Video

Pembentukan Syaksiyah

Thursday, October 30, 2008 0 comments


Pembentukan syaksiyah para dai’e ialah langkah pertama dalam skop pembinaan agama Islam, walau apapun uslub harakah dan manhaj amalnya.

Syaksiyah Islamiyyah tidak mungkin terbina dan sempurna kelahirannya selagi ia tidak terlepas dan pengaruh kesan kesan masyarakat Jahiliyyah dan dan dualisma penerimaan dan pengarahan.

Patut disebut di sini bahawa maksud pembinaan syaksiyah kamilah ialah pembentukan barisan
kepimpinan atau penyusunan hairaki keanggotaan di setiap peringkat yang dituntut bagi menghadapi penentangan jahiliyyah.

Sifat-sifat yang unggul yang perlu ada dalam syaksiyah Islamiyyah: —

Pertama:
Melepaskan pengaruh cara hidup Jahiliyyah sepenuhnya sama ada dalam perasaan, atau pemikiran dan konsep, atau amalan dan urusan.

Kedua:
Beriltizam dengan Islam dan hukum-hukumnya secara sepenuhnya dan menjadikannya paksi hidup, titik tolak berfikir pengkalan tasawwur dan punca hukum dalam setiap persoalan dan objek.

Ketiga:
Menganggap jihad pada jalan Allah sebagai matlamat asasi dan kewujudan kita. Di mana konsep ini memerlukan persiapan yang cukup untuk berkorban dengan segala sesuatu untuk mencapai tujuannya.

Hakikat yang tidak boleh dipertikaikan lagi bahawa manhaj dan uslub yang dipegang oleh harakah Islamiyyah belum mencapai peringkat yang mampu untuk membentuk syaksiyah Islamiyyah dan segi sifat dan ciri-cirinya. Pada realitinya apa yang dikemukakan oleh manhaj-manhaj ini tidak melebihi sebahagian kecil dan pengetahuan umum Islam dan pengarahan kerohanian atau akhlak yang tidak memampukan kita membentuk individu muslim yang dicita-citakan. Yang membolehkan seseorang itu berkeahlian sebagai ‘rajul al-Aqidah’ — tentera ‘aqidah yang beriman dan hidup untuk ‘aqidahnya mengorbankan sesuatu yang mahal dan berharga demi untuknya.

Wasiat Ustaz Hasan Al Hudhaibi

Thursday, October 23, 2008 0 comments

Wahai Ikhwan, sesungguhnya Allah telah menjadikan kamu tentera untuk menegakkan

kebenaran, kemuliaan dan ketinggian di tanah air kamu dan di dunia Islam seluruhnya.

kewajipan tentera yang ikhlas ialah sentiasa bersedia untuk melaksanakan

tanggungjawab dalam mengharungi medan perjuangan. oleh itu menjadi kewajipan kamu,

bersedia setiap masa untuk melakukan apa saja yang boleh membawa kepada kemenangan

di medan pengislahan dan pembebasan ummah. maka sucikanlah jiwamu, bersihkan hatimu,

perangi hawa nafsumu sebelum kamu memerangi musuhmu. sesungguhnya orang yang tidak

mampu menewaskan nafsunya, lebih tidak mampu untuk mengalahkan musuhnya di medan

perang bersenjata. jadilah kamu contoh bagi apa yang kamu cakapkan dengan

mempamerkan akhlak al-Quran agar kamu dikenali manusia dengan akhlak kamu sebelum

mereka mengenali kamu dengan kata-katamu.

PERSAUDARAAN YANG SUCI

0 comments

Saudara-saudaraku yang beriman, ukhuwwah (persaudaraan) di dalam Islam tidak akan menjadi suci, murni, kukuh dan saling tolong menolong di atas dasar kebajikan melainkan jika terjadi kerana Allah Subha Nahu Wa Taala di dalam mencari keredhaan-Nya. Banyak hadis Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang membenarkan kenyataan ini.

Pertama: "Tiga perkara siapa yang ada padanya akan dapat merasai kemanisan iman, iaitu; Pertama, bahawa Allah dan Rasul-Nya lebih dikasihi daripada yang selainnya. Kedua, seseorang itu kasih kepada seseorang dan tiadalah ia kasih kepadanya melainkan kerana Allah. Ketiga, bahawa ia benci untuk kembali menjadi kekufuram sebagaimana ia benci untuk dimasukkan ke dalam api neraka." [Riwayat Bukhari]

Kedua: Sabda Rasulullah SallaLlahu 'Alaihi Wasallam, "Dan dua orang berkasih-kasihan demi Allah dan begitu juga apabila berhimpun." [Riwayat Bukhari]

Ketiga: Seorang lelaki yang menziarahi saudara seagama.

"Bahawa seorang lelaki menziarahi saudaranya di desa. Maka Allah Subha Nahu Wa Ta'ala mengutuskan seorang malaikat mengikuti dalam perjalanannya, maka manakala malaikat bertemu dengan lelaki itu ia bertanya, "Ada urusan apa?" Jawab lelaki itu, "Aku hendak menemui saudaraku di desa ini." Malaikat bertanya lagi; "Ada apa-apa yang dibawanya?" "Tidak! Melainkan aku kesana kerana aku kasih kepadanya." Lalu berkata malaikat; "Aku malaikat utusan Allah Subha Nahu Wa Ta'ala untuk memberitahu bahawa Allah Subha Nahu Wa Ta'ala kasihkan engkau sebagaimana engkau kasihkan saudaramu."" [Riwayat Muslim]

Akan tetapi wahai saudara-saudara yang beriman, persaudaraan di dalam Islam tidak akan menjadi jujur kerana Allah Subha Nahu Wa Ta'ala dan mencari keredhaan-Nya melainkan apabila persaudaraan itu didorong oleh keimanan dan untuk memperolehi ketaqwaan. Ini kerana tiada persaudaraan tanpa Iman dan tiada persahabatan tanpa taqwa.
Firman Allah Subha Nahu Wa Ta'ala yang mafhumnya;

"Bahawa orang-orang yang beriman itu bersaudara." [Al Hujurat: 10]

"Pada hari itu sahabat-sahabat karib: Sesetengahnya akan menjadi musuh kepada sesetengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh)." [Az-Zukhruf: 67]

Individu yang dibentuk di atas tapak keimanan dan ketaqwaan. Apabila seseorang bersahabat dengan orang-orang yang seiring dengannya di bidang iman dan taqwa, ia akan merasai hubungan yang benar-benar hampir dan kasih. Juga ia akan merasai kemesraan dan keikhlasan di detik awal pertemuan dan perkenalan.

Bagi diri yang berhias dengan sifat keji yang dibangunkan di atas tapak yang membawa kerosakan, ia tidak dapat duduk bersama dengan manusia yang sejahtera imannya. Ini disebabkan berlainan prinsip, jiwa yang tidak bersesuaian serta dasar yang tidak sama. Sehubungan dengan itu Nabi SallaLlahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud;

"Manusia itu bagaikan logam, mereka yang paling baik di zaman jahiliyah, maka begitulah setelah datangnya Islam sekiranya mereka mengerti, dan jiwa itu bagaikan tentera-tentera terlatih. Mana-mana yang bersefahaman dapat bersatu dan mana-mana yang tidak bersefahaman akan bertelagah."

Wahai saudara-saudaraku yang mulia, terdapat banyak jalan untuk mengukuhkan ikatan ukhuwwah, dan sekiranya anggota masyarakat berpegang dengannya dan melaksanakannya di dalam kehidupan mereka, nescaya akan bertambah kuatlah persaudaraan sesama mereka. Antaranya ialah:

1. Nyatakan rasa kasihmu kepada saudaramu.

Sabda Rasulullah SallaLlahu 'Alaihi Wasallam; "Jika seseorang itu kasih akan saudaranya, beritahulah kepadanya yang dia kasih kepadanya." [Riwayat Abu Daud dan Tarmidzi]

2. Mintalah supaya saudaramu mendoakanmu sebelum berpisah.

Umar bin Al-Khattab radhiallahu anhu berkata, "Saya minta izin kepada Baginda SallaLlahu 'Alaihi Wasallam untuk mengerjakan umrah." Baginda SallaLlahu 'alaihi Wasallam membenarkan dan berpesan; "Jangan lupa bila berdoa untuk kami bersama." [Riwayat Abu Daud dan Tarmidzi]

3. Bermanis muka ketika bertemu.

Sabda Rasulullah SallaLlahu 'Alaihi Wasallam;
"Janganlah kamu memandang hina terhadap kebaikan walaupun kecil, walaupun bermanis muka ketika bertemu dengan kawan-kawan."

