagai pelajaran dan penjelasan bagi segala sesuatu; maka (Kami berfirman): Berpeganglah kepadanya dengan teguh dan suruhlah kaummu berpegang teguh kepada perintah-perintahnya dengan sebaik-baiknya, nanti Aku akan memperlihatkan kepadamu negeri orang-orang yang fasiq".(QS. Al-A’raaf (7):145)


Jiddiyah ini juga nampak pada diri Nabi Ulul Azmi (yakni Nuh, Ibrahim, Musa, Isa, Muhammad yang dianggap memiliki azam terkuat).



Dakwah berkembang di tangan orang-orang yang memiliki kesungguhan dan semangat juang yang tidak pernah pudar. Ajaran yang mereka bawa bertahan melebihi usia mereka. Boleh jadi usia para mujahid pembawa misi dakwah tersebut tidak panjang, tetapi cita-cita, semangat dan ajaran yang mereka bawa tetap hidup sepeninggalan mereka. Apa ertinya usia panjang namun tanpa isi, sehingga boleh jadi biografi kita kelak hanya berupa 3 baris kata yang dipahatkan di nisan kita : ‘Si Fulan lahir tarikh sekian-sekian, mati tarikh sekian-sekian’.



Syarat-Syarat Jiddiyah (Kesungguhan) Dalam Beramal


Syarat-syarat Jiddiyah dalam beramal memiliki lima syarat:

1. Al-Istijabah al-Fauriyah (Menyahut dengan segera)

2. Al-Azmul al Qawiy (Kesungguhan yang kuat)

3. Al-Mutsabarah (Tabah dan istiqamah)

4. Taskhirul kulli imkanaat (Mengerahkan seluruh potensi)

5. Mughalabul ‘adzar (Dapat mengatasi segala permasalahan yang dihadapi)



Al-Istijabah al-Fauriyah (Menyahut dengan segera)
Pendakwah sejati adalah ketika mendapat tugas dan mendengar perintah dari pihak kepemimpinan atau dari murabbinya akan menyahut dengan cepat tanpa ragu-ragu dan berkomentar, kerana ia memahami bahawa tugas dan perintah yang datang dari kepimpinan adalah untuk segera dilaksanakan, bukan untuk didiskusikan.
Kerana ia sama-sama berkongsi wawasan, visi dan misi organisasi.

Demikianlah para sahabat Nabi s.a.w memahami perintah ketika turun ayat yang mengharamkan khamar (Al-Maidah 3: 90) dan perintah kewajiban menutup aurat (An-Nur 24 : 31). Begitu para muslimat sahabiyat mendengar perintah menutup aurat ketika di pasar, mereka langsung menarik kain kudung untuk menutup kepala dan dada mereka tanpa ragu-ragu dan berkomentar.

Al-Azmul Qawiy (Kesungguhan Yang Kuat)
Aktivis dan anggota dakwah harus memiliki semangat dan kesungguhan yang kuat, kerana amanah yang dipikulnya sangat berat. Di antara doa Rasulullah s.a.w ialah:

“Ya Allah aku berlindung kepadaMu dari ketidakberdayaan dan malas, aku berlindung kepadaMu dari sifat penakut dan kikir, dan aku berlindung dari hutang yang membelenggu dan tertindas oleh orang zalim”

Al-Mutsabarah (Tabah & Istiqamah)
Kerja da’wah adalah kerja besar yang tidak akan berakhir kecuali dengan kematian. Perjalanan dakwah penuh dengan ujian, cubaan, tentangan dan rintangan. Tidak ada yang sanggup menjalaninya kecuali orang-orang yang telah menjadikannya tugas pokok dan utama yang tidak boleh dikalahkan dengan kegiatan apa pun, keberlangsungan dakwah dan keberhasilannya menjadi fokus perhatiannya, seperti yang telah dicontohkan oleh Rasululllah s.a.w. Baginda tidak pernah lemah semangat dan putus asa, tidak pernah menyerah atau mundur.

Ketika pembesar kafir Quraisy memusuhi dakwah, serta mengancam untuk menghabiskan nyawanya, baginda berkata:

“Demi Allah, sekalipun mereka dapat meletakkan matahari di samping kananku dan bulan di samping kiriku, agar aku meninggalkan dakwahku, nescaya aku tidak akan berhenti berdakwah dan meninggalkannya sehingga Allah memenangkannya atau aku mati di jalannya.”

