Video

Kepercayaan (Thiqah) Terhadap Jalan Dakwah

Monday, December 13, 2010

Para musafir yang melalui jalan apapun mestilah mempercayai jalan yang mereka lalui dan berpuas hati bahawa itulah jalan yang akan menyampaikan mereka kepada tujuan yang mereka maksudkan supaya mereka tidak sesat dan tidak hilang di tengah jalan. Supaya mereka terus berjalan dan tidak berganjak lantaran ragu atau kerana tidak percaya. Supaya mereka tidak berpindah ke jalan lain lalu mereka bercerai-berai mengikuti berbagai-bagai jalan.

Jalan dakwahlah yang lebih utama dipercayai kerana inilah jalan asal di mana seorang Muslim mengikat segala urusan hidupnya dan kepadanyalah dia menyerahkan segala apa yang dimilikinya sama ada harta, jiwa atau usia, fikiran dan waktu kerana di sinilah letaknya kesudahan dan masa depan yang hakiki.

Oleh kerana itu tiap-tiap Muslim sebelum melangkah jalan dakwah, wajib mengetahui tentang keselamatan jalan dakwah, mengetahui keasliannya dan dia mesti mempercayainya supaya dia tidak menghabiskan umur dan jiwa di jalan yang menyeleweng dan tidak lurus.

Jalan dakwah kita bukanlah jalan bid'ah dan bukanlah jalan yang baru, tetapi jalan Rasulullah s.a.w. di mana baginda berjalan bersama dengan sahabat-sahabat baginda di zaman dahulu. Inilah jalan yang diambil oleh Imam as-Syahid Hassan al-Banna dari sirah Rasulullah s.a.w. yang diperkenalkan kepada kita, memimpin kita kepadanya dan menetapkan segala petunjuk kepada kita dan membawa kita berjalan bersama di atasnya. Di samping itu beliau menghayatinya dengan penuh keikhlasan, kebenaran, amalan dan harakah yang berterusan yang bersungguh-sungguh untuk meneguhkan dasar (tapak) bangunan dan menyediakan batu-bata yang selamat sejahtera. Akhirnya beliau telah menemui Tuhannya dalam keadaan syahid di atas jalan dakwah semasa melakukan tugas-tugas ke arah dakwah Allah.

Mahukah kita percaya kepada satu jalan yang membawa kita kepada Allah dan kepada keredhaan Allah? Adakah tujuan yang lebih tinggi daripada Allah?

Kenapa kita tidak mahu percaya kepada satu jalan yang pemimpinnya ialah Rasulullah s.a.w., bagindalah yang menjadi penunjuknya? Bagindalah sebaik-baik uswah dan contoh teladan dan begindalah penunjuk kepada  sirat al-mustaqim:

"Katakanlah: 'Inilah jalan (agamaku), aku dan orang-orang yang mengikuti mengajak kamu kepada Allah dengan hujah yang nyata'". Yusuf: 108

Bagaimana kita mahu percaya pada satu jalan yang dustur perlembagaannya dan manhajnya adalah kitab Allah yang tidak pernah didatangi kebatilan dari hadapan mahupun dari belakangnya dan sunnah Rasulullah s.a.w.? Satu jalan yang menjadikan jihad sebagai jalannya dan menjadikan syahid setinggi-tinggi cita-citanya?

Di sekitar kepercayaan tanpa ragu di jalan inilah, Imam Hassan al-Banna telah berkata kepada golongan pemuda:

"Hai para pemuda! Di atas dasar- dasar yang tetap ini dan kepada
pengajaran-pengajaran tinggi ini kami menyeru kamu semua. Maka sekiranya kamu beriman kepada fikrah kami dan kamu mengikut jejak langkah kami dan kamu bersama kami melalui jalan Islam yang hanif. Dan kamu membersihkan diri kamu dari segala pemikiran yang lain daripadanya dan kamu menyerahkan segala usaha kamu untuk akidah kamu, maka inilah yang lebih baik bagi
kamu di dunia dan di Akhirat.

Sekiranya Allah menghendaki, Allah akan membuktikan kepada kamu apa yang telah dibuktikanNya kepada as salafus saleh di zaman Rasulullah dan para sahabat-sahabatnya.Tiap-tiap pekerja dan petugas yang benar dari kamu akan mencapai apa yang diredhai iaitu cita-citanya di medan Islam dan merangkumi segala kegiatannya sekiranya mereka orang-orang yang benar. Dan sekiranya kamu enggan kecuali terumbang-ambing antara bimbang dan ragu maka sesungguhnya pasukan Allah akan berjalan terus tanpa mempedulikan sama ada bilangan mereka ramai atau sedikit":

"Dan kemenangan itu hanyalah dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana," (Ali Imran:126)\

Sebenarnya perjalanan kita telah terdedah kepada berbagai-bagai pukulan dari musuh-musuh Islam yang sentiasa melakukan bermacam-macam usaha yang sia-sia, untuk merosakkan, menyekat atau memesongkannya dari jalan yang benar. Ini boleh menimbulkan berbagai-bagai pertanyaan dan keraguan dari beberapa orang tentang pukulan-pukulan itu dan kesan-kesannya.

