Video

Kesilapan Pemuda Dalam Medan Amal Dakwah (2)

Saturday, November 21, 2009 0 comments



 4- Penguasaan Juziyyah ke atas Kulliyyah
Iaitu gejala memburukkan wajah gerakan Islam dengan adanya sebahagian dari pemuda Islam yang hanya menekankan suatu sudut tertentu dari Islam dan tidak memandang kepada sudut-sudut lain. Ada di antara mereka yang hanya  enekankan kepada pakaian Islam dan apa-apa yang berhubung dengannya sahaja, atau yang lain menekankan soal janggut, tasbih dan kayu sugi (siwak) dan tidak yang lain, sedangkan sebahagian lain menekankan cara kekerasan dan kekuatan material dan tidak kepada yang lain, sedangkan yang lain pula menekankan kepada kehidupan secara rahib dan tasawuf, yang lain menekankan fiqh dan tafaqquh. Kesemuanya mendakwa bahawa merekalah yang benar dan orang lain salah.
Sepatutnya dalam pentarbiyahan pemuda hendaklah ditekankan supaya mengambil Islam keseluruhannya dan sekaligus. Mengikut prioriti/keutamaan yang mana lebih penting untuk diberikan keutamaan serta meletakkan setiap perkara itu pada skop dan kedudukannya yang syarie.

5-Penguasaan Peribadi ke atas Ideologi
Antara gambaran buruk lain ialah ikutan kepada peribadi, melampau dalam taksub kepada manusia di mana ada segolongan pemuda Islam yang taksub kepada peribadi-peribadi (Askhas) bukannya, prinsip (mabadi'). Mereka bergantung kepada peribadi itu lebih daripada pergantungan mereka kepada mabadi' (prinsip). Ini membawa kepada sebab utama mengapa tidak ada penuh
kesetiaan atau kepatuhan (wala') kepada Allah. Mereka ini berpihak kepada puak, taksub kepada individu-individu dan nama-nama, bukannya kepada apa yang disyariatkan oleh Allah.

- Dari bahaya gejala ini dan natijah buruknya ialah berlakunya percanggahan dan pecah-belah dalam tubuh harakah Islamiyyah dan timbulnya penyakit yang banyak dalam amal Islami serta banyak wadah dan bendera.

- Dari bahaya gejala ini juga ialah rosaknya neraca hukuman syarak atau menghukum menurut kaca mata Islam, di mana taksub kepada individu dan hawa nafsu telah mengganti tempat yang sepatutnya diisi oleh taksub kepada prinsip dan nilai.

- Begitu juga gejala ini turut mendedahkan merekaitu ke arah penyelewengan terus natijah daripada apa yang telah kita sebutkan di atas.

Dari sinilah mungkin kita dapat faham kata-kata Abu Bakar as-Siddiq, 'Sesiapa yang menyembah Muhammad, sesungguhnya Muhammad telah wafat, dan barangsiapa yang menyembah Allah, maka Allah hidup tidak mati.' Lalu beliau pun membaca firman Allah swt:

"Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berpaling ke belakang (murtad). Barangsiapa yang paling ke belakang maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikitpun dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur."

Kaedah yang sewajibnya menentukan hubungan kita, dan penilaian kita terhadap pimpinan ialah wajib mengenali makhluk berdasarkan 'haq' yakni kebenaran dan bukannya mengenal kebenaran melalui makhluk.