4. Segeralah bersalam apabila bertemu.

Sabda Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam, maksudnya; "Tiadalah dua orang Islam yang bertemu lalu bersalaman melainkan dosa mereka akan diampunkan sebelum berpisah."

5. Selalu menziarahi saudaranya dari masa ke semasa (satu tempoh yang tidak terlalu kerap dan tidak terlalu jarang).

Sabda Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam, ertinya; "Siapa yang mengunjungi orang sakit atau menziarahi saudara seagama dengannya, menyerulah penyeru (malaikat), engkau baik, perjalanan engkau juga baik dan engkau akan menduduki rumah di Syurga."

Sabdanya lagi di dalam riwayat yang lain; "Ziarahilah saudaramu untuk menambahkah kasih sayang."

6. Memberi ucapan tahniah kepada saudaranya dan menyukakan hatinya.
"Siapa yang menemui saudaranya dengan apa-apa yang menyukakannya, nescaya Allah Azzawajalla akan menyukakannya pada hari kiamat."

7. Memberi hadiah kepada saudaranya pada ketika yang munasabah.
"Hendaklah kamu memberi hadiah, ia boleh membangkitkan kasih sayang dan menghapuskan rasa dendam di hati." [Riwayat Dailami dari Anas]

8. Laksanakan tanggungjawab persaudaraan dengan sempurna.

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam bersabda, maksudnya;

"Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan Akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya." [Riwayat Muslim]


Rujukan: Iman, Senjata Menghadapi Cabaran Zaman; Abdullah Nasih Ulwan

Zaynab Al Ghazali

0 comments



Zaynab al-Ghazali bukanlah seperti wanita biasa. Seperti Aisha Abdul Rahman, beliau merupakan rakyat Mesir dan mempertahankan hak-hak wanita Islam berdasarkan apa yang diyakini beliau sebagai fahaman Islam yang betul. Beliau dilahirkan di Al-Bihira pada tahun 1917 di dalam keluarga yang terhormat, keturunan Umar al-Khattab dan al-Hasan bin Ali bin Abi Talib. Ayah beliau juga merupakan lulusan al-Azhar. Beliau lebih terkedepan sebagai pejuang dan aktivis Islam daripada seorang yang ulama’. Sewaktu mudanya, beliau aktif dalam pergerakan feminis, dan menyertai Kesatuan Wanita Mesir (Egyptian Feminist Union) yang diasaskan oleh Huda as-Syarawi pada tahun 1923. Beliau telah keluar daripada persatuan itu disebabkan tidak bersetuju dengan idea dan landasan perjuangan gerakan pembebasan wanita. Pada umur 18 tahun (1936), beliau mengasaskan Persatuan Wanita Islam untuk menguruskan hal-ehwal dan akitiviti-aktiviti wanita berlandaskan ajaran Islam dan tujuan ke arah Islam.

Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Hasan al-Banna pada 1928 mempunyai perancangan untuk mengasaskan sayap wanita di dalam pertubuhannya. Hasan al-Banna telah meminta beliau untuk mengetuai bahagian wanita dalam Ikhwan Muslimin. Beliau dan persatuannya menolak tawaran ini tetapi menyatakan persetujuan untuk memberikan kerjasama. Setelah Ikhwan Muslimin dibubarkan pada tahun 1948, Zaynab al-Ghazali telah berbaiah kepada Hasan al-Banna pada tahun 1949 untuk menyokongnya dan bersama memperjuangkan sebuah daulah Islam. Malangnya Hasan al-Banna telah gugur syahid tidak lama setelah itu. Kesedihan hati Zaynab telah tercoret dalam bukunya yang masyhur, Hari-hari Dalam Hidupku. Beliau menyambung perjuangan dan mengotakan baiahnya kepada pemimpin Ikhwan Muslimin yang menggantikan Hasan al-Banna iaitu Hasan al-Hudhaibi. Beliau menyertai dan bersama dengan ahli Ikhwan Muslimin terutama apabila Ikhwan Muslimin diharamkan dan mereka terpaksa bergerak secara rahsia di bawah pemerintahan Jamal Abdul Naser sekitar tahun 1950-1960an.

Dalam satu temuramah dirumahnya di Heliopolis, Mesir pada tahun 1981, Zainab al-Ghazali berkata:
“Islam telah menyediakan segala-galanya untuk lelaki dan perempuan. Islam memberikan wanita semuanya-kebebasan,hak ekonomi,hak politik,hak social, hak awam dan juga hak persendirian. Islam telah memberikan hak-hak wanita di dalam keluarga lebih daripada persatuan dan agama lain. Wanita boleh berkata tentang kebebasan wanita dalam masyarakat Kristian,Yahudi dan juga masyarakat pagan, tetapi dalam masyarakat Islam adalah satu kesilapan besar untuk berkata tentang kebebasan wanita. Wanita Muslim perlu mempelajari Islam supaya mereka tahu Islam telah memberikan mereka semua hak-hak mereka.”

Inilah intipati pemikiran Zainab al-Ghazali berkenaan dengan status wanita seperti yang selalu diluahkan dan disampaikan beliau dalam ceramah-ceramah beliau dan juga karya-karya beliau di dalam majalah al-Da’wa, dimana beliau merupakan editor sebuah ruangan untuk pembangunan rumah tangga Muslim yang sebenar. Perkara utama dalam perjuangan beliau adalah pentarbiyahan, iaitu untuk memberi kefahaman Islam di dalam pemikiran wanita, mendidik mereka tentang hak-hak dan tanggungjawab mereka dan mengubah masyarakat untuk membina sebuah daulah Islamiah yang berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.

Zainab al-Ghazali meyakinin bahawa Islam membenarkan wanita untuk bergiat aktif dalam hal social, memegang jawatan, memasuki politik dan juga memberi pendapat. Beliau percaya Islam membenarkan wanita memiliki harta, menguruskan perniagaan dan apa sahaja yang mereka mahu dalam perkhidmatan masyarakat Islam. Beliau berpendapat tugas utama wanita Muslimah ialah menjadi ibu dan isteri. Oleh itu, tiada tanggungjawab lain yang boleh mengatasi tanggungjawab ini. Jika wanita itu mempunyai masa luang untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan setelah tugasnya sebagai ibu dan isteri telah dipenuhi, maka dia boleh berbuat demikian kerana Islam tidak melarang perbuatan tersebut.

Zainab al-Ghazali sangat meyakini tanggungjawab agama dan social apabila berkahwin. Pada perkahwinan beliau yang pertama, suami beliau tidak bersetuju untuk membenarkan beliau bergiat aktif dalam perjuangan Islam. Dengan sebab itu, beliau telah meminta cerai daripada suaminya kerana pra-syarat yang diletakkan oleh beliau sebelum berkahwin adalah membenarkan beliau memperjuangkan Islam. Suami beliau yang kedua memahami semangat dan gagasan perjuangan beliau dan melibatkan diri dalam penulisan untuk menyokong beliau dan sama sekali tidak menghalang beliau dari perjuangan. Didalam buku ‘Hari-hari dalam Hidupku’ (Ayyam min Hayati) beliau mengisahkan bagaimana suami beliau walaupun sangat bimbang akan diri beliau tetapi terus menerus menyokong perjuangan suci beliau. Zainab al-Ghazali juga menekankan beliau tidak akan mengabaikan tanggungjawab kepada suami dan keluarga beliau walaupun beliau Amirah sayap wanita Ikhwan Muslimin. Tanggungjawab beliau yang berat itu menyebabkan beliau perlu bekerja pada waktu yang panjang di pejabat beliau dan aktiviti bersama Ikhwan Muslimin. Setelah kematian suaminya yang kedua, beliau masih di dalam penjara. Beliau merasakan tanggungjawabnya terhadap perkahwinan telah selesai dan beliau bebas untuk mengorbankan seluruh masanya untuk perjuangan Islam.

Sebagaimana pejuang-pejuang Islam yang lain, beliau juga kecewa dengan revolusi Mesir 1952 yang didokong mereka pada mulanya dan akhirnya pejuang Islam telah dikhianati oleh Jamal Abdul Naser. Zainab al-Ghazali menyatakan bahawa rejim Jamal Abdul Naser adalah musuh kepada Islam. Setelah beberapa tokoh Ikhwanul Muslimin ditangkap dan dihukum mati dan ramai dipenjara, beliau mendahului pergerakan untuk menolong isteri, janda dan keluarga pejuang yang telah dibunuh dan dipenjarakan. Walaupun dipenjara, beliau meningkatkan usaha tarbiyyah secara rahsia diketuai oleh pimpinan Ikhwan Muslimin. Dalam tahun 1962, beliau dapat berhubung dengan Sayyid Qutb melalui dua orang adik Sayyid Qutb dan menerima tulisan beliau berkenaan perjuangan Islam dan tafsir al-Quran dan hadith serta syariah Islam. Beliau juga menerima sebahagian dari buku yang dikarang oleh Sayyid Qutb dalam penjara yang kemudian diterbitkan dengan judul Ma’alim Fit-Tariq (Petunjuk Sepanjang Jalan).

