Video

Penyakit Hati dan Rawatannya

Sunday, July 20, 2008 0 comments

Penyakit-penyakit yang biasa terdapat dalam jiwa manusia ialah seperti berikut:

1. Mensyirikkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

2. Melakukan amalan yang berdosa kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

3. Lalai terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala kepada hamba yang Muslim.

4. Menghina dan memandang kecil kepada orang yang dikasihi dan disokong Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

5. Meninggalkan keputusan Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam kehidupan, sebaliknya mengambil keputusan yang lain.

Dalam realiti kini, segala ketentuan dan ketetapan Allah Subhanahu Wa Ta'ala dipandang tidak baik dan tidak diredhai oleh manusia. Manusia tidak memberi harga dan nilai kepada kehendak Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Manusia memandang sepi terhadap ketetapan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Mungkin terdapat segelintir manusia daripada umat ini yang memandang berat, mulia, tinggi dan agung dengan keputusan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Tetapi umumnya apabila dikemukakan keputusan Allah Subhanahu Wa Ta'ala maka dirasakan menjatuhkan maruah, seterusnya bersikap tidak mempedu­likan dan tidak mengendahkan keputusan tersebut. Inilah penyakit jiwa.

6. Tidak merujuk kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, sebaliknya mengambil rujukan yang lain dalam permasalahan hidup meliputi di bidang ilmu penge­tahuan, sistem, peraturan dan sebagainya.

7. Tidak bergantung harap kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, sebaliknya bergantung harap kepada ilah-ilah selain Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Apabila manusia tidak merujuk kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, maka sudah tentu tiada lagi pergantungan kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Hakikat ini dinilai berasaskan praktik hidup manusia hari ini, meskipun dari segi dakwaan sememangnya mereka mengakui merujuk dan bergantung Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Inilah yang sedang nyata berlaku.

8. Mencurigai, syak dan sangsi kepada janji-janji dan peringatan-peringatan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Allah Subhanahu Wa Ta'ala memberitahu orang-orang yang beriman, bertaqwa dan beramal saleh akan janji syurga. Allah juga memberitahu orang-orang yang menentang-Nya akan janji azab neraka. Namun dalam perlaksanaan hidup manusia kini, ramai merasa syak dan sangsi terhadap janji-janji Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Jika manusia yakin akan janji-janji itu, sudah tentu realiti manusia berbeza daripada apa yang ada sekarang. Kini secara meluas manusia berasa curiga dan syak dengan janji-janji dan ingatan-ingatan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Itulah perkara-perkara atau sebab-sebab yang membawa penyakit kepada jiwa manusia.

UBAT YANG MUJARAB


Tidak ada ubat yang dapat mengubati penyakit-penyakit itu melainkan ubat yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Janganlah berusaha mencari ubat-ubat yang lain. Tidak akan sembuh penyakit-penyakit itu melainkan dengan ubat yang telah digunakan oleh Baginda Sallallahu’alaihiwasallam.

Untuk mengubati sesuatu penyakit, perlu terlebih dahulu kita melihat jenis penyakit tersebut. Ubat yang mujarab ialah apa yang berlawanan dengan penyakit yang menyerang manusia.

1. Jika penyakit itu ialah mensyirikkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala, maka ubatnya ialah mentauhidkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

2. Jika penyakit itu ialah melakukan amalan berdosa, ubatnya ialah meninggalkan amalan itu dan bertaubat kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

3. Jika penyakit itu ialah lalai dengan tanggungjawab yang diber­ikan Allah Subhanahu Wa Ta'ala, ubatnya ialah menyedari akan tanggungjawab terse­but.

4. Jika penyakit itu ialah membenci dan memandang kecil terhadap perkara yang disukai Allah Subhanahu Wa Ta'ala, ubatnya ialah perlu mengambil berat, suka, redha dan cinta terhadapnya.

5. Jika penyakit itu ialah merujuk kepada selain daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, ubatnya ialah kembali merujuk kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam semua hal kehidupan.

Manusia perlu faham dan sedar bahawa setiap detik kehidupan boleh terlepas daripada keputusan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Segala-galanya perlu dirujuk dan dikembalikan kepada keputusan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. iaitu meru­juk dan kembali kepada syarak atau Islam sahaja.