6- Penguasaan Hawa nafsu atas Kebenaran
Di sana terdapat suatu lagi gejala lain yang memburukkan wajah gerakan Islam iaitu manusia lebih suka mengikuti kemahuan dan nafsunya sendiri serta fikirannya walaupun bertentangan dengan pandangan 'qiadah' (pimpinan). Sedangkan tarbiyah Islamiyyah mewajibkan supaya ia digantikan dengan keinginan peribadi dan kemahuan sendiri dengan kepatuhan (wala’) sepenuhnya kepada Allah seperti yang dimaksudkan dalara firman Allah:

"Tidaklah patut bagi seseorang mukmin itu, lelaki atau perempuan mempunyai pilihan lagi jika sekiranya telah dihukum oleh Allah dan RasulNya dalam sesuatu perkara tentang urusan mereka." (S 33.36)

7- Antara Apa Yang telah Berlaku dengan Apa Yang Akan Berlaku
Satu lagi gejala yang memburukkan sahsiah Islamiyyah hari ini ialah dengan menerima realiti dan tunduk kepadanya. Ini menjadikan natijah dan hasil yang semata-mata bergantung kepada apa yang ada, bukan apa yang sepatutnya (sewajibnya) berlaku. Dalam banyak keadaan, logik ini menyekat perjalanan harakah dan tidak sampai kepada matlamatnya, kerana perencanaan dalam keadaan ini mengikut asas kemampuan yang ada bukannya kemampuan yang sepatutnya ada.

Perbezaan antara dua keadaan itu seperti perbezaan antara Haq dan Batil. Oleh sebab itu pemuda Islam wajib ditarbiyyah dan dididik supaya bercita-cita tinggi atas kebenaran dan merasa mulia dari kebatilan. Mereka juga harus dididik supaya tidak menggadaikan haq kepada waqi’ untuk membolehkan mereka melaksanakan Perubahan Islam yang dicita-citakan.

Kesilapan Pemuda Dalam Medan Amal Dakwah (1)

Tuesday, November 17, 2009 0 comments


Persediaan untuk pemuda Islam bagi menghadapi cabaran dan melakukan perubahan Islam yang dicita -citakan itu, sewajibnya menepati segala jaminan untuk menjadikannya mampu membentuk 'Sahsiah Islamiyah' yang sejajar dengan peranan-yang telah diamanahkan kepadanya.

Sesungguhnya ‘Sahsiah Islamiyyah’ kini telah ditimpa gambaran buruk yang mengakibatkan kepada terbantutnya peranan yang sejati ini juga membawa kepada penggunaan tenaga pada perkara-perkara ranting (juz'i) yang membawa kepada hilangnya kemampuan untuk mengikuti jalan hingga ke hujung perjuangan atau boleh membawa kepada natijah-natijah buruk.

Antara rencana persediaan yang mesti diberikan perhatian yang kebiasaannya telah menyebabkan wajah buruk kepada Sahsiah Islamiyyah, dan dikhususkan kepada pemuda Islam ialah:-

1- Penguasaan Idealisme Negatif terhadap Harakah
Ianya adalah pemisahan yang berlaku terhadap sebahagian pemuda Islam di antara idealisme yang berbentuk teori yang menjadikan mereka abai dari beriltizam secara amali. Akibatnya tidak ada kesan langsung di bidang penghasilan haraki. Sebahagian yang lain pula menyepikan diri mereka ke dalam ruangan yang sempit di dalam "Idealisme" yang menyebabkan mereka tidak akan sampai kepada kenyataan atau menuju kepada ideal itu. Mereka ini tidak menggunakan tenaga mereka yang sepatutnya mereka gunakan untuk bergerak dan menghasilkan sesuatu.

Sesungguhnya ada seorang muslim pada zaman nubuwah telah mengasingkan dirinya di atas sebuah bukit. Maka dia berjumpa dengan Rasulullah saw lalu baginda bersabda:

'Kesabaran seseorang dari kamu satu saat di suatu tempat jihad lebih baik daripada beribadat enam puluh tahun.'

Rasulullah saw tidak akan memilih antara dua, kecuali jalan tengah selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Allah. Antara wasiat Rasulullah saw yang masyhur:

‘Sedikit yang berterusan lebih baik daripada banyak yang berputus-putus.'