.Tulisan dan petunjuk daripada Sayyid Qutb di dalam penjara dan juga ayat-ayat al-Quran akan dipelajari dalam satu kumpulan terdiri daripada lima hingga sepuluh pemuda yang berjumpa pada waktu malam di rumah Zainab ataupun tempat lain. Perbincangan, pandangan dan pendapat diutarakan di dalam pertemuan tersebut. Dengan persetujuan Sayyid Qutb dan pimpinan Ikhwan Muslimin, keputusan untuk menjalankan program tarbiyyah selama 13 tahun sepertimana zaman Rasulullah saw di era Mekah. Apabila tempoh ini berakhir, maka studi dan kajian akan dibuat adakah sekurangnya 75% daripada rakyat Mesir sudah yakin dengan keperluan adanya daulah Islam dan membangunkannya. Jika ianya terjadi maka gerak kerja menubuhkan daulah Islam akan dilakukan dan jika belum lagi mencapai tahap tersebut, program pentarbiyahan akan dilakukan semula selama 13 tahun lagi sehingga sehingga rakyat bersedia untuk membina daulah Islam, menerima pakai undang-undang syariah Islam dan menegakkan hukum Islam berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.

Apabila kerajaan Mesir berasa curiga dengan perkumpulan rahsia dan matlamat mereka ini, Ikhwan Muslimin diserbu pada tahun 1965. Ikhwah dan akhawat pergerakan Ikhwan Muslimin semuanya ditangkap dan dipenjarakan. Zainab al-Ghazali adalah salah seorang daripada mereka. Jemaah wanita Ikhwan Muslimin dibubarkan. Beliau dibicarakan bersama sahabiah yang lainnya pada tahun 1966 dan dihukum penjara seumur hidup dengan kerja berat. Satu hukuman yang tidak masuk akal bagi seorang wanita. Namun pada tahun 1971 beliau telah dibebaskan apabila kematian Jamal Abdul Nasir dan Anwar Sadat mengambil alih tampuk pemerintahan. Setelah itu, beliau terus sahaja meneruskan perjuangan beliau tanpa mengenal penat lelah dalam mendaulatkan Islam dibumi Mesir.

Beliau merupakan wanita yang terkemuka setelah jatuhnya khilafah Islamiah di Mesir. Beliau tidak mempunyai anak dan segalanya hidupnya diserahkan kepada perjuangan Islam. Beliau juga menjadi sanjungan dan pendorong kepada perjuangan wanita di seluruh dunia. Beliau dihormati oleh kawan dan lawan, malah disegani oleh tokoh-tokoh ulama’ kerana perjuangannya yang luar biasa.

Zainab al-Ghazali kembali ke rahmatullah pada hari Rabu 3 Ogos 2005 di kala umur beliau 88 tahun. Ternyata umur yang panjang yang dianugerahkan Allah pada beliau telah digunakan tanpa sia-sia sedikitpun, semuanya dikorbankan demi menegakkan agama Allah yang mulia. Beliau terus menjadi idola dakwah kepada pejuang-pejuang Islam di seluruh dunia. Beliau juga menjadi bukti kukuh bahawa sebenarnya Islam mampu membina wanita yang berjuang untuk Islam. Sejarah hidup beliau persis hidup srikandi di teratak Rasulullah saw. Jadi tidaklah salah jika kita menggelarnya sebagai Ummul Mujahidah pada masa kini. Moga Allah mencucuri rahmat yang melimpah ruah kepada beliau dan menjadikan beliau di kalangan para siddiqin,amilin dan mujahidin.

Waktu Dalam Kehidupan Hasan Al Banna

Wednesday, October 8, 2008 2 comments



Al Banna pernah berkata, “ Tidak seorang pun di antara kita yang tahu, baru berapa malam yang kita gunakan untuk memikirkan umat, atau baru berapa peratus kehidupan kita yang kita gunakan untuk kemaslahatan umat, memecahkan serta mencari penyelesaian permasalahan yang sedang mereka hadapi. Mencarikan ubat ketika mereka di timpa wabak penyakit hati. Pernahkah kita memikirkan mereka sehingga air mata kita berlinang?

Kenyataan ini menyebabkan diri sang para da’ie merasa lelah dan gementar dengan prestasi diri dan amal nyatanya selama ini. Bimbang barangkali usaha dakwah yang sedang kita lakukan hanya dalam keadaan santai dan ber”aircond”, hinggakan masa yang kita berikan juga begitu santai dan dalam keadaan ”suka-suka” bila kita perlu berikan mengikut kehendak dan kemahuan kita. Kadang-kadang kita mencari helah untuk tidak turun ke medan amal dek kerana kepenatan mencari rezeki.

Tatkala diri kita disibukkan oleh hal-hal yang bersifat individu, orang lain diam membisu dan melarut dalam kebatilan, hanya duduk-duduk di café berhawa dingin menuruti panggilan kehancuran. Jika kita menghampiri dan bertanya kepada mereka apa yang menyebabkan mereka berada di situ, mereka akan menjawab sekadar mengisi kekosongan waktu dan melupakan kelelahan dan kepenatan bekerja dan melupakan seketika kegawatan dan kesusahan yang dilalui. Terkadang juga kita akan melihat mereka boleh berubah-rubah watak, sekejab mereka boleh menjadi ahli politik, sekejap mereka bertukar menjadi pakar ekonomi, sekejap mereka menjadi pakar jurulatih bolasepak, malahan mereka juga boleh berubah watak menjadi seorang hakim dan boleh menentukan siapa yang benar dan siapa yang salah. Begitulah realitinya masyarakat menghabiskan waktu mereka.
Al Banna mengatakan, “Sesungguhnya orang yang menghabiskan waktunya sama sahaja membunuh dirinya kerana hakikatnya waktu adalah kehidupan.”

Dalam salah satu pesanan Al Banna kepada kita adalah “ Hendaknya anda selalu bertaubat dan memohon ampunan Allah swt. dan menjaga diri agar jangan sampai melakukan dosa baik dosa besar, mahupun dosa kecil. Sebelum tidur hendaknya anda menyempatkan waktu barang sejenak untuk muhasabah diri apa yang telah anda lakukan, baik perkara yang terpuji ataupun tercela.”

Al Banna juga menyebut, “ Hendaklah anda benar-benar dapat mengatur masa anda kerana waktu adalah kehidupan. Jadi jangan sekali-kali anda mensia-siakan waktu walau hanya sedetik kerana waktu adalah kehidupan. Hendaklah anda menjauhi hal-hal yang syubhat agar tidak terperosok ke dalam perkara yang diharamkan.”

Mari kita melihat satu kisah bagaimana Al Banna memanfaatkan waktunya. Pada suatu ketika Al Banna di minta oleh sebuah forum pemuda untuk membedah sebuah buku yang berjudul ” Masa Depan Kebudayaan Mesir” karangan Tha Hussein. Pada ketika itu beliau hanya di beri 5 hari untuk membuat persiapan. Kata Al Banna pada saat itu. ” Saya tidak boleh menolak undangan tersebut, sedangkan saya tidak mempunyai waktu untuk membaca kandungan dalam buku tersebut. Saya hanya dapat membacanya ketika dalam perjalanan pulang dan pergi ke tempat saya mengajar. Untunglah buku tersebut tidak terlalu tebal. Namun begitu, saya harus menanda dengan coretan-coretan pada perenggan-perenggan penting. Akhirnya kurang dari lima hari saya sudah dapat menyelesaikannya.”

Dr. Muhammad Mahmud Abu as-Saud pernah menceritakan tentang kenangannya bersama Al Banna. ”Pada suatu hari, Imam Al Banna berkata kepada saya, ’pergilah kamu menemui si A, katakan kepadanya bahawa saya ingin menyelesaikan satu urusan dengannya. Jangan lupa kamu singgah di rumah si B untuk mengingatkannya agar ia melaksanakan pekerjaan yang telah dijanjikan. Jangan lupa juga untuk memaklumkan kembali orang yang bertanggungjawab menyelesaikan masalah si C.

