Video

Penyakit Hati dan Rawatannya

Sunday, July 20, 2008

Penyakit-penyakit yang biasa terdapat dalam jiwa manusia ialah seperti berikut:

1. Mensyirikkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

2. Melakukan amalan yang berdosa kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

3. Lalai terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala kepada hamba yang Muslim.

4. Menghina dan memandang kecil kepada orang yang dikasihi dan disokong Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

5. Meninggalkan keputusan Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam kehidupan, sebaliknya mengambil keputusan yang lain.

Dalam realiti kini, segala ketentuan dan ketetapan Allah Subhanahu Wa Ta'ala dipandang tidak baik dan tidak diredhai oleh manusia. Manusia tidak memberi harga dan nilai kepada kehendak Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Manusia memandang sepi terhadap ketetapan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Mungkin terdapat segelintir manusia daripada umat ini yang memandang berat, mulia, tinggi dan agung dengan keputusan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Tetapi umumnya apabila dikemukakan keputusan Allah Subhanahu Wa Ta'ala maka dirasakan menjatuhkan maruah, seterusnya bersikap tidak mempedu­likan dan tidak mengendahkan keputusan tersebut. Inilah penyakit jiwa.

6. Tidak merujuk kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, sebaliknya mengambil rujukan yang lain dalam permasalahan hidup meliputi di bidang ilmu penge­tahuan, sistem, peraturan dan sebagainya.

7. Tidak bergantung harap kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, sebaliknya bergantung harap kepada ilah-ilah selain Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Apabila manusia tidak merujuk kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, maka sudah tentu tiada lagi pergantungan kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Hakikat ini dinilai berasaskan praktik hidup manusia hari ini, meskipun dari segi dakwaan sememangnya mereka mengakui merujuk dan bergantung Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Inilah yang sedang nyata berlaku.

8. Mencurigai, syak dan sangsi kepada janji-janji dan peringatan-peringatan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Allah Subhanahu Wa Ta'ala memberitahu orang-orang yang beriman, bertaqwa dan beramal saleh akan janji syurga. Allah juga memberitahu orang-orang yang menentang-Nya akan janji azab neraka. Namun dalam perlaksanaan hidup manusia kini, ramai merasa syak dan sangsi terhadap janji-janji Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Jika manusia yakin akan janji-janji itu, sudah tentu realiti manusia berbeza daripada apa yang ada sekarang. Kini secara meluas manusia berasa curiga dan syak dengan janji-janji dan ingatan-ingatan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Itulah perkara-perkara atau sebab-sebab yang membawa penyakit kepada jiwa manusia.

UBAT YANG MUJARAB


Tidak ada ubat yang dapat mengubati penyakit-penyakit itu melainkan ubat yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Janganlah berusaha mencari ubat-ubat yang lain. Tidak akan sembuh penyakit-penyakit itu melainkan dengan ubat yang telah digunakan oleh Baginda Sallallahu’alaihiwasallam.

Untuk mengubati sesuatu penyakit, perlu terlebih dahulu kita melihat jenis penyakit tersebut. Ubat yang mujarab ialah apa yang berlawanan dengan penyakit yang menyerang manusia.

1. Jika penyakit itu ialah mensyirikkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala, maka ubatnya ialah mentauhidkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

2. Jika penyakit itu ialah melakukan amalan berdosa, ubatnya ialah meninggalkan amalan itu dan bertaubat kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

3. Jika penyakit itu ialah lalai dengan tanggungjawab yang diber­ikan Allah Subhanahu Wa Ta'ala, ubatnya ialah menyedari akan tanggungjawab terse­but.

4. Jika penyakit itu ialah membenci dan memandang kecil terhadap perkara yang disukai Allah Subhanahu Wa Ta'ala, ubatnya ialah perlu mengambil berat, suka, redha dan cinta terhadapnya.

5. Jika penyakit itu ialah merujuk kepada selain daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, ubatnya ialah kembali merujuk kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam semua hal kehidupan.

Manusia perlu faham dan sedar bahawa setiap detik kehidupan boleh terlepas daripada keputusan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Segala-galanya perlu dirujuk dan dikembalikan kepada keputusan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. iaitu meru­juk dan kembali kepada syarak atau Islam sahaja.

6. Jika penyakit itu ialah memandang kecil dan hina terhadap nilai-nilai Allah Subhanahu Wa Ta'ala, ubatnya ialah kembali menilai dengan tinggi, agung dan baik akan nilai-nilai Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Manusia harus diberi kefahaman sebenar terhadap nilai-nilai Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan ditarbiyyah. Dengan cara ini barulah penyakit tersebut dapat sembuh.


KERIANGAN MEREKA YANG MENTAUHIDKAN ALLAH

Keseluruhan cara pengubatan di atas dipanggil cara pengubatan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam terhadap penyakit-penyakit jiwa.

Penyakit mensyirikkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala, disembuhkan dengan cara kembali mentauhidkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Tauhid kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan membuka pintu kebaikan, kegembiraan, dan keriangan. Riang dan gembira orang-orang yang beriman ialah riang yang hakiki dan tidak berpu­ra-pura. Keriangan mereka lahir daripada tindakan mentauhidkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Keriangan mereka adalah keriangan berterusan walaupun mereka diancam dan dikecam.

Inilah keriangan dan kegembiraan bagi orang-orang yang mentauhid­kan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Mereka sentiasa bertindak di atas landasan sya­ra'. Sekiranya mereka bertindak di atas landasan syara' tetapi tidak merasai kepuasan, kelazatan dan keriangan, bermakna tauhid itu belum mantap. Mungkin masih terdapat penyakit di jiwa mereka.


