Video

PERSAUDARAAN YANG SUCI

Thursday, October 23, 2008

Saudara-saudaraku yang beriman, ukhuwwah (persaudaraan) di dalam Islam tidak akan menjadi suci, murni, kukuh dan saling tolong menolong di atas dasar kebajikan melainkan jika terjadi kerana Allah Subha Nahu Wa Taala di dalam mencari keredhaan-Nya. Banyak hadis Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang membenarkan kenyataan ini.

Pertama: "Tiga perkara siapa yang ada padanya akan dapat merasai kemanisan iman, iaitu; Pertama, bahawa Allah dan Rasul-Nya lebih dikasihi daripada yang selainnya. Kedua, seseorang itu kasih kepada seseorang dan tiadalah ia kasih kepadanya melainkan kerana Allah. Ketiga, bahawa ia benci untuk kembali menjadi kekufuram sebagaimana ia benci untuk dimasukkan ke dalam api neraka." [Riwayat Bukhari]

Kedua: Sabda Rasulullah SallaLlahu 'Alaihi Wasallam, "Dan dua orang berkasih-kasihan demi Allah dan begitu juga apabila berhimpun." [Riwayat Bukhari]

Ketiga: Seorang lelaki yang menziarahi saudara seagama.

"Bahawa seorang lelaki menziarahi saudaranya di desa. Maka Allah Subha Nahu Wa Ta'ala mengutuskan seorang malaikat mengikuti dalam perjalanannya, maka manakala malaikat bertemu dengan lelaki itu ia bertanya, "Ada urusan apa?" Jawab lelaki itu, "Aku hendak menemui saudaraku di desa ini." Malaikat bertanya lagi; "Ada apa-apa yang dibawanya?" "Tidak! Melainkan aku kesana kerana aku kasih kepadanya." Lalu berkata malaikat; "Aku malaikat utusan Allah Subha Nahu Wa Ta'ala untuk memberitahu bahawa Allah Subha Nahu Wa Ta'ala kasihkan engkau sebagaimana engkau kasihkan saudaramu."" [Riwayat Muslim]

Akan tetapi wahai saudara-saudara yang beriman, persaudaraan di dalam Islam tidak akan menjadi jujur kerana Allah Subha Nahu Wa Ta'ala dan mencari keredhaan-Nya melainkan apabila persaudaraan itu didorong oleh keimanan dan untuk memperolehi ketaqwaan. Ini kerana tiada persaudaraan tanpa Iman dan tiada persahabatan tanpa taqwa.
Firman Allah Subha Nahu Wa Ta'ala yang mafhumnya;

"Bahawa orang-orang yang beriman itu bersaudara." [Al Hujurat: 10]

"Pada hari itu sahabat-sahabat karib: Sesetengahnya akan menjadi musuh kepada sesetengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh)." [Az-Zukhruf: 67]

Individu yang dibentuk di atas tapak keimanan dan ketaqwaan. Apabila seseorang bersahabat dengan orang-orang yang seiring dengannya di bidang iman dan taqwa, ia akan merasai hubungan yang benar-benar hampir dan kasih. Juga ia akan merasai kemesraan dan keikhlasan di detik awal pertemuan dan perkenalan.

Bagi diri yang berhias dengan sifat keji yang dibangunkan di atas tapak yang membawa kerosakan, ia tidak dapat duduk bersama dengan manusia yang sejahtera imannya. Ini disebabkan berlainan prinsip, jiwa yang tidak bersesuaian serta dasar yang tidak sama. Sehubungan dengan itu Nabi SallaLlahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud;

"Manusia itu bagaikan logam, mereka yang paling baik di zaman jahiliyah, maka begitulah setelah datangnya Islam sekiranya mereka mengerti, dan jiwa itu bagaikan tentera-tentera terlatih. Mana-mana yang bersefahaman dapat bersatu dan mana-mana yang tidak bersefahaman akan bertelagah."

Wahai saudara-saudaraku yang mulia, terdapat banyak jalan untuk mengukuhkan ikatan ukhuwwah, dan sekiranya anggota masyarakat berpegang dengannya dan melaksanakannya di dalam kehidupan mereka, nescaya akan bertambah kuatlah persaudaraan sesama mereka. Antaranya ialah:

1. Nyatakan rasa kasihmu kepada saudaramu.

Sabda Rasulullah SallaLlahu 'Alaihi Wasallam; "Jika seseorang itu kasih akan saudaranya, beritahulah kepadanya yang dia kasih kepadanya." [Riwayat Abu Daud dan Tarmidzi]

2. Mintalah supaya saudaramu mendoakanmu sebelum berpisah.

Umar bin Al-Khattab radhiallahu anhu berkata, "Saya minta izin kepada Baginda SallaLlahu 'Alaihi Wasallam untuk mengerjakan umrah." Baginda SallaLlahu 'alaihi Wasallam membenarkan dan berpesan; "Jangan lupa bila berdoa untuk kami bersama." [Riwayat Abu Daud dan Tarmidzi]

3. Bermanis muka ketika bertemu.

Sabda Rasulullah SallaLlahu 'Alaihi Wasallam;
"Janganlah kamu memandang hina terhadap kebaikan walaupun kecil, walaupun bermanis muka ketika bertemu dengan kawan-kawan."

4. Segeralah bersalam apabila bertemu.

Sabda Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam, maksudnya; "Tiadalah dua orang Islam yang bertemu lalu bersalaman melainkan dosa mereka akan diampunkan sebelum berpisah."

5. Selalu menziarahi saudaranya dari masa ke semasa (satu tempoh yang tidak terlalu kerap dan tidak terlalu jarang).

Sabda Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam, ertinya; "Siapa yang mengunjungi orang sakit atau menziarahi saudara seagama dengannya, menyerulah penyeru (malaikat), engkau baik, perjalanan engkau juga baik dan engkau akan menduduki rumah di Syurga."

Sabdanya lagi di dalam riwayat yang lain; "Ziarahilah saudaramu untuk menambahkah kasih sayang."

6. Memberi ucapan tahniah kepada saudaranya dan menyukakan hatinya.
"Siapa yang menemui saudaranya dengan apa-apa yang menyukakannya, nescaya Allah Azzawajalla akan menyukakannya pada hari kiamat."

7. Memberi hadiah kepada saudaranya pada ketika yang munasabah.
"Hendaklah kamu memberi hadiah, ia boleh membangkitkan kasih sayang dan menghapuskan rasa dendam di hati." [Riwayat Dailami dari Anas]

8. Laksanakan tanggungjawab persaudaraan dengan sempurna.

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam bersabda, maksudnya;

"Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan Akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya." [Riwayat Muslim]


Rujukan: Iman, Senjata Menghadapi Cabaran Zaman; Abdullah Nasih Ulwan

0 comments:

 
Tarbiyah Pewaris © 2011 | Designed by RumahDijual, in collaboration with Online Casino, Uncharted 3 and MW3 Forum