Saya kemudian pergi dan kembali lagi ke pejabat tempat Al Banna berada untuk melaporkan apa yang telah saya kerjakan. Setibanya di pejabat, selonggok pekerjaan ternyata telah menanti dan menuntut saya untuk kembali bekerja. Hubungi, kerjakan, uruskan masalah si A, masalah si B, si C dan sebagainya.

Saya kemudian bertanya kepada, ”Syeikh, mengapa urusan sebanyak ini tidak engkau berikan kepada beberapa orang?”

Hasan Al Banna menjawab, ” Mahmud, hanya orang yang sibuk yang mampu menyelesaikan pekerjaan-pekerjaannya.”


Satu kisah lagi diceritakan oleh Ustaz Lasyin Abu Syanab bagaimana Al Banna menguruskan waktunya. ” Ustaz Lasyin berkata, ”Al Banna sangat menghargai waktu. Di sela-sela kesibukannya dan di tengah-tengah kesibukannya merealisasikan misi cita dakwah dan perjuangannya, Al Banna masih memiliki kesempatan untuk menulis segala sesuatu tentang perkembangan anak-anaknya. Bahkan ketika ia meninggal dunia, ia sedang dalam proses menyiapkan biografi anak perempuannya yang bernama Wafa’. Ia juga menyimpan bungkusan yang berisi nama-nama keluarganya untuk memudahkannya menyusun jadual ziarah bagi mereka.”

Muhasabah Pasca Ramadhan

Tuesday, October 7, 2008 1 comments

Pasca Ramadhan
Ramadhan bulan yang penuh berkah baru saja berlalu. Sederet catatan dan kenangan amal yang baik, semoga mengiringi kepergiannya. Semoga bersua kembali dengan bulan yang mulia dan penuh rahmat ini, insyaAllah.

Ramadhan memang telah berlalu meninggalkan kita. Namun pengaruhnya tidak boleh hilang begitu sahaja dan ia harus terjelma dengan jelas dalam hidup seharian kita. Puasa, tarawih, qiamullail, tilawatil Quran, sedekah, infa’ dan zikrullah kita seharusnya dan selayaknya menempa diri setiap muslim menjadi peribadi muttaqin (orang-orang yang bertaqwa). Kerana, taqwa itulah tujuan yang hendak diraih dari keseluruhan amaliah Ramadhan kita.

Darjat taqwa itulah satu-satunya bekal yang layak di bawa mengadap Allak kelak. Sesungguhnya hanya takwa sahaja kayu pengukur prestasi dan ”standard” penilaian Allah swt. terhadap hamba-hamba-Nya. Semakin tinggi tingkat ketaqwaannya, semakin mulia kedudukannya di sisi Allah swt. Maka marilah kita muhasabah prestasi diri masing-masing, sudah sejauh mana ia meningkatkan ketaqwaannya. Firman Allah swt yang bermaksud:

”Dan siapkanlah bekal kalian. Maka sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa.” (Al Baqarah:197)

Pembuktian ketaqwaan dapat kita terjemahkan melalui ketaatan kita. Ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya merupakan indikator utama seorang muttaqin. Sikap taat merupakan refleksi iman dan taqwa seorang hamba. Hal ini ditegaskan allah dalam Al Quran yang bermaksud:

” Sesungguhnya ucapan orang mukmin bila dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya dalam memutuskan urusan mereka, adalah perkataan: ”Kami dengan dan kami taat”. Itulah orang-orang yang beruntung.” (An Nuur-51)

Tunduk, taat dan patuh kepada ketentuan Allah dan Rasul-Nya itulah sikap, prinsip dan mentaliti seorang yang bertaqwa. Dan ketaatan itu tumbuh secara fitrah dalam hati sanubari tanpa ada paksaan dan tekanan. Apapun keputusan dan aturan Allah dan Rasul-nya diterima dengan redha dan lapang dada di iringi dengan sikap kesediaan melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah dan pengikut Nabi Muhamad saw.

Fenomena ini digambarkan Allah dalam firman-Nya bermaksud:
”Maka demi Rabb-mu, mereka itu tidak dikatakan beriman sehingga mereka menjadikan engkau (Muhamad) sebagai hakim (pemutus perkara) mereka, kemudian engkau tidak mendapati dalam diri mereka rasa keberatan atas keputusanmu, dan mereka menerimanya dengan penuh ketundukan.” (An Nisa’: 65)

Muhasabah Taqwa
• Sudahkah kita mentaati Allah dan Rasul dengan melaksanakan seluruh perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya atau kita mengabaikannya?

• Apakah kita menyambut seruan dan panggilan Allah dan Rasul-Nya dengan segera laksana seorang perajurit yang selalu siap sedia menjalankan tugas atau sebaliknya?

• Apakah kita menunaikan solat dengan taat dan kusyuk dan sentiasa memeliharanya dengan baik? Atau kita semakin sering meninggalkannya lantaran asyik di buai mimpi atau kesibukan kerja?

• Sudahkah kita salurkan kekayaan yang Allah pinjamkan kepada kita untuk zakat, sedekah dan infa’ di jalan Allah swt? Atau kita salurkan untuk tujuan berlibur semata atau untuk diri sendiri sahaja?

• Apakah kita termasuk golongan yang sentiasa memelihara kehormatan dan aurat? Atau jangan-jangan kita selama ini tergolong orang-orang yang suka mempamerkan kecantikan dan aurat kita untuk menjadi tatapan umum?

• Apakah kita termasuk orang yang selalu menjaga aklaqul karimah dan memelihara adab pergaulan? Atau kita terjerumus dalam pergaulan bebas dan berakhlak buruk?

• Adakah Al Quran telah berada dan tetap berada dalam hati kita? Atau kita sudah lama menjadikannya khazanah lama di rak almari kita atau hiasan di dinding?

• Apakah Islam kini berfungsi sebagai sistem yang mengatur hidup kita? Atau Islam hanya digunapakai ketika majlis akad nikah perkahwinan dan mengurus kematian ahli keluarga?

• Apakah ukhwah antara kita semakin terbina atau sikap individualistik terus menguasai kita?

• Apakah masjid dan surau di kariah kita sering kunjungi atau kita masih sibuk dengan urusan kerja dan peribadi sehingga kita tidak temui jalan ke masjid dan surau?

• Apakah institusi keluarga kita berfungsi sebagai madrasah melahirkan manusia muttaqin atau menjadi porak peranda kerana sikap tidak bertanggungjawab kita dalam mendidik isi rumah kita?


Semua itu patut menjadi renungan yang mendalam buat kita semua. Semoga sebulan penuh kita menjalani latihan di madrasah tarbiyah Ramadhan membersihkan kembali fitrah kita yangsuci. Fitrah yang selalu mengajak tunduk, taat dan patuh kepada tuntutan Allah swt dan Rasul-Nya. Sehingga di sepanjang Syawal ini kita layak merayakannya sebagai hari kemenangan fitrah atas nafsu, kemenangan kebenaran atas kebatilan dan kemenangan Iman atas kekufuran.

Pendidikan wanita Islam.

Monday, October 6, 2008 0 comments


Peranan wanita Islam adalah penting dalam membentuk peribadi anak-anak dan dalam membentuk generasi Muslim. Pendidikan kepada wanita Islam adalah bertujuan:

a. Memberitahu mereka tentang peranan mereka sebagai wanita dalam rumahtangga dan masyarakat.

b. Membentuk peribadi supaya mereka dapat melaksanakan peranan mereka dalam masyarakat Muslim dengan lebih berkesan lagi.

c. Memberi pengetahuan tentang hak dan tanggungjawab mereka.

d. Cara yang lebih baik untuk mendidik anak-anak mereka.

e. Menolong mereka untuk mengujudkan rumahtangga Muslim.

f. Menentang melalui pendidikan semua jenis tahyul dan tabiat-tabiat yang buruk di kalangan wanita-wanita Muslim.

g. Menggalakkan mereka mengambil bahagian yang aktif dalam perkhidmatan masyarakat terutama dalam bidang-bidang yang sesuai dengan keadaan wanita seperti menjadi jururawat, doktor, guru, pengajar, pengasuh kanak-kanak, kanak-kanak yatim atau orang-orang tua dan orang-orang miskin dan sebagainya.




Wanita Muslim.