Para sahabat generasi terbaik yang langsung di bawah asuhan madrasah Rasulullah s.a.w, telah meneruskan misi perjuangan rasul mereka. Mereka berdakwah dengan meninggalkan kampung halaman, tanah air, isteri, anak dan harta benda sehingga panji Islam berkibar di seluruh dunia. Kehidupan mereka adalah jihad yang tidak henti-henti dan pengorbanan yang tanpa batas dalam membela Islam.

Taskhir Kulli Imkanat (Mengerahkan Seluruh Potensi)
Dakwah menuntut para aktivis dakwah mengerahkan seluruh potensi yang dimiliki berupa pemikiran, harta, waktu, tenaga, jiwa dan raga. Sehingga tidak ada potensi yang dimilikinya kecuali telah diberikan untuk kepentingan dakwah.

Saat ini sebahagian besar aktivis masih belum mengerahkan tenaga yang maksima dalam memperjuangkan dakwah.

Kita baru memberikan sebahagian dari sisa potensi untuk dakwah, sisa baki waktu, sisa fikiran, sisa tenaga dan sisa harta. Sehingga hasilnya pun belum terlihat nyata.


Mughalabatul ‘Adzar (Dapat Mengatasi Segala Permasalahan Yang Dihadapi)
Amanah dakwah hanya dapat dipikul oleh orang-orang yang memilih azimah yang tinggi, bukan orang yang memilih tujuan yang rendah, senang dengan hidup santai dan memiliih istirehat dan hidup tidak mahu susah.

Dakwah hanya dapat dikerjakan oleh orang yang dapat mengatasi uzur (masalah) bukan pandai membuat keuzuran diri, berusaha semampu mungkin untuk terus aktif di medan perjuangan dan memberi sumbangan yang terbaik untuk amal Islam dan dakwah.

Salah satu contoh sahabat yang bernama Amru bin Jamuh, seorang tua renta yang kakinya pincang dan matanya buta. Tatkala mendengar seruan jihad ia langsung menyatakan keinginan bergabung ke dalam barisan para mujahidin, walaupun ketiga orang anaknya melarang bapa mereka untuk ikut serta dalam jihad, dengan alasan mereka sudah mewakili keluarga dan beliau sudah sangat udzur untuk tidak ikut jihad. Tapi apa komentarnya? Amru berkata masalahnya adalah syurga Allah. Apakah kamu wahai anak-anakku dapat memberikan jaminan syurga bagiku?

Hingga akhirnya ia mendapat restu dan doa dari Rasulullah s.a.w: “Ya Allah masukkanlah ia ke dalam syurga dengan kakinya pincang”



Penutup

Akhir kalam, mari kita sirami hati dan jiwa kita dengan beberapa potongan ayat-ayat Alla swt. dengan harapan akan tertingkat jiddiyah kita dalam beramal dan melaksanakan tanggungjawab dakwah dan tarbiyah.


Firman Allah Subhanahuwata’ala :

Terjemahannya:

Dan bersegeralah kamu semua kepada pengampunan dari Tuhanmu dan bersegeralah untuk mendapat syurga yang lebarnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.

( Surah ali Imran : 133 )



Firman Allah Subhanahuwata’ala :


Terjemahannya:


Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.”

(Surah ali-Imran : 200 )



Firman Allah Subhanahuwata’ala :


Terjemahannya:


Apakah kamu menyangka kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu?. Mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya : Bilakah lagi datangnya pertolongan Allah?. Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”

(Surah al-Baqarah : 214)


Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sentiasa merangsang, menggesa dan mengingatkan sahabatnya supaya bekerja bersungguh-sungguh dan sentiasa iltizam dalam melaksanakan perintahnya.


Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (bermaksud):


Adakah kamu menunggu hingga kekayaan yang terancam atau papa kedana atau sakit yang tidak ada harapan sembuh atau tua yang nyanyuk atau maut yang datang menjenguk atau dajal terkutuk hendak di tunggu atau Hari Qiamat, maka Hari Qiamat adalah ujian yang sangat pahit.”

TIGA BEKALAN PENDA’WAH

0 comments

TIGA BEKALAN PENDA’WAH MENURUT SYEIKH MUSTAFA MASYHUR

Di atas jalan da’wah yang mulia inilah kita hidup sehingga kita bertemu kematian. Di atas jalan yang mulia inilah kita menghulurkan tenaga untuk melaksanakan kerja-kerja da’wah mengajak masyarakat kembali kepada Din Allah Subhanahuwata’ala yang suci. Semua ini kita lakukan untuk mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala. Inilah sifat setiap mu’min yang setia dengan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Amanah yang ditinggalkan oleh Rasulullah Sallahu’alaihiwasallam kepada kita adalah amanah besar. Iaitu amanah untuk hidup mati sebagai orang beriman dan memperjuangkan Din Allah Subhanahuwata’ala. Melihat kepada amanah yang dipikul oleh para du’at terlalu besar, maka amanah ini tidak mampu dipikul oleh da’i secara individu, tambahan pula jalan ini amat jauh dan penuh kesusahan. Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang bermaksud:


“Dilingkungi syurga itu dengan kesukaran dan dilingkungi neraka itu dengan syahwat.”