Keimanan mewajibkan bergerak (harakah) dan mengeluarkan hasil (intaj), jika tidak maka ia menjadi iman yang kurang dan disyaki. Ini adalah berdasarkan kepada ayat-ayat di dalam kitab Allah yang mana setiap ayat mengenai iman, disyaratkan dengan amal. Cukuplah sebagai bukti firman Allah:
"Tidak ada kebaikan pada banyaknya doa' (munajat) mereka itu kecuali mereka yang diperintahkan dengan bersedekah."

2- Penguasaan Teori ke atas Realiti
Daripada gambaran buruk ‘Sahsiah Islamiyyah’ juga ialah, berfikir pada bekas yang jumud yang sesuai dengan waqi' (realiti) atau tidak atau sesuai dengan realiti lain. Ini membawa terpisahnya para teoris itu dari realiti kehidupan, atau mereka gagal dalam mengubah realiti (waqi'), kerana mereka tidak memahami atau mengkaji realiti yang sebenar. Perubahan Islam tidak mungkin tercapai
melalui teori yang jahil dengan realiti dan juga latar belakang serta kekuatan-kekuatan yang menguasai suasana itu.

Kadangkala golongan ini menganggap kegagalan mereka sebagai takdir dari Allah, dan pada mereka cukuplah untuk menjadi 'ghuraba' (dagang) pada akhir zaman, atau cukup untuk mereka berada atas jalan 'haq' (kebenaran) walaupun mereka tidak dapat menguasai kebatilan atau mengubahnya.

Pada hakikatnya mereka tidak mengambil sebab-sebab yang membolehkan berlakunya perubahan itu. Mereka tidak menggunakan piawai yang ditentukan Allah untuk perubahan. Mereka menganggap sesuatu perubahan itu sebagai suatu keadaan mukjizat yang mungkin berlaku tanpa penat dan payah, seolah-olah mereka tidak mengambil ingatan terhadap firman Allah swt:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum itu sehingga mereka itu mengubah apa yang ada dalam diri mereka."

Menghubungkan sebab dengan musabab, serta menggunakan segala sebab yang ada khususnya dalam peranan penting seperti Perubahan Islam ini merupakan suatu kaedah asal dalam agama Allah yang tidak harus dilupakan, atau dicuaikan atau dipermudahkan. Ini disebut sendiri oleh Al-Quran:

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah nikmat yang diberikan kepada sesuatu kaum melainkan mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka."

3- Keterlaluan mengatasi kesederhanaan
Salah satu dari rupa buruk Sahsiah Islamiyyah hari ini ialah gejala keterlaluan yang tidak ada kesederhanaannya. Gejala ini mungkin merupakan gejala yang paling merbahaya kepada harakah Islamiyyah malah kepada Islam sendiri.

Kadang-kadang gejala ini wujud dalam skop keyakinan peribadi terhadap Islam, yang akan membawa kepada 'ghuluw' (melampau). Rasulullah saw telah mengingatkan:

‘Sesungguhnya agama itu keras, maka masuklah kamu ke dalamnya dengan lemah-lembut. Berjagalah! Binasa orang yang berjalan meraba-raba.’

Kadang-kala gejala ini timbul dalam bentuk amal dakwah dan usaha menarik orang kepada Islam, yang membawa kesan sebaliknya. Ianya menjadikan orang bertambah liar bukan bertambah dekat. Ini adalah bertentangan dengan Sunnah Rasulullah saw seperti yang ditunjukkan oleh al- Quran:

"Serulah (manusia) kepada jalan tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan berbincanglah (berdialog) dengan mereka itu dengan cara yang lebih baik." (S 16.125)

"Sekiranya kamu bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekeliling kamu." (S 3.159)

"Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mu'min." (S9:128)

Kadang-kala gejala ini timbul di dalam keadaan menghapuskan kemungkaran, samada secara serpihan (juzi'i) atau keseluruhan (kulli), iaitu sebelum cukup sempurna persediaan yang perlu untuk kerja tersebut. Maka ini menyebabkan harakah menerima 'mihnah' (tribulasi) dan cabaran yang lebih besar yang mana harakah Islam ini belum lagi bersedia untuk menghadapinya.

