Perubahan jiwa merupakan suatu pembaharuan dan perubahan dalam falsafah dan pandangan hidup, cita-cita dan semangat, kehendak dan kebiasaan. Setiap gerakan dan kebangkitan, politik dan ekonomi hendaknya sejalan dengan perubahan jiwa dan semangat.
Demikianlah sunnatullah, hukum Allah Subha Nahu Wa Ta'ala dalam kehidupan ini seperti yang ditegaskan di dalam Al-Quran dengan kalimat yang singkat tetapi tepat, iaitu;
"Sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah (keadaan mereka) sendiri."
[Ar-Ra’d:11]
Perubahan diri dan semangat bukanlah suatu hal yang mudah dan ringan untuk dilakukan, tetapi sebaliknya merupakan suatu hal yang berat dan sulit. Sebab manusia merupakan makhluk yang dalam dirinya bertemu dan bercampur berbagai macam sifat dan keadaan. Usaha membendung aliran sungai yang besar dan mengubah arah alirannya merupakan pekerjaan yang jauh lebih ringan daripada pekerjaan mengubah jiwa, pandangan hidup dan pola berfikir manusia.
Membangunkan satu perusahaan, membina sekolah dan membangunkan bangunan-bangunan, mudah dilakukan. Namun membangunkan jiwa dan mengubah pandangan hidup, amatlah sukar. Bukanlah pekerjaan ringan untuk menjadikan manusia agar dapat menguasai nafsunya, mengekang syahwatnya, mahu memberi di samping menerima, mahu menunaikan kewajibannya disamping mengambil dan menuntut haknya, mahu mengetahui dan menerima kebenaran, dan berani membela serta menegakkan kebenaran itu. Membentuk manusia yang mahu bersusah payah dan menanggung keletihan untuk memperbaiki keadaan yang rosak, rela berkorban untuk mengajak dan menyeru manusia melakukan kebajikan, mencegah kemungkaran, rela mengorbankan jiwa dan harta di jalan kebenaran; adalah merupakan pekerjaan yang tidak mudah dicapai.
Walaubagaimanapun, kekuatan iman merupakan sesuatu yang 'ajaib'. Iman dapat mempersiapkan jiwa manusia untuk menerima pemikiran yang segar, walaupun hal itu mengandung tanggungjawab dan kewajipan, pengorbanan dan kesusahan. Imanlah satu-satunya unsur yang dapat mencetuskan perubahan dalam jiwa manusia dan mampu memberikan manusia satu nafas baru, yang akan diikuti pula dengan perubahan pada pandangan hidup dan jalan hidup yang ditempuhnya. Seterusnya akan berubah pula perilaku, cita-cita, perasaan dan pertimbangan hidupnya. Kalau kita amati seseorang yang melalui kehidupan pada dua keadaan; sebelum dan selepas Islam, akan jelas kepada kita bahawa kehidupannya selepas tunduk kepada Islam tidak sama dengan keadaan sebelumnya.
Iman akan memberikan pengaruh drastik kepada kehidupan seseorang tanpa mengira peringkat kehidupan seseorang. Tidak seperti teori para psikologis dan para pendidik, di mana mereka mengandaikan keberkesanan pendidikan adalah terbatas kepada peringkat-peringkat tertentu dalam kehidupan seseorang manusia.
Para psikologis telah menetapkan zaman kanak-kanak sebagai masa penerimaan dan pembentukan tingkah laku. Jika satu sifat tertentu telah tertanam dalam jiwa seseorang, sulitlah untuk dilakukan perubahan kerana telah menjadi sifat yang tetap. Bebeza halnya dengan pengaruh kekuatan iman. Apabila iman telah tertanam dan tumbuh di dalam jiwa seseorang, maka iman ini akan mengubah tujuan hidup seseorang, dan mengubah pandangan hidupnya, baik tentang alam, maupun kehidupan ini. Semuanya tidak terbatas kepada masa, baik pada zaman kanak-kanak, remaja, dewasa maupun pada masa tua.
Sebagai contoh, lihatlah kisah tukang-tukang sihir Firaun, seperti yang dikisahkan di dalam Al-Quran dalam surah Asy-Syuara ayat 32 hingga 51, dan pendirian mereka terhadap ancaman Firaun untuk menyiksa dan membunuh mereka apabila mereka beriman kepada Allah Subha Nahu Wa Ta'ala sebagaimana diceritakan oleh Allah Subha Nahu Wa Ta'ala dalam surah Thaha, ayat 71 hingga 73.
Perhatikan, bagaimana besarnya perubahan jiwa tukang-tukang sihir itu setelah beriman. Pandangan dan pertimbangan akal fikiran mereka telah berubah, bagai siang dan malam. Betapa manisnya iman yang mereka nikmati, sehingga dengan tegas dan berani, mereka menjawab ancaman Firaun, "Kami sekali-kali tidak mengutamakan kamu daripada bukti-bukti yang nyata (mukjizat), yang telah datang kepada kami."
Iman memberikan seseorang suatu didikan yang baik, sehingga terbentuk peribadi yang baik yang yakin kepada Allah, takut kepada siksaan-Nya, tunduk merendah diri kepada-Nya, bersedia menjalankan perintah-Nya, bekerja, berjuang dan berkorban dengan harta, jiwa dan raga, penuh keikhlasan dengan hanya mengharapkan keredhaan-Nya.
Oleh kerana itu, seorang peniaga atau usahawan yang beriman, akan menjadi peniaga atau usahawan yang jujur. Seorang miskin yang beriman akan selalu menjaga kehormatannya dan selalu bekerja keras. Seorang buruh atau pegawai yang beriman akan menjadi buruh atau pegawai yang dedikasi dan jujur. Seorang kaya yang beriman akan menjadi seorang yang dermawan dan suka menolong. Seorang hakim yang beriman akan menjadi hakim yang adil dan saksama. Orang yang beriman apabila diberikan kepercayaan untuk menjaga harta milik umum, maka ia akan menjaganya dengan amanah. Tegasnya iman dapat membentuk peribadi yang ulung dan agung pada diri seseorang.
Daripada peribadi-peribadi yang lahir itulah akan terbentuk masyarakat Islam yang baik dan memberi kebaikan, baik kepada individu mahupun masyarakat, dunia dan akhirat. Untuk membangunkan satu masyarakat yang adil, makmur dan beradab, tidak dapat tidak, jiwa individu yang menganggotai sesuatu masyarakat itu perlulah dibina dengan iman. Inilah yang telah dilaksanakan oleh junjungan mulia Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam.
0 comments:
Post a Comment