Sesungguhnya kita amat berhajatkan bekalan untuk menjalankan ‘ibadah da’wah agar sampai kepada matlamat yang dituju. Kita memerlukan bekalan untuk terus Istiqamah, ikhlas, redha dan sabar dengan ketentuan Allah Subhanahuwata’ala.
Sebagai da’i, kita hanya berusaha menyampaikan kebenaran Islam kepada manusia, manakala yang memberikan hidayah ialah Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

“Sesungguhnya engkau (Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam) tidak dapat memberikan hidayah kepada sesiapa yang engkau kasihi tetapi Allah jua yang akan memberi hidayah kepada sesiapa yang Ia kehendaki.” -Surah al-Qasas: ayat 56.

Bekalan untuk penda’wah
Menurut Syeikh Mustafa Masyhur di dalam kitabnya Zadun ‘Ala At-Thariq, bekalan yang sangat diperlukan oleh pendakwah ialah: 1. Iman. 2. Taqwa. 3. Al-Quran.


Bekalan Pertama: Iman.

Bekalan pertama ialah beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala. Sahabat telah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam: Apakah amalan yang afdhal (paling utama)?. Jawab baginda: Iman kepada Allah dan jihad di jalan-Nya.

Seorang da’i yang benar-benar beriman memiliki iman yang memenuhi segenap sudut dan ruang hatinya. Iman yang hidup dan positif. Iman yang memancarkan keta’atan kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam semua aspek kehidupan. Juga iman yang mampu dan bersedia untuk memikul tanggungjawab da’wah dan kerja-kerja Islam.
Iman sedemikianlah yang telah dididik oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam jiwa generasi awal para sahabat Radhiallahu ‘anhum. Mereka tidak memperolehi kejayaan melainkan dengan kekuatan iman, kebersihan jiwa, erat hubungan dengan Allah Subhanahuwata’ala dan terikat dengan al-Masir (tempat kesudahan iaitu negeri akhirat). Firman Allah Subhanahuwata’ala:

“Negeri akhirat itu, Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan tidak berbuat kerosakan di muka bumi, dan kesudahan yang baik (syurga) itu adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.”
-Surah al-Qasas: ayat 83.


Dengan iman, da’i akan merasa ‘izzah, mulia, puas, seronok dan gembira dengan Islam dan kerja-kerja mendaulatkan Din Allah Subhanahuwata’ala. Kata-kata seorang sahabat yang ‘izzah dengan Islam, Ruba`i bin `Amir kepada Rustam Panglima Parsi :

“Sesungguhnya Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan manusia daripada perhambaan sesama hamba kepada menghambakan diri kepada Allah yang Maha Esa, (mengeluarkan manusia) daripada kesempitan dunia kepada keluasannya dan (mengeluarkan manusia) daripada kezaliman agama yang lain kepada keadilan Islam.”


Dengan iman seseorang da’i akan merasai ma’iyyatullah, yakni Allah Subhanahuwata’ala bersama-sama dengannya. Dengan Iman akan tertanamlah dalam jiwa da’i keyakinan kepada din Allah Subhanahuwata’ala sebagai din yang sempurna dan sebaik-baik peraturan yang membawa manusia kepada kebaikan hidup di dunia dan akhirat. Manakala peraturan-peraturan lain adalah sesat dan batil. Iman adalah langkah pertama dakwah Islamiyah. Dengan Iman seorang da’i berada di atas titik tolak yang betul dalam da’wah. Syeikh Abu ‘Ammar menyatakan:

“Futur selepas bermujahadah (berjihad) adalah disebabkan rosak langkah pertama (ibtida’) dalam memulakan da’wah.”

Tanpa Iman, ditakuti lambat laun, para dua’t akan menyisihkan diri daripada jalan da’wah disebabkan tidak tahan menghadapi gangguan-gangguan. Antara gangguan-gangguan ialah:

1. Hati yang didatangi oleh pelbagai bisikan, samada bisikan hawanafsu atau iblis, yang mencetuskan pertarungan dalam hati.
Pertarungan ini yang tidak kunjung tamat sepanjang hayat.