Pada hakikatnya, gejala ini banyak mengandungi risiko terhadap harakah Islamiyah pada zaman sekarang dan terpaksa dibayar dengan harga yang mahal, paling sedikit gejala ini akan melambatkan amal dan menghentikan perjalanan' sama ada secara juzi'i atau kulli (separuh atau keseluruhan).

Ciri Dai'e Yang Iltizam Dengan Dakwahnya

Wednesday, November 11, 2009 0 comments




Imam Hasan al-Banna mengatakan: "Saya dapat menggambarkan sosok mujahid adalah seorang yang dalam situasi mempersiapkan dan membekali diri, berfikir tentang keberadaannya pada segenap dinding hatinya. la selalu dalam keadaan berfikir. Waspada di atas kaki yang selalu dalam keadaan siap. Bila diseru ia menyambut seruan itu.



Waktu pagi dan petangnya, bicaranya, keseriusannya, dan permainannya, tidak melanggar arena yang ia persiapkan diri untuknya. Tidak melakukan kecuali misinya yang memang telah meletakkan hidup dan kehendaknya di atas misinya. Berjihad di jalannya.

Anda dapat membaca hal tersebut pada raut wajahnya. Anda dapat melihatnya pada bola matanya.  Anda dapat mendengarnya dari ucapan lidahnya yang menunjukkanmu terhadap sesuatu yang bergolak dalam hatinya, suasana tekad, semangat besar serta tujuan jangka panjang yang telah memuncak dalam jiwanya. Jiwa yang jauh dari unsur menarik keuntungan ringan di sebalik perjuangan.



Adapun seorang mujahid yang tidur sepenuh kelopak matanya, makan seluas mulutnya, tertawa selebar bibirnya, dan menggunakan waktunya untuk bermain dan kesia-siaan, mustahil ia termasuk orang-orang yang menang, dan mustahil tercatat dalam jumlah para mujahidin."

Da’i Yang Bergerak Kerana Allah swt.

Adalah seorang da'i itu adalah yang berlari memohon syahadah kepada Allah swt. di saat melakukan tugas da'wah ilallah. Sebagaimana syahidnya 'Urwah bin Mas'ud ats-Tsaqafi radhiallahu'anhu yang menda'wahkan kaumnya kepada Islam. 'Urwah adalah satu dari dua tokoh besar kaum musyrikin yang disebutkan dalam firman Allah, tentang perkataan kaum musyrikin:


"Dan mereka berkata, "Mengapa al-Qur'an tidak diturunkan kepada seorang besar dari salah satu dua negeri (Makah dan Thaij) ini?" (QS. az-Zukhruf: 31)


Ketika ia menyatakan dirinya bergabung bersama Islam, sekaligus menda'wahkan kaumnya kepada Islam, bertubi-tubi tombak dan anak panah dari segala arah merobek tubuhnya hingga syahid.

Da’iyah yang Memiliki Semangat Tinggi

Anggota harakah Ikhwan, harus mempunyai semangat tinggi sebagaimana semangat al-Aslami  adhiallahu ‘anhu yang pernah diceritakan oleh Ibnul Qayyim rahimahullah: “Bila anda ingin melihat  tingkatan semangat, lihatlah semangat Rabi'ah bin Ka'b al-Aslami radhiallahu'anhu. Rasul saw. berkata: "Mintalah kepadaku." Ka'b mengatakan: "Aku ingin menjadi pendampingmu di.syurga." Sementara orang lain ada yang meminta makanan dan pakaian.


Da'i yang Memegang Teguh Janjinya

Seorang akh, dibina untuk mengerti dan melaksanakan sikap sidiq, sebagai sikap mulia para sahabat ridhwanullahi'alaihim.

Seperti kisah Anas bin Nadhr radhiallahu'anhu yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik. Bahawa Anas bin Nadhr, tidak hadir dalam peperangan Badar. Beliau mengatakan:


"Aku tidak ikut dalam perang pertama yang disaksikan Rasulullah saw. Bila Rasulullah kembali  berperang melawan kaum Quraisy setelah Badar, niscaya Allah 'Azza wa Jalla akan memperlihatkan apa yang akan kuperbuat."