Hak-hak yang perlu diketahui:

a. Persamaan dengan kaum lelaki dalam hal-hal kemanusiaan dan tanggungjawab.

b. Hak untuk mendapat pendidikan dalam semua peringkat sepertimana kaum lelaki dengan mempunyai ingatan bahawa terdapat beberapa bidang yang lebih sesuai untuk wanita, contohnya perubatan.

c. Hak untuk bekerja di luar jika perlu.

d. Hak untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarkatan yang mana aktiviti-aktiviti tersebut adalah untuk kaum wanita sahaja.

e. Keluar daripada rumah hanya dengan pakaian yang menutupi aurat.

Sebenarnya kaum wanita Muslim mempunyai hak dan tanggungjawab untuk menyumbang sesuatu dalam masyarakatnya. Firman Allah S.W.T. :

Terjemahannya:

“ Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan berfirman) : Sesungguhnya Aku tidak menyia-yiakan amalan orang-orang yang beramal di antara kamu, baik lelaki atau wanita (kerana) sebahagian dari kamu adalah keturunan dari sebahagian yang lain. Maka orang-orang yang berhijrah, yang diusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalan Ku, yang berperang dan yang dibunuh, pastilah akan Ku hapuskan kesalahan mereka dan pastilah Aku masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, sebagi pahala di sisi Allah. Dan Allah pada sisi Nya pahala yang baik. “
(Surah ali Imran : 195 ) 

Seruan Buat Para Pemuda

Sunday, October 5, 2008 0 comments


Wahai pemuda,

Bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah bersama orang yang bertaqwa. Dan bersyukurlah diatas nikmat Allah yang paling besar lagi tidak terhingga nilainya. Nikmat berada di atas jalanNya yang benar. Jalan para Nabi dan Rasul Allah. Kita berada di dalam nikmat Islam dengan pilihan Allah. Sesiapa yang menolaknya maka padahlah hidupnya dan akan rugilah dia di akhirat kelak. Allah berfirman yang bermaksud ;

“Barang siapa yang mencari selain Islam sebagai Deen (sistem hidup) maka ia tidak diterima dan dia di akhirat kelak bersama mereka yang rugi.” (Ali Imran, 3:83)

Yakinlah wahai pemuda,

Islam sebagai Deen yang benar menjanjikan keselamatan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Mereka yang beriman dan mengambil Islam sebagai sistem hidup sentiasa dicuba oleh musuh-musuh mereka untuk menyekat dan memperdaya penganut-penganut Islam supaya tidak kuat pegangan mereka terhadap Islam. Dan tidak bulat keyakinan mereka dengan janji-janji Allah di akhirat kelak. Hakikat ini telah jelaskan oleh Allah SWT dalam firmanNya yang bermaksud;

“ Mereka (musuh-musuh Allah) berusaha untuk memadam cahaya Allah(Deen Allah) dengan mulut-mulut mereka (diayah-diayah mereka) dan Allah tidak rela kecuali menyempurnakan cahaya Islam walaupun dibenci oleh orang-orang kafir.”
(AtTaubah, 9:32; As-Sof, 61:8)

Usaha memadamkan cahaya Allah telah berlaku sepanjang sejarah hidup manusia di atas muka bumi ini sejak nabi-nabi dan rasul-rasul dahulu kala lagi hingga ke zaman Baginda Rasulullah SAW, di zaman Khulafah Ar-Rashidin hingga sekarang dan akan terus dicuba dan ditentang hingga datang Qiamat. Firman Allah dalam Al-Quran Al-Karim yang bermaksud;

“Sebahagian besar Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) sungguh ingin dapat mengembalikan kamu kepada kekufuran setelah kamu beriman kerana timbul rasa hasad dengki dari dalam hati mereka setelah jelas kepada mereka kebenaran.” (Al-Baqarah, 2:109)

Ini adalah persaksian Allah tentang sikap permusuhan orang-orang kafir terhadap orang Islam, tidak kira apa juga kedudukan mereka sama ada Yahudi atau Nasrani atau Majusi atau Hinduni dan sebagainya. Sabda Rasulullah yang bermaksud “ Kekufuran itu satu pegangan”

Ingatlah wahai pemuda,

Salah seorang bekas Perdana menteri British ada membuat satu kenyataan katanya;
“Barat sekali-kali tidak dapat menguasai timur dan barat sendiri tidak akan aman selagi mana Al-Quran berada di tangan orang –orang Islam”.

Kenyataan yang sama dibuat oleh Pesuruhjaya Perancis di Algeria di bawah jajahan mereka;
“kita tidak akan menang dalam peperangan menentang orang-orang Algeria selagimana mereka membaca Al-Quran Al-Karim dan bercakap dengan bahasa Arab. Oleh itu kita perlu hapuskan AlQuran daripada kehidupan mereka dan hapuskan bahasa Arab dari menjadi bahasa mereka.”

Maksud mereka ”menghapuskan Al-Quran daripada kehidupan orang Algeria”, bukanlah menghapuskan naskhah Al-Quran yang mereka baca tetapi menghapuskan roh Al-Quran di dalam kehidupan mereka. Menghapuskan Al-Quran daripada menjadi manhaj hayah (cara hidup) mereka.

Dalam satu peristiwa lain, seorang ketua gerakan Kristian dalam satu persidangan di Baitul Maqdis satu ketika dahulu menyampaikan amanah kepada pendakwah Kristian sebagai berkata;

“Peranan kamu bukanlah hendak mengkristiankan orang-orang Islam tetapi ialah mengeluarkan mereka daripada Islam supaya menjadi makhluk yang tidak ada hubungan dengan Allah dan tidak berakhlaq.”

Begitu kenyataan pemimpin Kristian di Timur yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar Komunis katanya; “ Mustahil komunis boleh berkuasa sebelum Islam dapat diganyang habis-habisan.” Buktinya apa yang dilakukan oleh Komunis Rusia di Negara Balkan sekarang ini.

Peganglah wahai pemuda,

Pertelagahan antara haq dengan batil adalah menjadi sunnah hidup manusia di alam duniawi ini. Kebatilan dan kekufuran tidak senang dengan kebenaran yang dibawa oleh Islam, Deen Allah melalui Rasul-rasul Allah dan berakhir dengan Baginda Rasulullah SAW. Firman Allah dalam surah Al-Hijr ayat 39-40 yang bermaksud;

“Iblis berkata: Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku telah sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) dimuka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka".

Inilah pengakuan Iblis di hadapan Allah SWT yang ia akan tetap akan mengeluarkan dan menyesatkan manusia di muka bumi ini.

Allah SWT memperingatkan kita supaya berjaga-jaga jangan cuba terpengaruh dan ikut cara hidup orang-orang kafir nanti kita akan ditimpa kerugian yang besar.

Firman Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat 149 yang bermaksud;

“Wahai orang yang beriman jika kamu mentaati orang kafir mereka akan mengembalikan kamu kepada kekufuran dan kamu akan kembali rugi”.

Sedarlah wahai pemuda,

Musuh–musuh Islam telah menggunakan berbagai-bagai taktik dan cara dalam usaha mereka untuk menghancurkan umat Islam. Mereka menyerang islam dan umatnya dengan alat senjata dan askar-askar, pemikiran dan ideologi serta akhlaq dan kebudayaan. Semua bentuk serangan yang tersebut telah mendatangkan kemenangan kepada mereka. Umat Islam kalah di dalam peperangan bersenjata, kalah di dalam peperangan pemikiran dan ideologi dan kalah dalam serangan akhlaq dan kebudayaan. Tengoklah kepada realiti yang berlaku di negara-negara Islam. Mereka diserang dan dijajah baik dengan kekuatan tentera atau kekuatan ekonomi atau kekuatan media elektronik dan sebagainya.

Perhatikanlah cara hidup muda-mudi Islam hari ini malah majoriti orang-orang islam telah terikut-ikut dengan cara hidup musuh-musuh Islam tanpa di sedari seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, gaya hidup dan pemerintahan dan sebagainya seperti yang dianjurkan oleh musuh-musuh Islam. Nauzubillahminzalik.