6. Jika penyakit itu ialah memandang kecil dan hina terhadap nilai-nilai Allah Subhanahu Wa Ta'ala, ubatnya ialah kembali menilai dengan tinggi, agung dan baik akan nilai-nilai Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Manusia harus diberi kefahaman sebenar terhadap nilai-nilai Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan ditarbiyyah. Dengan cara ini barulah penyakit tersebut dapat sembuh.


KERIANGAN MEREKA YANG MENTAUHIDKAN ALLAH

Keseluruhan cara pengubatan di atas dipanggil cara pengubatan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam terhadap penyakit-penyakit jiwa.

Penyakit mensyirikkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala, disembuhkan dengan cara kembali mentauhidkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Tauhid kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan membuka pintu kebaikan, kegembiraan, dan keriangan. Riang dan gembira orang-orang yang beriman ialah riang yang hakiki dan tidak berpu­ra-pura. Keriangan mereka lahir daripada tindakan mentauhidkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Keriangan mereka adalah keriangan berterusan walaupun mereka diancam dan dikecam.

Inilah keriangan dan kegembiraan bagi orang-orang yang mentauhid­kan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Mereka sentiasa bertindak di atas landasan sya­ra'. Sekiranya mereka bertindak di atas landasan syara' tetapi tidak merasai kepuasan, kelazatan dan keriangan, bermakna tauhid itu belum mantap. Mungkin masih terdapat penyakit di jiwa mereka.


TAUBAT

Taubat bermakna manusia kembali kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, peraturan-Nya dan hukum-Nya. Taubat ialah membuang dan mengosongkan diri dari­pada segala bentuk campuran yang buruk atau campuran yang boleh merosakkan jiwa. Taubat ialah menjaga diri daripada percampuran nilai-nilai lain dan kembali kepada nilai-nilai Allah Subhanahu Wa Ta'ala sahaja dalam setiap aspek kehidupan. Sekiranya seseorang itu termasuk ke dalam golongan orang-orang bertaubat kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala maka campuran itu tidak wujud lagi pada dirinya. Inilah sifat orang bertaubat.

Taubat akan menutup segala pintu kejahatan dan membuka pintu kebahagiaan serta kebaikan. Ini boleh dilakukan dengan cara beristigfar kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan mentauhidkan-Nya. Sesiapa yang ingin menyihatkan badan hendaklah dia menjaga makan minum daripa­da makanan yang memudharatkan. Sesiapa yang ingin menyihatkan jiwa dan hati maka hendaklah dia meninggalkan segala dosa.


DOSA MELEMAH DAN MEMATIKAN JIWA

Thabit bin Qurrah berkata:

Kerehatan badan bergantung kepada kurangnya makan. Kerehatan jiwa bergantung kepada kurangnya melakukan dosa. Kerehatan lidah bergantung kepada kurangnya bercakap. Dosa bagi hati umpama racun bagi badan. Justeru itu dosa yang dilakukan seseorang umpama meminum racun. Jika dosa itu tidak membinasakan jiwa secara menyeluruh, maka ia akan melemahkan jiwa (seperti racun, walaupun ia mungkin tidak memusnahkan badan tetapi ia tetap melemahkan badan). Jiwa yang lemah tidak lagi mampu melawan penyakit, sama seperti badan yang lemah tidak mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

Abdullah bin Mubarak berkata:

Saya dapati dosa itu mematikan jiwa manakala melakukan dosa hingga sampai ke peringkat ketagih akan mewarisi kehinaan. Men­inggalkan dosa bermakna menghidupkan hati. Oleh itu adalah baik bagi kamu agar menderhakai dosa


REALITI KINI

Beralih kepada realiti hari ini, manusia secara umumnya mendur­hakai syara'. Dosa bukan sahaja menjadi sahabat malah membuat dosa menjadi sumber mata pencarian. Dosa menjadi suatu kelazatan.Hawa nafsu menjadi ganas. Jiwa manusia lebih cenderung kepada kejahilan dan kezaliman. Sifat fujur mengatasi sifat taqwa. Jiwa semakin sukar untuk menerima nasihat atau ubat. Jiwa masyarakat berasa cukup gelisah bila dengar kalimah syara' lalu dipandang hina, sepi dan serong. Lebih tenat lagi apabila jiwa menolak ubat dan sukakan penyakit. jiwa mengutamakan penyakit daripada ubat sehingga menganggap penyakit itu ubat dan ubat itu penyakit.