Di saat perang Uhud, umat Islam menderita kekalahan. Seseorang berkata kepada Sa'ad bin Mu'adz radhiallahu'anhu: "Wahai Sa'ad hendak kemana anda?" "Saya ingin menghampiri aroma syurga di balik Uhud.' Sa'ad berangkat hingga syahid. Di tubuhnya terdapat lebih dari delapan puluh luka akibat  pukulan pedang, tombak dan anak panah. Hingga jasadnya tak dikenal lagi oleh saudari perempuannya, kecuali melalui pakaiannya.

Lalu turunlah firman Allah swt. :  

“Di antara orang-orang mu'min ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikitpun tidak merubah janjinya.” (QS. aI-Ahzab: 23)


Demikianlah seharusnya sikap teguh terhadap janji.

Rukun Faham

Tuesday, November 3, 2009 0 comments


Apa Yang Saya Maksudkan Dengan Faham:

Faham yang dimaksudkan ialah anda yakin fikrah atau gagasan anda adalah sepenuhnya berlandaskan Islam. Anda faham Islam sebagaimana yang kami faham, dalam skop dua puluh usul yang ringkas seringkas-ringkasnya ini:

1. Islam adalah satu sistem yang bersepadu mencakupi seluruh aspek kehidupan. Islam adalah negara dan tanahair atau kerajaan dan rakyat. Islam adalah akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Islam adalah pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Islam adalah benda dan harta atau pendapatan dan kekayaan. Islam adalah jihad dan dakwah atau tentera dan gagasan. Selain itu Islam juga adalah akidah yang sejahtera dan ibadah yang sahih.

2. Al-Quran al-Karim dan sunnah yang suci adalah rujukan setiap muslim untuk memahami hukum-hakam Islam. Al-Quran perlu difahami menurut kaedah bahasa Arab tanpa mengada-adakan atau keterlaluan. Sementara sunnah pula perlu difahami melalui ahli hadis yang dipercayai.

3. Iman yang benar, ibadat yang sahih dan mujahadah mengandungi cahaya dan kemanisan yang diberikan Allah ke dalam hati hambaNya yang dikehendaki. Namun ilham, lintasan hati, kasyaf dan mimpi bukanlah dalil hukum syarak dan tidak diambil kira kecuali jika tidak bercanggah dengan hukum-hukum dan nas-nas agama.

4. Tangkal, jampi, kulit kerang yang dijadikan pendinding, menilik dengan cara melukis di pasir, tenung nasib, sihir dan dakwaan mengaku mengetahui perkara ghaib, semua ini adalah amalan sesat yang wajib diperangi, kecuali jampi yang menggunakan ayat al-Quran atau hadis yang ma’thur.

5. Pendapat imam atau wakilnya dalam perkara yang tiada nas ataupun nas tersebut mempunyai pelbagai maksud dan dalam soal masalih mursalah (kepentingan umum) boleh dilaksanakan selagi tidak bertentangan dengan asas syarak. Pendapat ini mungkin berubah mengikut keadaan, budaya dan adat. Asas dalam soal ibadat ialah pengabdian (ta’abbud) tanpa perlu melihat kepada maksud. Sementara dalam soal yang lain ia perlu melihat kepada sebab, hikmah dan maksud.

6. Kata-kata manusia boleh diterima dan boleh ditolak kecuali kata-kata manusia yang maksum iaitu Nabi s.a.w. Segala yang datang daripada generasi silam yang diredai Allah jika bertepatan dengan kitab dan sunnah kita akan terima. Jika tidak kitab Allah dan sunnah rasulNya lebih utama untuk diikut. Walau bagaimanapun kita tidak akan mengecam atau mengkritik mana-mana individu yang tidak sependapat. Kita serahkan kepada niat mereka.Mereka telahpun menyampaikan apa yang telah mereka kemukakan..