Bangunlah wahai pemuda,

Musuh-musuh Islam memang bekerjasama sesama mereka untuk menumpaskan umat Islam dengan berbagai taktik dan tipu helah. Secara keras atau secara halus asalkan mereka dapat sampai kepada matlamat mereka iaitu menghancurkan umat Islam dan menghalang mereka daripada memerintah dan memimpin manusia ke arah keredaan Allah SWT . Oleh itu kita umat Islam perlu sedar dan berjaga-jaga dan perlu mengambil iktibar daripada pengalaman yang silam agar kita tidak terperangkap berkali-kali di dalam perangkap musuh dan sepatutnya orang orang mukmin tidak dipagut di dalam lubang yang sama dua kali (pepatah arab). Orang-orang mukmin perlu memiliki kekuatan dalam berbagai bidang bagi melayakkan mereka memimpin dan sekali gus menyelamatkan manusia sejagat daripada terus berada di dalam kesesatan di bawah pimpinan jahiliyah yang penuh dengan angkara kezaliman di serata pelusuk dunia. Sanggupkah kita melihat umat Islam diburu, dibunuh, dihalau, diperkosa dan berbagai-bagai lagi kekejaman yang dilakukan oleh musuh Islam seperti di Bosnia, Palestin, Kashmir, Somalia, Burma, Sri Lanka dan lain lain negara yang minoritinya orang-orang Islam? Umat Islam perlu membina kekuatan mengatasi kekuatan musuh di segi ilmu pengetahuan, perancangan, dan peradaban demi mengembalikan kepimpinan dan khilafah ke tangan umat Islam sendiri.

"Ya Allah! Kami memohon pertolongan dariMu agar kami tetap dalam melaksanakan perintahMu. Dan kami memohon pertolongan dariMu untuk menghadapi musuh-musuh kami sehingga Islam tertegak di atas mukabumiMu. Kurniakanlah kesedaran kepada kami tentang tanggungjawab kami dan kebijaksanaan dalam menguruskannya serta kurniakanlah natijah yang baik. Ya Allah! Jadikanlah kami orang-orang yang cinta kepadaMu dan orang-orang yang mencintaiMu. Jadikanlah kami membenci mereka yang memusuhiMu. Cucurilah rahmatMu kepada kami dan ampunilah kami. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengampun dan Maha Pengasih."

MAKNA TEGAKNYA MASYARAKAT DI ATAS AQIDAH ISLAMI

0 comments


Inilah aqidah yang tegak di atasnya masyarakat Islam. iaitu aqidah "Laa ilaaha illallah Muhammadan Rasuulullah." Makna dari ungkapan tersebut adalah bahawa masyarakat Islam benar-benar memuliakan dan menghargai aqidah itu dan berusaha untuk memperkuat aqidah tersebut di dalam akal mahupun hati. Masyarakat itu juga mendidik generasi Islam untuk memiliki aqidah tersebut dan berusaha menghalau pemikiran-pemikiran yang tidak benar dan syubhat yang menyesatkan. Ia juga berupaya menampakkan (memperjelas) keutamaan-keutamaan aqidah dan pengaruhnya dalam kehidupan individu mahupun sosial dengan (melalui) alat komunikasi yang berpengaruh dalam masyarakat, seperti masjid-masjid, sekolah-sekolah, surat-surat khabar, radio, televisyen, sandiwara, bioskop dan seni dalam segala bidang, seperti puisi. prosa, kisah-kisah dan teater.


Bukanlah yang dimaksud membangun masyarakat Islam di atas dasar aqidah Islamiyah adalah dengan memaksa orang-orang non Muslim untuk meninggalkan aqidah mereka. Tidak!, kerana hal ini tidak pernah terlintas dalam benak seorang Muslim terdahulu dan tidak akan terlintas di benak mereka untuk selamanya. Bukankah lslam telah mengumumkan dengan kata-kata yang jelas


"Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesunggahnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan sesat." (Al Baqarah: 256)


Sejarah telah membuktikan bahawa sesungguhnya masyarakat Islam pada masa-masa keemasannya adalah masyarakat yang paling toleran terhadap para penentangnya dalam aqidah. Fakta ini diperkuat oleh banyak pernyataan kesaksian orang-orang di luar islam sendiri.


Maksud dari tegaknya masyarakat, di atas aqidah Islam adalah bahawa masyarakat Islam itu bukanlah masyarakat yang terlepas dari segala ikatan, tetapi masyarakat yang komitmen dengan aqidah Islam. Bukan masyarakat penyembah berhala, dan bukan masyarakat Yahudi atau Nasrani, bukan pula masyarakat liberal atau masyarakat Sosialis Marxisme, tetapi ia adalah masyarakat yang bertumpu pada aqidah tauhid atau aqidah Islam, di mana aqidah Islam itu selalu tinggi dan tidak ada yang menandingi. Islam tidak menerima jika kalian berada di masyarakat sementara kalian tidak berperan apa pun, dan tidak rela mengganti aqidah yang lain dengan aqidah Islamnya, sehingga mampu meluruskan pandangan manusia terhadap Allah, manusia, alam semesta dan kehidupan.


Bukanlah dikatakan masyarakat Islam itu masyarakat yang menyembunyikan asma "Allah" dalam arahan-arahannya, kemudian menggantinya dengan nama"Alam." Sebagai contoh terkadang kita katakan bahawa sungai-sungai adalah pemberian alam, hutan juga pemberian alam, alam itulah yang menciptakan dan yang mengembangkan segala sesuatu, bukan Allah yang menciptakan segala sesuatu, Rabb segala sesuatu dan pengatur segala sesuatu.


Sesungguhnya pandangan masyarakat Barat terhadap masalah ketuhanan dan kaitannya dengan alam semesta adalah bahawa Allah telah menciptakan alam, kemudian membiarkannya, maka tidak ada yang mengatur, tidak ada yang menguasai. Persepsi seperti ini mirip dengan persepsi yang diambil dari para falsafah Yunani terhadap masalah ketuhanan, terutama Aristoteles yang tidak mengenal tuhan kecuali sebahagian dari dirinya, adapun pandangannya tentang alam, alam itu tidak ada yang mengatur dan tidak dikenal baik atau buruk dari tuhan. Dan yang lebih aneh dari pada itu adalah falsafah Aflathun yang tidak mengenal Tuhan sedikit pun, hingga dari dirinya.


Adapun persepsi masyarakat Islam tentang ketuhanan, maka itu tergambar dalam ayat-ayat berikut ini:


"Semua yang berada di langit dan yang berada di bumi bertasbih kepada Allah (menyatakan kebenaran Allah). Dan Dialah Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. Kepunyaan-Nya kerajaan langit dan bumi. Dia menghidupkan dan mematikan. Dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Dialah Yang Awal dan Yang Akhir Yang Zhahir dan Yang Bathin; dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. Dialah Yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa; Kemudian Dia bersemayam di atas 'Arsy. Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar dari padanya dan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya. Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. Kepunyaan-Nyalah kerajaan langit dan bumi. Dan kepada Allah-lah dikembalikan segala sesuatu. Dialah yang memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam. Dan Dia Maha Mengetahui segala isi hati." (Al Hadid: 14)


Bukanlah masyarakat Islam itu masyarakat yang mana kefahaman iman kepada Allah dan hari kemudian menjadi luntur, kemudian diganti dengan keyakinan terhadap aliran Wujudiyah, Qaumiyah atau Wathaniyah (kebangsaan atau Nasionalis), atau yang selain itu dari berhala-herhala yang disembah oleh manusia di sana sini, dari selain Allah atau bersama Allah, meskipun mereka tidak menamakan itu semua sebagai tuhan-tuhan mereka.


Bukan pula masyarakat Islam, masyarakat yang menyembunyikan nama"Muhammad" yang semestinya dianggap sebagai muwajjih yang ma'shum dan uswah yang ditaati, lalu membanggakan nama"Marx" dan"Lenin" atau yang lainnya dari para pemikir timur dan barat.


Bukan pula masyarakat Islam itu masyarakat yang mengabaikan kitab Allah Al Qur'an yang semestinya menjadi sumber petunjuk, sumber perundangan dan hukum, kemudian memperhatikan kitab-kitab yang lainnya dan mengadaptasikannya, dan menjadikan kitab-kitab itu sebagai rujukan pemikiran, perundang-undangan dan sistem perilaku atau diambil dari kitab-kitab itu nilai dan standard kehidupan.


Bukanlah masyarakat Islam itu masyarakat yang Allah, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya dihina (lecehkan) sementara manusianya diam terhadap kekufuran yang nyata ini, mereka tidak mampu memberikan pengajaran kepada orang yang kafir dan murtad atau menggertak orang zindiq yang menyeleweng, sehingga orang kafir itu berani menyebarkan di berbagai media secara terang-terangan ungkapan sebagai berikut, "Sesungguhnya manusia Arab moden adalah mereka yang menyakini bahawa Allah dan agama-agama adalah sesuatu yang usang dan layak disimpan dalam museum sejarah."