2. Harta benda dan anak-anak, yang menyebabkan da’i rasa sayang untuk membelanjakan harta di jalan Allah Subhanahuwata’ala (kerana ditakuti kehilangan harta atau anak-anak kelaparan). Dengan kekuatan Iman sahaja akan menguatkan da’i untuk ikhlas berkerja untuk Islam, bercakap di jalan da’wah dan berkorban.

Maka da’i sentiasa mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala dan mengharap balasan baik daripada-Nya tanpa mengharapkan keuntungan duniawi, nama, gelaran, dan pangkat. Bahkan da’i menjadi sebagai jundi (tentera atau pahlawan) bagi fikrah dan ‘aqidah. Dengan itu jelaslah baginya prinsip:
Allahu Ghayatuna

Dengan Iman juga, da’i tidak akan merasa takut atau condong kepada serangan atau pujukan musuh-musuh Islam. Seterusnya akan merasa kuat untuk menentang musuh-musuh Islam.
Para sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, dengan kekuatan Iman, bersifat zahid terhadap dunia dan mengutamakan kepentingan orang lain melebihi diri mereka sendiri. Kisah zahid mereka meninggalkan kesan yang mendalam serta menjadi contoh untuk dihayati dalam kehidupan para du’at Islam. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

“Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (ansar) sebelum (kedatangan) mereka (muhajirin), mereka (ansar) 'mencintai' orang yang berhijrah kepada mereka (muhajirin). dan mereka (ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (muhajirin), dan mereka mengutamakan (orang-orang muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan, dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung.”
-Surah al-Hasyr: ayat 9.

Merekalah yang menjadi contoh bagi para du’at Islam.


Bekalan Kedua: Taqwa.

Zat yang kedua bagi para du’at ialah taqwa kepada Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:


“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan kamu muslim.” - Surah Ali Imran: ayat 102 “Berbekalah kamu dan sebaik-bekalan ialah taqwa dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang beraqal.” -Surah al-Baqarah: ayat 197.

Untuk menjaga taqwa, maka hati perlu sentiasa dididik. Taqwalah yang mencernakan kehidupan seorang muslim untuk benar-benar ta’at kepada Allah Subhanahuwata’ala. Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang bermaksud:


“Kebaikan tidak boleh datang (tercapai) dengan kejahatan, kebaikan hanya datang (tercapai) dengan kebaikan.”


Pesanan Saidina ‘Umar Ibn Khattab kepada Sa’ad Ibn Abi Waqqas yang bermaksud:


“Amma ba’du, maka sesungguhnya aku memerintahkan kamu dan sesiapa yang bersama kamu agar bertaqwa kepada Allah dalam semua keadaan. Bertaqwa kepada Allah adalah sebaik-baik persiapan (persediaan) untuk menghadapi musuh dan sekuat-kuat tipu daya (terhadap mereka).”

Taqwa telah menghiasi peribadi generasi awal para sahabat Radhiallahu ‘anhum. Abi Umamah meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda yang bermaksud:

“Kema’rufan itu menghasilkan (menatijahkan) orang bertaqwa yang melawan keburukan, sadaqah yang dilakukan secara sembunyi memadamkan kemarahan Rabb dan silaturrahim akan bertambah dalam umur.”
-Hadith Riwayat Tabrani.

Mu’az meriwayatkan daripada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bahawa baginda bersabda yang bermaksud:


“Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada, ikutilah keburukan itu dengan kebaikan, maka ia yang menghapuskannya (keburukan) dan bergaullah dengan manusia akhlaq yang baik.” -Hadith Riwayat Turmizi. Para sahabat sentiasa menjadikan taqwa sebagai bekalan di jalan da’wah mereka.


Bekalan Ketiga: Al-Quran Al-Karim.

Al-Quran merupakan kitab bagi da’wah ini. Ia adalah ruh, peransang, pengawal, pemelihara, perlembagaan, sumber sistem dan rujukan tertinggi bagi da’wah. Ia menjadi tempat sandaran para du’at untuk mengetahui wasa’il dalam beramal, manhaj dalam berharakah dan bekalan dalam perjalanan
Para du’at menjadikan al-Quran al-Karim sebagai bekalan dalam perjalanan da’wah sehingga Allah Subhanahuwata’ala memberikan kejayaan kepada mereka. Mereka berusaha, berdakwah dan berjuang di atas manhaj Al-Quran al-Karim, manakala hasil di Tangan Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

“Sesungguhnya kamu (Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam) tidak boleh memberikan hidayah kepada sesiapa yang kamu cintai, melainkan Allah sahaja yang akan memberikan hidayah kepada sesiapa yang Ia kehendaki.” -Surah al-Qasas: ayat 56.