Penyakit mencerca Allah Subhanahu Wa Ta'ala berlaku dalam masyarakat. Cercaan ini berlaku dalam pelbagai bentuk sama ada secara tersurat atau tersirat. Contohnya, Allah Subhanahu Wa Ta'ala menurunkan hujan. Kedapatan manu­sia mencerca Allah dengan cara berusaha menghalang hujan dengan alasan atau tujuan untuk menjayakan `malam amal' atau majlis-majlis tertentu. Walaupun Allah Subhanahu Wa Ta'ala mengizinkan hujan berhenti tetapi itu adalah al-Istidraj. Allah SWT terus membiarkan mereka menunjukkan kemegahan.

Mencerca Allah Subhanahu Wa Ta'ala juga berlaku dengan cara memandang sepi hukum-hukum Allah Subhanahu Wa Ta'ala, memandang Islam sebagai cara hidup ketinggalan zaman, mengambil sebahagian daripada Islam dan menolak sebahagian daripadanya.

Realiti ini lebih payah dan sukar bagi para doktor (para penda'wah) untuk mengubatinya. Manusia yang berpenyakit itu pula akan terus memberi musibah dan kemalangan yang besar kepada umat keseluruhannya.




MENGUBATI DENGAN RAHMAT

Menurut Ibn al-Qayyim:

Tiada harapan lagi untuk diubati penyakit-penyakit itu kecuali hanya rahmat Allah Subhanahu Wa Ta'ala ke atas mereka sahaja.

Oleh itu, dalam setiap usaha, pendakwah-pendakwah mestilah berhu­bung dan bergantung dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Abdullah bin 'Abbas berkata:

Do'a kita harus mengandungi Tauhid (Uluhiyyah dan Rububiyyah) dan mestilah kembali menyifatkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala sebagai yang paling Agung, Tinggi dan Pemurah.

Maksudnya, do'a pendakwah-pendakwah bukan sahaja dengan lafaz secara lisan bahkan praktik dan amalan mereka mesti mencerminkan kefahaman dan keyakinan akan sifat-sifat Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Dengan cara ini barulah pendakwah-pendakwah boleh mengharapkan do'a itu dimakbulkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Rujukan: Kitab Ibn al-Qayyim al-Jauzi r

Virus Bahaya Dalam Gerakan Islam

Monday, July 7, 2008 0 comments

Dalam buku “Ihdzaruu Al-Aids Al-Harakiy (1989)”, Al-Ustaz Fathi Yakan secara khusus mengingatkan kes kehancuran harakah dan tanzim dakwah di Lubnan. Hal yang sama juga berlaku di beberapa Negara Muslim yang terdapat harakah Islamiah di situ. Beliau berpendapat, kes-kes kehancuran tanzim dakwah bermula dari kelemahan daya tahan dalaman jama`ah, yang seringkali terjadi di saat mereka berada di atas paksi Mihwar Siyasi (Orbit Politik). Hal ini sering terjadi ketika harakah Islamiah memasuki wilayah amal siyasi (kerja politik) untuk menyempurnakan wilayah `amal dakwah dan meningkatkan sasaran dakwah yang lainnya.


Mengapa terjadi seperti ini? Apakah penglibatan harakah Islamiah dalam wilayah politik adalah suatu kekeliruan dan kesilapan? Tentu saja tidak !! Bahkan ini adalah suatu kewajipan kita semua. Konsep Syumuliatul Islam yang diperkenalkan Imam As-Syahid Hasan al-Banna di dalam usul pertama dari Usul `Isyrin, telah memberikan gambaran pentingnya kita bergerak di paksi politik demi tertegaknya Ad-Din wa Ad-Daulah. Sesungguhnya saat ini, Syumuliayatud Dakwah menuntut kita memasuki dan menguasai wilayah politik.