Bukanlah masyarakat Islam itu masyarakat yang mempersilahkan aqidah lain seperti aqidah Komunis, Sosialis dan Nasionalisme ekstrim menggeser aqidah Islamiyah. Sesungguhnya merupakan suatu kesalahan jika ada seseorang mengira bahawa faham Sosialis dan yang lainnya itu bukan aqidah yang bertentangan dengan Islam, tetapi ia sekadar aliran Ekonomi atau Sosial yang mengambil cara tertentu untuk mengatur kehidupan manusia, dan tidak berkaitan langsung dengan agama sehingga dikatakan sebagai aqidah, padahal kenyataannya bahawa Sosialisme menurut pencetusnya merupakan falsafah kehidupan yang komprehensif dan aqidah yang universal yang memberi pandangan terhadap alam, sejarah, kehidupan, manusia dan Tuhan yang jelas-jelas bertentangan dengan Pandangan Islam. Oleh kerana itu sebahagian orang mengistilahkannya sebagai "Agama tanpa wahyu."2)


Bukan pula masyarakat Islam itu masyarakat yang menjadikan masalah aqidah sebagai masalah sampingan dalam kehidupan ini, sehingga tidak dijadikan sebagai asas dari sistem pendidikan dan pengajaran, sistem pemikiran, sistem penerangan dan pengarahan' tidak pula dalam proses perubahan secara umum kecuali hanya sebahagian kecil dan terbatas. Maka aqidah bukanlah pengarah dan penggerak yang pertama, dan bukan pula pengaruh yang pertama dalam kehidupan individu, keluarga mahupun kemasyarakatan, akan tetapi aqidah dijadikan nombor dua dan ditempatkan di belakang, itupun kalau memang masih ada tempat.


Aqidah dalam kehidupan masyarakat Islam pertama yang telah dibina oleh Rasulullah SAW dan diwarisi oleh para sahabat dan tabi'in adalah merupakan motivasi, pengarah dan hal pertama yang mewarnai dalam kehidupan mereka, dan akhirnya dia menjadi ikatan pemersatu.


Aqidah merupakan sumber persepsi dan pemikiran. Aqidah juga merupakan asas keterikatan dan persatuan, asas hukum dan syari'at, sebagai motor penggerak dalam berharakah, ia juga merupakan sumber keutamaan dan akhlaq. Aqidah itulah yang telah mencetak para pahlawan (pejuang) di medan jihad dan untuk mencari syahid serta menempa setiap jiwa untuk berkorban dan itsar.


Demikianlah aqidah dan pengaruhnya dalam kehidupan masyarakat Islam yang pertama dan demikianlah hendaknya pengaruh aqidah dalam setiap masyarakat yang menginginkan menjadi masyarakat Islam, saat ini dan di masa yang akan datang.


Sesungguhnya aqidah Islamiyah dengan segala rukun dan karakteristiknya adalah merupakan dasar yang kukuh untuk membangun masyarakat yang kuat, kerana itu bangunan yang tidak tegak di atas aqidah Islamiyah maka sama dengan membangun di atas pasir yang mudah runtuh.


Lebih buruk dari itu apabila bangunan yang mengaku Islam, ternyata berdiri di atas asas selain aqidah Islam, meskipun telah ditulis di papan nama dengan nama Islam, maka sesungguhnya itu merupakan pemalsuan di dalam materi dasar bangunan yang tidak menutup kemungkinan bangunan itu akan berakibat runtuh seluruhnya dan menimpa orang-orang yang ada di dalamnya. Allah SWT berfirman:


"Maka apakah orang-orang yang mendirikan bangunannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan keredhaan (Nya) itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama dengan dia ke dalam neraka Jahannam? Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim." (At-Taubah: 109)


Sungguh kita telah melihat masyarakat Komunis pada masa-masa kejayaannya dan ketika berkuasa, mereka telah menjadikan aqidah Marxisme dan falsafahnya yang materialisme dalam undang-undang mereka secara terang-terangan. Mereka telah menyatakan bahawa tidak ada tuhan dan kehidupan adalah materi dalam aturan undang-undang mereka, dalam pendidikan dan pengajaran mereka dalam kebudayaan dan sosial mereka, dan dalam seluruh sistem, lembaga dan sikap kebijakan politik mereka.


Inilah perhatian setiap masyarakat yang berideologi, maka sudah semestinya jika masyarakat Islam menjadi cermin yang akan mencerminkan aqidah dan keimanannya serta pandangannya terhadap alam, manusia dan kehidupan dan pandangannya terhadap Sang pencipta yang memberikan kehidupan.

2) Lihat Kitab saya 'Min Ajli Shahwatin Islamiyah'



Sistem Masyarakat Islam dalam Al Qur'an & Sunnah
(Malaamihu Al Mujtama' Al Muslim Alladzi Nasyuduh)
oleh Dr. Yusuf Qardhawi

Dr. Yusuf al-Qardhawi

0 comments


Membincangkan wacana pemikiran Islam moden, kita tidak boleh mengabaikan nama Dr. Yusuf al Qardhawi. Ini kerana pemikiran-pemikirannya yang bijak disokong oleh dalil-dalil yang kuat, banyak dijadikan rujukan oleh umat Islam, terutama dalam menghadapi permasalahan semasa. Banyak buku ulama kelahiran Mesir ini yang beredar di rantau ini. Antaranya, Fatwa-fatwa Kontemporari, Islam Ekstrem, Menyatukan Pemikiran Pejuang Islam, Ulama versus Tirani, dan Agenda Permasalahan Umat.Pada pandangan Qardhawi, umat Islam sudah lama menghidap krisis identiti yang akut akibat perang pemikiran (ghazwul fikr) Barat yang tidak mengkehendaki Islam bangkit semula. Umat Islam kini seolah-olah sudah tidak percaya lagi kepada agamanya sendiri, justeru lebih percaya kepada peradaban Barat. Sebab itu umat Islam masih di bawah cengkaman peradaban Barat.Qardhawi adalah salah seorang intelektual yang tidak jemu-jemunya menggilap maruah umat Islam dengan cara secara berterusan menyebarkan pemikiran Islam yang benar dan tidak menyimpang.


Beliau tidak hanya aktif dalam penyebaran pemikiran melalui buku-buku karangannya yang pelbagai, tetapi juga melalui seminar-seminar di peringkat antarabangsa. Yang lebih menakjubkan lagi adalah, prinsip hidupnya yang sangat kukuh dalam memegang kebenaran dan prinsip Islam, walaupun ada ketikanya menghadapi tekanan dari pihak-pihak tertentu.Selain itu Qardhawi amat kritis terhadap pelbagai propaganda pemikiran Barat mahupun Timur, termasuk pemikiran salah daripada umat Islam sendiri. Malah beliau tidak berasa malu berbeza pendapat dengan senior-seniornya dalam pergerakan Islam seperti Sayyid Quthb, antara tokoh utama gerakan Islam moden Ikhwanul Muslimin. Qardhawi berani mengkritik pemikiran Sayyid Quthb dalam bukunya yang amat popular "Ma'alim Fii al-Thariiq" (Papan Tanda Sepanjang Jalan).Bagi Qardhawi, perbezaan pendapat adalah sesuatu yang tidak mungkin untuk dihalang. Ini kerana selama terdapat sebab-sebab yang membolehkannya, maka perbezaan itu tidak akan pernah berakhir. Malah beliau berpendapat, sikap taksub yang terdapat pada sesetengah umat Islam, sering menimbulkan suasana yang tidak tenteram dan merugikan umat Islam sendiri. Ini kerana masing-masing dengan penuh semangat mempertahankan pendapat masing-masing dan menganggap pendapat merekalah yang paling benar.


Mereka menyangka, pendapat mereka adalah ajaran agama dan apabila seseorang mengikut atau menentangnya mereka mendapat pahala atau seksa. Sebab tu dengan sekuat tenaga mereka menjadikan pendapat-pendapat tersebut sebagai kebenaran yang mutlak dan menolak sekiranya berlaku perbezaan. Bagi beliau ini adalah sikap yang tercela, kerana sikap ini akan menimbulkan sikap taksub yang berlebihan sehingga menghalang berlakunya perbezaan pendapat sebagaimana yang dibenarkan oleh agama Islam.Perbezaan pendapat akan sentiasa wujud kerana agama Islam tidak mengongkong pentafsiran yang menghasilkan kesimpulan yang berbeza. Selagi pentafsiran itu berasaskan sumber hukum yang dibenarkan, maka perbezaan ini akan sentiasa berkembang. Perbezaan seorang alim yang mengambil rukhsah (keringanan hukum) dengan mengambil 'azimah (sesuai dengan perintah hukum syarak), atau yang mengambil hukum dengan berhati-hati (al-ahwath) dengan yang mengambilnya dengan cara lebih mudah (al-aysar), tidak mungkin dipertemukan sehingga hari kiamat.Para sahabat juga berbeza pendapat antara mereka. Namun hal itu tidak menjadikan mereka saling bercakaran, bahkan mereka dengan tenteram hidup dalam alam perbezaan itu. Mereka bersembahyang berimamkan yang lain tanpa syak wasangka dan caci-maki.