Panggilan al-Quran al-Karim hidup dan meresap ke dalam jiwa para du’at. Firman-firman Allah Subhanahuwata’ala:

“Dan mengapa kamu tidak beriman kepada Allah padahal Rasul menyeru kamu supaya beriman kepada Rabb kamu. Dan sesungguhnya Ia telah mengambil perjanjian kamu (yang telah mengaku beriman sebelum kamu dilahirkan) jika kamu adalah oarng-orang yang beriman.” -Surah al-Hadid: ayat 8.

“Hai orang-orang yang beriman jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Ia akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukan kamu.” -Surah Muhammad: ayat 7.

“Apakah kamu merasa puas kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat, pada hal kenikmatan hidup di dunia ini (jika dibandingkan dengan nikmat kehdupan di akhirat) hanyalah sedikit.”
-Surah at-Taubah: ayat 38. 

“Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan yang tidak berapa jauh, oastilah mereka mengikuti kamu, tetapi tempat yang ditujui itu amat jauh terasa oleh mereka.”
-Surah at-Taubah: ayat 42.

SIFAT-SIFAT DA’I DEMI MENJAYAKAN DA’WAH FARDHIYAH

Thursday, December 18, 2008 0 comments

1) Paling utama adalah ikhlas kepada Allah subhanahuwata’ala. Tanpa keikhlasan ini segala amalan akan sia-sia.


2) Merasai bahawa tugas da’wah amat besar. Ia memerlukan perhatian yang lebih dan sentiasa mengharapkan balasan daripada Allah Subhanahuwata’ala.



3) Bersikap bijak, berhati-hati memilih teknik pendekatan, memberi nasihat yang baik dan berbahas dengan cara yang ahsan (cara yang terbaik).


4) Bersikap lembut, berakhlak mulia, bersabar, dapat menahan diri dan tidak emosional terhadap segala kesulitan di jalan da’wah. Sentiasa menyerah diri kepada Allah Subhanahuwata’ala. Menjadikan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan orang-orang yang mengikuti baginda sebagai contoh ikutan.


5) Mengenali masyarakatnya secara menyeluruh. Mengetahui segala permasalahan dan aliran yang ada dalam masyarakat. Berusaha untuk memahami realiti orang yang dida’wahkan.


6) Seorang da’i mesti memiliki pemahaman terhadap din dengan mendalam. Sentiasa menimba ilmu agar pemberiannya kepada mad’u lebih sempurna. Kata pepatah Arab (bermaksud): ”Orang yang tidak memiliki sesuatu tidak akan dapat memberikan sesuatu ”


7) Hendaklah mengkaji sirah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan sahabat-sahabat baginda yang mulia. Juga mengkaji sejarah Islam secara mendalam agar dapat dijadikan bekalan ketika berhadapan dengan permasalahan di jalan da’wah.



8) Hendaklah menghafal Al-Quran sesuai dengan kemampuannya agar dapat digunakan sebagai dasar-dasar da’wah. Kaedah da’wah dan penceritaan berdasarkan Al-Quran mempunyai kesan yang kuat terhadap jiwa manusia.



9) Dalam da’wah dan perbicaraan jangan hanya bersifat rasional sahaja. Bahkan perlu mempunyai unsur-unsur emosi. Ini kerana kekuatan sentuhan emosi sering dapat memberi kesan lebih mendalam kepada jiwa manusia melebihi sentuhan akal.

Rujukan utama: Mustafa Masyhur, Da’wah Fardhiyah.

TUJUH MARHALAH DA’WAH FARDIYAH (Bahagian 3)

0 comments

MARHALAH KELIMA: MENGHAYATI HIDUP DAN MEMAHAMI PENGERTIAN UMMAH



Di tahap ini diperjelaskan kepada mad’u bahawa din Islam adalah din jama’i. Islam adalah sistem kehidupan, hukum, perundangan, kenegaraan, jihad dan kesatuan ummat. Pemahaman terhadap perkara ini akan mendorong beliau bersedia memikul segala kewajipan dan tanggungjawab semata-mata kerana Allah Subhanahuwata’ala agar masyarakat berdiri di atas prinsip-prinsip Islam dalam segala aspek kehidupan. Maka:

1) Beliau dijelaskan bahawa tidak mencukupi dengan hanya menjadi muslim untuk diri sendiri sahaja.

2) Beliau perlu sedar bahawa Islam adalah merangkumi urusan-urusan jama’ah dan masyarakat. Islam merupakan sistem hidup yang lengkap dan sempurna serta penuh dengan ni’mat dan keredhaan Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:


Bermaksud: Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu dinmu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku ridha Islam itu menjadi din bagimu.