TAUBAT

Taubat bermakna manusia kembali kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, peraturan-Nya dan hukum-Nya. Taubat ialah membuang dan mengosongkan diri dari­pada segala bentuk campuran yang buruk atau campuran yang boleh merosakkan jiwa. Taubat ialah menjaga diri daripada percampuran nilai-nilai lain dan kembali kepada nilai-nilai Allah Subhanahu Wa Ta'ala sahaja dalam setiap aspek kehidupan. Sekiranya seseorang itu termasuk ke dalam golongan orang-orang bertaubat kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala maka campuran itu tidak wujud lagi pada dirinya. Inilah sifat orang bertaubat.

Taubat akan menutup segala pintu kejahatan dan membuka pintu kebahagiaan serta kebaikan. Ini boleh dilakukan dengan cara beristigfar kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan mentauhidkan-Nya. Sesiapa yang ingin menyihatkan badan hendaklah dia menjaga makan minum daripa­da makanan yang memudharatkan. Sesiapa yang ingin menyihatkan jiwa dan hati maka hendaklah dia meninggalkan segala dosa.


DOSA MELEMAH DAN MEMATIKAN JIWA

Thabit bin Qurrah berkata:

Kerehatan badan bergantung kepada kurangnya makan. Kerehatan jiwa bergantung kepada kurangnya melakukan dosa. Kerehatan lidah bergantung kepada kurangnya bercakap. Dosa bagi hati umpama racun bagi badan. Justeru itu dosa yang dilakukan seseorang umpama meminum racun. Jika dosa itu tidak membinasakan jiwa secara menyeluruh, maka ia akan melemahkan jiwa (seperti racun, walaupun ia mungkin tidak memusnahkan badan tetapi ia tetap melemahkan badan). Jiwa yang lemah tidak lagi mampu melawan penyakit, sama seperti badan yang lemah tidak mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Abdullah bin Mubarak berkata:

Saya dapati dosa itu mematikan jiwa manakala melakukan dosa hingga sampai ke peringkat ketagih akan mewarisi kehinaan. Men­inggalkan dosa bermakna menghidupkan hati. Oleh itu adalah baik bagi kamu agar menderhakai dosa


REALITI KINI

Beralih kepada realiti hari ini, manusia secara umumnya mendur­hakai syara'. Dosa bukan sahaja menjadi sahabat malah membuat dosa menjadi sumber mata pencarian. Dosa menjadi suatu kelazatan.Hawa nafsu menjadi ganas. Jiwa manusia lebih cenderung kepada kejahilan dan kezaliman. Sifat fujur mengatasi sifat taqwa. Jiwa semakin sukar untuk menerima nasihat atau ubat. Jiwa masyarakat berasa cukup gelisah bila dengar kalimah syara' lalu dipandang hina, sepi dan serong. Lebih tenat lagi apabila jiwa menolak ubat dan sukakan penyakit. jiwa mengutamakan penyakit daripada ubat sehingga menganggap penyakit itu ubat dan ubat itu penyakit.

Penyakit mencerca Allah Subhanahu Wa Ta'ala berlaku dalam masyarakat. Cercaan ini berlaku dalam pelbagai bentuk sama ada secara tersurat atau tersirat. Contohnya, Allah Subhanahu Wa Ta'ala menurunkan hujan. Kedapatan manu­sia mencerca Allah dengan cara berusaha menghalang hujan dengan alasan atau tujuan untuk menjayakan `malam amal' atau majlis-majlis tertentu. Walaupun Allah Subhanahu Wa Ta'ala mengizinkan hujan berhenti tetapi itu adalah al-Istidraj. Allah SWT terus membiarkan mereka menunjukkan kemegahan.

Mencerca Allah Subhanahu Wa Ta'ala juga berlaku dengan cara memandang sepi hukum-hukum Allah Subhanahu Wa Ta'ala, memandang Islam sebagai cara hidup ketinggalan zaman, mengambil sebahagian daripada Islam dan menolak sebahagian daripadanya.

Realiti ini lebih payah dan sukar bagi para doktor (para penda'wah) untuk mengubatinya. Manusia yang berpenyakit itu pula akan terus memberi musibah dan kemalangan yang besar kepada umat keseluruhannya.




MENGUBATI DENGAN RAHMAT

Menurut Ibn al-Qayyim:

Tiada harapan lagi untuk diubati penyakit-penyakit itu kecuali hanya rahmat Allah Subhanahu Wa Ta'ala ke atas mereka sahaja.

Oleh itu, dalam setiap usaha, pendakwah-pendakwah mestilah berhu­bung dan bergantung dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Abdullah bin 'Abbas berkata:

Do'a kita harus mengandungi Tauhid (Uluhiyyah dan Rububiyyah) dan mestilah kembali menyifatkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala sebagai yang paling Agung, Tinggi dan Pemurah.

Maksudnya, do'a pendakwah-pendakwah bukan sahaja dengan lafaz secara lisan bahkan praktik dan amalan mereka mesti mencerminkan kefahaman dan keyakinan akan sifat-sifat Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Dengan cara ini barulah pendakwah-pendakwah boleh mengharapkan do'a itu dimakbulkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Rujukan: Kitab Ibn al-Qayyim al-Jauzi r

0 comments:

 
Tarbiyah Pewaris © 2011 | Designed by RumahDijual, in collaboration with Online Casino, Uncharted 3 and MW3 Forum