Dalam hal ini Qardhawi sangat kecewa dengan sikap sesetengah umat Islam yang tidak dapat membezakan antara perbezaan pendapat yang terpuji dan tercela berpandukan syariat. Pandangan-pandangan Qardhawi yang tajam dalam hal perbezaan yang terpuji dan tercela ini, telah dipaparkannya dalam buku As-Shahwah al-Islamiyah baina al-ikhtilaf al-masyru' wa al-tafarruq al-madzmum (Kebangkitan Islam antara Perbezaan yang Terpuji dan yang Tercela). Atau dalam sebuah bukunya yang lain Awaamil sa'sah wa al-muruunah fii al-syariah al-Islamiyah (Elemen-elemen Fleksibiliti dalam Syariah Islam).Dilahirkan di sebuah desa kecil di Mesir, iaitu desa Shafth Turaab pada 9 September 1926. Semasa berusia 10 tahun, ia sudah hafal al-Qur'an.


Selepas tamat belajar di Ma'had Thanta dan Ma'had Tsanawi, Qardhawi melanjutkan pelajarannya ke Universiti al-Azhar, Fakulti Usuluddin dan menamatkan pengajian pada tahun 1952. Ia menamatkan pengajian di peringkat doktor falsafah pada tahun 1972 dengan kajian "Zakat dan Peranannya dalam Membenteras Kemiskinan", yang kemudian disempurnakannya menjadi buku Fekah Zakat. Inilah buku yang sangat terperinci membahaskan permasalahan zakat dalam konteks kehidupan moden.Punca ia terlambat menamatkan pengajiannya di peringkat doktor falsafah adalah kerana beliau terpaksa meninggalkan Mesir akibat tekanan pihak berkuasa ketika itu. Qardhawi terpaksa berhijrah ke Qatar pada tahun 1961 dan di sana ia sempat menubuhkan Fakulti Syariah di Universiti Qatar. Pada masa yang sama, ia juga menubuhkan Pusat Kajian Sejarah dan Sunnah Nabi. Ia kemudian memperoleh kewarganegaraan Qatar dan menjadikan Doha sebagai tempat tinggalnya.


Dalam perjalanan hidupnya, Qardhawi pernah merasai "didikan" penjara semasa mudanya. Ketika Mesir diperintah oleh Raja Farouk, pada tahun 1949 Qardhawi didakwa dan kemudiannya dipenjarakan kerana dituduh terbabit dalam gerakan Ikhwanul Muslimin. Ketika itu umurnya 23 tahun. pada April tahun 1956, ia ditangkap semula semasa berlakunya Revolusi Jun di Mesir. Ia kemudiannya menghuni penjara tentera selama dua tahun.Walaupun telah melalui pelbagai peristiwa pahit, Qardhawi tetap lantang dan berani menyuarakan pendapatnya terutama dalam khutbah-khutbahnya sehingga ia pernah dilarang menjadi khatib di sebuah masjid di daerah Zamalik. Alasannya, khutbah-khutbahnya dianggap mempengaruhi pandangan awam terhadap ketidakadilan rejim yang memerintah ketika itu.


Dr. Qardhawi kini memiliki tujuh orang anak, empat perempuan dan tiga lelaki. Sebagai seorang ulama yang sangat disegani, ia mempunyai sikap yang sangat terbuka dalam pendidikan anak-anaknya. Bagi beliau anak-anak bebas memilih bidang dan institusi pendidikan yang sesuai dengan minat dan bakat masing-masing. Dan hebatnya lagi, dia tidak membezakan pendidikan yang harus dipilih oleh anak-anak perempuan dan anak lelakinya.Salah seorang anak perempuannya memperoleh gelaran doktor fizik dalam kajian nuklear di England. Anak perempuan keduanya memperoleh gelaran doktor dalam jurusan kimia juga di England. Manakala yang ketiga masih menyelesaikan pengajian di peringkat doktor falsafah. Sedangkan yang keempat telah menamatkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Texas, Amerika. Anak lelakinya yang pertama sedang menuntut di peringkat doktor falsafah di bidang teknologi di Amerika, yang kedua belajar di Universiti Darul Ulum Mesir sedangkan yang bongsu telah menamatkan pengajiannya di Fakulti Elektrikal.


Melihat kepada latar belakang pendidikan yang dipilih anak-anaknya, kita boleh membaca sikap dan pandangan Qardhawi terhadap pendidikan moden. Daripada tujuh orang anaknya, hanya seorang yang belajar di Universiti Darul Ulum Mesir dalam pengajian aliran agama. Sedangkan yang lainnya memilih aliran sains dan teknologi dan kesemuanya belajar di luar negara, iaitu negara-negara barat. Ini disebabkan Qardhawi merupakan seorang ulama yang menolak pembahagian ilmu secara sempit. Bagi beliau, semua ilmu boleh dianggap Islam dan sebaliknya, bergantung kepada orang yang menilai dan mempergunakannya. Pemisahan ilmu secara sempit menurut Qardhawi telah menghalang kemajuan umat Islam.


Bagi Qardhawi, peradaban tentang sesuatu bangsa dan agama boleh maju jika peradaban tersebut bijak menyerap hal-hal positif daripada tamadun bangsa yang lebih maju, dengan syarat tidak meninggalkan jati diri dan ajaran Islam. Qardhawi menganggap, kemajuan peradaban mana pun amat tergantung pada manusianya. Begitu jugalah semangat untuk memajukan peradaban Islam, ia diusahakan dengan memajukan umat dalam pelbagai bidang keilmuan.Peradaban Islam yang mundur dalam pandangan Qardhawi adalah berpunca kerana umat Islam jahil dalam pelbagai bidang ilmu yang menjadi asas kemajuan masyarakat. Islam menjadi ajaran yang telah disempitkan dengan pelbagai bidang ilmu khusus, sehingga tidak lagi menggambarkan sebagai satu ajaran yang universal. Jadi keagungan Islam dimundurkan oleh umatnya sendiri yang menganggap ilmu-ilmu Islam itu hanya dalam ilmu-ilmu yang berkaitan dengan fardu ain sahaja dan mereka mengabaikan tuntutan fardu kifayah.Dalam buku-buku yang ditulisnya, Qardhawi selalu menyeru umat Islam kepada pemikiran moderat dan sangat anti pemikiran ekstremisme. Dia selalu mencanangkan keagungan Islam dalam semua aspek kehidupan.


Bagi beliau, Islam selalu menggalakkan umatnya bersikap terbuka dan sederhana. Sebagai ulama yang sangat arif terhadap tuntutan al-Qur'an dan sunnah Nabi, Qardhawi sangat fleksibel dalam memandang ajaran Islam. Sikap kritisnya dalam memahami ajaran Islam ini sangat membantunya untuk selalu bersikap arif dna bijak. Namun pada saat yang sama, sangat kuat dalam mempertahankan pendapat-pendapatnya yang digalinya daripada al-Qur'an dan hadith.Kini Dr. Qardhawi tidak jemu-jemu mencanangkan pemikiran Islam sebagai agama yang sederhana. Islam amat menghargai perbezaan sebagai fenomena sosial yang tidak mungkin disekat dan dihapuskan. Tidak hairan jika Qardhawi sangat anti terhadap gerakan-gerakan Islam yang bercorak militan yang suatu ketika dulu tergamak membunuh para pelancong barat yang sedang melancong di bumi Mesir, tanpa alasan yang jelas dan diterima akal. Tindakan seperti itu, dianggapnya sebagai tindakan ganas yang hanya memburukkan maruah dan nama baik umat Islam. Islam sebagai agama yang cintakan kedamaian dan sangat berperikemanusiaan dalam melayan seseorang tidak kira bangsa dan agamanya, telah dikotori oleh semangat barbarian yang suka menumpahkan darah.Bagaimanapun Qardhawi juga mengingatkan semua pihak bahawa tindakan ganas itu adakalanya berpunca bukan kerana keinginan mereka. Tindakan tersebut timbul disebabkan kemerdekaan mereka telah dirampas oleh para penguasa yang tidak memberikan peluang pada mereka melaksanakan keyakinan seperti yang mereka yakini.

 
Tarbiyah Pewaris © 2011 | Designed by RumahDijual, in collaboration with Online Casino, Uncharted 3 and MW3 Forum