Mengenai Virus Bahaya

Persoalan yang timbul ialah bagaimana virus ini boleh berjangkit dan menjadi penyebab kehancuran kepada harakah? Dalam analisa dan tajribah Ustaz Fathi Yakan, terdapat 7 faktor utama yang menyebabkan hal ini terjadi :


1. Hilangnya Manna`ah I`tiqodiyah (imuniti keyakinan) dan kegagalan membina tanzim dakwah di atas dasar fikrah dan mabda’ yang benar dan jitu. Akibat yang timbul dari faktor ini, tanzim dakwah tidak tertegak di atas fikrah yang benar dan utuh. Adakalanya sebuah tanzim hanya wujud sebagai Tanzim Ziyami, iaitu tanzim yang berdiri atas landasan wala’ kepada seorang pemimpin yang diagungkan. Ada juga yang bergerak sebagai Tanzim Syakhshi, iaitu tanzim yang tertegak atas bayangan keperibadian (figure) seorang pemimpin. Terdapat juga yang berbentuk Tanzim Mashlahi Naf`i yang berorientasi mewujudkan tujuan perlaksanaan pengisian semata-mata.



Kerana itu, binaan tanzim menjadi begitu rapuh, tidak mampu menghadapi kesulitan dan cabaran. Akhirnya bergoncanglah binaan dan bercerai-berai shofnya sehingga terjadilah berbagai peristiwa dan tragedi.


2. Perkaderan dan pembinaan anggota berdasarkan kuantiti, dengan mengutamakan bilangan dan jumlah keahlian menjadi keutamaan qiyadah. Seringkali dianggap, bahawa jumlah yang banyak itu akan menjadi penentu kemenangan dan kejayaan. Kondisi ini mungkin ada kebenarannya ketika sebuah harakah dakwah tampil secara rasmi sebagai parti politik dan terlibat dalam pilihanraya.


Akan tetapi hal ini perlu diawasi kerana, orientasi ini akan memudahkan pihak-pihak tertentu mewujudkan qaidah sya’biyah atau dasar dokongan sosial untuk kepentingan mealisasikan tujuan-tujuannya. Dalam situasi tertentu akan muncul keperibadian atau tokoh-tokoh tertentu dalam harakah yang memperjuangkan kepentingan peribadi dengan memanfaatkan qaidah sya’biyah yang dibinanya. Pada saat ini, qa`idah sya’biyah ini akan bertindak sebagai musuh dalaman kepada harakah Islamiah.


3. Isti’jal (tergesa-gesa) untuk meraih kemengan, meskipun tidak seimbang dengan persediaan yang mencukupi, walaupun ditahap minimum. Kemenangan politik bererti memperolehi kekuasaan. Setiap aktivis politik akan dikuasai semangat mencari dan mengejar kekuasaan sehingga tidak ada penghujungnya.


Menurut Ustaz Fathi Yakan, kekuasaan yang diperolehi di manapun akan menuntut pembahagian ghanimah (harta rampasan perang) kepada penjaga sesuai dengan perbandingan tugasan yang ditanggung seseorang. Ghanimah yang telah diperoleh itu kadangkala melahirkan cubaan, fitnah dan bencana kerosakan dalam harakah. Permasalahan dasarnya adalah penipuan dalam pembahagian, antara perseorangan, pemimpin serta penguasa yang bercita-cita mendapatkan bahagian kekuasaan yang banyak. Akhirnya prinsip perjuangan tergadai dan agenda maddiyah dengan mengejar kepentingan hawa nafsu akan menjadi tuntutan perjuangan mereka. Ketika ini hilanglah roh aqidah dalam perjuangan, tumpuan hanya diberikan kepada percaturan strategi menghadapi musuh dalam pilihanraya dengan meninggalkan agenda pembinaan ruhiyah di kalangan jundiyah dan qiyadah. Akhirnya “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran ”.


4. Binaan tanzim dipengaruhi unsur luaran. Samada dipengaruhi oleh latarbelakang kekuatan yang berada di sekelilingnya dari aspek politik, ekonomi dan lain-lain aspek. Akibatnya, tanzim akan kehilangan potensi keaslian perjuangan, kehilangan orientasi dan arah tujuan politik. Kerana hilangnya asholah dakwah (keaslian), tanzim menjadi alat kepentingan pihak lain, dan segala keputusan dan tindakan dipengaruhi kelompok tertentu.


5. Munculnya berbagai aliran dan kelompok dalam harakah. Hal ini sering terjadi kepada harakah yang telah mengalami perpecahan lantaran hilangnya wahdatul fikr dan wahdatul `amal. Kesan dari permasalahan ini akan timbulnya ta`addudul wala’, justeru akan timbul pertikaian, perebutan pengaruh dan kekuasaan untuk meraih hasrat dan cita-cita peribadi atau kelompok tertentu.