(Surah Al-Maidah : 3)

3) Beliau mestilah dapat merasai kesempurnaan dan segala ni’mat Allah Subhanahuwata’ala ini. Rasa hatinya ditingkatkan dengan kefahaman, kesedaran dan keyakinan.

4) Di atas dasar rasa hati sebegini, maka dia mula faham bahawa dia hendaklah terlibat dengan berusaha, berjuang dan menyampaikan berita gembira dan peringatan-peringatan Allah Subhanahuwata’ala kepada manusia lain.

5) Dia merasai bahawa dia tidak boleh hidup sebagai seorang muslim dengan keIslaman yang sahih dan sempurna jika dia mengasingkan dirinya dari saudara-saudara muslimnya yang lain dan tidak memperdulikan segala apa yang terjadi terhadap mereka - segala gangguan, fitnah dan serangan musuh terhadap mereka. Musuh-musuh Allah Subhanahuwata’ala datang dari berbagai sudut dan ceruk rantau bumi ini untuk menyerang umat Islam. Firman Allah Subhanahuwata’ala:


Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah, jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim.

(Surah al-Baqarah : 193)



Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

من لم يهتم للمسلمين فليس منهم


Barangsiapa yang tidak memperdulikan urusan muslimin, maka dia bukanlah dari golongan mereka


6) Dia mula merasai bahawa kita adalah sahabat dia. Tugas dan tanggungjawab kita adalah tugas dan tanggungjawab dia.

7) Dia mula merasai tanggungjawab ‘am terhadap Islam dan kaum muslimin.

8) Dia mula beransur-ansur keluar daripada pengasingan sekularnya, memecahkan tempurungnya dan menghapuskan kongkongannya.

9) Seterusnya dia dapat hidup di dalam Islam secara jama’i.

10) Di tahap ini dia perlu diperjelaskan tentang tuntutan da’wah Islamiyyah pada masakini, iaitu:

a) Wajib berusaha bersungguh-sungguh untuk membangunkan daulah Islamiyyah.

b) Wajib mengetahui tipu helah musuh Islam yang sentiasa ingin menghancurkan umat Islam.

c) Wajib mengetahui tentang bencana yang menimpa umat Islam hari ini.

d) Wajib mengetahui tentang perpecahan di kalangan umat Islam.

e) Wajib sedar bahawa anak-anak orang Islam telah lama dibentuk mengikut cara yang bukan Islam yang bertujuan untuk mengukuhkan sistem hidup bukan Islam.

f) Wajib sedar bahawa musuh-musuh Islam telah lama merosakkan kehormatan orang Islam dan wanitanya.

g) Wajib sedar bahawa hanya Daulah Islamiyyah sahaja yang mampu menyerang balas sepenuhnya anasir-anasir jahat dan musuh-musuh Islam. Hanya daulah yang mampu menyatupadukan umat dan melaksanakan ajaran Islam yang lengkap. (Konsep Daulah Islamiyah ialah bercontohkan Daulah Islamiyah yang dibina oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam).

h) Tanggungjawab ini tidak boleh diserahkan kepada umara’ (pemerintah) dan ulama’ sahaja, bahkan ia menjadi tanggungjawab bagi setiap lelaki dan wanita Islam di zaman kebangkitan da’wah ini.

i) Seluruh muslimin, di mana jua, akan menanggung dosa besar, sekiranya mereka tidak berusaha dan bekerja untuk membangunkan Daulah Islamiyah.

j) Semoga dia mula berfikir dengan bersungguh-sungguh dan mencari jalan untuk menunaikan amanah dan masuliyyah ini serta melaksanakan segala tuntutannya.



MARHALAH KEENAM: MEMAHAMI KEPERLUAN BERJAMA’AH


Di tahap ini, kita menjelaskan kepada mad’u bahawa semua kewajipan yang dinyatakan di atas tidak mungkin dapat dilaksanakan secara individu. Bahkan, sebuah jama’ah diperlukan untuk menggabungkan semua potensi dan kekuatan bagi memikul tanggungjawab tersebut. Oleh itu mad’u dibimbing agar:

1) Memahami hahawa kewajipan membangunkan Islam tidak dapat dilaksanakan secara fardhi (secara individu).

2) Memahami bahawa jama’ah adalah satu kemestian demi untuk menyatupadukan segala usaha fardhi. Mad’u perlu memahami usaha secara jama’i adalah (berorganisasi) berdasarkan kaedah Islam yang terkenal:

ما لا يتم الواجب الا به فهو واجب

Bermaksud: Bahawa sesuatu yang wajib tidak akan terlaksana melainkan terlebih dahulu melalui suatu jalan tertentu, maka suatu jalan yang tertentu itu juga menjadi wajib.