7. Setiap orang Islam yang masih belum mencapai tahap ahli nadzar iaitu dapat mengkaji dalil-dalil hukum dalam masalah furu’ hendaklah mengikut salah satu imam dalam agama ini. Namun demikian adalah lebih baik selain mengikut dia berusaha sedaya upaya untuk memahami dalil-dalil tersebut. Dia juga perlu menerima segala tunjuk ajar yang disertakan dengan dalil setelah dipastikan orang yang menunjuk ajar itu adalah orang yang berkebolehan dan berkelayakan. Jika dia memang adalah ahli ilmu dia hendaklah mengatasi kelemahannya dalam bidang ilmu supaya dia mampu mencapai tahap yang membolehkan dia mengkaji.

8. Perbezaan pendapat fikah dalam soal yang kecil tidak sepatutnya menjadi sebab untuk berpecah. Perbezaan pendapat ini tidak sepatutnya menimbulkan permusuhan dan persengketaan kerana setiap mujtahid akan mendapat pahalanya. Namun tidak salah untuk membuat kajian ilmiah dalam masalah-masalah yang dipertikaikan selagimana ia dilakukan dalam suasana penuh kemesraan dan saling bekerjasama untuk mencari kebenaran. Dengan syarat ia tidak menimbulkan perselisihan yang tidak diingini dan budaya taksub.

9. Setiap masalah yang tidak membuahkan amalan tidak perlu dibincangkan secara mendalam kerana tindakan itu dianggap membebankan diri yang dilarang oleh syarak. Ini termasuklah tindakan mencambah hukum-hakam yang masih belum berlaku, mengkaji maksud ayat-ayat al-Quran yang masih belum dicapai oleh sains, berbincang mengenai kemuliaan seorang sahabat berbanding sahabat yang lain dan persengketaan yang berlaku di kalangan mereka. Setiap sahabat ada kelebihan mereka sebagai seorang sahabat nabi dan mereka akan mendapat pahala bergantung kepada niat mereka. Begitu juga dengan takwil yang dibenarkan.

10. Mengenali, mengesakan dan mensucikan Allah Taala adalah akidah Islam yang paling suci. Semua ayat dan hadis sahih yang menyebut tentang sifat Allah dan apa sahaja yang berkenaan dengannya kita yakini sepertimana yang disebutkan itu tanpa kita tafsirkan mengikut kehendak kita atau kita tolak sama sekali. Kita tidak akan libatkan diri kita dalam perselisihan pendapat di kalangan ulama. Kita sepatutnya meniru sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda.

"Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami." (Aali Imran: 7)

11. Setiap amalan bid‘ah yang dimasukkan ke dalam agama Allah dan tidak berasas (diamalkan oleh manusia kerana mengikut selera mereka sama ada mereka menokok tambah atau mengabaikannya) adalah sesat dan perlu diperangi serta dihapuskan dengan cara yang terbaik dan tidak membawa kepada keadaan yang lebih buruk.

12. Bid‘ah yang dilakukan dengan cara menambah ataupun meninggalkan atau beriltizam dengan mengamalkan sesuatu ibadat merupakan masalah perbezaan pendapat dari sudut fikah. Masing-masing mempunyai pendapat yang tersendiri. Namun tidak salah untuk mencari kebenaran dengan berpandukan dalil dan bukti.

13. Mengasihi, menghormati dan memuji orang-orang yang soleh kerana amalan baik yang mereka lakukan adalah suatu amalan mendekatkan diri dengan Allah Taala. Apa yang dimaksudkan dengan wali ialah mereka yang disebutkan oleh firman Allah:

"(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa." (Yunus: 63)

Karamah berlaku pada mereka dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak. Namun perlu diyakini mereka yang diredai oleh Allah ini tidak mampu mendatangkan kemudaratan dan kemanfaatan untuk diri mereka sendiri ketika hayat mereka dan juga setelah kematian mereka, apatah lagi untuk melakukannya kepada orang lain.

