Video

Kesilapan Pemuda Dalam Medan Amal Dakwah (1)

Tuesday, November 17, 2009


Persediaan untuk pemuda Islam bagi menghadapi cabaran dan melakukan perubahan Islam yang dicita -citakan itu, sewajibnya menepati segala jaminan untuk menjadikannya mampu membentuk 'Sahsiah Islamiyah' yang sejajar dengan peranan-yang telah diamanahkan kepadanya.

Sesungguhnya ‘Sahsiah Islamiyyah’ kini telah ditimpa gambaran buruk yang mengakibatkan kepada terbantutnya peranan yang sejati ini juga membawa kepada penggunaan tenaga pada perkara-perkara ranting (juz'i) yang membawa kepada hilangnya kemampuan untuk mengikuti jalan hingga ke hujung perjuangan atau boleh membawa kepada natijah-natijah buruk.

Antara rencana persediaan yang mesti diberikan perhatian yang kebiasaannya telah menyebabkan wajah buruk kepada Sahsiah Islamiyyah, dan dikhususkan kepada pemuda Islam ialah:-

1- Penguasaan Idealisme Negatif terhadap Harakah
Ianya adalah pemisahan yang berlaku terhadap sebahagian pemuda Islam di antara idealisme yang berbentuk teori yang menjadikan mereka abai dari beriltizam secara amali. Akibatnya tidak ada kesan langsung di bidang penghasilan haraki. Sebahagian yang lain pula menyepikan diri mereka ke dalam ruangan yang sempit di dalam "Idealisme" yang menyebabkan mereka tidak akan sampai kepada kenyataan atau menuju kepada ideal itu. Mereka ini tidak menggunakan tenaga mereka yang sepatutnya mereka gunakan untuk bergerak dan menghasilkan sesuatu.

Sesungguhnya ada seorang muslim pada zaman nubuwah telah mengasingkan dirinya di atas sebuah bukit. Maka dia berjumpa dengan Rasulullah saw lalu baginda bersabda:

'Kesabaran seseorang dari kamu satu saat di suatu tempat jihad lebih baik daripada beribadat enam puluh tahun.'

Rasulullah saw tidak akan memilih antara dua, kecuali jalan tengah selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Allah. Antara wasiat Rasulullah saw yang masyhur:

‘Sedikit yang berterusan lebih baik daripada banyak yang berputus-putus.'

Keimanan mewajibkan bergerak (harakah) dan mengeluarkan hasil (intaj), jika tidak maka ia menjadi iman yang kurang dan disyaki. Ini adalah berdasarkan kepada ayat-ayat di dalam kitab Allah yang mana setiap ayat mengenai iman, disyaratkan dengan amal. Cukuplah sebagai bukti firman Allah:
"Tidak ada kebaikan pada banyaknya doa' (munajat) mereka itu kecuali mereka yang diperintahkan dengan bersedekah."

2- Penguasaan Teori ke atas Realiti
Daripada gambaran buruk ‘Sahsiah Islamiyyah’ juga ialah, berfikir pada bekas yang jumud yang sesuai dengan waqi' (realiti) atau tidak atau sesuai dengan realiti lain. Ini membawa terpisahnya para teoris itu dari realiti kehidupan, atau mereka gagal dalam mengubah realiti (waqi'), kerana mereka tidak memahami atau mengkaji realiti yang sebenar. Perubahan Islam tidak mungkin tercapai
melalui teori yang jahil dengan realiti dan juga latar belakang serta kekuatan-kekuatan yang menguasai suasana itu.

Kadangkala golongan ini menganggap kegagalan mereka sebagai takdir dari Allah, dan pada mereka cukuplah untuk menjadi 'ghuraba' (dagang) pada akhir zaman, atau cukup untuk mereka berada atas jalan 'haq' (kebenaran) walaupun mereka tidak dapat menguasai kebatilan atau mengubahnya.

Pada hakikatnya mereka tidak mengambil sebab-sebab yang membolehkan berlakunya perubahan itu. Mereka tidak menggunakan piawai yang ditentukan Allah untuk perubahan. Mereka menganggap sesuatu perubahan itu sebagai suatu keadaan mukjizat yang mungkin berlaku tanpa penat dan payah, seolah-olah mereka tidak mengambil ingatan terhadap firman Allah swt:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum itu sehingga mereka itu mengubah apa yang ada dalam diri mereka."

Menghubungkan sebab dengan musabab, serta menggunakan segala sebab yang ada khususnya dalam peranan penting seperti Perubahan Islam ini merupakan suatu kaedah asal dalam agama Allah yang tidak harus dilupakan, atau dicuaikan atau dipermudahkan. Ini disebut sendiri oleh Al-Quran:

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah nikmat yang diberikan kepada sesuatu kaum melainkan mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka."

3- Keterlaluan mengatasi kesederhanaan
Salah satu dari rupa buruk Sahsiah Islamiyyah hari ini ialah gejala keterlaluan yang tidak ada kesederhanaannya. Gejala ini mungkin merupakan gejala yang paling merbahaya kepada harakah Islamiyyah malah kepada Islam sendiri.

Kadang-kadang gejala ini wujud dalam skop keyakinan peribadi terhadap Islam, yang akan membawa kepada 'ghuluw' (melampau). Rasulullah saw telah mengingatkan:

‘Sesungguhnya agama itu keras, maka masuklah kamu ke dalamnya dengan lemah-lembut. Berjagalah! Binasa orang yang berjalan meraba-raba.’

Kadang-kala gejala ini timbul dalam bentuk amal dakwah dan usaha menarik orang kepada Islam, yang membawa kesan sebaliknya. Ianya menjadikan orang bertambah liar bukan bertambah dekat. Ini adalah bertentangan dengan Sunnah Rasulullah saw seperti yang ditunjukkan oleh al- Quran:

"Serulah (manusia) kepada jalan tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan berbincanglah (berdialog) dengan mereka itu dengan cara yang lebih baik." (S 16.125)

"Sekiranya kamu bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekeliling kamu." (S 3.159)

"Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mu'min." (S9:128)

Kadang-kala gejala ini timbul di dalam keadaan menghapuskan kemungkaran, samada secara serpihan (juzi'i) atau keseluruhan (kulli), iaitu sebelum cukup sempurna persediaan yang perlu untuk kerja tersebut. Maka ini menyebabkan harakah menerima 'mihnah' (tribulasi) dan cabaran yang lebih besar yang mana harakah Islam ini belum lagi bersedia untuk menghadapinya.

Pada hakikatnya, gejala ini banyak mengandungi risiko terhadap harakah Islamiyah pada zaman sekarang dan terpaksa dibayar dengan harga yang mahal, paling sedikit gejala ini akan melambatkan amal dan menghentikan perjalanan' sama ada secara juzi'i atau kulli (separuh atau keseluruhan).

0 comments:

 
Tarbiyah Pewaris © 2011 | Designed by RumahDijual, in collaboration with Online Casino, Uncharted 3 and MW3 Forum