6. Campur tangan pihak luar dengan pengaruh dominan politik, ideologi, perisikan, inteligen dengan berbagai cara penyamaran untuk menyerang musuh dalam harakah dengan tujuan menghancurkan kekuatan dan kesatuan di dalam tanzim. Ruang yang terbuka untuk campur tangan atau penyusupan amat luas, terutama melalui ruang politik, iaitu dengan menawarkan pelbagai maslahah siasah. Kekuatan luaran dan campur tangan ke dalam tanzim harakah berlaku ketika jamaah mengalami kelemahan, miskinnya roh `aqidah di kalangan jundiyah dan qiyadah, kuatnya kecenderungan mengejar maddiyyah dan jawatan.


7. Lemah atau hilangnya kesedaran politik (wa’yu siyasi) dalah harakah. Sesebuah harakah yang tidak memiliki wa’yu siyasi yang tinggi dan baik, tidak akan dapat mengimbangai peredaran zaman, gagal mengambil istifadah dan pengajaran dari pengalaman lepas, tidak mengkaji peranan harakah di masa depan dan tidak mampu membuat suatu keputusan politik setempat berdasarkan situasi dan kondisi politik internasional.


Apabila harakah mengalami kelemahan seperti ini, akan berlaku sikap yang kontradiktif dan mudah terbawa arus. Keadaan ini memudah unsur-unsur negatif dari luar mengawal keputusan politik dalam harakah dan mengenepikan peranan majlis syura dalam jamaah.


Semua faktor kondisi yang dinyatakan oleh Ustaz Fathi Yakan adalah berkesimpulan dari masalah mendasar harakah Islamiah masa kini, iaitu “politik mendominasi tarbiah”. Keadaan ini menyebabkan suasana atau munakh harakah dikuasai oleh politik, bahkan sangat mempengaruhi pendirian dan sikap para anggota dan pimpinan harakah.

Cabaran Jalan Dakwah - Pekerjaan

Sunday, July 6, 2008 0 comments

Jawatan/pekerjaan dan Alat Mencari Rezeki
     
Seorang pemuda atau pelajar Islam, yang berkecimpung di bidang
da'wah sebenarnya masih ringan, kerana belum dibebani
tanggungan keluarga, masih belum diharuskan mencari rezeki,
dan masih mudah melangkah di jalan da'wah tanpa ada
ikatan dan tekanan atau gangguan.
 
Tetapi apabila ia telah lulus dari sekolah atau pusat
Pengajian Tinggi dan terikat dengan suatu pekerjaan
atau menjawat suatu jawatan, mulailah dia merasakan
adanya ikatan dan kewajipan-kewajipan tertentu
pada jawatannya yang harus dijaga.
 
Kemungkinan perasaan seperti itu mendorong untuk
membatasi kegiatan da'wahnya dan mengurangi jihadnya,
memperlambat kegiatan dan langkahnya di jalan da'wah.
Dan ada kalanya bahkan langsung berhenti di tengah
jalan dan tidak mahu meneruskan perjalanannya
di bidang da'wah.
     
Jika dia tidak mempunyai iman yang teguh, aqidah
yang mantap dan tekad yang kukuh, pastilah dia tidak
akan mampu melintasi rintangan dan halangan itu.
Kekuatan imanlah yang akan memudahkan dia meneruskan
perjalanan da'wah Islamnya dengan penuh keyakinan bahawa
Allah SWT yang menjamin rezeki dan yang menanggungnya.
Jawatan itu hanyalah satu alat untuk dipergunakan
dalam mencapai dan merealisasikan cita-cita di dunia
ini untuk mencapai keredhaan Allah.


Oleh kerana itu wasilah (alat) yang tertentu tidak boleh
diubah menjadi rintangan yang menghalangi untuk
mencapai tujuan.
 
"Katakanlah: Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu,
isteri-isterimu, kaum keluargamu, harta kekayaan yang
kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya
dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah kamu
cintai lebih dari Allah dan Rasul-Nya dan (dari) bejihad di
jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan
keputusan-Nya, dan Allah tidak memberi petunjuk
kepada orang-orang yang fasiq." (AtTaubah: 24)
 
[Tariqud Da'wah - Utz. Mustafa Masyhur]

 
Tarbiyah Pewaris © 2011 | Designed by RumahDijual, in collaboration with Online Casino, Uncharted 3 and MW3 Forum