Video

Pengertian Manhajiah Tarbiyah Dakwiah.

Monday, October 4, 2010

Ketika usia dan semangat masih muda dan sempurna, aku menghimpunkan beberapa saudaraku di kalangan duat di Universiti Baghdad, tidak sampai dua puluh orang, setiap dua minggu sekali. Kami berkumpul untuk bangun qiamullail, membaca al-Quran, bersama penyampaian dakwah serta peringatan yang sesuai. Oleh kerana pengawasan keselamatan pada masa itu yang ketat, maka kami menghindari masjid yang besar dan indah untuk ke sebuah masjid lama dan bersejarah, luas melintang dindingnya, rendang tiang dan kubahnya, usang permaidaninya, sempit laluannya, bernama Masjid Husain Basya, seorang gabenor Khilafah Uthmaniah yang membina masjid tersebut lebih kurang empat ratus tahun dahulu. Kelihatan fizikalnya tidak dipelihara dengan baik pada masa itu, maka serpihan dinding dan kerosakan boleh ditemui di sana sini.

Bagaimanapun, ratusan pengunjung yang berulang-alik bergilir-gilir menghadiri solat di situ seolah-olah sepakat bahawa tiada di sana tempat yang lebih terserlah keberkatan rabbani selain di persekitaran masjid antik itu. Seseorang yang duduk di bawah kubah dan berada di celah dinding-dinding tua masjid itu akan merasai satu perasaan kerohanian yang mendalam, sehingga menggandakan lagi situasi ketundukan hati kesan dari bacaan ayat al-Quran dan solat tahajjud.

Dan apabila tiba waktu azan: Bangkitlah Haji Ahmad rahimahullah untuk melaungkan azan. Beliau merupakan lelaki yang terpilih di Kg Haidar Khanah, kampung terletaknya masjid antik itu. Seorang yang berada, tetapi lebih suka tinggal di sebuah bilik di masjid itu. Di depan biliknya itu terdapat sebuah laman yang luas. Ikhwanku sepakat bahawa tiada azan yang lebih merdu dan indah selain azan yang dilaungkannya. Adil as-Syuwaikh berkata: “Berbaloi duduk di masjid itu untuk mendengar azannya”. Aku bersetuju dengan pendapat Adil, rahimahullah. Sehingga sekarang, ketika usiaku sudah mencecah enam puluh empat tahun, aku masih tidak menjumpai keindahan alunan azan yang menyamai alunan azannya. Dan kesan azannya ke atas hati para duat menyamai kesan tahajjud dan tilawah al-Quran yang mereka bawa pulang.

Penafsiran terhadap dua fenomena tadi pada pendapat aku –wallahu a’lam-, : Bahawa masjid yang antik itu telah dibina oleh tuannya dengan niat yang ikhlas. Kemudian datanglah pula generasi demi generasi mukminin yang soleh untuk solat dan berdoa di situ. Oleh sebab itu, Allah Taala telah melimpahkan keberkatan-Nya sehingga membezakannya daripada masjid yang lain. Seterusnya muazzin itu pula bukan seorang yang mengambil upah atas azannya itu. Beliau seorang yang ikhlas dan suka melakukan kebaikan. Oleh yang demikian, maka Allah Taala kurniakannya dengan suara yang lunak dan berupaya meninggalkan kesan.

Aku bawakan kisah ini sebagai satu pendahuluan kepada dua pengertian yang penting, yang mesti dipertegaskan ketika kita mahu membicarakan tentang Manhajiah Tarbiyah Dakwiah.

Pengertian yang pertama: Sesungguhnya keikhlasan, kesempurnaan tajarrud, tindak balas mendalam terhadap isu, bebas daripada ganjaran dunia, kesemuanya itu merupakan faktor-faktor utama yang menguatkan kesan kalam pendakwah ke atas ikhwannya dan orang ramai secara umum. Semakin beliau menjiwai dan menyebatikan dirinya dengan topik bicaranya, semakin kuat kesan kalamnya ke dalam hati para pendengar. Walaupun beliau bukan seorang yang fasih. Walaupun beliau mungkin mengulangi ayat-ayat bicara yang mungkin sudah biasa didengar dan dihafal oleh orang sebelum ini. Berulangnya kumandang azan lima kali sehari dari beberapa buah masjid selama berpuluh-puluh tahun disambut oleh kehadiran biasa orang-orang beriman, dan kadang-kadang disambut secara dingin, tiada yang memerhatikan pengertian besar di sebalik kalimat-kalimat azan itu kecuali sebilangan kecil orang yang hatinya makmur dengan keimanan dan fikh. Akan tetapi, keikhlasan Haji Ahmad dan akhlaknya yang baik, telah menjadikan kalimat-kalimat azannya sebagai satu pelajaran yang sempurna, satu penyampaian bagi pelajar-pelajar Universiti yang hidup dalam zaman sukar dan dipenuhi dengan pelbagai kekeliruan dan campur baur.

Manhajiah Tarbiyah Dakwiah perlu peka terhadap sasaran fenomena pertama ini. Ia perlu berusaha mengekalkan pengajaran ikhlas dan seumpamanya pada kedudukan pertama di tangga pendakian, sebagai objektif yang kekal dan sentiasa mengiringi setiap marhalah dan perincian Manhaj Tarbiyah Dakwiah. Ini agar kalam dakwah mendapat keberkatan, walau seringkas mana sekalipun ia, tanpa hiasan sastera yang indah, walau setegar mana sekalipun ia, tanpa sebarang pembaharuan.

Pengertian yang kedua: Sesungguhnya dakwah yang lama dan utuh, yang telah digilir pikul oleh beberapa generasi duat … sesungguhnya dakwah yang demikian telah Allah Taala bina baginya satu entiti moral dan nilai sentimental yang kuat kesannya di hati pendakwah dan manusia. Terdapat padanya keberkatan, sehingga menjadikan yang sedikit itu banyak, yang rendah itu tinggi, yang sempit itu luas, yang kaku membatu itu bercakap, seperti Masjid Husain Basya itu. Manhaj Tarbiyah Dakwiah ini tidak akan mendapat peluang untuk memberi kesan yang kuat jika dilaksanakan dalam bangunan yang baru dibina, baru diberi nama, baru dari segi pendukung, norma dan pengalaman. Sebaliknya, perlaksanaan manhaj yang lengkap ini mesti bertitik tolak daripada binaan dakwah yang mendalam akar umbinya, yang diwarisi secara menghadap oleh generasi sebelum ini daripada generasi terdahulu, sehingga sempurnalah tunjuk ajar, pemikulan amanah, beban dan kefahaman, dalam proses pewarisan secara tenang dan teratur, tanpa campurtangan penghakiman hakim, atau hingar perbalahan para waris. Begitulah berlakunya kesinambungan dan perhubungan sanad dan nasab. Sesiapa sahaja di kalangan pendakwah baru, yang mahu melangkaui pengertian ini, lalu menganggap bahawa pembaharuan perencanaan menuntut entiti baru yang berasingan, maka beliau sebenarnya telah jauh melayani ketidakpastiannya. Ini kerana beliau tidak menemui sentuhan keberkatan dalam entitinya yang baru, yang kehilangan nafas harum generasi demi generasi sebelum ini.

Syeikh Muhammad Ahmad Ar Rasyid

0 comments:

 
Tarbiyah Pewaris © 2011 | Designed by RumahDijual, in collaboration with Online Casino, Uncharted 3 and MW3 Forum