ERTI MENERIMA ISLAM
Apa ertinya menerima Islam itu? Apakah ini bererti bahawa siapapun yang mengucapkan "Saya adalah seorang Muslim atau saya telah menerima Islam" secara automatik menjadi seorang Muslim? Apakah ini bererti seperti seorang penganut Brahman yang mengucapkan mantramantra berbahasa Sanskrit, atau seperti seseorang yang mengucapkan ungkapan-ungkapan berbahasa 'Arab, walaupun tidak memahami makna yang terkandung dalam ucapan mereka, layak disebut seorang Muslim?
Sekarang tentu anda dapat menjawab pertanyaan di atas. Pasti anda menjawab: "Tidak". Anda pasti akan mengatakan bahawa erti menerima Islam adalah bahawa seseorang wajib dengan penuh kesedaran dan kesengajaan menerima apa yang telah diajarkan oleh Rasulullah Muhammad SAW, dan bertindak sesuai dengan ajaran tersebut Barangsiapa yang berbuat demikian, maka ia adalah seorang Muslim, dan barangsiapa yang tidak berbuat demikian, ia bukanlah seorang Muslim.
SYARAT PERTAMA: PENGETAHUAN (ILMU)
Dari jawapan di atas, kita dapat menyimpulkan bahawa pertama-tama, Islam adalah sebutan terhadap pengetahuan dan tindakan mempraktikkan pengetahuan tersebut. Seseorang dapat menjadi Brahman tanpa memiliki pengetahuan, kerana ia lahir sebagai Brahman dan akan terus hidup sebagai Brahman. Demikian pula seseorang yang lahir dari orang tua berdarah bangsawan akan menjadi bangsawan pula, walaupun ia tidak memiliki pengetahuan apapun kerana ia lahir sebagai bangsawan maka ia akan tetap disebut seorang bangsawan sampai akhir hayatnya. Tetapi, seseorang tidak dapat menjadi seorang Muslim tanpa memiliki pengetahuan, kerana Islam tidak diperoleh kerana faktor keturunan, tetapi kerana pengetahuan.
Kalau orang yang bersangkutan tidak mengetahui apa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW, bagaimana ia boleh mendakwa beriman kepada ajaran tersebut dan mempraktikkannya? Dan bila ia menyatakan keimanannya tanpa kesedaran dan tanpa pengertian mengenai ajaran tersebut, bagaimana ia dapat menjadi seorang Muslim? Adalah tidak mungkin untuk menjadi seorang Muslim dan hidup sebagai seorang Muslim tanpa tahu apa-apa. Seseorang yang dilahirkan di tengah-tengah keluarga Muslim, mempunyai nama seperti seorang Muslim, berpakaian seperti seorang Muslim, dan menyatakan dirinya sebagai seorang Muslim, sebenarnya dia bukanlah seorang Muslim. Kerana seorang Muslim yang sebenarnya hanyalah seorang yang tahu apa makna Islam yang sebenarnya dan menyatakan keimanannya kepada Islam dengan penuh kesedaran. Perbezaan yang sebenarnya antara seorang kafir dengan seorang Muslim bukanlah perbezaan dalam nama. Nama Joni tidaklah bererti bahawa pemiliknya adalah seorang kafir dan nama 'Abdullah pula pemiliknya adalah seorang Muslim. Demikian pula orang yang memakai celana jeans tidak bererti dia seorang kafir, dan yang memakai sarung pula seorang Muslim. Tidak, tidak demikian.
Perbezaan yang sebenarnya antara seorang kafir dengan seorang Muslim adalah dalam hal pengetahuan. Seseorang adalah kafir kerana ia tidak tahu bagaimana hubungan dirinya dengan Tuhan dan hubungan Tuhan dengan dirinya, dan tidak tahu cara hidup yang mana yang harus dijalaninya di dunia ini, yang sesuai dengan kehendak Tuhan. Apabila seorang anak dari orang tua yang Muslim tidak mempunyai pengetahuan mengenai hal ini, maka apa alasannya bagi kita untuk menganggap dirinya sebagai seorang Muslim?
Saudara-saudara!
Saya minta anda semua meneliti baik-baik apa yang sedang saya huraikan dengan penuh tekanan ini, dan memikirkannya dengan tenang tanpa emosi. Anda semua harus mengerti benarbenar bahawa memperoleh atau kehilangan kurniaan Allah yang terbesar yang anda syukuri itu, adalah tergantung seluruhnya pada pengetahuan. Bila anda tidak punya pengetahuan untuk itu, anda sama-sekali tidak akan dapat memperoleh kurniaan itu.
Bahkan kalau anda mempunyai sebahagian kecil saja dari anugerah itu, maka kerana kejahilan anda, anda akan selalu terancam bahaya kehilangan milik anda itu. Orang yang layak memiliki anugerah yang besar itu, kerana kebodohannya, mungkin akan mengira bahawa dirinya adalah seorang Muslim, padahal sebenarnya ia bukanlah seorang Muslim. Perumpamaan orang yang sama sekali tidak tahu perbezaan antara Islam dengan kufr serta perbezaan antara Islam dengan syirk adalah 'ibarat seseorang yang sedang berjalan pada sebuah jalur jalan yang gelap. Kemungkinan besar ketika ia sedang mengikuti sebuah jalur yang lurus, langkahnya menyeleweng ke arah yang lain dan ia tidak sedar bahawa ia telah menyeleweng dari arah yang lurus yang harus ditempuhnya.
Dan besar kemungkinannya, di tengah jalan ia akan bertemu dengan seorang dajjal yang akan mengatakan kepadanya: "Hai Nak! Kamu telah tersesat dalam kegelapan. Mari, kupimpin engkau kepada tujuanmu". Pejalan yang malang itu, kerana gelap tidak dapat melihat dengan matanya sendiri mana arah yang lurus. Lantaran itu, tanpa curiga apa-apa, ia akan segera menyambar tangan si dajjal dan terus berpegang kepadanya, dan si dajjal akan membawanya ke jalan yang sesat. Bahaya ini mungkin sekali akan menimpa pejalan tersebut, kerana ia sendiri tidak memiliki obor apa pun dan kerananya ia tidak dapat melihat rambu-rambu di sepanjang jalan yang ditempuhnya. Apabila ia mempunyai obor, tentulah ia tidak akan tersesat atau disesatkan oleh orang lain. Dari contoh ini anda boleh memahami bahawa, bahaya terbesar bagi seorang Muslim adalah kejahilannya sendiri terhadap ajaran Islam, dan kejahilannya terhadap apa yang diajarkan oleh Al-Qur'an dan apa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW tidak punya pengetahuan, ia pasti akan meraba-raba saja sepanjang jalan, dan akan disesatkan oleh dajjal. Tetapi bila ia punya obor
pengetahuan, maka ia akan mampu melihat jalan Islam yang lurus pada setiap langkah dalam hidupnya, melihat dan menghindari jalan-jalan kufr, syirk bid'ah dan kehinaan yang menghadang jalannya, dan bila seorang penyesat ditemuinya di tengah jalan, maka setelah bertukar kata sejenak dengannya, ia pasti akan segera sedar bahawa orang yang ditemuinya itu adalah seorang yang jahat dan tidak boleh diikuti.
Rujukan: Manhaj Hidup Muslim, Syeikh Abul A’la Al-Maududi
0 comments:
Post a Comment