Dan persoalan tentang keaslian jalan itu, kerapian tujuannya dan kebenaran caranya. Kita kita telah terangkan bahawa ujian dan bencana itu
lebih menguatkan dan memurnikan dakwah dan telah menambahkan keteguhan, ketetapan dan kepercayaan di dalam jalan dakwah dan berpuas hati kepadanya. Itu semua sunnah Allah di dalam dakwah Islam. Musuh-musuh Allah telah berbuat begitu rupa terhadap angkatan Islam hanyalah semata-mata kerana keyakinan mereka bahawa angkatan Islam itulah yang menghapuskan kebatilan
mereka, InsyaAllah. Dengan kemurniaan, kelengkapan, kedalaman dan ketetapan, dan dengan kesyumulannya, gerakan Islam telah menawan hati dan kepercayaan tiap-tiap orang yang ikhlas dan berminat kepada kerja dan usaha untuk Islam, lalu kita dapati generasi muda Islam menggabungkan diri dengan angkatan Islam. Mereka menyokong dan menambahkan kekuatannya dan
menyuburkan hidupnya untuk mempusakai amanah yang mulia ini.

Sebenarnya harakah Islam telah mengembalikan kefahaman yang sahih dan benar serta saling melengkapi kepada Islam sebagai deen dan daulah, mashaf dan pedang, ibadah dan pimpinan dan melaksanakannya sebagai latihan ilmiah yang hidup dan mengemukakannya sebagai bentuk yang benar dari angkatan mujahiddin pada jalan Allah s.w.t. Para pejuang Islam yang berjihad pada jalan Allah yang telah menunjukkan contoh yang cemerlang berupa pengorbanan dan
tebusan dalam pertempuran di Palestin. Harakah Islam sedemikian layak dipercayai dan hargai.

Sesungguhnya angkatan Islam itu terus-menerus menyerahkan ramai syuhada' di jalan dakwah yang telah mengorbankan jiwa mereka sebagai tebusan untuk dakwah Allah. Mereka yang bertahan begitu lama tanpa lemah, dakwah mereka sentiasa berada di bawah tekanan kezaliman dan penyeksaan yang dahsyat. Namun begitu mereka terus berjihad di jalan dakwah tanpa merasa hina,
lemah atau lesu. Itu semua menunjukkan betapa benarnya angkatan Islam ini dan mereka lebih mengutamakan apa yang ada pada Allah daripada yang lainnya. Itulah yang menimbulkan kepercayaan pada jalan dakwah, ketenangan dan kepuasan hati betapa selamat dan sejahteranya jalan dakwah ini.

Sesungguhnya satu harakah Islam yang sentiasa mantap di dalam peredaran zaman dibuktikan oleh berbagai-bagai peristiwa tentang kebulatannya kepada Allah s.w.t., jauh dari sifat tamak haloba keduniaan, jauh dari sifat mendewa-dewakan seseorang (heroworship) atau memekik-mekik dengan nama seseorang, apatah lagi untuk menjadi boneka seseorang atau batu Ioncatan bagi
satu pihak kerana ini hanya menjadikannya alat bakar Allah. Harakah Islam sedemikian sifatnya, layak dan patut dipercayai oleh orang-orang yang benar dan ikhlas, patut dipercayai di dalam perjalanan dan cara menegaskan di dalam ucapannya:

"Sesungguhnya tiada kesalahan yang lebih besar daripada sangkaan setengah orang bahawa Ikhwanul Muslimin telah menjadi alat kepada satu pemerintahan di dalam satu masa atau melaksanakan satu tujuan selain dari tujuan mereka atau bekerja menurut cara yang lain dari cara mereka. Oleh itu, sama ada ahli ikhwan ataupun bukan mestilah menyedari hakikat ini".

Sesungguhnya satu harakah Islam dapat memelihara akan istiqamah dakwah Islam walaupun berada di bawah berbagai-bagai tekanan yang sangat keras, menyelamatkan dakwahnya dari sebarang penyelewengan dan mampu mengatasi berbagai rintangan untuk diwarisi oleh generasi baharu Islam dengan segala kesyumulannya dan kemurniannya tanpa pertukaran dan perubahan. Harakah Islam yang demikian itu adalah harakah yang dinaungi dan dipelihara oleh Allah, lebih dari itu mendapat sokongan dan pertolongan dari Allah:

"Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan yang lurus maka ikutilah dia, janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa". (Al-An'aam: 153)

"Di antara orang-orang yang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang telah gugur dan di antara mereka ada pula yang menunggu-nunggu dan mereka sedikitpun tidak merubah (janjinya)". (Al-Ahzab: 23)

Harakah Islam yang menolak sikap putus asa, yang membangkitkan harapan, yang menyalakan cita-cita di dalam jiwa para anggotanya pada khususnya dan di dalam jiwa Muslim pada umumnya mengusir cinta dunia dan takut mati dari jiwa manusia dan menunjukkan contoh-contoh amal yang praktikal. Harakah Islam sedemikian wajiblah dipercayai dan disokong oleh setiap muslim yang mempunyai sikap ghairah dan sifat cemburu. 

Rujukan: Thariq Ad-Da'wah, Mustafa Masyur

0 comments:

 
Tarbiyah Pewaris © 2011 | Designed by RumahDijual, in collaboration with Online Casino, Uncharted 3 and MW3 Forum