Membangunkan daulah Islam adalah wajib. Daulah Islam tidak dapat dibangunkan melainkan terlebih dahulu diwujudkan jama’ah Islam yang kuat, maka mewujudkan jama’ah Islam yang kuat itu adalah wajib.



Bagaimana mungkin kerja Islam yang besar dapat dilakukan secara individu?. Bagaimana mungkin syari’at Allah Subhanahuwata’ala akan terlaksana kalau tidak dibangunkan satu ummah yang bersedia untuk melaksanakannya?. Ini adalah persoalan-persoalan pokok.

Banyak di kalangan orang Islam sudah tidak menyedari keperluan untuk menggabungkan diri di dalam jama’ah Islam dalam rangka untuk menegakkan syari’at Allah Subhanahuwata’ala. Mereka telah ditipu oleh berbagai helah musuh dan digoda dengan berbagai tarikan musuh. Mereka takut untuk bergabung dengan jama’ah Islam kerana mereka berpendapat itu adalah satu bebanan hidup.

Bagi jiwa yang sedar, penggabungan ke dalam jama’ah Islam adalah untuk menyahut panggilan Allah Subhanahuwata’ala, sebagai wasilah untuk memikul amanah Allah Subhanahuwata’ala, sebagai tanda kesyukuran kepada Allah Subhanahuwata’ala dan sebagai usaha untuk mendapatkan ganjaran yang hakiki daripada Allah Subhanahuwata’ala.

3) Sedar bahawa kebanyakan orang-orang Islam kini lebih mengutamakan kesenangan, kerehatan dan keselesaan. Hati mereka tidak mahu bertembung dengan musuh Allah Subhanahuwata’ala atau musuh Islam. Kebanyakan mereka tidak sannggup berhadapan dengan gangguan-gangguan musuh.

4) Sedar bahawa kebanyakan orang Islam takut digugat oleh musuh Islam jika mereka berada di dalam jama’ah Islam.

5) Sedar betapa besarnya tugas dan tanggungjawab yang mesti dipikul oleh setiap muslim terhadap Islam.

6) Sedar bahawa tugas dan tanggungjawab Islam adalah terlalu besar dan tidak akan dapat dilaksanakan tanpa jama’ah.

7) Faham, sedar dan yakin betapa besar pula pahala dan faedah yang akan diperolehi daripada usaha-usaha melaksanakan tugas dan tanggungjawab Islam bersama-sama jama’ah.



MARHALAH KETUJUH: APAKAH JAMA’AH ISLAM YANG SAHIH



Tahap ini memang rumit. Ia memerlukan hikmah, kekuatan alasan dan penjelasan yang meyakinkan. Lebih-lebih lagi dalam keadaan terdapat banyak jama’ah yang mengajak agar bergabung dengan mereka untuk mencapai apa yang dikatakan ’matlamat Islam’. Di tahap ini:

1) Mad’u mula bertanya tentang jama’ah Islam. Marhalah ini penting dan cukup sensitif. Ia memerlukan hikmah (kebijaksanaan). Penerangan mestilah jitu dan memuaskan.

2) Mad’u akan nampak banyak jama’ah yang bergerak. Masing-masing menyeru para pemuda-pemudi menyertainya. Masing-masing ada cara tersendiri untuk menarik para pemuda-pemudi kepadanya.

3) Mad’u perlu faham bahawa urusan ‘amal Islami adalah urusan yang asasi. Dia mestilah pandai membuat pilihan dan keputusan untuk memastikan keselamatan bagi hidupnya.

4) Dia tidak perlu tergesa-gesa untuk masuk dan terus bekerjasama dengan mana-mana jama’ah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab Islam.

5) Dia mestilah sentiasa ingat bahawa dia hanya mempunyai satu umur dan satu jiwa sahaja.

6) Dia perlu mengkaji dan menimbang semasak-masaknya sehingga nyata jama’ah Islam yang hendak dimasukinya di sepanjang hidupnya itu adalah jama’ah Islam yang sebenar.

7) Dia hendaklah mengikuti jalan dan madrasah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Madrasah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ialah madrasah yang mengasaskan aqidah ke dalam jiwa dan kemudiannya mendidik manusia dengan al-Qur’an. Dari madrasah ini terbentuklah para penjuang aqidah (dari kalangan para sahabat lelaki dan wanita).