14. Menziarahi kubur adalah sunnah dan disyariatkan dengan cara yang dinyatakan oleh sunnah. Walaupun bagaimanapun meminta bantuan ahli kubur walau siapapun mereka atau menyeru nama mereka atau meminta sesuatu hajat daripada mereka dari dekat atau jauh atau bernazar untuk mereka atau membuat binaan atas kubur atau menyelimutkan kubur atau memasang lampu di kubur atau menyentuh dan mengucup kubur itu atau bersumpah dengan nama yang lain daripada nama Allah atau apa sahaja bid‘ah yang berkenaan dengannya adalah dosa besar yang perlu diperangi. Kita tidak akan bertolak ansur dengan semua amalan ini agar tidak timbul perkara yang lebih buruk.

15. Doa yang dikaitkan dengan tawasul kepada Allah menggunakan perantaraan salah satu makhlukNya adalah perkara yang melibatkan perselisihan pendapat yang bersifat cabang. Masalah ini lebih kepada masalah dalam kaedah berdoa dan bukan masalah akidah.

16. Adat sumbang yang diamalkan tidak boleh mengubah hakikat lafaz-lafaz syarak. Malah apa yang dimaksudkan oleh istilah syarak ini perlu dikenal pasti dan dilaksanakan menurut erti istilah tersebut. Di samping itu budaya mempermainkan istilah perlu dielak dalam seluruh aspek dunia dan agama. Perkara yang diambil kira bukannya nama sebaliknya apa yang dimaksudkan oleh nama tersebut.

17. Akidah adalah landasan kepada amalan. Amalan hati lebih penting daripada amalan anggota badan. Melakukan yang terbaik dalam kedua-dua amalan ini adalah tuntutan syarak walaupun wujud perbezaan pada sejauhmana ia dituntut.

18. Islam membebaskan akal dan menggalakkan manusia memerhati alam semesta. Islam mengangkat darjat ilmu dan ulama. Islam juga mengalu-alukan segala perkara yang baik dan bermanfaat.

“Hikmah adalah hak orang mukmin yang telah hilang. Oleh itu di mana sahaja dia menemuinya dia adalah orang yang paling berhak untuk memilikinya.”

19. Ada pandangan syarak yang tidak bertepatan dengan pandangan akal namun akal dan syarak tidak akan bertembung dalam soal yang pasti. Penemuan sains yang sah tidak akan bertembung dengan kaedah syarak yang tetap. Bagi perkara yang tidak dipastikan oleh akal atau oleh syarak, ia perlu disesuaikan supaya bertepatan dengan apa yang pasti. Bagi perkara yang tidak dapat dipastikan oleh syarak dan oleh akal, pandangan syarak perlu diutamakan sehingga akal dapat membuktikan kebenarannya atau sebaliknya.

20. Kita tidak mengkufurkan seorang muslim yang mengucap dua kalimah syahadah dan masih mengamalkan tuntutan dua kalimah syahadah serta menunaikan amalan fardhu –sama ada mengikut suatu pendapat atau kerana melakukan suatu maksiat-kecuali jika dia mengeluarkan ucapan kufur dan mengakuinya, atau menolak sesuatu yang menjadi asas agama atau tidak mempercayai kenyataan al-Quran yang jelas, atau mentafsir al-Quran menurut cara yang tidak bertepatan sama sekali dengan gaya bahasa Arab, atau melakukan sesuatu yang tidak boleh diandaikan kecuali sebagai kufur.
Setelah seorang muslim memahami agamanya berpandukan asas ini barulah dia memahami apa yang sering dilaungkannya:

“Al-Quran adalah perlembagaan kami dan rasul adalah ikutan kami.”

As Syahid Imam Hassan Al Banna

 
Tarbiyah Pewaris © 2011 | Designed by RumahDijual, in collaboration with Online Casino, Uncharted 3 and MW3 Forum