8) Dia wajib berkeyakinan bahawa aqidah Islam menguasai perasaan, pemikiran dan jiwa para sahabat. Inilah asas kehidupan mereka. Para sahabat sanggup mengorbankan waktu, usaha, kesihatan, fikiran, harta, malah nyawa mereka untuk terus mempertahankan aqidah Islam.

9) Dia wajib berkeyakinan bahawa para sahabat tetap berpegang teguh dengan aqidah Islam dan rela menanggung segala gangguan dan penyiksaan. Mereka tidak pernah undur walau apapun yang akan terjadi terhadap diri mereka.

10) Dia melihat bahawa para sahabat terus menyebarkan da’wah Islam, mempertahankannya dan berjihad di jalannya dengan harta dan jiwa mereka.

11) Dia berkeyakinan bahawa para sahabat telah menjadi tiang dan teras yang kuat bagi Daulah Islamiyah yang pertama.

12) Dia dapat merasai bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah berjaya mempersaudarakan para sahabat dan menyusun kehidupan mereka.

13) Dia melihat bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah mengikat janji setia dengan mereka untuk sama-sama membela din dan segala apa yang menjadi hak mereka.

14) Dia faham dengan jelas bahawa kekuatan aqidah adalah kekuatan yang pertama, diikuti dengan kekuatan kesatuan dan akhirnya kekuatan tangan/ senjata. Firman Allah Subhanahuwata’ala:


Bermaksud: Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya, dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu.

(Al-Hajj : 39)

15) Dia berkeyakinan bahawa telah berlaku proses pembentukan asas yang kuat di kalangan para sahabat walaupun sedikit bilangannya.

16) Dia semakin jelas dan yakin bahawa mana-mana jama’ah yang tidak mengutamakan tarbiyah dan penyatuan tetapi hanya mempergunakan kekuatan yang lain (seperti jumlah dan laungan-laungan), adalah jama’ah yang memperjudikan nasib dan usahanya. Keadaan jama’ah yang mengabaikan tarbiyah akan membahayakan amal Islami.

17) Dia berkeyakinan bahawa usaha-usaha da’wah tanpa tarbiyah yang betul akan menjadi satu kerugian terhadap amal Islami. Jama’ah-jama’ah yang bergerak melalui partai politik, yang mengabaikan tarbiyah, sebenarnya hanya merupakan satu pertaruhan, malah merupakan satu kerugian terhadap amal Islami, walaupun mungkin ia berkembang dan membesar. Usaha-usaha sebegini tidak mantap dan tidak berkesan untuk mengasaskan Islam.

18) Dia berkeyakinan bahawa pembinaan Islam mestilah didahului dari asas, bukan dari puncak. Bangunan yang besar dan tinggi memerlukan asas yang dalam dan luas. Iman yang mendalam sahajalah yang mampu menjadi asas bagi bangunan Islam yang besar dan tinggi.

19) Dia membuat keputusan bahawa jama’ah pilihannya adalah jama’ah yang berpegang dengan Islam yang syumul (sempurna dan menyeluruh). Islam yang meliputi aqidah, ibadah, akhlak, undang-undang, perlembagaan, siasah, jihad dan segala aspek kehidupan yang lain.

20) Dia membuat keputusan bahawa jama’ah pilihannya ialah jama’ah yang ‘alamiyah, mempunyai banyak pengalaman dan mengalami berbagai ujian. Itulah jama’ah yang dipercayainya. Jama’ah itu ialah jama’ah yang teratur rapi (munazzamah) di dalam satu ikatan yang teguh dan perpaduan yang utuh. Segala perancangannya penuh perincian. Bukan jama’ah seperti bidan terjun (irtijal) dan terdedah kepada bibit-bibit perpecahan.

21) Seterusnya, jama’ah pilihannya itu mengandungi:

a) Iman yang mendalam

b) Penyusunan yang rapi

c) Jihad yang berterusan

Dan juga memiliki:

a) Manhaj tarbiyah Islamiyah harakiyah

b) Qudwah hasanah

c) Bi’ah Salihah


Maka mad’u kita itu sudah bersedia untuk dimasukkan ke dalam halaqah. Dia dimasukkan berdasarkan kepada kefahaman, kesedaran, keyakinan dan pengelibatannya yang terus menerus. Dia sudah bersedia untuk ta’at dan patuh dengan ajaran Islam. Dia merupakan kekuatan yang telah diproses dan diuji. Dia akan menyelesaikan masalah dan bukan menimbulkan masalah.



Rujukan utama: Mustafa Masyhur, Da’wah Fardhiyah.

 
Tarbiyah Pewaris © 2011 | Designed by RumahDijual, in collaboration with Online Casino, Uncharted 3 and MW3 Forum